Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasullullah SAW bersabda "Jika ada seseorang berkata: "Orang ramai sekarang ini sudah rosak", maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka"
-Hadis Riwayat Muslim
KETERANGAN:
Iman Nawawi ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus Shalihin beliau memberi penjelasan seperti berikut:
"Larangan semacam di atas itu (larangan berkata orang ramai sudah rosak) adalah untuk orang yang berkata demikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini haram".
"Adapun orang yang berkata seperti itu kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat musibah yang dialami oleh mereka , maka perkataan ini tiada salahnya".Hadis ini sengaja dibawakan supaya menjadi peringatan kepada kita semua semasa membincang dan menghuraikan masalah-masalah umat Islam sekarang ini. Maka apabila kita membincangkan masalah-masalah umat Islam sekarang ini maka janganlah kita merasa bangga dengan diri kita sendiri, bahkan hendaklah kita menegur diri kita masing-masing dan jangan suka menuduh orang lain.
Walaupun hal kerosakan moral umat Islam sekarang ini diketengahkan, biarlah pendedahan itu dalam bentuk yang sihat, dengan perasaan yang penuh belas kasihan bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain.
Berbalik kepada persoalan pokok, menyatakan kesalahan orang lain memang mudah, tetapi apakah tindakan yang hendak lakukan untuk menyelesaikan kesilapan itu? Untuk menyelesaikan masalah, mereka yg bersalah akan dihukum, dipantau bagi memastikan mereka ini tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan. Tetapi adakah itu penyelesaian yang sempurna? Bagi aku, sekiranya berlaku kesilapan/kesalahan, penyelesaian harus dicari menerusi perbincangan, musyawarah. Menuding jari, mencari salah orang lain sudah pasti tidak akan menyelesaikan masalah, malah mewujudkan perasaan benci dan marah sahaja terutamanya di dalam organisasi.
"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Ali Imran:159)
Mudah-mudahan ALLAH SWT. dengan limpah kurniaNya mencucuri kita rahmat, taufiq dan hidayah.
0 comments:
Post a Comment