Di hadapan pintu masuk perkarangan gua Ashabul Kahfi
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal
mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman
kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat lagi petunjuk.
(Al-Kahfi: 13)
Di celahan
kilang-kilang perindustrian, kami dapat melihat dari jauh sebuah masjid berdiri
utuh di atas sebuah bukit. Masjid itu semakin didekati. Akhirnya, kami selamat
juga tiba di sana, kawasan bermukimnya para pemuda di dalam gua. Kisahnya
masyhur, malah terakam di dalam Al-Quran pula. Ashabul Kahfi, tidurnya mereka
di dalam iman. Larinya mereka demi menyelamatkan aqidah.
Van yang
dinaiki selamat berhenti. Luncur sahaja kami membersihkan diri lalu menunaikan
solat jamak. Seusai solat, kami terus keluar, menuju ke arah kawasan gua
sejarah. Gua itu kini dijaga rapi dan dipagari. Saat kami mula mahu menjejak
masuk ke dalam gua, kisah pemuda-pemuda tersebut kini kembali bermain di
fikiranku.
Kembali Pada
Kisah Ashabul Kahfi
Tempat persembunyian para pemuda beriman berjaya ditemui. Gua yang
terletak di puncak bukit segera dikepung. Bukan sedikit pengawal istana yang
datang, gamaknya seakan mahu menangkap sekumpulan besar penjenayah pula. Bukit
itu segera dikepung dari setiap penjuru. Para pengawal mula memanjat bukit
tersebut lantas semakin mendekati gua yang dihuni oleh mereka.
Sampai berhampiran gua, pantas sekumpulan pengawal istana memasuki pintu
gua. Namun tidak sampai senafas, mereka melompat keluar daripada gua. Badan
mereka menggeletar ketakutan, sama seperti orang yang kurang siuman. Apabila
ditanya ada apa di dalamnya, mereka tidak mampu menjawab, sebaliknya terus lari
lintang pukang.
Adapun, masuklah lagi pengawal istana yang lain. Melangkah gagah seakan
menyindir sahabat mereka yang ketakutan tadi. Tetapi babaknya tetap sama,
mereka melompat keluar, sama seperti tadi. Wajah pengawal tersebut berkerut
seribu, seakan melihat sesuatu yang cukup menakutkan. Masing-masing kini
ketakutan untuk memasuki pintu gua tersebut.
Ada apa di dalam gua tersebut?
Melihat pengawalnya yang bersikap aneh, memaksa si Maharaja yang duduk
melangut di kaki bukit untuk memanjat ke atas. Habis dimakinya para pengawalnya
yang tidak punya sikap berani serta lemah semangat. Dengan penuh kemegahan, si
Maharaja memasuki pintu gua.
Seperti diduga, si Maharaja juga turut berlari keluar daripada gua
selepas hanya beberapa detik berapada di dalamnya. Habis terlondeh segala
kemegahannya sebagai seorang Maharaja.
Badannya menggeletar, peluh menyimbah keluar. Raut wajahnya tergambar
ketakutan yang teramat sangat. Biarlah pengawalnya mahu berkata apa, yang pasti
dia memang cukup gerun selepas memasuki gua tersebut.
Benarlah firman Allah Taala, bahawa Allah sentiasa memelihara tubuh para
pemuda tersebut. Sesiapa yang memasukinya, pasti mereka akan keluar kembali
kerana rasa ketakutan yang dicampakkan ke dalam hati mereka.
“Dan engkau mengira mereka itu tidak tidur, padahal
mereka tidur; dan Kami bolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang
anjing mereka membentangkan kedua lengannya di depan pintu gua. Dan jika kamu
menyaksikan mereka, tentu kamu akan berpaling melarikan (diri) dari mereka dan
pasti kamu akan dipenuhi rasa takut terhadap mereka.” (surah Al-Kahfi: 18)
Siang berganti malam, hari berganti minggu, minggu terus berlalu
memasuki bulan dan tahun. Bumi dan bulan masih beredar dalam edarannya. Masa
yang berlalu begitu pantas meninggalkan tamadun. Zaman kezaliman Maharaja
berlalu pergi. Cahaya keimanan mula memasuki. Mereka yang hidup telah lama
mati. Namun tubuh para pemuda beriman tersebut masih terpelihara, kekal sama
seperti yang adanya.
Dan mereka tinggal di dalam gua selama tiga ratus
tahun dan ditambah Sembilan tahun.” (surah Al-Kahfi: 25)
Dengan izin dariNya, terjagalah para pemuda tersebut daripada lena yang
panjang. Terasa badan mereka begitu lenguh, seakan tidur mereka begitu panjang
sekali. Masing-masing kehairanan dan bertanya sesama sendiri. Sudah berapa lama
mereka telah terlena? Mereka menyangka bahawa tidur mereka hanya setengah hari,
boleh jadi juga tidur mereka genap sehari. Entah, masing-masing punya andaian
sendiri.
“Dan demikianlah Kami bangunkan mereka, agar di antara
mereka saling bertanya. Salah seorang di antara mereka berkata, “Sudah berapa
lama kamu berada (di sini)?” Mereka menjawab, “Kita berada (di sini) sehari
atau setengah hari. Berkata (yang lain lagi), “Tuhanmu lebih mengetahui berapa
lama kamu berada (di sini).” (surah Al-Kahfi: 19)
Dalam kebingunan lantaran terasa begitu lama sekali mereka tertidur,
barulah mereka tersedar bahawa mereka kini dalam keadaan kelaparan yang
tersangatan. Mulalah mereka berbincang dan mencari jalan bagaimana mahu
memperolehi makanan tanpa dapat ditangkap oleh askar Maharaja yang zalim itu.
Akhirnya mereka sepakat agar salah seorang daripada mereka keluar secara
senyap-senyap dan penuh berhati-hati. Pemuda yang dipilih itu diberi wang Perak
untuk dia membeli makanan yang baik untuk mereka semua.
Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke
kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan
yang lebih baik, dan bawalah sebahagian makanan itu untukmu, dan hendaklah dia
berlaku lemah lembut dan jangan sesekali mencaeritakan halmu kepada sesiapa
pun.” (surah Al-Kahfi: 19)
Dengan penuh berhati-hati, pemuda itu menyelusuri laluan menuju ke pintu
kota. Sesampainya di pintu kota, dia terkejut. Sangat terkejut. Dilihatnya kota
itu telah mengalami begitu banyak perubahan. Malah, kesemua penduduk yang
dilihatnya langsung dia tidak kenali. Bagaimana hal seumpama ini boleh terjadi?
Sedangkan dia begitu pasti bahawa inilah kota yang mereka tinggalkan pada malam
tadi.
Biarlah hal sebegini terjadi. Dia tidak ambil peduli lagi. Perutnya
begitu lapar sekali. Sahabat-sahabatnya di gua pasti menunggu kepulangannya
bersama dengan bekalan makanan. Duit perak yang berada di genggamannya
digenggam erat. Dia kini mahu mencari makanan yang baik dan bersih untuk
dirinya dan buat sahabat-sahabatnya.
Setelah bertemu dengan sebuah kedai yang dirasakan baik, dia lantas
mengambil makanan. Selesai sahaja, dia menghulurkan wang syiling peraknya itu
kepada si penjual. Tatkala wang perak itu bertukar milik, si penjual itu akan
bentuk nilaian wang syiling perak tersebut. Mengerti benar si penjual itu
bahawa wang syiling itu adalah wang lama yang kini tidak digunakan lagi.
Tanpa berfikir panjang, si penjual terus gasak bertanya kepada pemuda
beriman itu bagaimana dia memperolehi wang tersebut. Dengan jujur pemuda itu
berkata bahawa itu adalah wang miliknya. Kenapa perlu bertanya itu dan ini? Si
penjual tidak berpuas hati, lalu dia memberitahu bahawa itu adalah wang lama
yang tidak digunakan lagi. Sekali lagi pemuda beriman itu terkejut bukan
kepalang.
Di dunia manakah dia berada kini?
Pemuda beriman itu sekali lagi mengelilingi kota. Nyata, begitu banyak
perubahan yang berlaku di kota itu. Lebih hairan apabila dia tidak melihat
langsung patung-patung berhala yang
sebelum ini menguasai pemandangan kota tersebut. Di mana patung-patung berhala
itu kini?
Sedang dia berjalan-jalan, dia melihat himpunan manusia yang berhimpun
untuk mendengar ucapan. Kedengaran ucapan yang dilontarkan itu percaya pada
kewujudan Tuhan Yang Satu, Cuma dia tidak percaya pada kehidupan selepas
kematian. Tegasnya, mana mungkin manusia yang sudah mati mampu dihidupkan
kembali untuk kali kedua?
Berasa hairan, dia bertanya kepada salah seorang penduduk tempatan
perihal kota ini. Benar, ini adalah kota yang mereka tinggalkan pada malam
semalam, tetapi kemuncak kehairannya berada pada tahap tertinggi apabila
Maharaja zalim itu telah lama mati, ratusan tahun dahulu. Malah, para penduduk
kota juga tidak lagi menyembah berhala kerana agama anutan mereka kini adalah
menyembah Allah, Tuhan Yang Esa.
Pemuda beriman itu kembali ke gua dengan perasaan kehairanan yang masih
belum hilang. Bagaimanan dalam satu malam sahaja, boleh mengubah segalanya?
Sungguh Allah itu Tuhan Yang Berkuasa, Tuhan yang mampu memati dan menghidupkan
manusia dengan izin-Nya. Bukti tentang kebenaran kehidupan selepas kematian ada
di hadapan mata, malah terjadi terhadap mereka.
Dan demikian (pula) Kami perlihatkan (manusia) dengan
mereka, agar mereka tahu, bahawa janji Allah benar, dan bahawa (kedatangan)
hari Kiamat tidak ada keraguan padanya.” (surah Al-Kahfi: 21)
Pemuda itu tiba semula ke gua, bertemu dengan sahabatnya yang beriman.
Kembara mereka dalam menyelamatkan aqidah melempasi sempadan kurun. Dengan
kuasa Allah jua, mereka ditidurkan sekali lagi. Kali ini, untuk selama-lamanya.
Sebagai memperingati kisah pemuda beriman itu, Maharaja pada zaman itu
mengarahkan agar dibina sebuah bangunan ibadat di atas gua tersebut. Baginda
berharap agar kisah pemuda gua yang beriman itu menjadi bukti yang nyata
tentang kehidupan semula selepas kematian. Moga rakyatnya tidak lagi
mempersoalkan tentang hari Kiamat tersebut.
Ketika mereka berselisih tentang urusan mereka, maka
mereka berkata, “Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Tuhan mereka
lebih mengetahui tentang mereka.” Orang yang berkuasa atas urusan mereka
berkata, “Kami pasti akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya.” (surah Al-Kahfi: 21)
SEKALI lagi aku tersedar daripada lamungan yang panjang. Ruang kawasan
gua Ashabul Kahfi ini semakin dipenuhi pengunjung. Tanpa sedar,
sahabat-sahabatku sudah keluar daripada gua, tinggal aku keseorangan.
Kedengaran suara penjaga gua terus menceritakan kisah ini kepada para
pengunjung yang tiba. Aku tersenyum sendirian. Bersyukur diberi kesempatan tiba
di sini.
"sampaikan
dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari
kisah-kisah Bani Isra'il dan itu tidak mengapa (iaitu tidak berdosa walaupun ia
tidak sahih dengan syarat memberitahu ia kisah Bani Israil dan bukan
hadith). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan
hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah
menempati tempat duduknya di neraka". (hadis riwayat al-Bukhari)
Benarlah, harga
keimanan tiada nilainya.
0 comments:
Post a Comment