BAB 1
Bandar Ipoh, Perak
Pertengahan tahun 1940
BANDAR Ipoh meriah dengan orang berjual beli. Nama bandar ini diambil daripada pohon
"epu" atau lebih dikenali sebagai "pokok Ipoh" dengan getahnya yang beracun dan digunakan oleh Orang Asli
untuk panahan sumpitan mereka. Bandar Ipoh mula berkembang pesat apabila
lombong-lombong bijih timah mula dibuka secara meluas. Malah bandar Ipoh yang
terletak di kawasan Lembah Kinta dikatakan merupakan kawasan perlombongan bijih
timah yang terbesar di dunia.
Tiada
apa yang dicari oleh Zulkarnain di bandar itu. Lelaki yang berpewatakan menarik
itu hanya berjalan-jalan melihat bandar yang sudah lama tidak dijejakinya.
Rindunya pada kesesakan manusia, kemeriahan manusia tawar menawar dalam urusan
jual beli serta kerinduan pada laksa kuala menggamit dia datang ke mari. Bandar
ini sudah jauh berkembang pesat setelah dipilih menjadi ibu negeri Perak
menggantikan bandar Taiping.
Sedang
Zul berjalan-jalan, matanya terpandang satu susuk tubuh seorang lelaki
berbangsa Jepun. Lalu Zul merapati
lelaki tersebut. Lelaki itu kelihatan sedang kebingungan. Disapanya lelaki itu
daripada belakang. Segera lelaki itu memalingkan muka. Mukanya jelas kelihatan
ketakutan.
Zul
cuba mendekati lelaki Jepun tersebut. Namun semakin Zul mendekati, semakin pula
lelaki itu menjauhi. Zul tidak berputus asa. Dia terus mengekori lelaki Jepun
itu. Seingat dirinya, inilah kali pertama dia melihat seorang lelaki berbangsa
Jepun di bandar Ipoh. Zul pasti lelaki itu adalah berbangsa Jepun, bukannya
berbangsa Cina. Kerana itu dia nekad untuk menegur sapa lelaki Jepun itu.
Akhirnya
Zul berjaya mendekati lelaki itu daripada belakang. Dicuitnya bahu lelaki itu.
Cepat-cepat lelaki itu menoleh ke belakang. Raut wajahnya seakan melihat hantu
apabila berhadapan dengan Zul. Zul cuba mententeramkan lelaki itu dengan sebuah
senyuman. Namun wajah lelaki itu masih berada dalam ketakutan.
“Jangan takut. Saya orang baik-baik,”
Zul bertutur dalam bahasa Jepun. Lelaki Jepun itu kelihatan agak terkejut. Zul
menghulurkan salam. Dengan segera salamanya dibalas.
“Kamu
pandai berbahasa Jepun?” Lelaki Jepun itu bersuara di dalam bahasa Melayu.
Kagum dengan lelaki berbangsa Melayu itu yang mampu bertutur dalam bahasa
Jepun.
“Wah,
kamu pandai rupanya berbahasa Melayu. Bahasa Jepun? Tidaklah pandai sangat,
Cuma tahu sikit-sikit sahaja,” Zul merendah diri. Kali ini, dia pula kagum
dengan lelaki Jepun yang baru dikenalinya itu.
“Takashi,
Azuma Takashi,” lelaki Jepun itu memulakan perkenalan.
“Zulkarnain.
Panggil sahaja Zul.”
Wajah
ketakutan yang terpamer pada lelaki bermata sepet yang bernama Takashi itu mula
menghilang.
“Kenapa tadi kamu kelihatan cukup
takut apabila melihat aku? Seperti aku ini berwajah hantu pula,” Zul bertanya
ingin tahu.
Lalu Takashi menceritakan bagaimana
dia dikejar dan dipukul oleh sekumpulan pemuda berbangsa Melayu tanpa sebab
pada petang semalam di sini. Namun nasib baik orang ramai datang mententeramkan
keadaan. Luka yang dialaminya tidak seteruk mana. Kerana itu dia mengandaikan
Zul juga berniat sama, lebih-lebih lagi apabila melihat Zul asyik memerhati dan
mengekori dirinya daripada jauh. Traumanya masih belum hilang.
“Jangan bimbang, saya orang
baik-baik,” Zul sekali lagi cuba memberikan keyakinan lelaki Jepun itu terhadap
dirinya. Wajahnya dimaniskan seikhlasnya.
Lelaki Jepun yang bernama Azuma
Takashi kini mula tersenyum.
Pengalaman kali pertama bertemu dengan
seorang lelaki Jepun di bandar Ipoh membuatkan Zul tertarik untuk berkenalan
dengannya. Banyak perkara yang dibualkan
oleh mereka. Pengalaman Zul yang pernah menetap di Jepun selama tiga tahun
membuatkan ada sahaja perkara yang mereka borakkan. Terubat juga kerinduan Zul
untuk berbual di dalam bahasa Jepun. Takut-takut jika dia tidak mempraktikan
bahasa itu, lama-kelamaan dia tidak mampu lagi untuk bertutur bahasa Jepun.
“Malam ini kamu tidur di mana,
Takashi?” Luncur soalan itu ditanya sebelum mereka mahu berpisah.
Takashi hanya tunduk terdiam.
“Takashi?”
“Di mana ada tempat untuk beralas, di
situlah tempat untuk aku diami,” Takashi masih terus menunduk malu.
“Malam ini, kamu tidur di rumah aku
sahaja. Jom,” Zul gegas menarik tangan Takashi. Takashi hanya mengikut gerak
Zul tanpa membantah.
Sampai sahaja di rumah, Hajah Saleha
menyambut sahabat baru Zulkarnain. Tetamu istimewa itu dilayan dengan cukup
baik. Takashi berasa begitu terharu dengan layanan yang diberikan.
“Pak cik kamu malam ini baliklah dia.
Nanti boleh kita makan sekali,” ramah Hajah Saleha berbual dengan Takashi.
Sementara menunggu malam, Zul mengajak
Takashi berbual di biliknya. Rumah kediaman keluarga Zulkarnain kelihatan cukup
besar dan mewah. Terkebil-kebil mata Takashi melihat ceruk ruang rumah tersebut
dengan perasaan yang takjub.
“Kalau kamu tidak keberatan, ceritalah
kepadaku bagaimana kamu boleh bermusafir sehingga tiba di sini?” Zul ingin tahu
asal kedatangan Takashi. Takashi mengangguk setuju lalu menceritakan
pengalamannya.
Takashi merupakan seorang bangsa Jepun
yang Tinggal di Harajuku. Kesimpitan hidup yang menghimpit keluarganya memaksa
dia keluar mengembara sehingga dia tiba ke Tanah Melayu melalui sempadan Sungai
Golok, Kelantan bersama-sama sahabat-sahabatnya yang lain. Dari situ, Takashi
mula hidup dengan masyarakat Melayu di Kampung Pantai Chinta Berahi di
Kelantan. Takashi memulakan kehidupannya sebagai nelayan.
Setelah
hampir setahun tinggal di sana, Takashi berpindah pula ke Grik, Perak. Di sana,
dia menceburi bidang pertanian. Pengalaman yang pernah ditimba sewaktu di Jepun
dahulu digunakan dengan sebaiknya. Hasilnya, Takashi berjaya dalam bidang yang
diceburinya. Dia mula menjadi buah mulut masyarakat di sana sebagai salah
seorang petani contoh.
Namun,
Takashi juga tidak lama menetap di sana. Selepas puas dengan kejayaan yang
dikecapnya, dia membawa diri pula ke bandar Ipoh. Disangkanya kehidupan di ibu
negeri Perak itu mudah, namun dia tersilap percaturan. Hasratnya untuk membuka
perniagaan di sini sering tertutup dek kerana peniaga berbangsa Cina yang
memonopoli kawasan tersebut. Takashi hampir berputus asa dan mahu membawa diri
ke tempat lain pula. Namun pada waktu itulah dia dipertemukan dengan
Zulkarnain.
Malam
pun menjelang. Selesai solat Isyak, Zul membawa Takashi turun ke dapur.
Kelihatan semua keluarganya telah menunggu. Hajah Saleha mempersilakan Takashi
duduk. Iqlima, adik kepada Zulkarnain tertunduk malu. Kebiasaannya, Iqlima yang
paling banyak bercakap ketika mereka sedang makan bersama, tetapi anak dara
keluarga Tuan Haji Kasim itu hanya diam seribu bahasa sahaja.
Selesai
makan, Zul membawa Takashi bertemu dengan ayahnya, Tuan Haji Kasim. Ayah Zul
merupakan seorang tokoh usahawan Melayu yang paling berjaya. Kejayaannya yang
berjaya memecah monopoli penguasaan bangsa Cina dan Eropah dalam bidang
perindustrian bijih timah di Lembah Kinta meletakkan beliau sebagai tokoh
perniagaan yang dibanggakan bangsa Melayu. Malah perniagaannya tersebar luas
sehingga ke penghujung timur dunia,
negara Jepun.
Tuan Haji Kasim
memang seorang yang cukup pemurah. Setelah Takashi menyampaikan hasratnya untuk
membuka perniagaan, beliau memberikan Takashi sebuah kedai runcit untuk dia
uruskan di kampungnya, Kampung Embun. Lagipun, kampungnya itu masih belum
memiliki kedai runcit sendiri. Penduduk kampung terpaksa menyeberang ke kampung
sebelah untuk membeli barangan keperluan rumah.
Takashi menerima
tawaran Tuan Haji Kasim dengan hati terbuka. Bukan itu sahaja, Tuan Haji Kasim turut
memberikan sebuah rumah untuk Takashi diami di kampung tersebut. Walaupun
Takashi menolaknya, namun beliau tetap berkeras untuk memberikan kediaman itu
secara percuma kepadanya. Akhirnya, Takashi tinggal juga di sana tanpa
dikenakan sebarang bayaran.
Takashi mahu membuktikan
kepada Tuan Haji Kasim bahawa pengorbanan yang dicurahkan oleh tokoh perniagaan
Melayu itu akan dibalasnya. Kedai runcit yang diuruskannya berkembang dengan
pesat. Malah Takashi selalu memberikan barangan yang dijualnya secara percuma
kepada penduduk kampung yang ditimpa kesusahan. Ini membuatkan Takashi cukup
disenangi oleh penduduk kampung.
Persahabatan
Zulkarnaian dan Takashi menjadi semakin rapat. Kerap juga Zul membantu Takashi
menjaga kedai runcitnya. Keluarga Zul pula selalu mengajak Takashi makan
bersama di rumahnya. Jika ada masa terluang, mereka akan keluar bersama-sama ke
bandar Ipoh. Takashi juga turut berkongsi makanan kegemaran Zul, laksa kuala.
Mereka juga selalu bermain Go, dan kesudahan permainan itu pasti akan dimenangi
oleh Zulkarnain.
Takashi yang fasih
berbahasa Melayu itu memang dikenali sebagai seorang yang cukup peramah.
Walaupun dia baru tinggal di Kampung Embun tidak sampai tiga bulan, namun
Takashi sudah mengenali hampir semua penduduk kampung tidak kira yang tua mahupun
kanak-kanak. Ada sahaja perkara yang dibualkan apabila berjumpa dengan penduduk
kampung. Malah Takashi juga pandai menyanyikan lagu-lagu tempatan seperti lagu
‘Rasa Sayang’ serta pandai pula berdikir barat.
Pergaulannya dengan baangsa Melayu membuatkan Takashi juga
sudah terbiasa dengan pakaian masyarakat Melayu. Kain pelikat menjadi pakaian
hariannya di dalam rumah. Jika ada majlis keraian, dia akan mengenakan pakaian
baju Melayu siap dengan bersongkok dan bersampin. Takashi juga mampu menulis di
dalam bahasa Jawi. Tidak hairanlah kewujudan Takashi di Kampung Embun dapat
diterima oleh semua orang.
ZULKARNAIN mencari-cari Takashi namun tidak
dijumpainya. Di rumahnya tiada, di kedai runcit juga tiada. Agak sukar untuk
Zul bertemu dengannya. Apabila ditanya, Takashi sering memberi alasan pergi
keluar untuk mencari barangan. Kadang-kadang keluarnya lama sehingga berminggu-minggu,
kadang-kadang sekejap - tidak tetap. Zul Cuma takut Takashi pergi berpindah ke
tempat lain pula seperti yang pernah dia lakukan sebelum ini. Namun Takashi
memberi jaminan bahawa Kampung Embun ini akan menjadi destinasi terakhirnya di
Tanah Melayu ini. Dia tidak mahu berpindah-pindah lagi
Jujur, Zul takut
untuk kehilangan sahabat seperti Takashi. Entah mengapa dia sering memikirkan
perhubungan mereka akan berakhir dengan tragedi. Kadang-kadang fikirannya itu
terbawa-bawa ke alam mimpi. Namun Zul pasti itu semua hanyalah mainan perasaan
yang dicucuk oleh Iblis yang dilaknak penduduk langit mahupun bumi. Makhluk
perosak itu memang suka melihat umat manusia ini berpecah belah dan masuk ke
dalam neraka bersama-sama mereka.
Puas berjalan, Zul
singgah di gerai Pak Gunawe. Tekaknya terasa dahaga. Zul memesan teh tarik,
minuman kesukaannya.
“Apa yang
dimenungkan itu?” Zul disergah daripada belakang. Dia cukup mengenali suara
itu. Mukanya terus berubah menjadi manis.
“Ada pun kamu,
Takashi. Puas aku mencari kamu. Marilah duduk sekali dengan aku,” Zul menarik
kerusi. Dengan senang hati, Takashi duduk di sebelah sahabatnya itu.
“Kamu ke mana
Takashi? Asyik menghilang sahaja,” Zul mula bertanya. Wajah Takashi kelihatan
murung.
“Kamu tahu kenapa
aku selalu berpindah randah?” Takashi pula yang bertanya soalan kepada Zul. Zul
sekadar menggeleng tidak tahu.
“Aku sedar, aku
tahu, aku ini bukan berasal daripada sini. Aku juga tidak tahu, mengapa ada
sahaja orang yang cemburu, yang tidak suka dengan kehadiran aku,” nadanya
diperlahankan. Rasa sedihnya tidak mampu dielakkan lagi.
Zul memujuk
Takashi dengan menepuk-nepuk lembut belakang Takashi. Zul juga turut merasai
apa yang dirasai oleh Takashi.
“Mulut manusia,
Takashi. Kita tak mampu menutup mulut mereka. Kita juga tidak mampu lari
daripada mengata dan dikata. Apa yang boleh kita lakukan, kita teruskan sahaja
kehidupan. Lakukan yang terbaik untuk kehidupan kita dan orang lain. Berpindah
ke tempat lain bukan satu pilihan yang bijak untuk melarikan diri daripada
terus dikata kerana setiap ceruk bumi ini pasti ada manusia yang tinggal.”
Kata-kata Zul
begitu memberi kesan terhadap Takashi. Mukanya diketup. Dia tidak mahu Zul
melihat wajahnya ketika ini. Simpati Zul pada Takashi semakin meninggi.
Zul berjanji pada
dirinya sendiri untuk menjadi sahabat yang baik kepada Azuma Takashi. Biarpun
kedengaran suara sumbang yang mengatakan Takashi ini ibarat jelatang, bangsa
Jepun yang tidak sedar diri dan talam dua muka, namun Zul tidak mempedulikan
semua itu. Tiada manusia yang dapat lari daripada terus dikata dan mengata.
Baginya, dia lebih memahami diri Takashi daripada orang.
Jika boleh, Zul tidak mahu menyakiti hati mana-mana pihak, namun
dia sedar bahawa dia tidak mampu untuk menjaga hati semua pihak.