"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Sunday, September 16, 2012

Top 10 Pemindahan Pemain Termahal 2012-2013


Musim perpindahan merupakan musim yang begitu sibuk, bukan sekadar para pemain bola, tetapi juga buat para pengurus. Tidak mahu berceloteh panjang, di sini aku senaraikan 10 pemindahan pemain paling mahal untuk musim panas 2012 pada kali ini. Saksikan...

10.       Javi Garcia 
Midfielder  Spain Manchester City daripada Benfica  20million

9.         Zlatan Ibrahimovic 
Attacker Sweden PSG daripada AC Milan  20million

8.         Robin van Persie 
Attacker Netherlands Manchester Utd daripada Arsenal  30million

7.         Ezequiel Lavezzi 
Attacker Argentina PSG daripada Napoli  30million

6.         Oscar 
Midfielder Brazil Chelsea daripada Internacional  32million

5.         Luka Modric 
Midfielder Croatia Real Madrid daripada Tottenham  34million

4.         Axel Witsel 
Midfielder Belgium Zenit daripada Benfica  40million

3.         Hulk 
Attacker Brazil Zenit daripada Porto 40million

3.         Javi Martínez 
Midfielder  Spain  Bayern Munich daripada Athletic Bilbao  €40million

2.         Eden Hazard 
Attacker Belgium Chelsea daripada Lille  40.4million

1.         Thiago Silva 
Defender Brazil PSG - AC Milan 42million

___________________
rujukan:

Saturday, September 15, 2012

Jangan Mudah Salahkan Orang



Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasullullah SAW bersabda "Jika ada seseorang berkata: "Orang ramai sekarang ini sudah rosak", maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka"
-Hadis Riwayat Muslim



KETERANGAN:

Iman Nawawi ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus Shalihin beliau memberi penjelasan seperti berikut:
"Larangan semacam di atas itu (larangan berkata orang ramai sudah rosak) adalah untuk orang yang berkata demikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini haram".
"Adapun orang yang berkata seperti itu kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat musibah yang dialami oleh mereka , maka perkataan ini tiada salahnya".
Hadis ini sengaja dibawakan supaya menjadi peringatan kepada kita semua semasa membincang dan menghuraikan masalah-masalah umat Islam sekarang ini. Maka apabila kita membincangkan masalah-masalah umat Islam sekarang ini maka janganlah kita merasa bangga dengan diri kita sendiri, bahkan hendaklah kita menegur diri kita masing-masing dan jangan suka menuduh orang lain.

Walaupun hal kerosakan moral umat Islam sekarang ini diketengahkan, biarlah pendedahan itu dalam bentuk yang sihat, dengan perasaan yang penuh belas kasihan bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain. 

Berbalik kepada persoalan pokok, menyatakan kesalahan orang lain memang mudah, tetapi apakah tindakan yang hendak lakukan untuk menyelesaikan kesilapan itu? Untuk menyelesaikan masalah, mereka yg bersalah akan dihukum, dipantau bagi memastikan mereka ini tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan. Tetapi adakah itu penyelesaian yang sempurna? Bagi aku, sekiranya berlaku kesilapan/kesalahan, penyelesaian harus dicari menerusi perbincangan, musyawarah. Menuding jari, mencari salah orang lain sudah pasti tidak akan menyelesaikan masalah, malah mewujudkan perasaan benci dan marah sahaja terutamanya di dalam organisasi.

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Ali Imran:159)

Mudah-mudahan ALLAH SWT. dengan limpah kurniaNya mencucuri kita rahmat, taufiq dan hidayah.


Teka-Teki Imam Ghazali



Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya tentang sebuah teka-teki:
  

Imam Ghazali = "Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?

Murid 1 = "Orang tua."
Murid 2 = "Guru."
Murid 3 = "Teman."
Murid 4 = "Kaum kerabat."

Imam Ghazali = "Semua jawapan kalian benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu adalah janji Allah, bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati, (Surah Ali-Imran: 185).



Imam Ghazali = "Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini?"

Murid 1 = "Negeri Cina"
Murid 2 = "Bulan."
Murid 3 = "Matahari."
Murid 4 = "Bintang-bintang."

Iman Ghazali = "Semua jawapan kamu tidak ada yang salah. Tetapi yang paling tepat adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun jenis kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan apa yang Allah perintahkan. "



Iman Ghazali = "Apa yang paling besar di dunia ini?"
Murid 1 = "Gunung."
Murid 2 = "Matahari."
Murid 3 = "Bumi."

Imam Ghazali = "Semua jawaban kamu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al-A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka."


  
IMAM GHAZALI = "Apa yang paling berat di dunia?"
Murid 1 = "Baja."
Murid 2 = "Besi."
Murid 3 = "Gajah."

Imam Ghazali = "Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab: 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua berkata tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah. "



Imam Ghazali = "Apa yang paling ringan di dunia ini?"
Murid 1 = "Kapas."
Murid 2 = "Angin."
Murid 3 = "Debu."
Murid 4 = "Daun-daun."

Imam Ghazali = "Semua jawaban kamu tepat, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, dengan mudah kita tinggalkan solat."



Imam Ghazali = "Apa yang paling tajam di dunia ini?"

Murid-Murid dengan serentak menjawab = "Pedang."

Imam Ghazali = "Itu benar, tapi benda yang paling tajam di dunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri."

Friday, September 14, 2012

Nama abang... Adi


Kemeriahan jutaan umat Islam menunaikan ibadat pada bulan Ramadhan di Masjidil Haram begitu terasa, lebih-lebih lagi pada malam 27 Ramadhan. Pada malam tersebut, kebanjiran manusia untuk beribadat ke sana sungguh luar biasa. Dikatakan enam juta jemaah daripada seluruh dunia datang untuk mencari satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, MasyaAllah!

Keesokan harinya, pada malam 28 Ramadhan, selepas selesai solat Tarawih, aku terus keluar daripada masjid. Perutku perlu diisi kerana aku hanya berbuka puasa dengan buah kurma, sebungkus roti dan sekotak air yang dihidangkan di hadapan masjid. Kali ini, aku mahu mencari Restoran Felda kebanggaan rakyat Malaysia yang terletak di dalam bangunan yang hanya bersebelahan dengan Masjidil Haram sahaja.

Setelah tiga hari berada di tanah suci Al-Haram, akhirnya aku tiba juga ke Restoran D’Saji atau lebih dikenali dengan nama Restoran Felda. Restoran tersebut terletak di tingkat keempat bangunan Marwah. Berada di restoran tersebut membuatkan aku berada seperti di Malaysia. Restoran tersebut memonopoli ruang food court di tingkat tersebut. Barulah aku lihat betapa ramainya jemaah daripada Malaysia yang turut sama datang beribadat di sini.


Setelah puas bertawaf untuk mencari sebuah tempat untuk duduk, akhirnya aku bertemu juga dengan sebuah meja yang mempunyai hanya sebuah kerusi. Aku duduk-duduk sambil melihat gelagat manusia. Bacaan Syeikh Maher yang mengimami solat Tahajjud sedikit tenggelam dengan suara manusia yang begitu sibuk dengan urusan sendiri.

Tiba-tiba, datang seorang pemuda dengan berkopiah putih datang merapati aku.

“Adik duduk seorang je ke?”

“Haah. Eh, abang tunggu sini dulu, biar saya yang carikan kerusi untuk abang,” aku cuba  menghulurkan bantuan.

“Eh, tak payah susah-susah. Adik duduk je di sini, biar abang yang cari,” pemuda tersebut tersenyum padaku lantas terus beredar untuk mencari kerusi.

Aku mengekori pemuda tersebut dengan anak mata sambil membalas senyuyman. Melihat pemuda tersebut masih tidak berjaya untuk menemui tempat duduk, kali ini aku nekad untuk menghulurkan bantuan kepadanya.

Pencarian aku berjaya. Aku berjaya menemui sebuah kerusi kosong dalam kepadatan manusia. Setelah pemuda itu duduk bersama aku, datang pula seorang pak cik yang merupakan kenalan kepada pemuda tersebut.

“Mari adik, makan sekali,” pak cik tersebut menghulurkan pinggan yang berisi bihun dan mee kepadaku. Namun aku menolak dengan baik.

“Adik datang sini, sorang-sorang je?” Pak cik itu bertanya.

“Haah. Kawan-kawan lain ada sahaja di masjid.”

“Adik belajar di sini?”

“Tak, saya belajar di Jordan.”

Pak cik dan pemuda tersebut terus menikmati hidangan. Ketika aku duduk bersama mereka, aku dapat lihat ramai mata yang memerhatikan aku, terutamanya para wanita. Aku mula merasa sedikit tidak selesa. Malah aku dapat melihat ada seorang wanita yang terus menjerit apabila melihat kami.

“Apa nama pak cik ya?” Aku mula bertanya untuk menghilangkan rasa ganjilku.

“Nama pak cik, Firdaus.”

“Owh. Nama abang pula?”

“Nama abang, Adi,” agak lambat pemuda itu menjawab. Pak cik Firdaus pula melihat raut wajah aku dengan penuh kehairanan.

“Ni, lupa pula nak tanya, nama adik siapa?” Kali ini pak cik Firdaus pula bertanya.

“Nama saya Hamid,” aku mula memperkenalkan diri.

Beberapa minit kemudian, pemuda yang bernama Adi beredar sebentar untuk membeli roaster.

“Adik tak kenal ke abang tadi?” Pak cik Firdaus merapati aku dengan wajah kehairanan.

Aku mengerut dahi.

“Abang itu, pelakon terkenal. Adi Putra. Pelakon cerita KL Gangster. Adik tengok cerita itu?” bersungguh-sungguh pak cik Firdaus bercerita.

“Owh, dia ke Adi Putra. Kenal sangat-sangat pak cik,” aku sedikit terkejut. Rupanya pemuda yang bernama Adi itu adalah Adi Putra, seorang pelakon terkenal! Aku tersenyum sendirian.

Adi Putra kembali semula dengan membawa roaster. Kali ini aku tidak menolak pelawaan daripadanya. Tidak beberapa lama kemudian, sahabat-sahabat aku mula datang dan bersalaman dengan kami. Ternyata mereka semua mengenali Adi Putra. Aku mula merasa bersalah kerana tidak sedar sedari awal lagi. 'Pasti Adi Putra berkecil hati kerana masih ada rakyat Malaysia yang masih tidak mengenali dirinya,' bisikku di dalam hati.

Selesai bersama mereka, aku mula bersama sahabat-sahabatku…

“Hebat enta, makan dengan pelakon. Macam mana enta boleh kenal dengan dia? Saudara ya?” Syafiq mula bertanya.

“Eh, tak la. Jumpa dengan dia tadi. Dia tengah cari tempat kosong. Itu yang makan sekali tu. Hakikatnya, ana pun tak kenal pada mulanya yang dia tu Adi Putra,” aku mengaku jujur.

“Enta tak kenal dia? Mana boleh macam ini syeikh. Enta kata nak buat filem Islamik. Kalau nak buat filem, tapi tak kenal pelakon, susah la.”

Kata-kata Syafiq begitu terkesan di hatiku.

Ya, aku memang memasang impian untuk menghasilkan sebuah movie Islamik. Hakikatnya, bukan mudah untuk mencapai impianku itu. Jika aku sendiri tidak mampu mengenali para pelakon dengan baik, bagaimana aku mahu menghasikan sebuah naskah filem yang baik?

Seorang pelajar agama tidak perlu hanya sekadar membaca buku-buku agama sahaja. Seorang daie yang hebat adalah mereka yang mengetahui isu-isu semasa, tahu keinginan dan kegemaran masyarakat serta tahu untuk mengalih perhatian orang ramai. Kerana itulah Syeikh Yusuf Qardhawi pernah menyebut di dalam Kitab Fiqh Awlawiyyat karangannya bahawa seorang muslim yang kaya lebih baik untuk menghasilkan sebuah cerita Islam yang mendidik jiwa daripada pergi menunaikan umrah berkali-kali.

Jadi, mari bersamaku untuk memasang impian menghasilkan sebuah movie Islamik yang mampu mengubah pemikiran manusia kepada cara hidup yang lebih baik. Owh, tetapi sebelum itu pastikan anda mengenali pelakon-pelakon dengan cukup baik dahulu ya  ^_^

Wednesday, September 12, 2012

Manis Senyumanmu Masih Terasa...


BUNYI bising menyebabkan aku terjaga daripada lena yang dalam...

"Pukul berapa sekarang, Pok Jat?" Aku bertanya dalam keadaan mamai kepada Hafizat atau nama timangannya Pok Jat.

"Tiga pagi," Ringkas dia menjawab. Hafizat masih sibuk dengan laptopnya seakan tidak mempedulikan aku. Mukanya seakan menahan rasa sedih yang mendalam.

Abdullah Sobri atau Pok Lah kelihatan begitu resah. Aku mendengar daripada perbualan talefonnya mengatakan seseorang masih koma. Hatiku mula merasa gelisah.

"Kamu sudah tahu yang Hanafi tengah koma sekarang?"

Persoalan daripada Abdullah membuatkan aku terus segar terjaga.

"Ya Allah! Betul ke? Kenapa?" Aku begitu terkejut dengan berita yang baru aku dengar.

"Haah, kemalangan. Ni, kamu tahu yang Oyak Kayo dah meninggal?"

Sekali lagi aku terkejut besar. Aku seakan tidak percaya dengan berita yang baru didengari tersebut.

"Ya Allah. Bila?"

"Malam tadi," ringkas Abdullah menjawab.

Wajah arwah Saiful Asraf atau lebih dikenali dengan nama Oyak Kayo menggamit mindaku. Baru sahaja aku bertemu dengannya selepas solat Maghrib di Masjid Syuhada sebentar tadi. Kehilangan dirinya secara tiba-tiba memang begitu mengejutkan aku. Air mata mengalir tanpa aku sedar. Aku menarik kembali selimutku agar tidak dilihat kesedihan yang melanda jiwaku. Sebentar sahaja aku terus memasuki dunia mimpi dalam resah yang masih membaluti...


SELESAI solat Subuh di Masjid Syuhada, seperti yang diduga, para pelajar berkumpul di pintu gerbang masjid. Kematian Oyak Kayo menjadi topik perbualan. Aku merapati Khalil, sahabat paling karib dengan arwahyarham. Hayyi, seorang senior kami, merangkap Penasihat bagi PERMATA yang turut berada bersama kami mula menceritakan detik-detik akhir kematian arwahyarham,

"Malam kejadian, mereka menuju ke lapangan terbang untuk mengambil akhowat yang baru pulang daripada bercuti. Hanafi yang membawa kereta tersebut. Waktu tersebut, mereka dalam perjalanan pulang menuju ke Mu'tah. Hanafi merasa mereka sudah terlepas masuk simpang menuju ke Karak. Dia bertanya kepada Oyak. Oyak yang dalam keadaan mamai sebab tidur hanya mengiyakan dan menyambung kembali tidurnya. Merasa tidak sedap hati, Hanafi bertanya lagi kepada Oyak, perlu ke untuk membuat U-turn, Oyak yang masih dalam mamai sekali lagi mengiyakan. Lepas tu, Hanafi pun mula la buat U-turn,"

Kami yang mendengar semakin berdebar...

"Kemudian, bila Hanafi membuat U-turn, matanya silau sebab lampu tinggi daripada arah bertentangan. Hanafi tak nampak jalan, lepas itu dia terlanggar benteng jalan. Waktu tu dia mula cemas dan tertekan minyak. Selepas daripada situ, kemalangan mula berlaku. Kepala Oyak terhantuk. Dia meninggal kerana pendarahan dalaman."

"Keadaan yang lain, macam mana?" Hadi bertanya.

"Yang lain, alhamdulillah."

"Hanafi katanya koma?"

"Bukan koma, tapi trauma. Keadaan yang lain stabil, cuma luka bahagian luar sahaja," Hayyi menjelaskan. Lega aku mendengar berita kesihatan pelajar yang lain.

Kami semua terdiam selepas mendengar pencerahan daripada Fakhrul.

"Kome semua nampak tak perubahan pada Oyak kebelakangan ni? Tak ada kan?" Khalil memecah kesunyian.

"Status terakhir dia dalam facebook," mereka yang lain mula bersuara.

Status terakhir arwahyarham di facebook adalah petikan lirik daripada lagu Keinsafan nyanyian kumpulan Krabat. Lirik lagu tersebut akan aku nukilkan di penghujung penulisan ini.

Allahyarham Saiful Asraf begitu dikenali di bumi Mu'tah ini. Perwatakannya yang suka tersenyum, ramah menyapa sesiapa sahaja dan melazimi solat berjemaah di masjid membuatkan dia begitu dikenali. Jika berjumpa dengannya, pasti dia menjadi orang pertama yang menghulurkan salam dan menyedekahkan senyuman. Arwahyarham begitu menghormati semua sahabat-sahabatnya tidak kira yang lebih tua ataupun yang lebih muda daripadanya.

Mindaku kembali semula selepas jauh menerawang...

"Oyak, sebelum dia meninggal, 2,3 hari ini, dia tak tidur malam. Bilik dia tertutup, lepas tu dia padamkan lampu. Aku pun tak tahu dia buat apa. Tapi yang pasti, dia lepas itu mesti turun pergi solat Subuh berjemaah di masjid," Khalil menceritakan hari-hari terakhir arwahyarham.

Petikan berita mengenai nahas yang meragut nyawanya


SUBUH esoknya, aku sempat menjamah sarapan bersama dengan Presiden MPPMJ, ustaz Kailani bersama dengan Afif di Mat'am Zumur. Perbualan kami masih berkisar dengan kemalangan yang meragut nyawa sahabat kami.

"Bila jenazah nak dihantar pulang?" Afif bertanya kepada Kailani.

"InsyaAllah petang ini (16hb September) jenazahnya akan dihantar pulang."

"Enta sempat tengok wajahnya?" Afif terus bertanya.

"Sempat. Memang kalau tengok wajahnya, wajah seperti syahid. Kalau ikut adat, jenazah yang sudah masuk hari kedua, mesti sudah berbau hanyir. Tetapi jenazah dia berbau wangi. Ana ingat ana je yang perasan bau tu, rupanya Syauqani dengan Ehsan Fadhli pun sama,"

Aku dan Afif masih mahu terus mendengar.

"Lagi, waktu kami tengok wajahnya, arwah dalam keadaan tersenyum. Badannya masih dalam keadaan baik, cuma luka di kepala sahaja. Lebih menghairankan, darah merah masih lagi mengalir daripada hidung seperti masih hidup. Memang seperti tanda-tanda mati syahid. MasyaAllah," Bersungguh-sungguh Kailani bercerita.

"Itu la, Allah sudah bercerita dah, kalau kita merangkak berjumpa dengannya, Allah akan berjalan menemui kita. Jika kita berjalan, Allah akan berlari," sempat Kailani memberikan taujihad.


Arwahyarham Saiful Asraf, walau dirimu tiada di sini, manis senyumanmu masih kami terasa sehingga kini.
Sedekah Al-Fatihah untuk dirimu, sahabatku...


Status facebook arwahyarham yang terakhir...

Sayup terdengar hujan mencurah ke bumi
Kini terasa memecah kesunyian malam
Dan aku di sini sendiri dibaluti resah
Dibayangi sesal yang tak sudah

Renung langit sepi tiada purnama
Di dalam kelam ku lihat bayangku sendiri
Terpaku membisu tanpa suara dan segala
Apa petanda, apa rahsia

Oh Tuhanku Yang Maha Esa
Maha Penyayang Maha Pemurah
Andainya malam yang begini
Memberi pengertian untukku
Mencari hidayahmu...

Maka kutadahkan setulus
Pengampunan dan pengharapan
Untuk aku menebus dosa-dosa semalam

Cukup setakat ini... aku merasa
Terasing terhukuman dalam sengsara
Balasan dari kehancuran
Yang aku ciptakan

Dan kini ku mengerti
Antara dosa pahala
Yang mana lebih utama
Dalam meniti hidupan dan hari kematian
oh...

Andai malam ini satu peringatan
Bersyukurku pada Illahi
Andai malam ini satu kesudahan
Ku pintakan... satu pengaduan
Untukku menyudahkan kalimah
Terakhir...

~Krabat - Keinsafan~
-muhasabah diri masing2 yokk!!



Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger