Islam sangat menitik beratkan
penjagaan rambut samada menyikat, merapi, mendandan, memotong dengan kemas
(bagi lelaki) atau memanjangkan (bagi wanita), menyinarkan, menyapu minyak yang
wangi dan sebagainya. Berdasarkan hadith yang sahih diriwayatkan oleh Abu Daud: "Apabila
seseorang dari kamu mempunyai rambut maka muliakanlah". Hadith
ini umum baik bagi golongan lelaki mahupun bagi golongan perempuan. Saidatina
Aisyah pula pernah berkata yang bermaksud: “Perhiasan bagi lelaki adalah
pada janggutnya, dan perhiasan bagi wanita pula adalah pada rambutnya.”
Penulis mengelaskan permasalahan pemakaian rambut
palsu dengan dua jenis, iaitu rambut palsu daripada rambut manusia dan rambut
palsu yang bukan berasal daripada rambut manusia. Penulisan pula dengan kalimah ‘penyambungan
rambut’ yang membawa maksud ‘pemakaian rambut palsu’.
Perempuan yang menyambungkan rambut :
Ittifaq (kesemua) ulamak telah
bersepakat bahawa HARAM bagi wanita untuk menyambungkan rambut berdasarkan
hadis sahih Bukhari, daripada Aisyah RA, sesungguhnya Jarib daripada Ansar
berkahwin, dan dia sakit, rambutnya telah habis dipotong, dan dia mahu
menyambung rambut, maka dia bertanya kepada Rasulullah SAW, maka Nabi SAW
berkata: “Allah melaknat wanita yang menyambungkan rambut dan meminta
disambungkan rambutnya.”
'Disambungkan' di dalam hadis adalah
menyambung rambut wanita dengan rambut wanita yang lain. Maka, bagi masalah
ini, hukumnya adalah HARAM bagi wanita untuk menyambung rambutnya dengan rambut
wanita yang lain berdasarkan kalimah ‘laknat’, bahkan perbuatan ini tergolong
di dalam dosa-dosa besar. Berkata Imam Nawawi: “dan di dalam hadis ini
menjelaskan wanita yang menyambungkan rambut tergolong dalam maksiat yang besar
dan dilaknat perbuatannya.”
Hukum Wanita Menyambungkan Rambut dengan
yang bukan Rambut Manusia yang lain:
Ulamak telah berselisih pandangan
berkaitan masalah ini dengan EMPAT pandangan:
- Mazhab Hanafi :
Menyambung rambut dengan yang bukan daripada rambut manusia seperti bulu dan
tali adalah HARUS. Haramnya penyambungan rambut ini hanya kepada rambut manusia
yang lain sahaja berdasarkan hadis. Maka jika disambungkan rambut dengan yang
bukan daripada rambut manusia adalah diharuskan.
- Mazhab Maliki dan Zohiriyah : Menyambungkan rambut dengan yang bukan daripada rambut manusia seperti daripada bulu haiwan adalah HARAM. Berkata Imam Malik: “tidaklah sepatutnya bagi wanita itu untuk menyambungkan rambutnya daripada rambut manusia atau yang selainnya.” Berdasarkan dalil umum hadis Jabir: “Nabi SAW menghalang para wanita untuk menyambungkan rambut walau dengan apapun.” Kerana padanya adalah penipuan yang besar dan menukar ciptaan Allah Taala.
- Mazhab Hambali : Menyambungkan rambut dengan yang selain
daripada rambut manusia seperti bulu haiwan adalah HARAM sepertimana
menyambungkan rambut dengan rambut manusia yang lain berdasarkan hadis yang
sebelum ini kerana ia dianggap sebagai satu penipuan. Jika disambungkan bukan
daripada bulu haiwan dan memerlukan hajat yang tersangatan, maka hukumnya
adalah HARUS.
- Mazhab Syafie : Menyambung
rambut yang bukan daripada rambut
manusia yang tidak najis seperti bulu kambing yang dijadikan benang hukumnya
HARUS dengan tiga pandangan:
- Pertama: HARUS menyambung dengan keizinan suami.
- Kedua : HARAM menyambungkan rambut secara mutlak walaupun mendapat keizinan suami.
- Ketiga : HARUS menyambungkan secara mutlak walaupun tidak mendapat keizinan suami.
Dan pandangan yang pertama adalah yang paling sahih di
sisi Mazhab Syafie. Kerana bagi imam Syafie, menyambungkan rambut dengan yang
bukan daripada rambut manusia tidak wujud penipuan.
Wanita yang Mencukur Rambut :
Ulamak telah berijmak bahawa wanita
tidak boleh bercukur ketika haji, dan sekadar memendekkan sahaja.
Jumhur ulamak di sisi Hanafiyyah,
Syafiiyah dan Hanabilah bahawa MAKRUH bagi wanita untuk mencukur rambut tanpa
ada darurat ataupun kesakitan, kerana wanita punya hak bagi mereka untuk
mencantikkan kembali rambut mereka dengan cara mencukur (seperti rambut yang
kusut, dicukur untuk mencantikkan kembali). Dan haram bagi seorang wanita untuk menyerupai
lelaki.
Imam An-Nasai meriwayatkan daripada
saidina Ali r.a berkata : “Rasulullah SAW menegah perempuan yang
mencukur kepala dan perempuan yang mencukur kepalanya tidak layak digelar
perempuan sedangkan rambut itu perhiasan yang khusus baginya. “(
perempuan2 di zaman jahiliah apabila mereka ditimpa musibah seperti kesedihan
kerana kematian suami atau anak, mereka mencukur kepala )
Di sisi Malikiyyah dan Zohiriyah, HARAM
mencukur kepala bagi wanita secara mutlak berdasarkan hadis di atas. Dan ini
adalah pandangan yang rojih.
Hukum Mencantikkan Rambut melalui
Pembedahan
Dewasa kini, banyak syarikat-syarikat
kecantikan yang membuat rawatan kecantikan rambut melalui pembedahan. Ini
merupakan masalah baru yang tidak pernah wujud pada zaman dahulu. Jadi, apakah
hukum bagi permasalahan ini?
Sebelum menjawab persoalan ini, adalah
lebih baik bagi dijelaskan garis sempadan bagi mereka yang mahu mencantikkan rambut.
Garis Sempadan Bagi Wanita untuk
Mencantikkan Rambut
- Tidak boleh mencantikkan dengan penipuan(mengambil daripada rambut orang lain).
- Tidak mengubah sehingga hilang ciptaan yang asal.
- Bahan yang digunakan bukan daripada najis.
- Bukan bertujuan untuk menyerupai jantina (lelaki dan wanita) yang selainnya.
- Bukan bertujuan untuk menyerupai orang kafir ataupun orang jahat.
- Tidak membawa kemudharatan yang besar.
Jika garis panduan di atas dipatuhi,
maka hukum mencantikkan rambut melalui rawatan pembedahan adalah HARUS.
Bagi rawatan rambut melalui penanaman
rambut di kepala pula untuk melebatkan rambut, hukumnya HARUS jika tiada
penipuan padanya. Malah rawatan ini mampu mengembalikan semula penciptaan
rambut kepada manusia.
Rawatan Rambut Beruban pada Kepala Remaja dan Kanak-Kanak
Rambut manusia beruban dengan dua cara, iaitu kerana tabii(usia yang semakin lanjut) dan bukan disebabkan tabii (disebabkan penyakit).
Maka HARUS hukumnya bagi remaja mahupun kanak-kanak yang beruban ini untuk mendapatkan rawatan jika tiada penipuan dan pengubahan ciptaan manusia padanya (sekadar merawat uban sahaja).
_________________________
Rujukan:
كتاب قضايا فقهية معاصرة
د. حمد العزام
الفصل الدراسي الثاني
في باب : تجميل الشعر بالوصل والاءزالة والجراحة
0 comments:
Post a Comment