Dek kerana rindukan masakan laut, rancangan kami untuk berkhemah ke Aqabah akhirnya telah berjaya terlaksana. Ahli rombongan kami adalah seramai lima orang dengan diketuai oleh chef division kami, Pameran Syeikh Nizammil. Ahli rombongan yang lain ialah Amri Alhusni, Amirul Asyraf, Khairman Naim dan aku sendiri. Rombongan kami meninggalkan bumi Mu'tah tepat pukul 8.30am - yang ketika itu dibanjiri hujan serta suhu sejuk beku yang tidak tertahan.
Perjalanan yang mengambil masa hampir lima jam itu memang memenatkan jiwa dan punggung para penumpang, ditambah dengan permukaan jalan yang tidak sekata. Namun, perjuangan harus diteruskan (cheewah). Akhirnya, kami selamat tiba di Aqabah pada pukul 12.30pm. Perkara pertama yang dicari pastilah restoran yang menyediakan makanan bernasi. Selepas perut diisi, barulah enak untuk mencuci mata dan berjual beli. Selesai segala urusan, baru kami solat jamak tak'hir di Masjid Besar Aqabah sebelum kami berangkat ke Pantai Aqabah - Main Beach 4 - dengan menggunakan perkhidmatan teksi.
Sampai di pantai, khemah terus dipacakkan. Pertandingan membina khemah berlangsung dengan penuh meriah. Team Hitam vs Team Merah. Seperti diduga, Team Merah menang dengan jayanya walaupun Team Hitam ada membuat bantahan.