Batu Pahat,
Johor
Penghujung Februari, tahun 1941
SYEIKH Fadhil Al-Banten memimpin baca doa selamat
pada malam itu. Ulama yang sangat besar pengaruhnya itu dalam bidang kerohanian berkhidmat dalam kerajaan Johor pada abad ke-20. Beliau yang dilahirkan di
Banten, Jawa Barat sekitar tahun 1870 Masihi mendapat pendidikan agama daripada
keluarganya sendiri. Kemudian, tokoh ini melanjutkan pengajiannya sehingga ke
Mekkah.
Pada tahun 1915, beliau berhijrah ke
Johor atas usaha yang berterusan yang dilakukan oleh Penghulu Mukim Lenga yang
bernama Haji Daud. Haji Daud amat tertarik pada keperibadian, keilmuan dan
kerohanian yang ada pada Syeikh Fadhil. Ulama ini kemudian mengajar di Kampung
Lenga, Muar. Selain ilmu Islam yang asas seperti Fardhu Ain, Syeikh Fadhil amat
menekankan amalan Wirid Khaujakan atau Khatam Khaujakan yang sangat terkenal
dalam ajaran Tariqat Naqsyabandiyah.
Kemudian, Syeikh Fadhil melebarkan
sayap dakwahnya ke seluruh tempat di mana beliau mengajar seperti di Bandar
Maharani, Bakri, Bukit Kepong dan tempat-tempat lainnya. Kesungguhan dan
keikhlasan beliau menyebarkan dakwah menyebabkan beliau disenangi oleh segenap
lapisan masyarakat. Bahkan, ajaran beliau dapat diterima oleh semua pihak
termasuklah Sultan Johor.
Selesai membaca zikir-zikir yang berupa ayat-ayat pilihan di dalam
Al-Quran, berselawat ke atas Baginda Rasulullah serta membaca Asmaul Husna
bersama para jemaahnya, tokoh berusia pertengahan abad itu kelihatan memikirkan
sesuatu yang begitu begitu berat untuk dipikul. Beliau memandang muka anak-anak
muridnya dengan penuh kasih sayang. Kali ini, beliau merasakan masanya sudah
sampai.
“Anak-anak sekalian.”
Kesemua anak-anak murid Syeikh
Fadhil berkeadaan siap siaga untuk mendengar amanat daripada guru mereka.
“Firasat ana kuat mengatakan bahawa
Tanah Melayu ini akan diserang musibah.”
Semua pelajar memandang sesama
sendiri. Firasat seorang ulama tidak boleh dipandang remeh. Mereka semua maklum
bahawa Allah mengilhamkan perbagai ilmu dan petunjuk di dalam diri seorang ulama
seperti yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, baginda Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud, “Takutlah kamu dengan firasat seorang mukmin kerana
sesungguhnya dia melihat dengar nur Allah.”
Kemudian, Syeikh Fadhil menyambung,
“Saat tibanya nanti, tanah ini akan dibasahi darah. Pertempuran yang
dasyat akan berlangsung. Hatta orang putih sendiri akan tertewas,”
Kedengarannya pertempuran yang bakal berlangsung itu begitu menakutkan
sehingga tentera Inggeris yang bersenjata moden juga tertewas.
“Anak-anak sekalian akan menjadi
pejuang di kawasan anak-anak sekalian. Ingatlah, walau apa jua yang terjadi,
niatkan kerana Allah. Apapun, ini semua hanya andaian, hanya firasat. Allah
Taala juga yang mengetahui segala-galanya.”
Pertemuan pada malam itu telah
selesai. Para pelajar telah beransur pulang. Dalam perjalanan, masing-masing
sibuk berbicara tentang firasat daripada Tuan Guru sebentar tadi. Ada yang
takut, ada yang teruja. Walau apa juga perasaan mereka kala itu, yang pasti
kesemua mereka yakin bahawa firasat tuan guru mereka pasti akan berlaku. Syeikh Fadhil Al-Banten bukan calang-calang orang.
“Kamu
agak-agak kan, siapa yang mahu menyerang Tanah Melayu ini? Tidak cukupkah kita
sudah dijajah oleh orang putih itu? Lagipun, logikkah orang putih itu
ditewaskan? Apapun, ika ada mana-mana pihak yang mahu merosak-perandakan tanah
bumi ini, nahaslah mereka semua aku kerjakan,” entah dari mana semangat di jiwa
Salleh mengalir.
“Sabar,
Salleh. Itu semua hanya firasat daripada tuan guru. Allah jua yang Maha Mengetahui
segalanya. Apa yang kita boleh lakukan sekarang ialah perbanyakkan berdoa.
Bantuan Allah pasti datang, insyaAllah. Siapa yang paling bertaqwa di sisi
hamba-Nya, pasti Allah akan angkat dan berikan pertolongan,” Abu cuba
menenangkan sahabatnya. Anak-anak murid yang lain diam membisu, tidak berani
untuk menokoh tambah. Masing-masing sudah tahu bahawa Salleh dan Abu merupakan
anak murid tuan guru yang paling hebat dan mendalam ilmunya.
Tajam Salleh memandang mata sahabatnya.
Kata-kata sahabatnya tadi ternyata benar. Siapa yang paling bertaqwa di sisi hamba-Nya, pasti Allah
akan angkat dan berikan pertolongan. Itu janji Allah, dan Allah sesekali tidak
akan memungkiri janji-Nya. Ditepuknya bahu Salleh sambil mengukir senyuman.
Senyumannya itu dibalas kembali.
Firasat daripada Tuan Gurunya sebentar
tadi membuatkan Abu terkenang dengan keluarganya di kampung halaman. Sudah lama
dia tidak balik untuk menjenguk keluarganya.
Sihatkah?
Sakitkah?
Dia sendiri tidak tahu. Namun, andai
benar seperti apa yang difirasatkan oleh tuan gurunya, maka perkara yang paling
membimbangi dirinya pastilah keluarganya. Abu nekad untuk terus mengutip ilmu
daripada tuan gurunya agar pulang sahaja dia nanti, dia mampu memberi khidmat
kepada keluarga dan kampungnya. Bukankah erti kehidupan itu pada memberi?
Semakin banyak yang diberi, semakin banyak yang akan kita perolehi.
Buat
masa kini, dia perlu memberikan perkhidmatannya bersama Tuan Guru Syeikh Fadhil Al-Banten sehingga dia menamatkan
perjanjiannya bersama gurunya itu. Dia pasti, setibanya dia di kampung halaman
sahaja, pasti keluarganya akan menyambutnya dengan satu kejutan yang amat
besar.
[Petikan daripada novel 'Samurai Malaya']
0 comments:
Post a Comment