Kemeriahan jutaan umat Islam menunaikan
ibadat pada bulan Ramadhan di Masjidil Haram begitu terasa, lebih-lebih lagi
pada malam 27 Ramadhan. Pada malam tersebut, kebanjiran manusia untuk beribadat
ke sana sungguh luar biasa. Dikatakan enam juta jemaah daripada seluruh dunia
datang untuk mencari satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan,
MasyaAllah!
Keesokan harinya, pada malam 28 Ramadhan,
selepas selesai solat Tarawih, aku terus keluar daripada masjid. Perutku perlu
diisi kerana aku hanya berbuka puasa dengan buah kurma, sebungkus roti dan
sekotak air yang dihidangkan di hadapan masjid. Kali ini, aku mahu mencari
Restoran Felda kebanggaan rakyat Malaysia yang terletak di dalam bangunan yang
hanya bersebelahan dengan Masjidil Haram sahaja.
Setelah tiga hari berada di tanah suci
Al-Haram, akhirnya aku tiba juga ke Restoran D’Saji atau lebih dikenali dengan
nama Restoran Felda. Restoran tersebut terletak di tingkat keempat bangunan
Marwah. Berada di restoran tersebut membuatkan aku berada seperti di Malaysia.
Restoran tersebut memonopoli ruang food court di tingkat tersebut. Barulah aku
lihat betapa ramainya jemaah daripada Malaysia yang turut sama datang beribadat
di sini.
Setelah puas bertawaf untuk mencari sebuah
tempat untuk duduk, akhirnya aku bertemu juga dengan sebuah meja yang mempunyai
hanya sebuah kerusi. Aku duduk-duduk sambil melihat gelagat manusia. Bacaan
Syeikh Maher yang mengimami solat Tahajjud sedikit tenggelam dengan suara
manusia yang begitu sibuk dengan urusan sendiri.
Tiba-tiba, datang seorang pemuda dengan
berkopiah putih datang merapati aku.
“Adik duduk seorang je ke?”
“Haah. Eh, abang tunggu sini dulu, biar
saya yang carikan kerusi untuk abang,” aku cuba menghulurkan bantuan.
“Eh, tak payah susah-susah. Adik duduk je
di sini, biar abang yang cari,” pemuda tersebut tersenyum padaku lantas terus
beredar untuk mencari kerusi.
Aku mengekori pemuda tersebut dengan anak
mata sambil membalas senyuyman. Melihat pemuda tersebut masih tidak berjaya
untuk menemui tempat duduk, kali ini aku nekad untuk menghulurkan bantuan
kepadanya.
Pencarian aku berjaya. Aku berjaya menemui
sebuah kerusi kosong dalam kepadatan manusia. Setelah pemuda itu duduk bersama
aku, datang pula seorang pak cik yang merupakan kenalan kepada pemuda tersebut.
“Mari adik, makan sekali,” pak cik tersebut
menghulurkan pinggan yang berisi bihun dan mee kepadaku. Namun aku menolak
dengan baik.
“Adik datang sini, sorang-sorang je?” Pak
cik itu bertanya.
“Haah. Kawan-kawan lain ada sahaja di
masjid.”
“Adik belajar di sini?”
“Tak, saya belajar di Jordan.”
Pak cik dan pemuda tersebut terus menikmati
hidangan. Ketika aku duduk bersama mereka, aku dapat lihat ramai mata yang
memerhatikan aku, terutamanya para wanita. Aku mula merasa sedikit tidak selesa.
Malah aku dapat melihat ada seorang wanita yang terus menjerit apabila melihat
kami.
“Apa nama pak cik ya?” Aku mula bertanya
untuk menghilangkan rasa ganjilku.
“Nama pak cik, Firdaus.”
“Owh. Nama abang pula?”
“Nama abang, Adi,” agak lambat pemuda itu
menjawab. Pak cik Firdaus pula melihat raut wajah aku dengan penuh kehairanan.
“Ni, lupa pula nak tanya, nama adik siapa?”
Kali ini pak cik Firdaus pula bertanya.
“Nama saya Hamid,” aku mula memperkenalkan
diri.
Beberapa minit kemudian, pemuda yang
bernama Adi beredar sebentar untuk membeli roaster.
“Adik tak kenal ke abang tadi?” Pak cik
Firdaus merapati aku dengan wajah kehairanan.
Aku mengerut dahi.
“Abang itu, pelakon terkenal. Adi Putra.
Pelakon cerita KL Gangster. Adik tengok cerita itu?” bersungguh-sungguh pak cik
Firdaus bercerita.
“Owh, dia ke Adi Putra. Kenal sangat-sangat
pak cik,” aku sedikit terkejut. Rupanya pemuda yang bernama Adi itu adalah Adi
Putra, seorang pelakon terkenal! Aku tersenyum sendirian.
Adi Putra kembali semula dengan membawa
roaster. Kali ini aku tidak menolak pelawaan daripadanya. Tidak beberapa lama
kemudian, sahabat-sahabat aku mula datang dan bersalaman dengan kami. Ternyata
mereka semua mengenali Adi Putra. Aku mula merasa bersalah kerana tidak sedar
sedari awal lagi. 'Pasti Adi Putra berkecil hati kerana masih ada rakyat Malaysia yang masih tidak mengenali dirinya,' bisikku di dalam hati.
Selesai bersama mereka, aku mula bersama
sahabat-sahabatku…
“Hebat enta, makan dengan pelakon. Macam
mana enta boleh kenal dengan dia? Saudara ya?” Syafiq mula bertanya.
“Eh, tak la. Jumpa dengan dia tadi. Dia
tengah cari tempat kosong. Itu yang makan sekali tu. Hakikatnya, ana pun tak
kenal pada mulanya yang dia tu Adi Putra,” aku mengaku jujur.
“Enta tak kenal dia? Mana boleh macam ini
syeikh. Enta kata nak buat filem Islamik. Kalau nak buat filem, tapi tak kenal
pelakon, susah la.”
Kata-kata Syafiq begitu terkesan di hatiku.
Ya, aku memang memasang impian untuk
menghasilkan sebuah movie Islamik. Hakikatnya, bukan mudah untuk mencapai
impianku itu. Jika aku sendiri tidak mampu mengenali para pelakon dengan baik,
bagaimana aku mahu menghasikan sebuah naskah filem yang baik?
Seorang pelajar agama tidak perlu hanya
sekadar membaca buku-buku agama sahaja. Seorang daie yang hebat adalah mereka
yang mengetahui isu-isu semasa, tahu keinginan dan kegemaran masyarakat serta
tahu untuk mengalih perhatian orang ramai. Kerana itulah Syeikh Yusuf Qardhawi
pernah menyebut di dalam Kitab Fiqh Awlawiyyat karangannya bahawa seorang
muslim yang kaya lebih baik untuk menghasilkan sebuah cerita Islam yang
mendidik jiwa daripada pergi menunaikan umrah berkali-kali.
Jadi, mari bersamaku untuk memasang impian
menghasilkan sebuah movie Islamik yang mampu mengubah pemikiran manusia kepada
cara hidup yang lebih baik. Owh, tetapi sebelum itu pastikan anda mengenali
pelakon-pelakon dengan cukup baik dahulu ya ^_^
0 comments:
Post a Comment