"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Saturday, December 29, 2012

Berjenaka di dalam Ceramah Agama?


    Ustaz Azhar Idrus, ikon pendakwah masa kini. Dakwahnya sering dibanjiri para pendengar untuk mendengar ceramahnya, dalam masa yang sama mendengar celoteh lawaknya.


Di sebuah tempat,
 
       "Bosanlah, kita asyik lepak-lepak, main gitar kat tepi jalan, sambil kacau awek yang lalu. tak ada life la!" Pijoe meluahkan rasa.

       "Camtu geng, jom kita pergi dengar ceramah agama kat surau sebelah. Orang kata, penceramah tu best, banyak buat lawak," Topek lantas melontarkan idea wanginya..

       "Doh la kamu ni. Kamu nak dengar ceramah agama ke, atau nak dengar lawak daripada ustaz tu? Baik kita teruskan je usaha melepak kita di sini je, doh," Mael lantas menyampuk.

       "Tak boleh ke, kita nak dengar je lawak jenaka ustaz tu? Tak boleh eak?" Topek masih ragu-ragu.

       "Orang kata, kalau nak berubah tu, biarlah dengan hati yang ikhlas, mana boleh nak paksa-paksa," Mael terus menarik gitarnya.

       "Jadi, tak boleh la kita nak dengar ceramah agama ni?" Topek masih tidak berpuas hati.

       "Tunggu hati kita suci dulu, baru boleh pergi."

       "Ala, melepaslah aku nak dengar lawak kat ustaz tu."



Berjenaka di dalam Ceramah Agama?

Dalam kaedah fiqh, jika seseorang yang baru berjinak-jinak untuk memahami Islam, lalu dia mendengar kuliah agama kerana lawak yang dibawakan oleh si penceramah, bukan pada isi yang dibawa, maka itu hukumnya harus.

Ini tiada bezanya dengan kanak-kanak yang diajar untuk bersolat untuk mendapat ganjaran mainan daripada ibubapa, lalu kanak-kanak tersebut mendirikan solat kerana ganjaran itu, maka hukumnya harus.

Sama juga halnya dengan wanita yang menutup aurat kerana dipaksa oleh ibu bapa, bukan ikhlas kerana Allah Taala. Pahala untuk wanita tersebut kerana menutup aurat akibat dipaksa masih tetap ada, insyaAllah.

Adapun, hukum mempelajari ilmu agama itu WAJIB bagi setiap muslim, sama seperti wajibnya untuk kita bersolat dan menutup aurat.

Datanglah ke kuliah agama kerana dipaksa, ataupun hanya mahu mendengar jenaka daripada si pendakwah sahaja, itu sudah cukup baik daripada langsung tidak mahu menghadirkan diri.


Fahami Waqi' dalam berdakwah

Para Rasul pada zaman dahulu diberikan bantuan berupa mukjizat untuk membantu dakwah mereka.

Nabi Musa diberikan tongkat untuk mengalahkan tukang sihir Firaun. Mukjizat Nabi Isa pula berupaya menyembuhkan segala jenis penyakit, kerana pada zamannya manusia ketika itu begitu terkehadapan dari segi perubatan. Rasulullah SAW pula dikurniakan Al-Quran bagi menumpaskan kegilaan ummat pada zaman dahulu yang begitu bertuhankan sastera.

Semua mukjizat yang diberikan oleh para Rasul adalah berbeza, mengikut waqi' (suasana).

Begitu juga pada zaman ini.

Manusia pada zaman ini begitu hanyut dengan hiburan dan lawak jenaka. Jadi, mahu tidak mahu, bagi memecahkan dominasi ummat agar mereka mahu mendengar ceramah, para pendakwah perlulah memasukkan unsur hiburan dan jenaka agar ceramah mereka sampai kepada para pendengar.

Kesan ada unsur jenaka dalam berceramah. Nah, ini hasilnya!


Buat para pendakwah pula, berjenakalah sekadarnya, jangan menjadi badut sarkas pula. Ceramah ini medannya gelanggang dakwah, bukannya gelanggang Maharaja Lawak.


wallahu alam

bab 1: SENGOKU



BAB 1

Bandar Ipoh, Perak
Pertengahan tahun 1940

BANDAR Ipoh meriah dengan orang berjual beli. Nama bandar ini diambil daripada pohon "epu" atau lebih dikenali sebagai "pokok Ipoh" dengan getahnya yang beracun dan digunakan oleh Orang Asli untuk panahan sumpitan mereka. Bandar Ipoh mula berkembang pesat apabila lombong-lombong bijih timah mula dibuka secara meluas. Malah bandar Ipoh yang terletak di kawasan Lembah Kinta dikatakan merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang terbesar di dunia.
            
Tiada apa yang dicari oleh Zulkarnain di bandar itu. Lelaki yang berpewatakan menarik itu hanya berjalan-jalan melihat bandar yang sudah lama tidak dijejakinya. Rindunya pada kesesakan manusia, kemeriahan manusia tawar menawar dalam urusan jual beli serta kerinduan pada laksa kuala menggamit dia datang ke mari. Bandar ini sudah jauh berkembang pesat setelah dipilih menjadi ibu negeri Perak menggantikan bandar Taiping.
            
Sedang Zul berjalan-jalan, matanya terpandang satu susuk tubuh seorang lelaki berbangsa Jepun. Lalu Zul  merapati lelaki tersebut. Lelaki itu kelihatan sedang kebingungan. Disapanya lelaki itu daripada belakang. Segera lelaki itu memalingkan muka. Mukanya jelas kelihatan ketakutan.
            
Zul cuba mendekati lelaki Jepun tersebut. Namun semakin Zul mendekati, semakin pula lelaki itu menjauhi. Zul tidak berputus asa. Dia terus mengekori lelaki Jepun itu. Seingat dirinya, inilah kali pertama dia melihat seorang lelaki berbangsa Jepun di bandar Ipoh. Zul pasti lelaki itu adalah berbangsa Jepun, bukannya berbangsa Cina. Kerana itu dia nekad untuk menegur sapa lelaki Jepun itu.
            
Akhirnya Zul berjaya mendekati lelaki itu daripada belakang. Dicuitnya bahu lelaki itu. Cepat-cepat lelaki itu menoleh ke belakang. Raut wajahnya seakan melihat hantu apabila berhadapan dengan Zul. Zul cuba mententeramkan lelaki itu dengan sebuah senyuman. Namun wajah lelaki itu masih berada dalam ketakutan.

“Jangan takut. Saya orang baik-baik,” Zul bertutur dalam bahasa Jepun. Lelaki Jepun itu kelihatan agak terkejut. Zul menghulurkan salam. Dengan segera salamanya dibalas.
            
“Kamu pandai berbahasa Jepun?” Lelaki Jepun itu bersuara di dalam bahasa Melayu. Kagum dengan lelaki berbangsa Melayu itu yang mampu bertutur dalam bahasa Jepun.
            
“Wah, kamu pandai rupanya berbahasa Melayu. Bahasa Jepun? Tidaklah pandai sangat, Cuma tahu sikit-sikit sahaja,” Zul merendah diri. Kali ini, dia pula kagum dengan lelaki Jepun yang baru dikenalinya itu.
            
“Takashi, Azuma Takashi,” lelaki Jepun itu memulakan perkenalan.
            
“Zulkarnain. Panggil sahaja Zul.”
            
Wajah ketakutan yang terpamer pada lelaki bermata sepet yang bernama Takashi itu mula menghilang.

“Kenapa tadi kamu kelihatan cukup takut apabila melihat aku? Seperti aku ini berwajah hantu pula,” Zul bertanya ingin tahu.

Lalu Takashi menceritakan bagaimana dia dikejar dan dipukul oleh sekumpulan pemuda berbangsa Melayu tanpa sebab pada petang semalam di sini. Namun nasib baik orang ramai datang mententeramkan keadaan. Luka yang dialaminya tidak seteruk mana. Kerana itu dia mengandaikan Zul juga berniat sama, lebih-lebih lagi apabila melihat Zul asyik memerhati dan mengekori dirinya daripada jauh. Traumanya masih belum hilang.

“Jangan bimbang, saya orang baik-baik,” Zul sekali lagi cuba memberikan keyakinan lelaki Jepun itu terhadap dirinya. Wajahnya dimaniskan seikhlasnya.

Lelaki Jepun yang bernama Azuma Takashi kini mula tersenyum.

Pengalaman kali pertama bertemu dengan seorang lelaki Jepun di bandar Ipoh membuatkan Zul tertarik untuk berkenalan dengannya.  Banyak perkara yang dibualkan oleh mereka. Pengalaman Zul yang pernah menetap di Jepun selama tiga tahun membuatkan ada sahaja perkara yang mereka borakkan. Terubat juga kerinduan Zul untuk berbual di dalam bahasa Jepun. Takut-takut jika dia tidak mempraktikan bahasa itu, lama-kelamaan dia tidak mampu lagi untuk bertutur bahasa Jepun.

“Malam ini kamu tidur di mana, Takashi?” Luncur soalan itu ditanya sebelum mereka mahu berpisah.

Takashi hanya tunduk terdiam.

“Takashi?”

“Di mana ada tempat untuk beralas, di situlah tempat untuk aku diami,” Takashi masih terus menunduk malu.

“Malam ini, kamu tidur di rumah aku sahaja. Jom,” Zul gegas menarik tangan Takashi. Takashi hanya mengikut gerak Zul tanpa membantah.

Sampai sahaja di rumah, Hajah Saleha menyambut sahabat baru Zulkarnain. Tetamu istimewa itu dilayan dengan cukup baik. Takashi berasa begitu terharu dengan layanan yang diberikan.

“Pak cik kamu malam ini baliklah dia. Nanti boleh kita makan sekali,” ramah Hajah Saleha berbual dengan Takashi.

Sementara menunggu malam, Zul mengajak Takashi berbual di biliknya. Rumah kediaman keluarga Zulkarnain kelihatan cukup besar dan mewah. Terkebil-kebil mata Takashi melihat ceruk ruang rumah tersebut dengan perasaan yang takjub.

“Kalau kamu tidak keberatan, ceritalah kepadaku bagaimana kamu boleh bermusafir sehingga tiba di sini?” Zul ingin tahu asal kedatangan Takashi. Takashi mengangguk setuju lalu menceritakan pengalamannya.

Takashi merupakan seorang bangsa Jepun yang Tinggal di Harajuku. Kesimpitan hidup yang menghimpit keluarganya memaksa dia keluar mengembara sehingga dia tiba ke Tanah Melayu melalui sempadan Sungai Golok, Kelantan bersama-sama sahabat-sahabatnya yang lain. Dari situ, Takashi mula hidup dengan masyarakat Melayu di Kampung Pantai Chinta Berahi di Kelantan. Takashi memulakan kehidupannya sebagai nelayan.
        
    Setelah hampir setahun tinggal di sana, Takashi berpindah pula ke Grik, Perak. Di sana, dia menceburi bidang pertanian. Pengalaman yang pernah ditimba sewaktu di Jepun dahulu digunakan dengan sebaiknya. Hasilnya, Takashi berjaya dalam bidang yang diceburinya. Dia mula menjadi buah mulut masyarakat di sana sebagai salah seorang petani contoh.
            
Namun, Takashi juga tidak lama menetap di sana. Selepas puas dengan kejayaan yang dikecapnya, dia membawa diri pula ke bandar Ipoh. Disangkanya kehidupan di ibu negeri Perak itu mudah, namun dia tersilap percaturan. Hasratnya untuk membuka perniagaan di sini sering tertutup dek kerana peniaga berbangsa Cina yang memonopoli kawasan tersebut. Takashi hampir berputus asa dan mahu membawa diri ke tempat lain pula. Namun pada waktu itulah dia dipertemukan dengan Zulkarnain.

            Malam pun menjelang. Selesai solat Isyak, Zul membawa Takashi turun ke dapur. Kelihatan semua keluarganya telah menunggu. Hajah Saleha mempersilakan Takashi duduk. Iqlima, adik kepada Zulkarnain tertunduk malu. Kebiasaannya, Iqlima yang paling banyak bercakap ketika mereka sedang makan bersama, tetapi anak dara keluarga Tuan Haji Kasim itu hanya diam seribu bahasa sahaja.

            Selesai makan, Zul membawa Takashi bertemu dengan ayahnya, Tuan Haji Kasim. Ayah Zul merupakan seorang tokoh usahawan Melayu yang paling berjaya. Kejayaannya yang berjaya memecah monopoli penguasaan bangsa Cina dan Eropah dalam bidang perindustrian bijih timah di Lembah Kinta meletakkan beliau sebagai tokoh perniagaan yang dibanggakan bangsa Melayu. Malah perniagaannya tersebar luas sehingga ke penghujung timur dunia,  negara Jepun.

            Tuan Haji Kasim memang seorang yang cukup pemurah. Setelah Takashi menyampaikan hasratnya untuk membuka perniagaan, beliau memberikan Takashi sebuah kedai runcit untuk dia uruskan di kampungnya, Kampung Embun. Lagipun, kampungnya itu masih belum memiliki kedai runcit sendiri. Penduduk kampung terpaksa menyeberang ke kampung sebelah untuk membeli barangan keperluan rumah.

            Takashi menerima tawaran Tuan Haji Kasim dengan hati terbuka. Bukan itu sahaja, Tuan Haji Kasim turut memberikan sebuah rumah untuk Takashi diami di kampung tersebut. Walaupun Takashi menolaknya, namun beliau tetap berkeras untuk memberikan kediaman itu secara percuma kepadanya. Akhirnya, Takashi tinggal juga di sana tanpa dikenakan sebarang bayaran.

            Takashi mahu membuktikan kepada Tuan Haji Kasim bahawa pengorbanan yang dicurahkan oleh tokoh perniagaan Melayu itu akan dibalasnya. Kedai runcit yang diuruskannya berkembang dengan pesat. Malah Takashi selalu memberikan barangan yang dijualnya secara percuma kepada penduduk kampung yang ditimpa kesusahan. Ini membuatkan Takashi cukup disenangi oleh penduduk kampung.

            Persahabatan Zulkarnaian dan Takashi menjadi semakin rapat. Kerap juga Zul membantu Takashi menjaga kedai runcitnya. Keluarga Zul pula selalu mengajak Takashi makan bersama di rumahnya. Jika ada masa terluang, mereka akan keluar bersama-sama ke bandar Ipoh. Takashi juga turut berkongsi makanan kegemaran Zul, laksa kuala. Mereka juga selalu bermain Go, dan kesudahan permainan itu pasti akan dimenangi oleh Zulkarnain.

            Takashi yang fasih berbahasa Melayu itu memang dikenali sebagai seorang yang cukup peramah. Walaupun dia baru tinggal di Kampung Embun tidak sampai tiga bulan, namun Takashi sudah mengenali hampir semua penduduk kampung tidak kira yang tua mahupun kanak-kanak. Ada sahaja perkara yang dibualkan apabila berjumpa dengan penduduk kampung. Malah Takashi juga pandai menyanyikan lagu-lagu tempatan seperti lagu ‘Rasa Sayang’ serta pandai pula berdikir barat.

            Pergaulannya dengan baangsa Melayu membuatkan Takashi juga sudah terbiasa dengan pakaian masyarakat Melayu. Kain pelikat menjadi pakaian hariannya di dalam rumah. Jika ada majlis keraian, dia akan mengenakan pakaian baju Melayu siap dengan bersongkok dan bersampin. Takashi juga mampu menulis di dalam bahasa Jawi. Tidak hairanlah kewujudan Takashi di Kampung Embun dapat diterima oleh semua orang.


ZULKARNAIN mencari-cari Takashi namun tidak dijumpainya. Di rumahnya tiada, di kedai runcit juga tiada. Agak sukar untuk Zul bertemu dengannya. Apabila ditanya, Takashi sering memberi alasan pergi keluar untuk mencari barangan. Kadang-kadang keluarnya lama sehingga berminggu-minggu, kadang-kadang sekejap - tidak tetap. Zul Cuma takut Takashi pergi berpindah ke tempat lain pula seperti yang pernah dia lakukan sebelum ini. Namun Takashi memberi jaminan bahawa Kampung Embun ini akan menjadi destinasi terakhirnya di Tanah Melayu ini. Dia tidak mahu berpindah-pindah lagi

            Jujur, Zul takut untuk kehilangan sahabat seperti Takashi. Entah mengapa dia sering memikirkan perhubungan mereka akan berakhir dengan tragedi. Kadang-kadang fikirannya itu terbawa-bawa ke alam mimpi. Namun Zul pasti itu semua hanyalah mainan perasaan yang dicucuk oleh Iblis yang dilaknak penduduk langit mahupun bumi. Makhluk perosak itu memang suka melihat umat manusia ini berpecah belah dan masuk ke dalam neraka bersama-sama mereka.

            Puas berjalan, Zul singgah di gerai Pak Gunawe. Tekaknya terasa dahaga. Zul memesan teh tarik, minuman kesukaannya.

            “Apa yang dimenungkan itu?” Zul disergah daripada belakang. Dia cukup mengenali suara itu. Mukanya terus berubah menjadi manis.

            “Ada pun kamu, Takashi. Puas aku mencari kamu. Marilah duduk sekali dengan aku,” Zul menarik kerusi. Dengan senang hati, Takashi duduk di sebelah sahabatnya itu.

            “Kamu ke mana Takashi? Asyik menghilang sahaja,” Zul mula bertanya. Wajah Takashi kelihatan 
murung.

            “Kamu tahu kenapa aku selalu berpindah randah?” Takashi pula yang bertanya soalan kepada Zul. Zul sekadar menggeleng tidak tahu.

            “Aku sedar, aku tahu, aku ini bukan berasal daripada sini. Aku juga tidak tahu, mengapa ada sahaja orang yang cemburu, yang tidak suka dengan kehadiran aku,” nadanya diperlahankan. Rasa sedihnya tidak mampu dielakkan lagi.

            Zul memujuk Takashi dengan menepuk-nepuk lembut belakang Takashi. Zul juga turut merasai apa yang dirasai oleh Takashi.

            “Mulut manusia, Takashi. Kita tak mampu menutup mulut mereka. Kita juga tidak mampu lari daripada mengata dan dikata. Apa yang boleh kita lakukan, kita teruskan sahaja kehidupan. Lakukan yang terbaik untuk kehidupan kita dan orang lain. Berpindah ke tempat lain bukan satu pilihan yang bijak untuk melarikan diri daripada terus dikata kerana setiap ceruk bumi ini pasti ada manusia yang tinggal.”

            Kata-kata Zul begitu memberi kesan terhadap Takashi. Mukanya diketup. Dia tidak mahu Zul melihat wajahnya ketika ini. Simpati Zul pada Takashi semakin meninggi.

            Zul berjanji pada dirinya sendiri untuk menjadi sahabat yang baik kepada Azuma Takashi. Biarpun kedengaran suara sumbang yang mengatakan Takashi ini ibarat jelatang, bangsa Jepun yang tidak sedar diri dan talam dua muka, namun Zul tidak mempedulikan semua itu. Tiada manusia yang dapat lari daripada terus dikata dan mengata. Baginya, dia lebih memahami diri Takashi daripada orang.

Jika boleh, Zul tidak mahu menyakiti hati mana-mana pihak, namun dia sedar bahawa dia tidak mampu untuk menjaga hati semua pihak.

Thursday, December 27, 2012

Ad-Daabbah dan Kemunculannya di Bumi

Gambar: sebuah tempat yang bernama Ad-daabbah yang terletak di Mesir

Salah satu tanda Kiamat yang besar adalah munculnya Ad-Dabbah dari muka bumi. Ad_Dabbah ini bermaksud sesuatu yang merangkak di atas muka bumi.Kemunculan Ad-Dabbah ini wajib kita imani dan yakini.

Allah Taala berfirman;

وَإِذَا وَقَعَ الْقَوْلُ عَلَيْهِمْ أَخْرَجْنَا لَهُمْ دَابَّةً مِّنَ الْأَرْضِ تُكَلِّمُهُمْ أَنَّ النَّاسَ كَانُوا بِآيَاتِنَا لَا يُوقِنُونَ
Dan apabila perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi  yang akan mengatakan kepada mereka bahawa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.

Ad-Daabbah seperti yang dimaksudkan dalam ayat di atas bukanlah satu (seekor) sahaja, bahkan banyak dan sekelompok besar. Haiwan ini akan melata di atas muka bumi. Munculnya haiwan ini pada penghujung usia dunia. Ketika haiwan ini muncul, masih ada lagi manusia yang beriman di atas muka bumi.

Malah, dijelaskan di dalam ayat tersebut bahawa Ad-Dabbah ini muncul daripada dasar tanah, bukannya daripada rumah mahupun gedung.


Apa yang dilakukan oleh Ad Daabbah?

Disebutkan dalam ayat tersebut: (تُكَلِّمُهُمْ) (berkalam, berbicara). Ad Daabbah akan berbicara kepada mereka (manusia), bahawasanya manusia itu terhadap ayat-ayat Allah Taala tidak yakin (tidak beriman). Itu diucapkan oleh Ad Daabbah untuk memberi tahu kepada manusia bahawa penyebab kemunculannya adalah merupakan tanda bahawa akhir zaman sudah tiba dan manusia sudah semakin rosak, karena mereka tidak yakin terhadap apa-apa yang datang dari Allah Taala dan Rasulullah SAW. Jadi, kemunculan Ad Daabbah merupakan pemberitahuan terhadap tanda telah dekatnya hari Kiamat.

Menurut Ulama Ahlus Sunnah Imaam Ibnu Katsiir r.a, beliau menukil apa yang diriwayatkan pendahulunya yaitu Shahabat Abdullaah bin ‘Abbas r.a, kata beliau bahawa kalimat (تُكَلِّمُهُمْ) dalam ayat tersebut (Surat An Naml ayat 82) maknanya adalah: “Melukai mereka”. Binatang itu akan “menulis” pada setiap dahi manusia. Dahi orang Kaafir ditulis “Kaafir”. Pada dahi orang Mu’min ditulis “Mu’min”.

Ad-Daabbah ini berkemampuan untuk hidup sehingga hari Kiamat. Dalam riwayat lain, jika dia bertemu dengan orang mukmin, maka muka orang mukmin itu akan ditanda dengan cahaya. Jika dia bertemu dengan orang kafir pula, dia akan menandakan dengan kehitaman.



Diriwayatkan oleh Imaam Ahmad no: 22362 dan menurut Syaikh Syu’aib Al Arnaa’uth sanadnya shahiih, bahwa Rasulullah SAW bersabda;

تخرج الدابة فتسم الناس على خراطيمهم ثم يغمرون فيكم حتى يشترى الرجل البعير فيقول ممن اشتريته فيقول اشتريته من أحد المخطمين
Kemudian keluar Ad Daabbah  lalu menulis pada muka (hidung dan dahi – orang kaafir) dan ia akan menyebar ke seluruh muka bumi, sehingga apabila ada seorang laki-laki membeli unta kemudian ditanyakan kepada orang itu dari siapa ia membeli unta tersebut, maka ia akan mengatakan : “Dari salah seorang yang bertanda di mukanya”.


Dimana akan keluarnya Ad Daabbah?
  1. Daripada pergunungan di sekitar Mekah.
  2. Daripada Masjidil haram
  3. Daripada Kaabah

Sifat-Sifat Ad-Daabbah
  1. Keluar daripada tanah
  2. Pada tangan kanannya ada tongkat Nabi Musa A.S
  3. Pada tangan kirinya ada pena Nabi Sulaiman A.S
  4. Berdada seperti singa
  5. Hatinya besar seperti gajah
  6. kepalanya daripada kucing
___________________
rujukan: 
pengajian bersama Doktor Raud,
madah Aqidah II

Wednesday, December 26, 2012

Prolog novel: SENGOKU


Pengenalan

Ini merupakan E-Novel pertama saya. Genre yang dipilih adalah epik sejarah. Berkisar pada tahun 1941, iaitu ketika mana zaman kemunculan Jepun di Tanah Melayu. Aspek persahabat dititik beratkan dalam novel ini, dengan nilai percintaan untuk menambah rencah.

Memilih watak Zulkarnain sebagai watak utama, novel ini berkisah tentang kehidupan Zulkarnain dalam mengharungi serangan mental dan fizikal daripada penjajah Inggeris dan Jepun. Fakta sejarah yang benar dititipkan dalam novel ini, digaulkan bersama dengan imaginasi daripada penulis.

Semoga terhibur...

___________________

PROLOG

Kampung Embun, Ipoh
Abad ke-21                                         

Kamil dan Fahmi akhirnya tiba juga ke Kampung Embun, Ipoh. Beriya-iya Kamil mengajak sahabat baiknya itu untuk ke sana. Keinginan Kamil yang membuak-buak untuk mengetahui sejarah kampung itu akhirnya membawa dua remaja belasan tahun itu sampai ke sana.

     “Betul ke Fahmi, ini kampungnya?” Kamil seakan tidak percaya.
            
     “Betul la. Buat apa aku penat-penat bawa kamu ke sini kalau bukan ini kampungnya,” Fahmi mendengus kecil.
  
     “Bukan apa, Fahmi. Aku musykil la. Kampung ni, sama je macam kampung-kampung yang lain. Tak Nampak apa-apa yang istimewa pun,” Rasa ganjil Kamil diluahkan kepada sahabat baiknya itu.
            
     “Memang la kampung ni sama sahaja macam kampung-kampung yang lain. Cuma yang bezanya, penduduk kampungnya sahaja,” Famil tenang menjawab persoalan Kamil.
            
     “Habis, aku tengok penduduk kampung ni pun tak ada apa-apa yang istimewa je. Sama je macam penduduk kampung aku. Apa yang istimewanya, apa yang hebatnya kampung ni, sampai kampung ni tak diserang askar Jepun?” Kamil terus mengasak.
            
     Fahmi hanya mencebik. Sudah diagak sahabatnya itu pasti akan bertanya soalan yang tidak putus-putus kepadanya. Fahmi menutup mata, menghirup udara segar. Kampung lama yang berada di tengah-tengah kesibukan bandaraya Ipoh itu tidak terusik dengan kegilaan penerokaan yang mencurah-curah muncul atas nama kemajuan.
            
    “Memang la sekarang ni tak ada apa-apa yang istimewa, sebab penduduk kampung ni waktu zaman Jepun dulu yang hebat, bukannya penduduk kampung pada zaman ni,” sengaja persoalan Kamil itu dijawab lambat.
            
     “Habis, mesti la ada pewaris kampung ni yang hebat-hebat, yang masih hidup sampai sekarang, kan Fahmi?”
            
     “Apa-apa la Kamil oit.”
            
     “Eii, aku tanya elok-elok ni, Fahmi.”
            
     “Jom aku bawa kamu pusing-pusing dekat kampung ni. Setakat aku bawa kamu datang sini semata-mata untuk menjawab soalan kamu, dekat dalam kelas pun kita boleh buat, Kamil.”
            
     Fahmi hanya tersengih manja.
            
     Kamil dibawa mengeliling Kampung Embun. Ternyata kampung itu tidak punya apa-apa keistimewaan seperti apa yang dibayangkan dalam minda Kamil. Penat berjalan, Fahmi membawa Kamil ke sebuah gerai air.
            
     “Aku bayangkan, dekat kampung ni, ada la kubu besar ke, senjata hebat ke, sampai askar Jepun takut nak serang kampung ni,” nyata Kamil meluahkan rasa hairannya.
            
     Selesai menghirup air bandung ais yang dipesannya, baru Fahmi menjawab, “Memang kampung ni tak ada kubu besar pun, tapi dekat kampung ni ada satu senjata yang membuatkan semua askar-askar Jepun takut untuk masuk ke dalam kampung ini. Jangan kata nak serang, jejak kaki ke dalam kampung ini pun askar Jepun sudah kecut perut.”
            
     “Wah, senjata apa tu ya? Mesti canggih, kan?”
            
   “Kamu teka la sendiri, senjata apa,” malas Fahmi melayan persoalan demi persoalan daripada sahabat karibnya itu. Semakin dilayan, semakin tidak terjawab dia dibuatnya.
            
     “Ala kamu ni, saja je nak bagi aku suspen. Bagitahu je la Fahmi. Kamu pun tahu, aku tak suka nak teka-teka ni.”
            
     “Tapi aku suka. Hahaha,” Fahmi tergelak kecil.
            
     “Okay. Kalau aku dapat teka dengan betul, kamu bagi aku hadiah. Macam mana?”
     
     “Apa-apa je lah, Kamil oit,”
            
     Kali ini Kamil pula yang mencebitkan muka kepada Fahmi. Fahmi pula buat-buat tidak nampak. Air bandung ais yang berada di hadapan matanya lebih menggiurkan daripada menjawab soalan yang tidak berkesudahan daripada Kamil. Cuaca yang agak hangat membuatkan tekak berasa cepat dahaga. Fahmi begitu menghayati hidangan bandung ais itu. Dihirupnya perlahan-lahan. Sungguh melegakan!
            
     Berbeza pula dengan Kamil. Milo ais yang dipesannya masih belum disentuh. Selagi persoalan yang dilontarkan oleh Fahmi tidak terjawab, selagi itu dia tidak berasa selesa. Dijelingnya mata Fahmi, namun Fahmi lebih selesa tidak membalas jelingan Kamil. Kamil begitu kecewa.
            
     “Bagi la aku petunjuk, Fahmi. Senjata tu macam mana? Banyak ke, sedikit? Besar ke kecil?
            
     Kasihan melihat karenah Kamil, Fahmi lalu menjawab, “Senjata tu Cuma ada satu sahaja, dan kecil.”
            
     “Satu sahaja? Kecil pula? Aduh, semakin pening aku dibuatnya. Kamu biar betul. Tak kan la satu senjata yang kecil mampu membuatkan semua askar Jepun ketakutan? Ish, macam tak percaya la aku,” Kamil lajur menggeleng.
            
     “Haah, memang tiada orang pun yang akan percaya. Sebab itu cerita ini hilang begitu saja, tidak diperturunkan dari generasi ke generasi.”

    “Eh, tapi aku percaya, Fahmi. Kamu bagitahu saja pada aku, aku akan percaya,” Kamil terus menukar reaksi.
            
     “Nanti la, dalam kelas esok aku bagitahu kamu.”
            
     “Ala, lamanya.”
            
     Ditinggalkan persoalan itu kepada Kamil. Dia percaya, Kamil pasti tidak mampu meneka dengan tepat kerana senjata yang dimaksudkan itu pasti tidak akan terjangkau dalam kotak pemikiran Kamil.
            
     Kali ini, baru air milo ais Kamil menyusut, sedikit demi sedikit…

Saturday, December 22, 2012

Kenali Syeikh Sa’id Hawwa


Syeikh Sa’id Hawwa tidak asing lagi bagi para pencinta gerakan Islam. Beliau merupakan ulamak dan tokoh dalam gerakan Ikhwan Muslimin. Nama penuh beliau ialah Sa’id bin Muhammad Daib Hawwa. Dilahirkan di kota Hamat, Syria pada tahun 1935. Penglibatan beliau dengan Ikhwan bermula sejak tahun 1952 iaitu ketika ia masih di Tahun Satu Sekolah Menengah. Pada tahun 1963 beliau tamat belajar di Universiti Syria. Di antara guru beliau ialah Syeikh Muhammad al-Hamid, Syeikh Muhammad al-Hasyimi, Syeikh Dr. Mustafa as-Siba’ie, Dr. Mustafa az-Zarqa dan ramai lagi.

Pada tahun 1973, beliau telah dipenjara selama lima tahun oleh pemerintah Syria (iaitu hingga tahun 1978) dan semasa dalam tempoh penjara itu beliau menulis tafsirnya yang terkenal iaitu Al-Asas fi at-Tafsir sebanyak 11 jilid. Syeikh Sa’id Hawa telah menghasilkan banyak karya penulisan yang menjadi rujukan kaum muslimin khususnya aktivis-aktivis Harakah Islamiyyah. Antara karya beliau ialah;
1. Allah Jalla Jalaluhu  
2. Ar-Rasul 
3. Al-Islam 
4. Al-Asas Fi As-Sunnah (as-Seerah, al-‘Aqaid dan al-‘Ibadat) 
5. Tarbiyatuna ar-Ruhiyah
6. Jundullah Saqafatan Wa Akhlaqan 
7. Fi Afaqi at-Ta’alim 
8. Fusul Fi al-Imrati Wa al-Amir 
9. Hazihi Tajribati Hazihi Syahadati 
10. Al-Mustakhlas Fi Tazkiyati al-Anfus

Antara sifat peribadi Syeikh S’aid Hawa yang menyebabkan beliau disegani kawan-rakan serta ulamak-ulamak sezaman dengannya ialah kezuhudan dan kewarakannya. Ustaz Zuhair asy-Syawisy dalam tulisannya tentang Sa’id Hawwa dalam harian al-Liwa’ yang diterbitkan di Jordan telah menceritakan; 

“….Saya pernah mengunjunginya di al-Ahsa’ ketika ia menjadi pengajar di al-Ma’had al-‘Ilmi. Saya tidak menemukan perabot di rumahnya kecuali sesuatu yang dapat memenuhi keperluan seorang yang hidup sederhana. Juga tidak saya temukan pakaian yang layak dipakai oleh ulama’ dan pengajar di negeri yang panas itu. Baju jubah yang dipakainya dari buatan Hamat yang kasar. Saya terus mendesaknya hingga ia mahu memakai beberapa pakaian putih dan ‘aba’ah (baju luaran) yang layak bagi orang seperti dirinya, tetapi ia mensyaratkan agar tidak terlalu longgar. Sedangkan makanannya, tidak lebih baik dari pakaian dan perabot rumahnya. Termasuk dalam kategori ini adalah sikapnya yang ‘mudah’ kepada orang-orang yang menerbitkan buku-bukunya baik yang telah mendapatkan izinnya atau tidak. Buku-bukunya telah dicetak berulang-ulang -dengan cara halal dan haram-, tetapi saya tidak pernah mendengar ia mempersoalkan hal tersebut. Ini termasuk sebahagian dari zuhudnya. Sesungguhnya akhlaq dan toleransi Sa’id Hawwa ini merupakan kebanggan dan teladan bagi orang lain. Inilah kesaksian yang dapat saya sampaikan.” (al-Liwa’, edisi 15/3/1989) 

Pada tahun 1987 M beliau diserang penyakit lumpuh di sebahagian badannya disamping penyakit-penyakit lainnya hingga terpaksa mengasingkan diri dari orang ramai dan kemudiannya dimasukkan ke hospital. Pada hari Kamis tanggal 9 Mac 1989, Syeikh Sa’id Hawwa kembali ke rahmatullah di Hospital Islam Amman, Jordan. Semoga Allah menempatkan beliau di tempat yang tinggi di dalam syurgaNya bersama para Nabi, para Siddiqin, Syuhada dan Solihin.

قصة عمر مع أقاربه في رد أموالهم الى بيت مال المسلمين


  
عن مغيرة قال:

       جمع عمر نت عبد العزيز حين استخلف, فقال: ان رسول الله صلى الله عليه وسلم كانت له فدك ينفق منها, ويعود منها على صغير بني هاشم, ويزوج منها أيمهم, وان فاطمة سألته أن يجعلها تها, فأبى, فكانت كذلك حياة أبي بكر وعمر, عملا فيها عمله, ثم أقطعها مروان, ثم صارت لي, فرأيت أمراَ – منعه رسول الله – بنية ليس لي بحق, واني أشهدكم أني قد زددتها على ما كانت عليه فى عهد رسول الله صلي لله عليه وسلم.



       وقال الليث: بدأ عمر بن عبد العزيز بأهل بيته, فأخذ ما بأيديهم, وسمى أموالهم مظالم, ففزعت بنو أمية الى عمته فاطمته بيت مروان, فأرسلت اليه, اني قد عناني أمر, فأتته ليلا, فأنزلها عن دابتها, فلما أخذت مجلسها قال: يا عمة: أنت أولى بالكلام.

       قالت: تكلم يا أمير المؤمنين.

       قال: ان الله بعث محمد صلى الله عليه وسلم رحمة, ولم يبعثه عذاباَ, واختار له ما عنده, فترك لهم نهراَ, شربهم سواء, ثم قام أبو بكر فترك النهر على حاله, ثم عمر, فعمل عمل صاحبه, ثم لم يزل النهر يشتق منه يزيد ومروان وعبد املك, والوليد وسليمان, حتى أفضى الأمر اليّ, وقد يبس النهر الأعظم, ولن يروي أهله حتى يعود الى ما كان عليه.

       فقالت: حسبك, فلست بذاكر لك شيئَ, وزجعت فأبلغتهم كلامه.

Tuesday, December 18, 2012

5 Pemain Import Paling Bernilai

Sukan bola sepak di Malaysia semakin meriah dengan kehadiran bintang-bintang bola sepak ke sini. Di sini, aku senaraikan 5 pemain Import paling bernilai. Mereka ini telah bermain untuk kelab-kelab ternama seperti kelab Arsenal, Getafe, Wigan, Lazio, Aston Villa, dab banyak lagi. Malah, mereka juga berjaya mewakili negara mereka. Saksikan...


1. Daniel González Güiza (Darul Takzim FC)
Bekas pemain Getafe, Fenebahce. Pemain antarabangsa Sepanyol.




2. Simone Del Nero (Darul Takzim FC)
Bekas pemain Lazio. Pemain antarabangsa Itali U-21




3. Rhys David Weston (Sabah)
Bekas pemain Arsenal. Pemain antarabangsa Wales



4. Caleb Colman Folan (T-Team)
Bekas pemain Leeds, Hull City dan Wigan. Pemain antarabangsa Ireland



5. George Boateng (T-Team)
Bekas pemain Aston Villa. Pemain antarabangsa Belanda




Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger