"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Saturday, November 30, 2013

Sesi Pengemasan


Sudah lama aku tidak meng'update' blog. Pasti sudah bersawang. Ingat bila sudah habis belajar, aku makin aktif ber 'blog', rupanya tidak. Makin malas, adalah. Lebih-lebih lagi apabila aku telah mula bekerja. Malas itu semakin bertambah-tambah.

Jadi, untuk entry kali ini, aku namakan sebagai SESI PENGEMASAN, sempena aku yang sudah lama beno tak update blog. Haha haha.

Cakap pasal kemas, aku pun nak petik kata-kata mutiara daripada mulut Rasulullah SAW,

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur’an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.
Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Malas nak tulis panjang-panjang lagi. Hehehe. Selamat berehat bagi yang mahu berehat, dan jangan lupa mengemaskan apa yang perlu dikemaskan!

Sunday, October 6, 2013

PELANGI CINTA - Bab 1: Nasi Maqlubah


BAB 1
NASI MAQLUBAH


“Oit! Kamu tak ada kelas ke Baen?”

Adoi, siapa pula yang ganggu masa keemasan aku ni? Malas la nak layan. Teruskan berbaring lagi baik.

“Kalau kamu tak de kelas, jom teman aku makan maqlubah. Aku belanja.”

Mendengar nama maqlubah disebut, spontan aku membuka mata. “maqlubah?” Terus aku terduduk. Minda sudah terbayang akan keenakan nasi Arab itu, ditambah ketika perut dalam kelaparan ini. Aduh!

“Agak dah. Kalau kamu dengar orang nak belanja makan, laju je ya. Hehe,” Syauqi tergelak sinis. Tidak susah untuk aku mengenali suara garaunya itu.

“Jom. Aku lapar ni,” aku terus bangun sambil mengibas-ngibas belakang baju dan seluarku.

“Kamu tahu, kamu la lelaki Melayu pertama yang aku tengok dengan selambanya tidur kat hamparan rumput ni. Selamba betul kamu ya.”

Aku hanya tersengih. Entah, aku tengok budak-budak Arab selalu tidur di hamparan rumput hijau ni. Macam best je. Itu yang aku saja nak cuba, dan memang selesa pun. Ditambah pada musim bunga yang mendamaikan. Terasa nikmatnya hidup. Malu? Buat apa nak malu? Bukan buat benda salah pun. Tapi kalau tidur di situ sambil berdengkur, memang memalukan.

Hehe.

Berjalan dari Fakulti Syariah menuju ke Mat’am Abbasi hanya mengambil masa lima minit sahaja. Menaiki sedikit tangga, melalui dataran Universiti Mu’tah yang dihiasi dengan kolam pancutan air yang tiada air, ditambah dengan longgokan remaja-remaja Arab yang bertugas mengusha  awek-awek Arab di kaki jalan, terus berjalan di hadapan perpustakaan, menaiki lagi tangga, dan sampai.

Bau haruman nasi maqlubah telah mencucuk-cucuk perutku. Kelaparanku semakin bertambah. Mat’am Abbasi, inilah kantin universiti yang terletak di pintu Junubi. Terdapat sebuah lagi kantin universiti yang terletak di pintu Syimali, Mat’am Ummawi namanya.

Tidak ramai pelajar yang makan ketika ini. Baguslah, tidak perlu beratur panjang. Selesai membayar dan mengambil makanan, kami terus duduk di penjuru hujung ruang makan.

“Aku tengok kamu tenang je, Baen. Dah habis imtihan ke?” Syauqi bertanya sambil mulutnya terus mengunyah nasi.

“Habis dah,” ringkas aku menjawab. Mahu menjiwai kelazatan nasi Arab yang sukar sekali didapati di Malaysia ini. “Ha, apapun syukran ya, belanja aku makan ni, hehe.”

“Kamu bab makan, laju la. Tapi badan tak juga gemuk-gemuk,” Syauqi menggeleng-geleng.

Aku terus melatah daging ayam bersama kentang yang dimasak sekali, membiarkan Syauqi yang mahu terus bersembang dengan aku. Sungguh nikmat, apatah lagi dimakan ketika lapar. Bertambah nikmat apabila dapat makan free.

Oh, cerita tentang makan membuatkan aku lupa untuk memperkenalkan diri aku. Nama aku, Faiz Faqiuddin bin Fauzi. Berusia 23 tahun, masih bujang, dan kini sebagai belajar tahun akhir di Universiti Mu’tah dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Fiqh wa Usul. Tinggal di Ipoh, Perak. Ayahku seorang guru, dan mak aku suri rumah yang paling berdedikasi.

Masih bujang?

Ya, masih bujang dan masih mencari cahaya hati. Mana tahu kalau tersangkut dengan awek Arab ke kan? Hehe. Tapi, mak aku dah pesan awal-awal dah, supaya cari calon tu dekat-dekat sikit, jangan jauh sangat. Mak cakap, kalau dapat dengan orang Ipoh, lagi baik.

Aku memang pelajar agama, dari sekolah menengah lagi aku dihantar ke Maktab Ahmadiah, sebuah sekolah agama yang terletak di utara Perak. Tapi entahlah, aku seakan tidak melihat diriku ini bakal menjadi seorang ustaz. Perangai pun pelik-pelik, suka usha perempuan pula tu. Nak beramal ibadat macam hero filem Tujuh Petala Cinta tu, memang taubat la aku tak buat. Tapi itulah hakikatnya, aku bakal bergelar ustaz juga bila pulang nanti.

Habis makan, Syauqi terus pulang ke rumah. Aku pula masih ada satu lagi kelas pukul satu petang nanti, kelas Talak bersama Dr. Ali Zukaily. Macam mahu ponteng pun ada, tapi muka aku ni, tak pernah lagi ponteng kelas. Tak boleh, kena datang juga ni. Kena jaga status sebagai pelajar yang hadir penuh dalam kelas, baru ada markah bonus, huhu.

Kelas bersama Dr. Ali memang tidak pernah mengantukkan. Mana tidaknya, setiap minit, pasti ada sahaja soalan yang ditanya kepada para pelajar. Jadi, mahu tidak mahu, kita kena sentiasa fokus. Kalau tak dapat jawab soalan, alamatnya kena sindir habis la dengan Dr. Ali, dan salah seorang pelajar yang pernah disindir kerana tidak dapat menjawab soalan adalah aku sendiri.

Pelajar tahun akhir tidak mampu menjawab soalan Dr. Ali, memang malu!

Habis kelas, aku terus cabut. Mata dah berpinar-pinar ni, hanya nampak katil sahaja. Awek yang lalu lalang pun aku tak pandang dah. Janji, aku dapat qailullah sebentar sebelum aku solat asar nanti. Tapi selalunya, qailullah aku meleret sampai dua tiga jam. Tak apa, asal dapat rehatkan diri selepas otak ini sudah penuh serabut dengan segala ilmu yang ditadah tadi.


Terima kasih para guruku.

Saturday, October 5, 2013

PELANGI CINTA - Sebuah Novel


Pelangi Cinta

Novel terbaru, under proses, huhu. Berkisar tentang krisis kehidupan watak utama, Faiz Faqiuddin dalam menempuh kehidupan sebagai pelajar tahun akhir fakulti Syariah di Universiti Mutah, Jordan. Kisah dia bersama lima sahabat BFF nya. Hidupnya seperti dia bukan pelajar agama, malah hobinya suka mengusha awek-awek Malaysia mahupun awek Arab. Teruk, kan?

Sehinggalah dia bertemu dengan Dhia Marsya.

Tapi, ini bukan kisah antara Faiz dengan Dhia Marsya, tetapi kisah tentang cinta itu patut diletakkan di mana. Mencintai sahabat itu jauh lebih baik, kerana itu salah satu cara untuk mendapat naungan Allah di Padang Mahsyar nanti.

Habis, ini cerita apa? Kenapa namanya Pelangi Amsterdam?

Mahu tahu, kena terus hayati novel ini sehingga ke akhir, insyaAllah. Moga mendapat sesuatu - jika tidak banyak, sedikit - pengajaran di dalam novel hingusan ini. Enjoy it!

"Mengapa perlu husnuzon, sedangkan kita mampu untuk berhusnuzon?"


Sinopsis

Khalid kata aku ni gila. Syauqi, Adam dan Ehsan turut bersutuju dengan dia. Aku gila? Aku hanya memecah masuk bilik warden, membuka pembesar suara, membuat ucapan awam secara terbuka dan melancarkan perang terhadap ustaz Azrul Hisyam, warden yang cukup aku benci. Adakah tindakan aku ini dianggap gila?

Biarlah, itu kisah ketika aku berada di tingkatan tiga. Dan asbab peristiwa itu, aku kini mula berubah menjadi ustaz, walaupun tidak sebiji seperti hero filem Tujuh Petala Cinta itu. Ustaz? Orang hanya panggil aku ustaz, kerana aku pelajar tahun akhir pengajian Syariah di Universiti Mutah. Kalau balik Malaysia nanti, aku mahu berlakon menjadi seorang jurutera la. Mengubati mesin yang mati jauh lebih mudah daripada merawat hati manusia yang sudah mati, kan?

Mati hati manusia kerana tidak jumpa jalan pulang, akhirnya silau dan sesat dengan cahaya yang diciptanya sendiri. Ada cahaya yang dianggapnya benar, tetapi cahaya yang dianggap menuju kepada Tuhan itu juga tetap silau, kerana cahaya menuju Tuhan hanya satu, bukan tujuh puluh dua. Apa, cahaya Syiah? Sudah, itu lagi mengarut. Nanti aku ceritakan dakyah sahabatku yang tersilau dengan cahaya Syiah itu.

Apapun, ini kisah aku, bukan kisah kamu. Kisah aku yang mencari cinta. Walau hakikatnya cinta itu seperti pelangi, indah di mata, namun fana di tangan. Bukan cinta monyet, kerana aku manusia tulen lagi asli. Salah cinta, hilang sahabat. Lebih parah, hilang aqidah dan maruah. Cinta itu pasti akan hilang, andai tidak kembali kepada Pencipta-Nya.


Sunday, September 29, 2013

Rome Kami Datang (Siri 2)


Sambungan daripada artikel 'Rome Kami Datang (Siri 1)'...

Setelah separuh perjalan di Cardo, tiang-tiang menjadi semakin besar dan tinggi menandakan kami telah memasuki pintu masuk ke Macellum atau pasar. Bangunan ini terletak di sebelah kiri jalan jajaran tiang. Turut terlihat adalah inskripsi berhampiran air pancut berkepala singa bertarikh 211 Masihi.

Kota lama ini juga turut dipenuhi dengan binaan gereja-gereja lama. Antaranya adalah Gereja Utama (Cathedal) yang terletak di sebelah kiri Cardo. Pada kurun keempat, kuil ini dibina semula sebagai Gereja Byzantium. Gereja St. Theodore yang terletak berhampiran pula dibina pada tahun 496 Masihi. Terbina sebuah medan kecil dengan pancutan air di antara dua gereja ini.

Di kemuncak tertinggi kota Gerasa ini, terbinanya sebuah Kuil Zeus yang cukup besar. Terdapat anak tangga yang menuju ke suah Esplanad, iaitu terletak di hadapan kuil.  Dianggap sebagai tempat suci, kuil ini diubah suai pada kurun kedua. Dari situ, terdapat satu lagi anak tangga menuju ke kuil yang mana asalnya dikelilingi oleh tiang-tiang Corinthian setinggi 15 meter.

laluan yang dipenuhi tiang-tiang yang mencongak tinggi

Tidak terkecuali adalah binaan sebuah masjid yang dibina pada kurun ketujuh atau kelapan. Masjid Umawiah ini merupakan satu-satunya masjid yang terletak di kota lama Jerash ini. Terletak di sebelah kanan, dibelakangi oleh empat tiang Corinthian, masjid ini dibina daripada bahan-bahan yang diambil daripada rumah-rumah Rum.

Fitrah manusia kembali mencari Tuhan.

Sesuatu yang biasa kelihatan di bandar-bandar Rom adalah pancutan air. Gerasa juga tidak terkecuali. Pancutan Air Awam (Nymphaeum) dibina pada tahun 191 Masihi dan ditujukan untuk Nymphs. Pancutan air ini dihiasi dengan marmar di bahagian bawah. Di bahagian atasnya lepa berwarna dan dibumbungi oleh separuh kubah. Air memancut melalui tujuh ukiran kepala singa, seterusnya mengalir ke bawah. Pancutan air ini bertindak sebagai tempat tumpuan kegiatan sesuatu bandar.

pancutan yang yang terletak di tepi laluan

Di penghujung utara, terbinanya sebuah Pintu Gerbang Utara. Pintu gerbang ini terletak di hujung Cardo. Dibina pada tahun 1115 Masihi. Walaupun tidak sebesar Pintu Gerbang Selatan, tetapi binaannya tetap unik. Sendalnya yang berbentuk aneh berkemungkinan diperlukan untuk menyelarikan pintu gerbang di bahagian dalam dengan Cardo serta menyelarikan bahagian luar dengan jalan Rom yang menuju ke bandar Decapolis.

Puas berjalan, kami mula bergerak keluar. Sebelum pulang, kami sempat singgah dan membeli sedikit barangan untuk dikenang. Gerai-gerai cenderamata yang banyak didirikan di luar kawasan pintu masuk membolehkan kami memilih barangan yang berkenan di hati. Tanpa sedar, sudah hampir seharian kami di sini.


DARI KACA MATA KINI

Betapa gagahnya kota ini suatu masa dahulu, menjadi rebutan kuasa besar dunia. Kotanya besar, penuh kekayaan. Tetapi lihatlah realitinya kini, kota besar ini hanya menjadi kota kosong berbatuan, menjadi tempat manusia melihat dan mencuci pandangan. Gagahnya hilang bersama zaman, kota ini hanya tinggal sebagai tempat perlancongan.

Kegagahan yang terbina tidak mampu bertahan selamanya. Zaman The Great Britian menguasai timur dunia suatu masa dahulu kini telah tiada. Gagahnya Sepanyol menawan barat latin dunia juga sudah tiada, dimamah usia. Begitu juga Rom. Kuasa mereka begitu hebat, kegemilangannya cukup panjang. Wujudnya sejak zaman Nabi Salleh, terus berkembang tanpa halangan. Tetapi terhakis juga lantaran kemunculan Rasul akhir zaman, Muhammad bin Abdullah.

Kini, zaman Amerika pula menguasai dunia. Kuasa mutlak mereka dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  membuatkan mereka tidak takut apa-apa. Seluruh dunia di bawah telunjuk mereka. Seakan kuasa mereka tidak mampu digugat, apatah lagi mahu dijatuhkan. Tetapi yakinlah, negara besar itu pasti akan tumbang juga. Percayalah.

Dunia ini bulat. Yang di atas pasti akan jatuh ke bawah jua.


Kota Gerasa, bukti bahawa kekuasaan dan kegagahan tidak mampu dikekalkan. Gagahnya hanya sementara. Suatu masa, pasti akan tumbang juga.


Sunday, September 1, 2013

Rome Kami Datang (Siri 1)


Menjejak kaki ke sana, jiwaku diragut rasa takjub. Seakan kini aku bukan berada di bumi ambiya, Jordan. Sebaliknya jasadku seakan terbang melayang ke kota Rome, Itali. Itulah perasaanku ketika kali pertama aku menjejak kaki ke kota Jerash yang terletak di utara Jordan, berjarak hanya 35 kilometer daripada ibu negara, Amman.


SEJARAH BANDAR JERASH

Bandar Jerash ini turut mencatat sejarahnya yang panjang. Pernah dipanggil Gerasa ketika kota ini dikuasai oleh Jeneral Pompeii dari Rom Timur. Bandar ini dipengaruhi oleh rakan perdagangan dan sekutunya daripada kerajaan Arab Nabatean dalam perbagai aspek. Tahun 395 Masihi menyaksikan agama Kristian menjadi agama dominan di Jerassah. 219 tahun kemudian, kota ini dikuasai pula oleh Parsi yang membinasakan hampir kesemua monumen mereka.

Membalas serangan, kerajaan Rom di bawah pimpinan Maharaja Hercules pada tahun 627 Mahsihi telah merampas semula Jerash dan kerajaan Arab Ghassan di bawah pemerintahan mereka. Tidak bertahan lama, Islam mula menguasai kota rebutan itu pada tahun 636 Masihi. Kota itu mencapai kemuncak kegemilangannya pada zaman Umawiah. Pada zaman tersebut, kota ini terkenal sebagai lombong perak dan gangsa di samping kawasan industri tembikar.

Tahun 749 Masihi, Jerash dilanda gempa bumi yang menyebabkan populasi penduduknya merudum kepada 4000 orang sahaja.

Jerash tidak terkecuali daripada bahang Perang Salib apabila Raja Baldwin cuba menguasainya namun gagal. Pada percubaan mereka menguasai Syria, tentera salib telah memusnahkan sebahagian Jerash dan membakarnya. Pada zaman Turki Uthmaniah, Bandar ini dipelihara dan masjid telah didirikan. Jerash telah menjadi daerah di bawah kerajaan Jordan dengan mandat British sehinggalah Jordan mencapai kemerdekaan pada tahun 1946.

Begitulah serba sedikit sejarah panjang yang dilalui oleh kota lama ini.

Memasuki Bandar ini, monumen pertama yang kelihatan daripada jauh adalah sebuah pintu gerbang besar yang begitu cantik, seakan pintu gerbang yang terdapat di Kota Paris. Perasaanku untuk menjelajah kota lama Jerash semakin membuak-buak, lebih-lebih lagi apabila mendapati bahawa ini adalah kota kerajaan Rom yang terbesar dan terlengkap, yang terletak di luar negara Itali.


MEMASUKI KOTA LAMA JERASH

Van yang dinaiki telah berhenti. Kami lalu berjalan menuju ke pintu masuk kota lama Jerash yang menempatkan monumen dan binaan kota Rom. Cuaca di awal musim sejuk begitu menyenangkan. Perjalanan pada waktu sebegini pasti tidak meletihkan. Selesai membuat pembayaran, kami mula meneruskan langkahan.

Di hadapan Arka Hadrian

Memasuki kota lama Jerash, kami disajikan dengan binaan pintu gerbang besar yang aku sedari tadi telah melihatnya. Rupanya itu adalah Arka Hadrian yang dibina sempena lawatan Maharaja Hadrian ke Gerasa pada tahun 129 Masihi. Arka ini dibina sebagai gerbang utama di bahagian selatan.

Melewati arka besar itu, kami mula mendengar suara riuh rendah daripada dalam. Rupanya, satu pertunjukan akan diadakan sebentar lagi. Kami tidak melepaskan peluang untuk melihatnya. Pertunjukan itu dibuat di sebuah arena besar yang bernama Hippodrome. Arena ini dibina bagi menyaksikan perlumbaan kereta kuda dan sukan-sukan lain. Ketika kami tiba, kelihatan mereka sedang mengadakan pertunjukan perlumbaan kereta kuda, siap dengan pakaian ala Rom Sungguh menghiburkan.

selesai menonton pertunjukan
Kami meneruskan langkahan. Kelihatan dinding-dinding kota masih utuh berdiri. Corak dan ukiran daun Acanthus masih dipelihara. Sungguh kota lama itu cukup besar. Begitu banyak monumen yang menarik perhatian. Kami akhirnya memilih untuk bergerak ke Teater Rom atau collusion dahulu sebelum pergi ke monumen-monumen yang lain.

Teater Rom Selatan kami masuki. Ia boleh menempatkan lebih 3000 orang. Sungguh menakjubkan berada di dalamnya. Begitu besar dan masih cantik. Kelihatan warga Arab sedang bernyanyi dan menari di atas pentas. Suara mereka boleh didengari daripada atas. Sesetengah tempat duduk boleh ditempah dan tulisan Greek masih kelihatan. Terdapat dua laluan menuju ke okestra dan empat laluan di belakang teater yang menghubungkan barisan-barisan atas tempat duduk.

di atas pentas collusium bersama si kembar yang comel

Di tengah-tengah kota lama ini, terdapat sebuah Medan Bujur. Medan ini dikelilingi kaki lima yang luas dan di tengahnya terdapat dua kolam pancutan air yang dibina pada kurun ke tujuh. Barisan tiang dibina daripada senibina Yunani. Medan Bujur yang tidak bersimetri ini dianggap aneh bagi bandar-bandar klasik, tetapi ia mempunyai peranan yang khusus iaitu membenarkan paksi barat laut Kuil Zeus agar selari dengan paksi Utara - Selatan Cardo dan seluruh bandarnya.

Menuju ke Cardo

Tanpa sedar, kami berada di permulaan Cardo. Cardo pula letaknya di utara kota lama Jerrash.

Sepanjang perjalanan menuju ke Utara kota, kami disajikan dengan pemandangan jajaran tiang yang indah. Batu-batu asal masih kekal di jalan jajaran tiang dan kesan roda kereta kuda juga masih kelihatan pada jalan. Cardo sepanjang 800 meter ini merupakan tulang belakang senibina dan tumpuan kegiatan penduduk Gerasa. Jalan jajaran ini telah dilebarkan ke bentuk Corinthian seperti yang dilihat pada hari ini. Kedai-kedai juga dahulunya dibina di kaki lima  jalan ini.

berpoyo sebentar

Terdapat juga sistem kumabahan bawah tanah yang mengalir di sepanjang Cardo serta lubang-lubang yang wujud di tepi jalan bagi mengalirkan saliran air hujan. Struktur-struktur terpenting bandar ini telah diatur di sekeliling Cardo termasuk pasar, kuil, pancutan air, dan binaan-binaan awam yang lain. Ketika melalui jalan ini, kelihatan beberapa monumen penting dan bangunan awam seperti Agora.

bersambung di siri kedua...

Saturday, July 27, 2013

Mengapa Kamu Semua Mengangkat Jubah?

Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.
Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”
Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.
Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orangramai!”.
Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.
Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.
Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.
Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.
Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”. Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi” 
(lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Tuesday, July 16, 2013

7 Lagu 'Nasyid' yang Pernah Memenangi AJL

Anugerah Juara Lagu (AJL) atau hanya dipanggil Juara Lagu merupakan sebuah rancangan pertandingan yang diterbitkan olehTV3 yang membariskan lagu-lagu terbaik secara tahunan untuk dipilih oleh juri profesional sebagai lagu terbaik tahunan.

Kalau cerita tentang AJL sahaja, pasti kita terfikirkan tentang lagha, lagu-lagu semata, tiada roh Islam. Hah, siapa kata? Sebenarnya, dalam banyak-banyak AJL, ada sahaja lagu 'Nasyid' yang pernah menjuarai anugerah ini. Tak percaya? Mari kita layan ~




Lagu yang cukup top pada zamannya, hatta sehingga kini. Menceritakan tentang pengorbanan seorang isteri kepada suaminya, kepada keluarganya. Betapa wanita itu cukup mudah untuk masuk ke Syurga. Taat pada suami, nescaya tiket Syurga berada di genggamannya.
Tuhan sengaja menduga kita
Di mana kesabaran manusia
Engkau isteri yang ku sanjungi
Lambang semangat cinta dunia
Pasti engkau terkenangkan
Peristiwa semalam
Saatku menggadaikan cinta
Pada onak dan duri asmara
Entah di mana akal fikiran
Hingga sesat di jalan yang terang
Ini suratan yang diberikan
Menguji kekuatan jiwa
Waktu engkau ku lupakan
Dalam kemarau panjang
Betapa hatimu rela
Demi melihatku bahagia
Kau menahan segala siksa
Di hati hanya berdoa
Mengharapkan aku kan pulang
Agar terang cahaya
Ku yang hanyut di arus dosa
Di laut ribut melanda
Dan berenang ke pelabuhan
Kasih sayang sebenar
Air mata cinta darimu
Ku menjadi rindu
Pada syurga di wajahmu
Tiada tanda kau berdosa
Biar aku cium tangan mu
Membasuh lumpur di muka
Ku yang hanyut berarus dosa
Di laut ribut melanda
Kau menahan segala seksa
Di hati hanya berdoa
Ku berenang ke pelabuhan
Mencari cinta sebenar
Kan ku tahan apa hukuman
Di hati hanya berdoa
Biar aku cium tangan mu
Sekali lagi bersama
Bukan sekali jalan berduri
Hanya tuhan yang pasti
Mengerti…
  • Artis: Nash
  • Gubahan: Fauzi Marzuki
  • Lirik: Bob Lokman
  • Album: Nash (1992)


Lagu ciptaan Sifu M Nasir ini memang tidak pernah mengecewakan. Menceritakan kisah hud-hud yang datang lewat dalam pertemuannya bersama Nabi Sulaiman. Kelewatannya menyebabkan Nabi Sulaiman murka. Namun, setelah diceritakan apa yang dilihatnya, amarah Nabi Sulaiman reda. Memang lagu yang otai.
Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan

Beribu-ribu Margasatua
Mencari raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluh

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu

Lihat dunia dari mata burung
Atau dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih
Dalam kalut ada peraturan
Peraturan mencipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri
Di sini

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu

Berikan ku kesempatan akhir ini
Untuk menyatakan kalimah/kisah sebenarnya
Berikan aku kesempatan akhir ini
Lai lai la lai la lai

"Tanya sama itu hud-hud
Lang mensilang
Kui mengsikui
Kerna dia yang terbangkan ku ke mari

Bercinta dengan manusia, belum pasti kekal. Tetapi bercinta dengan Allah, cinta kita pasti bersahutan, dan kekal selamanya. Begitulah yang diceritakan dalam lagu nyanyian Aisyah ini. Cinta yang kecundang di tangan manusia, sebelum beralih kepada cintai Ilahi. Cintai Ilahi, cinta yang abadi...
Sendiri dalam
Sepi malam ke pagi
Mencari jawapan
Berputar-putar
Soalan bertemu soalan
Penawar yang
Ku beri kiranya racun
Sebagai balasan
Hilangkah budi
Oleh kejahilan

Ku persembah
Intan dan permata
Tapi bagimu
Kaca tak berharga
Demikian berbezanya
Penilaian kita

Kelopak berseri
Di tanganmu
Berderaian layu
Lalu...
Ku kutip semula
Sisa cinta
Dan beralih arah
Pada Yang Esa

Walau diri hina
Tak berharga
Tetap diterima
Kelopak kelayuan
Dipulihkan
Akhirnya kembali
Keyakinan
Pada diri...
  • Artis: Aishah
  • Gubahan: Jari
  • Lirik: Habsah Hassan
  • Album: Wajah (1995)


4. 1999 : "Andalusia"
Sebuah lagi naskah daripada sifu, juga telah memenangi AJL. M Nair, siapa lagi orangnya. Lagu ini tentang Andalusia, kerajaan Islam yang masyhur suatu masa dahulu. Namun kini, kemasyurahnya semakin hilang. Pasti kita semua merindui zaman kebangkitan Islam, seperti yang diceritakan dalam lagu ini.
Cahayamu bagai sabitah
Doaku kau sejahtera
Biar warna kubah-kubahmu kian pudar
Untukmu setanggi ini kubakar

Cahayamu sediakala

Aku rindukan zaman kebangkitan
Pabila nurani bersulamkan fikiran
Seganding dan bersatu
Lafaz niatku bertemu

Cahayamu tiada tara

Pohon salamku pada fakir-fakirmu andalusia
Pohon izinkanlah aku menyelami irama asyikmu
Pohon ku dipinjamkan gabus dan ghazalmu jadi azimat
Supaya dapat aku tari menongkah arus
Sahutlah andalusia

Apakah sudah kering lautan darah
Yang tertimbus di bumi alhambra
Ataupun masih bergelora menanti saat
Melimpah mengikut mata air

Antal hadi antal haqqu
Laisal hadi Ilaahu


5. 2000 : "Balqis"
Kisahnya begitu tersohor, malah terukir di dalam Al-Quran. Bagaimana kemegahan yang ada pada Ratu Balqis, sebenarnya tiada apa jika mahu dibandingkan dengan kerajaan Nabi Sulaiman. Walaupun kerajaan Nabi Sulaiman itu cukup besar di mata Ratu Balqis, tetapi ada lagi kerajaan Yang Maha Besar, iaitu kerajaan Allah Taala.
Biar apa pun rupa yang terbina
Takkan gentar merela kehendaknya
Terdengarlah bicara tersembunyi
Yang tertebar di langit dan di bumi

Siapakah yang mampu menundukkan bayu
Siapakah yang tahu hanya ada satu

Turut titah setia ratu kota
Lirik mata yang cerah bak sahmura
Singgahsana nan indah tak terperi
Halus santunnya wajah bidadari

Siapa yang mengutus surat keajaiban
Siapa yang menghunus rebah di pelukan

Lai lai lai lai lai lai lai lai lai lai
Bisakah jelita luruh kuasa
Lai lai lai lai lai lai lai lai lai lai
Terpukau hatinya demi sakti kurnia
Laksana terkalam tiada diilham
Segala ternyata hanya sekelip mata (Syahadah)

Terpedaya istana kaca
Terkesima kata mulia

Seribu utusan
Mahkota hiasan
Membingkis berita
Damaikan dua kota
Agungnya... suara... sucinya... sang cinta...

Bertemu di alam pesona
Bersatu di dalam cahaya
Semilah... bermadah... kasihnya...
Di puncak singgahsana (Syahadah)


6. 2001 : "Mimpi Laila"
Kisah Laila dan Majnun, lagi cinta agung sesama manusia. Kerana cintanya ditolak, lelaki itu menjadi gila. Maka lagu ini menyedarkan manusia bernama Laila supaya sedar daripada lamungan, daripada mimpi. Sedar bahawa cinta sesama manusia itu tidak kekal berpanjangan, malah mampu membawa mudharat pada diri. Satu lagu ciptaan Yasin yang cukup legand, bro.
( 1 )
Kisah yang luka
Mimpi gembira
Raja Nasyrij yang pemurah
Laila yang setia
Cintanya fana
Sang hujan mengundang nestapa
Oh...
( 2 )
Jangan Ya Laila
Jangan terpedaya
Apa yang kau lihat semuanya dusta
Dusta yang fana pada Ya Laila
Cinta yang fana tiada pengubat
Jiwa mu yang lara

Berduka lara bergaul ceria
Hidup di alam mimpi mu Laila
Laila yang berduka akhirnya terlupa
Hanyut dalam khayalan mimpi indah
Ohh...

( ulang 2 )

( ulang 1, 2, 2 & 2 )

Isma' ya Laila
Isbir ya Laila
Sarabin bikiatin thasibin maa
  • Artis: Yassin
  • Gubahan: Yassin
  • Lirik: Yassin
  • Album: Mimpi Laila (2001)


7. 2011 : "Awan Nano"
Musafir Rasulullah SAW ketika kecil, berdagang jauh menuju ke Tanah Syam. Walau panas yang mencengkam, tetapi perjalanan mereka setia dilindungi oleh awan. Tidak membiarkan kekasih Allah itu terasa bahangnya mentari. Begitulah awan nano, dan kisah itu menjadi nadi dalam lagu nyanyian Aizat ini. 
Lihat ke arah sana
Serakan warna dan berarakan
Awan
Pabila terik panas
Segera hadirnya memayungi diri
Pabila kau dahaga
Sesegera turun hujan melimpahkan kasihnya
Pabila kau katakan
Akulah awan itu yang kau mahu
Begitulah awan nano
Setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu
Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu
Kasihnya
Kasih tiada banding
Setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Awan kekasih sebenarmu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu
Lihat diriku ini
Yang sesekali pernah kau bagaikan awan
Sehingga tak mungkin terlupa
Berikan belas sedari dulu
Sehingga tak mungkin termampu saksi
Setitis pun air matamu kasihku
Sehingga kau katakan
Akulah awan itu yang kau rindu
Akulah awanmu yang sedia
Melindungi dirimu tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu
Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu
Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu
Begitulah awan nano
Setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu
Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu
Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

*Sebenarnya, bukan lagu nasyid pun, tetapi lagu Islamik. Kira bagi aku, lagu nasyid la. Bila dihayati, terasa kebesaran Ilahi. Apapun, Ramadhan Kareem !! Allahu Akram !!!
______________
Sumber:
http://liriksemualagu.blogspot.com/2009/09/lirik-lagu-cinta-beralih-arah-aishah.html#.UeVfXNKovoI
http://www.liriklagumuzika.com

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger