"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Sunday, September 29, 2013

Rome Kami Datang (Siri 2)


Sambungan daripada artikel 'Rome Kami Datang (Siri 1)'...

Setelah separuh perjalan di Cardo, tiang-tiang menjadi semakin besar dan tinggi menandakan kami telah memasuki pintu masuk ke Macellum atau pasar. Bangunan ini terletak di sebelah kiri jalan jajaran tiang. Turut terlihat adalah inskripsi berhampiran air pancut berkepala singa bertarikh 211 Masihi.

Kota lama ini juga turut dipenuhi dengan binaan gereja-gereja lama. Antaranya adalah Gereja Utama (Cathedal) yang terletak di sebelah kiri Cardo. Pada kurun keempat, kuil ini dibina semula sebagai Gereja Byzantium. Gereja St. Theodore yang terletak berhampiran pula dibina pada tahun 496 Masihi. Terbina sebuah medan kecil dengan pancutan air di antara dua gereja ini.

Di kemuncak tertinggi kota Gerasa ini, terbinanya sebuah Kuil Zeus yang cukup besar. Terdapat anak tangga yang menuju ke suah Esplanad, iaitu terletak di hadapan kuil.  Dianggap sebagai tempat suci, kuil ini diubah suai pada kurun kedua. Dari situ, terdapat satu lagi anak tangga menuju ke kuil yang mana asalnya dikelilingi oleh tiang-tiang Corinthian setinggi 15 meter.

laluan yang dipenuhi tiang-tiang yang mencongak tinggi

Tidak terkecuali adalah binaan sebuah masjid yang dibina pada kurun ketujuh atau kelapan. Masjid Umawiah ini merupakan satu-satunya masjid yang terletak di kota lama Jerash ini. Terletak di sebelah kanan, dibelakangi oleh empat tiang Corinthian, masjid ini dibina daripada bahan-bahan yang diambil daripada rumah-rumah Rum.

Fitrah manusia kembali mencari Tuhan.

Sesuatu yang biasa kelihatan di bandar-bandar Rom adalah pancutan air. Gerasa juga tidak terkecuali. Pancutan Air Awam (Nymphaeum) dibina pada tahun 191 Masihi dan ditujukan untuk Nymphs. Pancutan air ini dihiasi dengan marmar di bahagian bawah. Di bahagian atasnya lepa berwarna dan dibumbungi oleh separuh kubah. Air memancut melalui tujuh ukiran kepala singa, seterusnya mengalir ke bawah. Pancutan air ini bertindak sebagai tempat tumpuan kegiatan sesuatu bandar.

pancutan yang yang terletak di tepi laluan

Di penghujung utara, terbinanya sebuah Pintu Gerbang Utara. Pintu gerbang ini terletak di hujung Cardo. Dibina pada tahun 1115 Masihi. Walaupun tidak sebesar Pintu Gerbang Selatan, tetapi binaannya tetap unik. Sendalnya yang berbentuk aneh berkemungkinan diperlukan untuk menyelarikan pintu gerbang di bahagian dalam dengan Cardo serta menyelarikan bahagian luar dengan jalan Rom yang menuju ke bandar Decapolis.

Puas berjalan, kami mula bergerak keluar. Sebelum pulang, kami sempat singgah dan membeli sedikit barangan untuk dikenang. Gerai-gerai cenderamata yang banyak didirikan di luar kawasan pintu masuk membolehkan kami memilih barangan yang berkenan di hati. Tanpa sedar, sudah hampir seharian kami di sini.


DARI KACA MATA KINI

Betapa gagahnya kota ini suatu masa dahulu, menjadi rebutan kuasa besar dunia. Kotanya besar, penuh kekayaan. Tetapi lihatlah realitinya kini, kota besar ini hanya menjadi kota kosong berbatuan, menjadi tempat manusia melihat dan mencuci pandangan. Gagahnya hilang bersama zaman, kota ini hanya tinggal sebagai tempat perlancongan.

Kegagahan yang terbina tidak mampu bertahan selamanya. Zaman The Great Britian menguasai timur dunia suatu masa dahulu kini telah tiada. Gagahnya Sepanyol menawan barat latin dunia juga sudah tiada, dimamah usia. Begitu juga Rom. Kuasa mereka begitu hebat, kegemilangannya cukup panjang. Wujudnya sejak zaman Nabi Salleh, terus berkembang tanpa halangan. Tetapi terhakis juga lantaran kemunculan Rasul akhir zaman, Muhammad bin Abdullah.

Kini, zaman Amerika pula menguasai dunia. Kuasa mutlak mereka dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  membuatkan mereka tidak takut apa-apa. Seluruh dunia di bawah telunjuk mereka. Seakan kuasa mereka tidak mampu digugat, apatah lagi mahu dijatuhkan. Tetapi yakinlah, negara besar itu pasti akan tumbang juga. Percayalah.

Dunia ini bulat. Yang di atas pasti akan jatuh ke bawah jua.


Kota Gerasa, bukti bahawa kekuasaan dan kegagahan tidak mampu dikekalkan. Gagahnya hanya sementara. Suatu masa, pasti akan tumbang juga.


Sunday, September 1, 2013

Rome Kami Datang (Siri 1)


Menjejak kaki ke sana, jiwaku diragut rasa takjub. Seakan kini aku bukan berada di bumi ambiya, Jordan. Sebaliknya jasadku seakan terbang melayang ke kota Rome, Itali. Itulah perasaanku ketika kali pertama aku menjejak kaki ke kota Jerash yang terletak di utara Jordan, berjarak hanya 35 kilometer daripada ibu negara, Amman.


SEJARAH BANDAR JERASH

Bandar Jerash ini turut mencatat sejarahnya yang panjang. Pernah dipanggil Gerasa ketika kota ini dikuasai oleh Jeneral Pompeii dari Rom Timur. Bandar ini dipengaruhi oleh rakan perdagangan dan sekutunya daripada kerajaan Arab Nabatean dalam perbagai aspek. Tahun 395 Masihi menyaksikan agama Kristian menjadi agama dominan di Jerassah. 219 tahun kemudian, kota ini dikuasai pula oleh Parsi yang membinasakan hampir kesemua monumen mereka.

Membalas serangan, kerajaan Rom di bawah pimpinan Maharaja Hercules pada tahun 627 Mahsihi telah merampas semula Jerash dan kerajaan Arab Ghassan di bawah pemerintahan mereka. Tidak bertahan lama, Islam mula menguasai kota rebutan itu pada tahun 636 Masihi. Kota itu mencapai kemuncak kegemilangannya pada zaman Umawiah. Pada zaman tersebut, kota ini terkenal sebagai lombong perak dan gangsa di samping kawasan industri tembikar.

Tahun 749 Masihi, Jerash dilanda gempa bumi yang menyebabkan populasi penduduknya merudum kepada 4000 orang sahaja.

Jerash tidak terkecuali daripada bahang Perang Salib apabila Raja Baldwin cuba menguasainya namun gagal. Pada percubaan mereka menguasai Syria, tentera salib telah memusnahkan sebahagian Jerash dan membakarnya. Pada zaman Turki Uthmaniah, Bandar ini dipelihara dan masjid telah didirikan. Jerash telah menjadi daerah di bawah kerajaan Jordan dengan mandat British sehinggalah Jordan mencapai kemerdekaan pada tahun 1946.

Begitulah serba sedikit sejarah panjang yang dilalui oleh kota lama ini.

Memasuki Bandar ini, monumen pertama yang kelihatan daripada jauh adalah sebuah pintu gerbang besar yang begitu cantik, seakan pintu gerbang yang terdapat di Kota Paris. Perasaanku untuk menjelajah kota lama Jerash semakin membuak-buak, lebih-lebih lagi apabila mendapati bahawa ini adalah kota kerajaan Rom yang terbesar dan terlengkap, yang terletak di luar negara Itali.


MEMASUKI KOTA LAMA JERASH

Van yang dinaiki telah berhenti. Kami lalu berjalan menuju ke pintu masuk kota lama Jerash yang menempatkan monumen dan binaan kota Rom. Cuaca di awal musim sejuk begitu menyenangkan. Perjalanan pada waktu sebegini pasti tidak meletihkan. Selesai membuat pembayaran, kami mula meneruskan langkahan.

Di hadapan Arka Hadrian

Memasuki kota lama Jerash, kami disajikan dengan binaan pintu gerbang besar yang aku sedari tadi telah melihatnya. Rupanya itu adalah Arka Hadrian yang dibina sempena lawatan Maharaja Hadrian ke Gerasa pada tahun 129 Masihi. Arka ini dibina sebagai gerbang utama di bahagian selatan.

Melewati arka besar itu, kami mula mendengar suara riuh rendah daripada dalam. Rupanya, satu pertunjukan akan diadakan sebentar lagi. Kami tidak melepaskan peluang untuk melihatnya. Pertunjukan itu dibuat di sebuah arena besar yang bernama Hippodrome. Arena ini dibina bagi menyaksikan perlumbaan kereta kuda dan sukan-sukan lain. Ketika kami tiba, kelihatan mereka sedang mengadakan pertunjukan perlumbaan kereta kuda, siap dengan pakaian ala Rom Sungguh menghiburkan.

selesai menonton pertunjukan
Kami meneruskan langkahan. Kelihatan dinding-dinding kota masih utuh berdiri. Corak dan ukiran daun Acanthus masih dipelihara. Sungguh kota lama itu cukup besar. Begitu banyak monumen yang menarik perhatian. Kami akhirnya memilih untuk bergerak ke Teater Rom atau collusion dahulu sebelum pergi ke monumen-monumen yang lain.

Teater Rom Selatan kami masuki. Ia boleh menempatkan lebih 3000 orang. Sungguh menakjubkan berada di dalamnya. Begitu besar dan masih cantik. Kelihatan warga Arab sedang bernyanyi dan menari di atas pentas. Suara mereka boleh didengari daripada atas. Sesetengah tempat duduk boleh ditempah dan tulisan Greek masih kelihatan. Terdapat dua laluan menuju ke okestra dan empat laluan di belakang teater yang menghubungkan barisan-barisan atas tempat duduk.

di atas pentas collusium bersama si kembar yang comel

Di tengah-tengah kota lama ini, terdapat sebuah Medan Bujur. Medan ini dikelilingi kaki lima yang luas dan di tengahnya terdapat dua kolam pancutan air yang dibina pada kurun ke tujuh. Barisan tiang dibina daripada senibina Yunani. Medan Bujur yang tidak bersimetri ini dianggap aneh bagi bandar-bandar klasik, tetapi ia mempunyai peranan yang khusus iaitu membenarkan paksi barat laut Kuil Zeus agar selari dengan paksi Utara - Selatan Cardo dan seluruh bandarnya.

Menuju ke Cardo

Tanpa sedar, kami berada di permulaan Cardo. Cardo pula letaknya di utara kota lama Jerrash.

Sepanjang perjalanan menuju ke Utara kota, kami disajikan dengan pemandangan jajaran tiang yang indah. Batu-batu asal masih kekal di jalan jajaran tiang dan kesan roda kereta kuda juga masih kelihatan pada jalan. Cardo sepanjang 800 meter ini merupakan tulang belakang senibina dan tumpuan kegiatan penduduk Gerasa. Jalan jajaran ini telah dilebarkan ke bentuk Corinthian seperti yang dilihat pada hari ini. Kedai-kedai juga dahulunya dibina di kaki lima  jalan ini.

berpoyo sebentar

Terdapat juga sistem kumabahan bawah tanah yang mengalir di sepanjang Cardo serta lubang-lubang yang wujud di tepi jalan bagi mengalirkan saliran air hujan. Struktur-struktur terpenting bandar ini telah diatur di sekeliling Cardo termasuk pasar, kuil, pancutan air, dan binaan-binaan awam yang lain. Ketika melalui jalan ini, kelihatan beberapa monumen penting dan bangunan awam seperti Agora.

bersambung di siri kedua...

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger