"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Tuesday, January 29, 2013

Hukum berselawat ke Atas Rasulullah SAW



Status nabi dan rasul adalah darjat tertinggi dalam kalangan manusia di sisi Allah Taala. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib merupakan penutup bagi sekalian anbiya’ adalah sebaik-baik insan yang wajar dijadikan tauladan oleh setiap lapisan umat Islam yang menyanjung tinggi kerasulannya. Lantaran ini Allah Taala memuliakan utusanNya dengan berselawat serta mengucapkan salam ke atas beliau.
Mafhum firman Allah:
“Sesungguh Allah dan para malaikatNya berselawat (menyampaikan rahmat serta memuji) untuk Nabi (Muhammad). Wahai orang-orang yang beriman berselawat serta ucapkanlah salam ke atas Nabi dengan sebenar-benarnya” .(Surah al-Ahzab, ayat 52)
Dalam mafhum ayat di atas, Allah Taala menegaskan bahawa Dia dan para malaikat ciptaanNya sentiasa berselawat ke atas nabi Muhammad disamping memokuskan dua bentuk arahan kepada golongan mukminun agar sentiasa berselawat dan mengucapkan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad selaku Rasul akhir zaman sebagai tanda terima kasih dan penghormatan tertinggi yang tidak terhingga di atas segala pengorbanan beliau yang berperanan menerangi seluruh galaksi dengan cahaya Islam. Berselawat ke atas nabi dari segi bahasa bermaksud; berdoa dan memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa Taala bagi pihak beliau. Menurut al-Imam al-Fakhru al-Razi dalam kitabnya jilid 6, halaman 796; selawat Allah Taala ke atas RasulNya bermaksud rahmat dan selawat para malaikat pula bermaksud mohon keampunan bagi dirinya. Manakala mengucapkan salam ke atas Nabi pula; Mengucapkan selamat serta kesejahteraan ke atas diri beliau.


Bentuk lafaz Selawat

Terdapat pelbagai bentuk lafaz selawat ke atas Rasul. Ada yang masyhur dengan ungkapan nama selawat syifa’, tafrijiyyah dan sebagainya. Walau apa sekalipun nama yang tonjolkan, hakikat sebenar lafaz-lafaz selawat ini merupakan susunan kalimah indah memuji kemuliaan Junjungan Besar Muhammad demi untuk meraih syafaat beliau di hari Akhirat kelak. Lafaz-lafaz juga merupakan langkah bertertib dan beradab bagi seseorang muslim untuk melafazkannya sebelum mengutarakan sebarang bentuk permohonan kepada Allah Taala dalam setiap doa yang dipohon. Dalam sebuah hadis daripada Kaab bin Ujrah r.a berkata 
Seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami mengetahui cara mengucap salam ke atas diri Tuan. Tetapi bagaimanakah pula untuk berselawat ke atas diri Tuan?” Rasulullah menjawab “Katakanlah Ya Allah selawatkanlah (berikanlah rahmat) ke atas diri Muhammad dan ahli keluarga Muhammad sebagaimana yang Engkau telah berikan rahmat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha  Mulia. Ya Allah berkatilah ke atas Muhammad dan ahli keluarganya sebagaimana Engkau telah berkati ke atas Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam sebuah mafhum hadis diriwayatkan oleh al-Imam Malik, Ahmad, al-Bukhari dan Muslim daripada Abi Hamid al-Saiidi r.a, bahawa orang ramai bertanya “Wahai Rasulullah! Bagaimana cara kami nak berselawat ke atas Tuan?”. Maka jawab Rasulullah “Katakanlah Ya Allah berselawatlah ke atas Muhammad, para isterinya dan zuriatnya sebagaimana Engkau berselawat ke atas keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, para isterinya dan zuriatnya sebagaimana yang Engkau telah berkati ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia”.


Hukum Berselawat

Berasaskan arahan nyata yang termaktub dalam nas, jumhur ulama’ berpendapat bahawa selawat ke atas rasul merupakan salah satu bentuk ibadat seperti berzikir, tahmid dan tasbih. Hukumnya adalah wajib sekali seumur hidup dan sunat serta digalakkan pada setiap masa dan ketika sebagai menyahut seruan Rasulullah sendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis  yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim 
Sesiapa yang berselawat ke atas diriku sekali nescaya Allah berselawat ke atas dirinya sebanyak sepuluh kali”. Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.

Adapun lafaz salam pula umpama seorang muslim mengatakan  Assalamualaika Ya Rasulullah (Salam sejahtera ke atas dirimu wahai Rasulullah). Ia merupakan doa selamat kesejahteraan daripada segala bentuk bala bencana. Setelah mencapai kata sepakat mengatakan hukum selawat ke atas Nabi wajib sekali dalam seumur hidup, para ulama berselisih pendapat pula dalam menentukan adakah selawat tersebut wajib dalam setiap majlis? Atau hanya wajib setiap kali disebut nama Nabi atau adakah ia hanya sunat semata-mata? Berasaskan permasalahan ini, ijtihad para ulama terbahagi kepada tiga katogari berlandaskan hujjah masing-masing;
i)          Wajib berselawat ke atas nabi setiap kali disebut nama beliau. Hujjah ini berasaskan kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.
ii)         Wajib berselawat ke atas nabi sekali dalam satu majlis meskipun namanya disebut berulang kali dalam majlis tersebut. Pendapat ini berasaskan kepada sebuah hadis yang juga diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Sesiapa daripada kalangan satu jamaah yang berada dalam satu majlis kemudian mereka beredar meninggalkan majlis tersebut tanpa menyebut nama Allah serta tidak berselawat ke atas RasulNya, maka mereka tidak akan memperolehi sesuatu di hari akhirat kecuali penyesalan 
iii)        Pendapat mengatakan wajib diperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan sebarang bilangan dan bentuk majlis serta mengatakan tidak memadai dengan berselawat sekali dalam seumur hidup. Golongan pertama dan ketiga berhujjah dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.

Sehubungan dengan ayat 52 surah al-Ahzab ini, para fuqaha juga berselisih pendapat adakah selawat ke atas nabi diwajibkan dalam solat? Dalam masalah ini, al-Syafie dan al-Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat; selawat ke atas nabi dalam solat adalah wajib dan tidak sah solat tanpanya. Manakala al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Malik pula mengatakan; selawat ke atas Nabi ketika solat adalah sunat muakadah dan tidak batal solat tanpanya tetapi makruh. 


Kelebihan Berselawat

Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]

Nabi SAW bersabda;
"Sesungguhnya semulia-mulia manusia di hari Kiamat adalah mereka yang paling banyak berselawat ke atasku." [riwayat Termizi, hasan ghorib]
Sabda Rasulullah SAW lagi;

"Mereka yang bakhil adalah mereka yang mendengar namau tetapi tidak berselawat kembali kepadaku." [riwayat Termizi dan Nasaie dan Ibnu Hibban]

__________________________
rujukan:
روائع البيان تفسير اّية الاحكام من القراذن
بقلم محمد علي الصابوني
باب الصلاة على النبي صلى الله عليه و سلم

1 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum. firman Allah ayat dekat ats skli surah Al-Ahzab ayat 56 bukan 52. harap saudara perbetulkan.

Post a Comment

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger