Gamaknya, kini menjadi fenomena para remaja berkahwin ketika masih di alam pembelajaran. Siapa yang tidak suka untuk berkahwin, bukan? Malah, jika ada perbualan sesama pelajar, pastinya isu ini tidak lari daripada topik yang dibualkan, tidak kira lelaki mahupun wanita. Golongan pelajar yang inginkan mendirikan rumah tangga kebiasaannya selepas mereka menemui insan yang dirasakan sesuai untuk dijadikan pasangan.
Mengapa Perlu Berkahwin Awal?
Antara dalil kuat yang mendorong untuk pelajar berkahwin awal adalah untuk mengawal gelora nafsu. Perkahwinan yang dibina pastinya akan membolehkan pasangan ini mengalirkan aliran nafsu mereka ke jalan yang halal. Tiada lagi soal zina hati, sebaliknya hubungan yang dibina menambahkan lagi pahala bagi mereka. Bayangkan hubungan dahulu sebelum nikah yang bergelumang dengan dosa noda, terus bertukar menjadi salah satu ibadah hanya dengan lafaz sakinah. MasyaAllah!
Perkahwinan ketika usia muda juga merupakan salah satu sunnah yang dituntut oleh Rasulullah SAW.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
"Wahai sekalian pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan kemaluan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah ia kerana dengan berpuasa dapat memelihara daripada kejahatan." – (Hadis Nasai dan Abu Daud).
Aku sendiri dikelilingi dengan para sahabat yang ingin mendirikan mahligai ketika belajar. Asal bertemu, pasti topik ini yang mendapat tempat. Masing-masing, mengeluarkan hujah, mengemukakan pendapat. Ditambah lagi dengan segelintir sahabat kami yang mendirikan rumah tangga dalam situasi seperti kami, dan ternyata mereka semakin bahagia.
Diakui, perkahwinan di usia awal ini sememangnya baik, baik dari segi syariat, akhlak, agama dan macam-macam lagi. Perkahwinan di usia muda juga mampu menghasilkan anak yang pintar. Dari sudut yang lain, ibu bapa tidak perlu lagi risau kerana sudah ada orang yang sah di sisi agama untuk menjaga keselamatan, keperluan dan kebajikan anak perempuannya.
Mari berkahwin muda!
Semudah itu Sahaja?
Namun kebiasaannya, keinginan anak muda ini akan mendapat halangan daripada ibu bapa. Antara alasan yang dikemukakan adalah, "Nanti bila sudah kahwin, mahu beri nafkah apa pada isteri?" Orang tua juga pasti tidak merasa yakin untuk melepaskan anak mereka, kerana tanggungjawab selepas perkahwinan bukan kecil, bukan sekadar mahu mengelakkan maksiat sahaja!
Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat kebahagian anak-anaknya?
Hakikatnya, zaman ini tidak sama dengan zaman dahulu. Niat anak-anak muda ini suci, mahu mengelakkan maksiat dan dosa keji. Zaman fitnah dan maksiat ini memaksa para remaja untuk berkahwin awal sebagai jalan keluar daripada terus hidup digelumungi dosa. Dunia kini cukup berbeza, dengan segala pintu maksiat sentiasa terbuka, cukup merangsang jiwa muda.
Kesimpulan awal, tiada salahnya untuk para remaja ini berkahwin awal, hatta mereka masih menuntut pelajaran lagi. Asalkan perkahwinan itu mendapat redha daripada keluarga.
Perlu juga diingat, redha semata-mata bukannya kunci bagi memasuki gerbang perkahwinan yang cukup mencabar ini. Redha tanpa persiapan mental dan fizikal juga tidak berguna. Seperkara lagi, mahu tidak mahu wang juga diperlukan untuk merialisasikan perkahwinan ini. benar, wang bukan segalanya, tetapi segalanya kini memerlukan wang. Asal ibu bapa bersedia untuk 'menyara' pasangan muda ini, itu sudah cukup.
suami bukan untuk dibebani, tetapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tetapi untuk dikasihi.
Buat para remaja, adakah anda ingin meneruskan niat untuk berkawhin muda? Ketika di masih alam pembelajaran? Semudah itu sahajakah?
0 comments:
Post a Comment