"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Wednesday, April 17, 2013

Ada Hijau Di Tanah Gersang


Di hadapan mata air Nabi Musa

Madaba, sebuah tempat penempatan terbesar bagi masyarakat Kristian di Jordan. Penduduknya bukan berasal daripada bangsa Arab Jordan juga, tetapi merangkumi kesemua bangsa di seluruh dunia. Bagi mereka, Madaba merupakan salah satu tempat suci bagi agama Kristian. Anggapan mereka, kawasan ini adalah kawasan-kawasan awal perkembangan kristian. Pekan lama ini menyimpan sejarah agama Kristian dan Yahudi yang tidak ternilai.

Bandar Madaba terkenal dengan nama jolokan ‘bandar mozek’, dipercayai wujud sejak 4,500 tahun yang lalu. Terkenal sebagai bandar kerajaan Moabiah dan disebut di dalam kitab Taurat. Bandar Madaba pernah dikuasai oleh Kerajaan Ammoniah, Bani Israel, Nabatean, Rum-Byzantium dan kerajaan Islam. Ia juga merupakan bandar utama yang terletak di laluan Jalan Trajan yang menghubungkan Petra dan Bosra.

Penganut Yahudi percaya bahawa di sinilah Nabi Musa mula menerima wahyu.

Penduduk tempatan juga mempercayai bahawa di sinilah suatu masa dahulu, Nabi Musa bersama bani Israil telah tersesat selama 40 tahun kerana mengingkari arahan untuk memasuki kota yang dijanjikan. Kepercayaan mereka berasas, malah wujud dua belas mata air seperti yang dikhabarkan di dalam Al-Quran, walaupun ramai yang menganggap peristiwa itu berlaku di Sinai, Mesir.

Walau di mana peristiwa itu berlaku, apa yang penting adalah ikhtibarnya, bukan lokasinya.


TANAH YANG DIJANJIKAN

Puas sudah Nabi Musa mengajak kaumnya agar memasuki tanah yang dijanjikan, tetapi kaumnya masih enggan berganjak. Perbagai ganjaran, malah telah dijanjikan dengan kemenangan, namun mereka langsung tidak menghiraukan. Ketakutan mereka menenggelamkan kebenaran. Nabi Musa masih terus mengajak.

“Wahai kaumku! Masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu berbalik ke belakang (kerana takut dengan musuh), nanti kamu menjadi orang yang rugi.” (Surah Al-Ma’idah: 21)

Namun, seruan baginda ditolak mentah-mentah oleh kaumnya, “Wahai Musa! Sesungguhnya di dalam negeri itu ada orang-orang yang sangat kuat dan kejam, dan kami tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar darinya. Jika mereka keluar sana, niscaya kami akan masuk.” (Surah Al-Ma’idah: 22)

Begitulah sifat kaum Yahudi. Mereka begitu penakut, walaupun tanah itu telah dijanjikan buat mereka. Mereka tahu, jika mereka memasukinya, pasti kedatangan mereka akan disambut dengan mata pedang. Pertempuran yang melibat pertumpahan darah pasti akan tercetus jua. Mereka cukup takut. Bangsa Israil sememangnya bangsa yang paling penakut.

Namun, di kalangan umat Nabi Musa itu, terdapat dua orang pemuda yang menyahut seruan jihad daripada baginda. Mereka berkata, “Serbulah mereka melalui pintu gerbang (negeri) itu. Jika kamu memasukinya niscaya kamu akan menang. Dan bertawakallah kamu hanya kepada Allah, jika kamu orang-orang beriman.” (Surah Al-Ma’idah: 23)

Tetapi, nyalaan semangat daripada dua pemuda tersebut dipadamkan dengan keegoan kaum-kaumnya yang ingkar. Malah, mereka mencabar pula Nabi Musa dengan berkata, “Wahai Musa! Sampai bila pun kami tidak akan memasukinya selama mereka masih ada di dalamnya, kerana itu pergilah engkau bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua. Biarlah kami tetap (menanti) di sini saja.” (Surah Al-Ma’idah: 24)

Sedih melihat kaumnya berkata sedemikian. Tiada harapan, Nabi Musa bermunajat kepada Allah Taala, “Ya Tuhanku, aku hanya menguasai diriku sendiri dan saudaraku. Kerana itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu.” (Surah Al-Ma’idah: 25)

Allah itu Maha Mendengar. Sebagai balasan atas keingkaran mereka, maka mereka disesatkan selama empat puluh tahun.

(Allah) berfirman, “(Jika demikian), maka (negeri) itu terlarang buat mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan mengembara kebingungan di bumi. Maka janganlah engkau (Musa) bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu.” (Surah Al-Ma’idah: 26)

Akibat daripada keengganan mereka, maka tersesatlah mereka di sana, berpusing-pusing di tempat yang sama. Bukannya sehari, bukan juga seminggu atau sebulan, tetapi empat puluh tahun! Dalam tempoh tersebut, hati mereka digelapkan oleh Allah Taala. Tidak berupaya mereka untuk mencari jalan keluar. Gurun itu menjadi wadah pengajaran yang cukup berharga buat mereka.

Namun, Allah masih melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka. Bani Israil yang ingkar itu tetap dalam jagaan Allah. Dilindungi mereka dengan awan, dihujani mereka dengan makanan Syurga.

Dan Kami menaungi kamu dengan awan, dan Kami menurunkan kepadamu mann (sejenis madu) dan salwa (burung puyuh). Makanlah (makanan) yang baik-baik dari rezeki yang telah kami berikan kepadamu. Mereka tidak menzalimi Kami, tetapi justeru merekalah yang menzalimi diri sendiri. (Surah Al-Baqarah: 57)

Tidak cukup dengan itu, di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, bani Israil juga turut diberikan dua belas mata air sempena dengan dua belas kabilah besar mereka. Mata air ini mengalir keluar daripada celahan batu, dan terus mengalir keluar sehingga kini.

Dan Kami membahagi mereka menjadi dua belas suku yang masing-masing berjumlah besar, dan Kami wahyukan kepada Musa ketika kaumnya meminta air kepadanys, “Pukullah batu itu dengan tongkatmu!” Maka terpancarlah dari (batu) itu dua belas mata air. Setiap suku telah mengetahui tempat minumnya masing-masing.” (Surah Al-A’raf: 160)

Diberi betis, mahu peha.

Bani Israil ini memang satu kaum yang tidak tahu bersyukur. Dengan segala nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka, malah Allah tetap melimpahkan rahmat-Nya dalam keadaan kaum itu ditimpa bencana, mereka tetap meminta kesenangan daripada Rasul mereka. Tidakkah mereka tahu erti syukur? Tidak malukah mereka kepada Rasul mereka sendiri? Kepada Allah?

Dengan limpahan kesenangan yang dilimpahkan kepada mereka, mereka masih terus meminta kepada Nabi Musa, “Wahai Musa! Kami tidak tahan hanya (makan) dengan satu macam makanan saja, maka mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, agar Dia memberi kami apa yang ditumbuhkan bumi, seperti; sayur-mayur, mentimun, bawang putih, kacang adas, dan bawang merah.” (Surah Al-Baqarah: 61)

Sungguh tidak sangka kaumnya bersifat begini. Mudah baginda menjawab, “Apakah kamu meminta sesuatu yang buruk sebagai ganti dari sesuatu yang baik? Pergilah ke suatu kota, pasti kamu akan memperoleh apa yang kamu minta.” (Surah Al-Baqarah: 61)

Lalu, kaum-kaumnya yang tamak haloba itu ditimpa kenistaan dan kemiskinan akibat perbuatan mereka sendiri.

Mendekati tahun keempat puluh, wafatlah Nabi Harun di sana. Setahun kemudian, Nabi Musa pula meninggalkan dunia. Genap empat puluh tahun, barulah bani Israil berjaya keluar daripada kesesatan yang cukup panjang dan berjaya memasuki tanah yang dijanjikan di bawah pimpinan Nabi Yusha’.


HIKMAH DI SEBALIK ANGKA EMPAT PULUH TAHUN

Mata air Nabi Musa itu kami nikmati. Airnya segar mendamaikan. Terasa bagai satu keajaiban. Di tengah-tengah padang pasir yang tandus ini, mengalir padanya dua belas mata air. Aliran air itu membuatkan kawasan di sekelilingnya turut subur. Pohonan hijau lebat menumbuhi. Namun, hanya sekadar di situ sahaja kehijauan yang melata di sebalik gersangnya sahara yang menenggelami kawasan.

Di sebalik kisah bani Israil itu, pasti terselit padanya hikmah mengapa disesatkan mereka sehingga empat puluh tahun lamanya. Tempoh itu cukup panjang. Maha Suci Allah daripada melakukan sesuatu secara sia-sia.

Sebenarnya, tempoh waktu yang cukup panjang itu digunakan untuk menghapuskan kesemua manusia di kalangan bani Israil yang tidak suci hatinya. Dalam tempoh tersebutlah mereka yang tidak ikhlas telah menemui kematian. Generasi baru yang dipimpin oleh Nabi Yusha’ pula telah ditarbiah dan diajar oleh Allah SWT melalui penderitaan di padang pasir tersebut.

Lantaran tarbiah daripada Allah, generasi baru ini berjaya mengalahkan kaum Jabbarin, sekaligus menawan kota Baitul maqdis.

Begitulah kisah dan hikmah di sebalik kisah Nabi Musa bersama kaumnya yang bukan sahaja penakut, malah tidak tahu erti syukur. Perjalanan yang cukup panjang sebelum mereka berjaya juga menjejakkan kaki ke tanah yang dijanjikan. Benarlah, perjuangan itu bukan mudah. Padanya perlu melalui satu perjalanan yang cukup panjang.

Kami mula meninggalkan Wadi Musa yang penuh dengan tinggalan sejarah. Melepasi puncak tertinggi, terlihatlah di hujung sana sebuah kawasan hijau hasil daripada mata air yang keluar daripada celahan batuan. Kehijauannya jelas kelihatan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Rupanya, ada hijau di tanah gersang.

0 comments:

Post a Comment

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger