Petra, satu nama yang cukup dikenali. Pekan terpencil ini mula menjadi
tumpuan dunia apabila dipilih sebagai Tujuh Keajaiban Baru Dunia pada tahun
2007. Namanya cukup gah, duduk sebaris dengan Kota Rome di Itali, Piramid di Kaherah
dan Tembok Besar di China. Tidak pernah aku sangka, berjaya juga dalam hidupku
ini menjejakkan kaki ke salah satu tempah ajaib dunia ini.
Suasana luar sebelum memasuki gerbang keajaiban.
Angin yang agak deras menyejukkan suasana. Kelihatan ramai pelancong asing berada di perkarangan pintu masuk. Kami tidak meluru masuk ke dalam, sebaliknya terus masak dan menyediakan hidangan. Orang kata, untuk menjelajahi The Rose City ini memerlukan tenaga fizikal yang tinggi. Persiapan awal perlu dilakukan agar kami dapat menawan kemuncak Petra.
Angin yang agak deras menyejukkan suasana. Kelihatan ramai pelancong asing berada di perkarangan pintu masuk. Kami tidak meluru masuk ke dalam, sebaliknya terus masak dan menyediakan hidangan. Orang kata, untuk menjelajahi The Rose City ini memerlukan tenaga fizikal yang tinggi. Persiapan awal perlu dilakukan agar kami dapat menawan kemuncak Petra.
Tanapa rasa malu, kami membentangkan plastik makanan di kawasan parkir
kenderaan. Bukan apa, makanan di sini mahal-mahal belaka. Perut yang lapar
perlu diutamakan, takut semput dan tersungkur di perjalanan. Makan dengan
berselera tanpa menghiraukan jemaah manusia yang semakin membanjiri kawasan.
Selesai makan, kami bergegas menuju ke kaunter pembayaran.
Terkedu aku melihat harga tiket masuk bagi pelancong asing. Tiket mereka
mencecah 50 dinar. Jika ditukar, nilainya menjadi sekitar RM230! Fuh, selamat
kami punya kad pelajar di sini yang menyamakan kami membayar harga tiket sama
seperti penduduk tempatan. Kami hanya perlu membayar sedinar sahaja untuk satu
tiket masuk.
Dengan kad pelajar sini, kami berpeluang membeli tiket dengan harga serendah 1.00 JD. Hehe
THE ROSE CITY
Kami beratur, berbaris menunggu giliran untuk masuk.
Memasuki pintu masuk, kami seakan berada pada satu zaman yang berbeza.
Kuda, keldai dan unta memenuhi ruangan, mengangkut pelancong yang mahu
menjimatkan tenaga tanpa perlu berjalan. Tiada lagi kenderaan moden yang
memuntahkan asap, menyesakkan udara. Polis-polis yang mengawal keamanan juga
turut menunggang kuda. Kawasan di sana sifir pembangunan. Mereka tidak mahu
kemodenan menenggelamkan ketamadunan lama ini.
Menjejaki sejarah penemuan kota yang hilang ini, Petra mula diketahui
oleh dunia Barat apabila ditemui oleh penjelajah Switzerland yang bernama
Johann Ludwig Burckhardt pada tahun 1812. Kota ini dipercayai pernah diduduki
oleh kaum Nabatean dan kamu Tsamud yang hidup pada zaman Nabi Saleh. Mereka
terkenal dengan kemahiran seni bina dan pemotongan batu dengan memahat bukit serta
gunung menjadi bangunan yang indah.
Awal perjalanan agak membosankan dengan tiada pemandangan yang
mengujakan. Sehingga tiba ke minit sepuluh, barulah mata kami kembali segar
dengan pemandangan sebuah struktur indah yang dipahat di gunung. Binaan
terpahat itu dinamakan Tomb of the Obelisks. Sahabat seniorku berkata
bahawa ini hanya mukaddimah sahaja, sebelum kita akan melihat lebih banyak seni
keajaiban kota Petra ini.
Tomb of the Obelisks
Kami terus menyelusuri laluan.
Perjalanan kami kini tiba di laluan celahan gunungan. The Rose City mendapat
namanya di sini. Cahaya di sini malap merah seperti bunga mawar merah.
Menenangkan. Laluan itu dinamakan Siq. Sungguh mengagumkan apabila
melihat umat zaman dahulu mampu meratah gunung untuk dijadikan laluan. Sistem
saliran air juga turut kelihatan. Malah terdapat empangan air di tengah-tengah
laluan.
Menyelusuri laluan Siq
Keadaan yang agak malap di sepanjang Siq mula disimbahi cahaya
mentari. Kami tahu, kini kami hampir tiba di penghujung laluan tersebut.
MasyaAllah.
Selama ini, aku hanya melihatnya di television, poster-poster serta
bahan bacaan. Tetapi kini binaan besar bernama Al-Khazneh itu berada di hadapan mata kami, betul-betul
seusai kami keluar daripada laluan Siq. Benar, aku teruja. Kekagumanku
tidak terungkai dengan kata-kata. Binaan itu cukup gah, benar-benar indah.
Melihat gahnya binaan ini seakan aku lupa bahawa pembinanya adalah umat zaman
dahulu yang disangka tiada kemodenan.
Di hadapan Al-Khazneh
Benar, kota ini telah lama menghilang. Hilang daripada peradaban manusia
selama 500 tahun. Namun, sejarahnya tidak pernah terpadam.
TAKBUR LALU TERKUBUR
Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu
pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum ‘Aad dan memberikan tempat bagimu di
bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat
gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah, maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan
janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi membuat kerosakan. (Surah Al-A’raaf: 74)
Kaum Tsamud langsung tidak mengendahkan seruan Rasul mereka, Nabi Saleh.
Mereka yang dikurniakan kekuatan fizikal dan mental terus dibuai dengan
kesesatan. Kaum tsamud masih mengangkat patung yang dicipta daripada tangan
mereka sendiri sebagai tuhan. Lebih parah, mereka menganggap nabi Saleh sebagai
seorang yang gila.
Lalu mereka berkata; “Patutkah
kita menurut manusia daripada jenis kita, lebih-lebih lagi yang berseorangan?
Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila. Tidaklah
patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang yang lebih
layak ada) di kalangan kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi sombong dan
angkuh.” (Surah Al-Qamar: 24-25)
Mereka meminta diberikan bukti kerasulan nabi Saleh. Lalu Allah
kurniakan unta yang lahir daripada celahan batu. Nabi Saleh meminta kaumnya
agar tidak diapa-apakan unta mukjizat itu.
Mereka yang kufur masih terus dalam kesombongan mereka. Sengaja mereka
membutakan mata daripada melihat mukjizat di hadapan mata. Mereka yang beriman
pula terus menerima provokasi daripada mereka yang masih kufur dan sombong.
“Tahukah kamu bahawa Saleh diutus oleh Tuhannya?” (Surah Al-A’raf: 75)
Golongan yang beriman lalu menjawab, “Sesungguhnya kami beriman
kepada wahyu yang Saleh diutus untuk menyampaikannya.” (Surah Al-A’raf: 75)
Berang dengan jawapan daripada mereka, lalu golongan kafir itu berkata
dengan penuh takabbur, “Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya
kepada apa yang kamu imami itu.” (Surah Al-A’raf: 76)
Melihat golongan yang beriman itu tidak terkesan dengan provokasi
mereka, kemarahan mereka semakin membuak-buak. Lalu mereka membulatkan tekad,
menyembelih unta mukjizat. Melihat unta mukjizat itu dibunuh oleh mereka,
mereka bertemu terus dengan nabi Saleh seraya berkata dengan nada yang angkuh;
“Hai Saleh! Datangkanlah apa yang kamu ancamkan itu
kepada kami, jika kamu termasuk salah seorang Rasul!” (Surah Al-A’raf: 77)
Sungguh, keangkuhan mereka mendatang kemurkaan Allah.
Lalu datanglah gempa menimpa mereka, dan mereka pun
mati bergelimpangan di dalam runtuhan rumah mereka. Kemudian dia (Saleh) pergi
meninggalkan mereka sambil berkata, “Wahai kaumku! Sungguh, aku telah
menyampaikan amanat Tuhanmu dan aku telah menasihati kamu. Tetapi kamu tidak
menyukai orang yang member nasihat.” (Surah Al-A’raf: 78).
Begitulah kisah kaum Tsamud. Kerana takbur, mereka terkubur.
KEMBALI DI PETRA
Hampir seharian kami berada di Petra. Bermula seawal jam sembilan pagi.
Menyelusuri jalan luas berdebu, memasuki lorong sempit Siq, bertemu
dengan Al-Khazneh. Terus berjalan dan memanjat lagi, melihat teater dan
pusat pentadbiran mereka. Mendaki tangga yang dipahat di atas batu, menemui
lagi sebuah struktur binaan besar di puncak gunung. Lalu kami berpatah pulang
dan kembali semula di pintu masuk pada pukul tiga petang.
Di hadapan kawasan Transformer berlakon
Begitu kisah pengembaraan kami. Petra, megahnya bukan sekadar untuk
dihayati, tetapi untuk dikutip ibrahnya sekali. Betapa keangkuhan sebilangan
kecil daripada mereka, namun bala yang diterima menimpa mereka semua. Kekuatan
fizikal dan kemahiran mereka langsung tidak dapat membantu mereka. Saat azab
itu tiba, semuanya binasa.
Katakanlah; “Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah
bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah
menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah
Al Ankabut : 20)
0 comments:
Post a Comment