"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Saturday, December 29, 2012

bab 1: SENGOKU



BAB 1

Bandar Ipoh, Perak
Pertengahan tahun 1940

BANDAR Ipoh meriah dengan orang berjual beli. Nama bandar ini diambil daripada pohon "epu" atau lebih dikenali sebagai "pokok Ipoh" dengan getahnya yang beracun dan digunakan oleh Orang Asli untuk panahan sumpitan mereka. Bandar Ipoh mula berkembang pesat apabila lombong-lombong bijih timah mula dibuka secara meluas. Malah bandar Ipoh yang terletak di kawasan Lembah Kinta dikatakan merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang terbesar di dunia.
            
Tiada apa yang dicari oleh Zulkarnain di bandar itu. Lelaki yang berpewatakan menarik itu hanya berjalan-jalan melihat bandar yang sudah lama tidak dijejakinya. Rindunya pada kesesakan manusia, kemeriahan manusia tawar menawar dalam urusan jual beli serta kerinduan pada laksa kuala menggamit dia datang ke mari. Bandar ini sudah jauh berkembang pesat setelah dipilih menjadi ibu negeri Perak menggantikan bandar Taiping.
            
Sedang Zul berjalan-jalan, matanya terpandang satu susuk tubuh seorang lelaki berbangsa Jepun. Lalu Zul  merapati lelaki tersebut. Lelaki itu kelihatan sedang kebingungan. Disapanya lelaki itu daripada belakang. Segera lelaki itu memalingkan muka. Mukanya jelas kelihatan ketakutan.
            
Zul cuba mendekati lelaki Jepun tersebut. Namun semakin Zul mendekati, semakin pula lelaki itu menjauhi. Zul tidak berputus asa. Dia terus mengekori lelaki Jepun itu. Seingat dirinya, inilah kali pertama dia melihat seorang lelaki berbangsa Jepun di bandar Ipoh. Zul pasti lelaki itu adalah berbangsa Jepun, bukannya berbangsa Cina. Kerana itu dia nekad untuk menegur sapa lelaki Jepun itu.
            
Akhirnya Zul berjaya mendekati lelaki itu daripada belakang. Dicuitnya bahu lelaki itu. Cepat-cepat lelaki itu menoleh ke belakang. Raut wajahnya seakan melihat hantu apabila berhadapan dengan Zul. Zul cuba mententeramkan lelaki itu dengan sebuah senyuman. Namun wajah lelaki itu masih berada dalam ketakutan.

“Jangan takut. Saya orang baik-baik,” Zul bertutur dalam bahasa Jepun. Lelaki Jepun itu kelihatan agak terkejut. Zul menghulurkan salam. Dengan segera salamanya dibalas.
            
“Kamu pandai berbahasa Jepun?” Lelaki Jepun itu bersuara di dalam bahasa Melayu. Kagum dengan lelaki berbangsa Melayu itu yang mampu bertutur dalam bahasa Jepun.
            
“Wah, kamu pandai rupanya berbahasa Melayu. Bahasa Jepun? Tidaklah pandai sangat, Cuma tahu sikit-sikit sahaja,” Zul merendah diri. Kali ini, dia pula kagum dengan lelaki Jepun yang baru dikenalinya itu.
            
“Takashi, Azuma Takashi,” lelaki Jepun itu memulakan perkenalan.
            
“Zulkarnain. Panggil sahaja Zul.”
            
Wajah ketakutan yang terpamer pada lelaki bermata sepet yang bernama Takashi itu mula menghilang.

“Kenapa tadi kamu kelihatan cukup takut apabila melihat aku? Seperti aku ini berwajah hantu pula,” Zul bertanya ingin tahu.

Lalu Takashi menceritakan bagaimana dia dikejar dan dipukul oleh sekumpulan pemuda berbangsa Melayu tanpa sebab pada petang semalam di sini. Namun nasib baik orang ramai datang mententeramkan keadaan. Luka yang dialaminya tidak seteruk mana. Kerana itu dia mengandaikan Zul juga berniat sama, lebih-lebih lagi apabila melihat Zul asyik memerhati dan mengekori dirinya daripada jauh. Traumanya masih belum hilang.

“Jangan bimbang, saya orang baik-baik,” Zul sekali lagi cuba memberikan keyakinan lelaki Jepun itu terhadap dirinya. Wajahnya dimaniskan seikhlasnya.

Lelaki Jepun yang bernama Azuma Takashi kini mula tersenyum.

Pengalaman kali pertama bertemu dengan seorang lelaki Jepun di bandar Ipoh membuatkan Zul tertarik untuk berkenalan dengannya.  Banyak perkara yang dibualkan oleh mereka. Pengalaman Zul yang pernah menetap di Jepun selama tiga tahun membuatkan ada sahaja perkara yang mereka borakkan. Terubat juga kerinduan Zul untuk berbual di dalam bahasa Jepun. Takut-takut jika dia tidak mempraktikan bahasa itu, lama-kelamaan dia tidak mampu lagi untuk bertutur bahasa Jepun.

“Malam ini kamu tidur di mana, Takashi?” Luncur soalan itu ditanya sebelum mereka mahu berpisah.

Takashi hanya tunduk terdiam.

“Takashi?”

“Di mana ada tempat untuk beralas, di situlah tempat untuk aku diami,” Takashi masih terus menunduk malu.

“Malam ini, kamu tidur di rumah aku sahaja. Jom,” Zul gegas menarik tangan Takashi. Takashi hanya mengikut gerak Zul tanpa membantah.

Sampai sahaja di rumah, Hajah Saleha menyambut sahabat baru Zulkarnain. Tetamu istimewa itu dilayan dengan cukup baik. Takashi berasa begitu terharu dengan layanan yang diberikan.

“Pak cik kamu malam ini baliklah dia. Nanti boleh kita makan sekali,” ramah Hajah Saleha berbual dengan Takashi.

Sementara menunggu malam, Zul mengajak Takashi berbual di biliknya. Rumah kediaman keluarga Zulkarnain kelihatan cukup besar dan mewah. Terkebil-kebil mata Takashi melihat ceruk ruang rumah tersebut dengan perasaan yang takjub.

“Kalau kamu tidak keberatan, ceritalah kepadaku bagaimana kamu boleh bermusafir sehingga tiba di sini?” Zul ingin tahu asal kedatangan Takashi. Takashi mengangguk setuju lalu menceritakan pengalamannya.

Takashi merupakan seorang bangsa Jepun yang Tinggal di Harajuku. Kesimpitan hidup yang menghimpit keluarganya memaksa dia keluar mengembara sehingga dia tiba ke Tanah Melayu melalui sempadan Sungai Golok, Kelantan bersama-sama sahabat-sahabatnya yang lain. Dari situ, Takashi mula hidup dengan masyarakat Melayu di Kampung Pantai Chinta Berahi di Kelantan. Takashi memulakan kehidupannya sebagai nelayan.
        
    Setelah hampir setahun tinggal di sana, Takashi berpindah pula ke Grik, Perak. Di sana, dia menceburi bidang pertanian. Pengalaman yang pernah ditimba sewaktu di Jepun dahulu digunakan dengan sebaiknya. Hasilnya, Takashi berjaya dalam bidang yang diceburinya. Dia mula menjadi buah mulut masyarakat di sana sebagai salah seorang petani contoh.
            
Namun, Takashi juga tidak lama menetap di sana. Selepas puas dengan kejayaan yang dikecapnya, dia membawa diri pula ke bandar Ipoh. Disangkanya kehidupan di ibu negeri Perak itu mudah, namun dia tersilap percaturan. Hasratnya untuk membuka perniagaan di sini sering tertutup dek kerana peniaga berbangsa Cina yang memonopoli kawasan tersebut. Takashi hampir berputus asa dan mahu membawa diri ke tempat lain pula. Namun pada waktu itulah dia dipertemukan dengan Zulkarnain.

            Malam pun menjelang. Selesai solat Isyak, Zul membawa Takashi turun ke dapur. Kelihatan semua keluarganya telah menunggu. Hajah Saleha mempersilakan Takashi duduk. Iqlima, adik kepada Zulkarnain tertunduk malu. Kebiasaannya, Iqlima yang paling banyak bercakap ketika mereka sedang makan bersama, tetapi anak dara keluarga Tuan Haji Kasim itu hanya diam seribu bahasa sahaja.

            Selesai makan, Zul membawa Takashi bertemu dengan ayahnya, Tuan Haji Kasim. Ayah Zul merupakan seorang tokoh usahawan Melayu yang paling berjaya. Kejayaannya yang berjaya memecah monopoli penguasaan bangsa Cina dan Eropah dalam bidang perindustrian bijih timah di Lembah Kinta meletakkan beliau sebagai tokoh perniagaan yang dibanggakan bangsa Melayu. Malah perniagaannya tersebar luas sehingga ke penghujung timur dunia,  negara Jepun.

            Tuan Haji Kasim memang seorang yang cukup pemurah. Setelah Takashi menyampaikan hasratnya untuk membuka perniagaan, beliau memberikan Takashi sebuah kedai runcit untuk dia uruskan di kampungnya, Kampung Embun. Lagipun, kampungnya itu masih belum memiliki kedai runcit sendiri. Penduduk kampung terpaksa menyeberang ke kampung sebelah untuk membeli barangan keperluan rumah.

            Takashi menerima tawaran Tuan Haji Kasim dengan hati terbuka. Bukan itu sahaja, Tuan Haji Kasim turut memberikan sebuah rumah untuk Takashi diami di kampung tersebut. Walaupun Takashi menolaknya, namun beliau tetap berkeras untuk memberikan kediaman itu secara percuma kepadanya. Akhirnya, Takashi tinggal juga di sana tanpa dikenakan sebarang bayaran.

            Takashi mahu membuktikan kepada Tuan Haji Kasim bahawa pengorbanan yang dicurahkan oleh tokoh perniagaan Melayu itu akan dibalasnya. Kedai runcit yang diuruskannya berkembang dengan pesat. Malah Takashi selalu memberikan barangan yang dijualnya secara percuma kepada penduduk kampung yang ditimpa kesusahan. Ini membuatkan Takashi cukup disenangi oleh penduduk kampung.

            Persahabatan Zulkarnaian dan Takashi menjadi semakin rapat. Kerap juga Zul membantu Takashi menjaga kedai runcitnya. Keluarga Zul pula selalu mengajak Takashi makan bersama di rumahnya. Jika ada masa terluang, mereka akan keluar bersama-sama ke bandar Ipoh. Takashi juga turut berkongsi makanan kegemaran Zul, laksa kuala. Mereka juga selalu bermain Go, dan kesudahan permainan itu pasti akan dimenangi oleh Zulkarnain.

            Takashi yang fasih berbahasa Melayu itu memang dikenali sebagai seorang yang cukup peramah. Walaupun dia baru tinggal di Kampung Embun tidak sampai tiga bulan, namun Takashi sudah mengenali hampir semua penduduk kampung tidak kira yang tua mahupun kanak-kanak. Ada sahaja perkara yang dibualkan apabila berjumpa dengan penduduk kampung. Malah Takashi juga pandai menyanyikan lagu-lagu tempatan seperti lagu ‘Rasa Sayang’ serta pandai pula berdikir barat.

            Pergaulannya dengan baangsa Melayu membuatkan Takashi juga sudah terbiasa dengan pakaian masyarakat Melayu. Kain pelikat menjadi pakaian hariannya di dalam rumah. Jika ada majlis keraian, dia akan mengenakan pakaian baju Melayu siap dengan bersongkok dan bersampin. Takashi juga mampu menulis di dalam bahasa Jawi. Tidak hairanlah kewujudan Takashi di Kampung Embun dapat diterima oleh semua orang.


ZULKARNAIN mencari-cari Takashi namun tidak dijumpainya. Di rumahnya tiada, di kedai runcit juga tiada. Agak sukar untuk Zul bertemu dengannya. Apabila ditanya, Takashi sering memberi alasan pergi keluar untuk mencari barangan. Kadang-kadang keluarnya lama sehingga berminggu-minggu, kadang-kadang sekejap - tidak tetap. Zul Cuma takut Takashi pergi berpindah ke tempat lain pula seperti yang pernah dia lakukan sebelum ini. Namun Takashi memberi jaminan bahawa Kampung Embun ini akan menjadi destinasi terakhirnya di Tanah Melayu ini. Dia tidak mahu berpindah-pindah lagi

            Jujur, Zul takut untuk kehilangan sahabat seperti Takashi. Entah mengapa dia sering memikirkan perhubungan mereka akan berakhir dengan tragedi. Kadang-kadang fikirannya itu terbawa-bawa ke alam mimpi. Namun Zul pasti itu semua hanyalah mainan perasaan yang dicucuk oleh Iblis yang dilaknak penduduk langit mahupun bumi. Makhluk perosak itu memang suka melihat umat manusia ini berpecah belah dan masuk ke dalam neraka bersama-sama mereka.

            Puas berjalan, Zul singgah di gerai Pak Gunawe. Tekaknya terasa dahaga. Zul memesan teh tarik, minuman kesukaannya.

            “Apa yang dimenungkan itu?” Zul disergah daripada belakang. Dia cukup mengenali suara itu. Mukanya terus berubah menjadi manis.

            “Ada pun kamu, Takashi. Puas aku mencari kamu. Marilah duduk sekali dengan aku,” Zul menarik kerusi. Dengan senang hati, Takashi duduk di sebelah sahabatnya itu.

            “Kamu ke mana Takashi? Asyik menghilang sahaja,” Zul mula bertanya. Wajah Takashi kelihatan 
murung.

            “Kamu tahu kenapa aku selalu berpindah randah?” Takashi pula yang bertanya soalan kepada Zul. Zul sekadar menggeleng tidak tahu.

            “Aku sedar, aku tahu, aku ini bukan berasal daripada sini. Aku juga tidak tahu, mengapa ada sahaja orang yang cemburu, yang tidak suka dengan kehadiran aku,” nadanya diperlahankan. Rasa sedihnya tidak mampu dielakkan lagi.

            Zul memujuk Takashi dengan menepuk-nepuk lembut belakang Takashi. Zul juga turut merasai apa yang dirasai oleh Takashi.

            “Mulut manusia, Takashi. Kita tak mampu menutup mulut mereka. Kita juga tidak mampu lari daripada mengata dan dikata. Apa yang boleh kita lakukan, kita teruskan sahaja kehidupan. Lakukan yang terbaik untuk kehidupan kita dan orang lain. Berpindah ke tempat lain bukan satu pilihan yang bijak untuk melarikan diri daripada terus dikata kerana setiap ceruk bumi ini pasti ada manusia yang tinggal.”

            Kata-kata Zul begitu memberi kesan terhadap Takashi. Mukanya diketup. Dia tidak mahu Zul melihat wajahnya ketika ini. Simpati Zul pada Takashi semakin meninggi.

            Zul berjanji pada dirinya sendiri untuk menjadi sahabat yang baik kepada Azuma Takashi. Biarpun kedengaran suara sumbang yang mengatakan Takashi ini ibarat jelatang, bangsa Jepun yang tidak sedar diri dan talam dua muka, namun Zul tidak mempedulikan semua itu. Tiada manusia yang dapat lari daripada terus dikata dan mengata. Baginya, dia lebih memahami diri Takashi daripada orang.

Jika boleh, Zul tidak mahu menyakiti hati mana-mana pihak, namun dia sedar bahawa dia tidak mampu untuk menjaga hati semua pihak.

0 comments:

Post a Comment

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger