Nabi Luth a.s. ialah
salah seorang rasul dan nabi yang diturunkan oleh Allah s.w.t. untuk membimbing
manusia ke jalan yang benar.
Pengenalan
Nabi Luth adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim
a.s. iaitu ayahnya yang bernama Haran bin Terah. Nabi Luth diutuskan
sebagai rasul kepada satu kaum yang mendiami sepanjang timur laut (Dari Israel
- Yordania), Laut Mati. Ibukota Sodom terletak di Utara Basin, Laut Mati.
Hampir keseluruhan kaum ini mengamalkan gaya hidup songsang, iaitu
melakukan hubungan kelamin sesama sejenis iaitu lelaki dengan lelaki yakni
meninggalkan perempuan. Perbuatan ini merupakan sesuatu penyelewengan fitrah
yang amat buruk. Nabi Luth telah menyeru mereka untuk menghentikan perbuatan
tersebut disamping menyampaikan seruan-seruan Allah, tetapi mereka
mengabaikannya dan malah mereka mengingkari kenabiannya. Akhirnya, kaum Nabi
Luth dimusnahkan dengan bencana yang sangat mengerikan dan dahsyat. Kejadian
ini berlaku pada kira-kira tahun 1800 sebelum Masihi.
Kisah Nabi Luth
Di dalam Kitab Al-quran menceritakan kisah Nabi Luth yang menasihati kepada
kaumnya sepertimana dalam Surah Asy-Syuara ayat 160 hingga 175;
26:160. Kaum
Luth telah mendustakan para Rasul
26:161. Ketika saudara mereka Luth berkata kepada
mereka,"Mengapa kamu tidak bertakwa?"
26:162.
"Sungguh, aku ini seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu,"
26:163. "Maka
bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepada ku"
26:164. "Dan
aku tidak meminta upah kepadamu atas ajakan itu, upahku hanyalah dari Tuhan
seluruh alam"
26:165.
"Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki (Homoseks) di antara manusia"
26:166. "dan
kamu tinggalkan (perempuan) yang diciptakan Tuhan untuk dijadikan sebagai
isteri kamu? Kamu memang orang-orang yang melampaui batas''
26:167.
Mereka menjawab, " Wahai Luth! Jika engkau tidak berhenti, engkau termasuk
orang-orang yang terusir"
26:168. Dia
(Luth) berkata, " Aku sungguh benci kepada perbuatan mu"
26:169. (Luth berdoa),
“Ya Tuhanku, selamatkanlah aku dan keluargaku dari (akibat) perbuatan yang
mereka kerjakan.”
26:170. Lalu Kami
selamatkan dia bersama keluarganya semuanya,
26:171. kecuali
seorang wanita tua (isterinya), yang termasuk dlam golongam yang tinggal.
26:172. Kemudian
Kami binasakan yang lain.
26:173. Dan Kami
hujani mereka (dengan batu), maka betapa buruk hujan yang menimpa orang-orang
yang telah diberi peringatan itu.
26:174. Sungguh,
pada yang demikian itu terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakkan mereka
tidak beriman.
26:175. Dan
sungguh, Tuhanmu, Dialah Yang Maha Perkasa, Maha Penyayang
Kaum Luth telah mengancam Nabi Luth dan membencinya kerana mengajak kaumnya
beriman. Ayat seterusnya dalam kitab Al-quran dikisahkan dalam Surah Al-Araf:
“Dan (Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah ) tatkala dia berkata kepada mereka: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu?”. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melampiaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: “Usirlah mereka (Luth dan para pengikutnya) dari kotamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berpura-pura mensucikan diri .” (QS. Al A'raaf, 7: 80-82)
Nabi Luth Diutuskan Oleh Allah Kepada Rakyat Sadum
Masyarakat Sadum adalah
masyarakat yang rendah paras moralnya dan rosak akhlak.
Masyarakat Sadum tidak mempunyai pegangan agama atau nilai kemanusiaan yang
beradab. Maksiat dan kemungkaran bermaharajalela dalam pergaulan hidup mereka. Pencurian dan perampasan harta milik merupakan kejadian hari-hari
di mana yang kuat menjadi kuasa sedang yang lemah menjadi korban penindasan dan
perlakuan sewenang-wenang. Maksiat yang paling menonjol yang menjadi ciri khas hidup
mereka adalah perbuatan homoseksual (liwat) di kalangan lelakinya
dan lesbian di kalangan wanitanya. Kedua-dua jenis kemungkaran ini begitu bermaharajalela
di dalam masyarakat sehinggakan ia merupakan suatu kebudayaan bagi
kaum Sadum.
Seseorang yang baru masuk ke Sadum tidak akan selamat dari diganggu oleh
mereka. Jika ia membawa barang-barang yang berharga maka dirampaslah
barang-barangnya, jika ia melawan atau menolak menyerahkannya maka nyawanya
tidak akan selamat. Akan tetapi jika pendatang itu seorang lelaki yang bermuka
tampan dan berparas elok maka ia akan menjadi rebutan di antara mereka dan akan
menjadi korban perbuatan keji lelakinya dan sebaliknya jika si pendatang itu
seorang perempuan muda maka ia menjadi mangsa bagi pihak wanitanya pula.
Oleh kerana masyarakat yang sudah sedemikian rupa keruntuhan moralnya
dan sedemikian paras penyakit sosialnya diutuslah nabi Luth sebagai pesuruh dan
Rasul-Nya untuk mengangkat mereka dari lembah kenistaan ,kejahilan dan kesesatan
serta membawa mereka dunia yang bersih ,bermoral dan berakhlak mulia. Nabi Luth
mengajak mereka beriman dan beribadah kepada Allah meninggalkan
kebiasaan mungkar menjauhkan diri dari perbuatan maksiat dan kejahatan yang
diilhamkan oleh iblis dan syaitan.
Baginda memberi penerangan kepada mereka bahwa Allah telah mencipta mereka dan
alam sekitar mereka tidak meredhai amal perbuatan mereka yang mendekati sifat
dan tabiat kebinatangan dan tidak sesuai dengan nilai-nilai kemanusiaan dan
bahwa Allah akan memberi ganjaran setimpal dengan amal kebajikan mereka. Yang
berbuat baik dan beramal soleh akan diganjari dengan syurga di akhirat sedang
yang melakukan perbuatan mungkar akan di balaskannya dengan memasukkannya ke
dalam neraka Jahanam.
Nabi Luth menyeru kepada mereka agar meninggalkan adat kebiasaan iaitu
melakukan perbuatan homoseksual dan lesbian. Luth menyatakan perbuatan itu
bertentangan dengan fitrah dan hati nurani manusia serta menyalahi hikmah yang
terkandung didalam penciptaan manusia menjadi
dua jenis iaitu lelaki dan wanita. Mereka juga diseru menghormati hak dan milik
masing-masing dengan meninggalkan perbuatan perampasan, perompakan serta
pencurian yang selalu mereka lakukan di antara sesama mereka dan terutama
kepada pengunjung yang datang ke Sadum. Diterangkan bahawa perbuatan-perbuatan
itu akan merugikan mereka sendiri, kerana perbuatan itu akan menimbulkan
kekacauan dan ketidak amanan di dalam negeri sehingga masing-masing dari mereka
tidak merasa aman dan tenteram dalam hidupnya.
Demikianlah Nabi Luth, melaksanakan dakwahnya sesuai dengan tugas
risalahnya. Baginda tidak henti-henti menggunakan setiap kesempatan dan dalam
tiap pertemuan dengan kaumnya secara berkelompok atau secara berseorangan
mengajak agak mereka beriman dan percaya kepada Allah dan menyembah-Nya.
Diajaknya Luth terhadap kaumnya untuk melakukan amal soleh dan meninggalkan
perbuatan maksiat dan mungkar. Akan tetapi keruntuhan moral dan kerusakan
akhlak sudah hidup lama di dalam pergaulan sosial mereka dan pengaruh hawa nafsu dan penyesatan syaitan sudah
begitu kuat menguasai tindak-tanduk mereka, maka dakwah dan ajakkan Nabi Luth
yang dilaksanakan dengan kesabaran dan ketekunan tidak mendapat tempat di dalam
hati dan fikiran mereka dan berlalu laksana suasana teriakan di tengah-tengah
padang pasir .Telinga-telinga mereka sudah menjadi pekak bagi ajaran-ajaran
Nabi Luth sedang hati dan fikiran mereka sudah tersumbat rapat dengan ajaran
-ajaran syaitan dan iblis.
Akhirnya kaum Luth merasa dan kesal hati mendengar dakwah dan
nasihat-nasihat Nabi Luth yang tidak putus-putus itu dan minta agar ia menghentikan
aksi dakwahnya atau menghadapi pengusir dirinya dari sadum bersama semua
keluarganya. dari pihak Nabi Luth pun sudah tidak ada harapan lagi masyarakat
Sadum dapat terangkat dari lembah kesesatan dan keruntuhan moral mereka dan
bahawa meneruskan dakwah kepada mereka yang sudah buta-tuli hati dan fikiran serta
mensia-siakan masa. Satu-satunya cara, menurut fikiran Nabi Luth untuk mencegah
penyakit akhlak itu yang sudah parah itu menular kepada tetangga-tetangga
dekatnya, ialah dengan membasmikan mereka dari atas bumi sebagai pembalasan ke
atas terhadap kekerasan kepala mereka juga untuk menjadi ibrah dan pengajaran umat-umat
disekelilingnya. Baginda memohon kepada Allah agar kepada kaumnya masyarakat
Sadum diberi pengajaran berupa azab di dunia sebelum azab yang menanti mereka
di akhirat kelak.
Tetamu Nabi Ibrahim dan Nabi Luth
Permohonan Nabi Luth dan doanya diperkenankan dan dikabulkan oleh Allah SWT.
Dikirimkanlah kepadanya tiga orang malaikat menyamar sebagai manusia biasa.
Mereka adalah malaikat yang bertemu dengan Nabi Ibrahim yang membawa berita
gembira atas kelahiran Nabi Ishaq, dan memberitahu kepada mereka bahawa dia
adalah utusan Allah dengan tugas menurunkan azab kepada kaum Luth penduduk kota
Sadum. Dalam kesempatan pertemuan mana Nabi Ibrahim telah mohon agar penurunan
azab keatas kaum Sadum ditunda ,kalau-kalau mereka kembali sedar mendengarkan
dan mengikuti ajakan Luth serta bertaubat dari segala maksiat dan perbuatan
mungkar. Juga dalam pertemuan itu Nabi Ibrahim mohon agar anaksaudaranya, Luth
diselamatkan dari azab yang akan diturunkan keatas kaum Sadum. Permintaan Nabi
Ibrahim itu diterima dan dijamin bahawa Luth dan keluarganya tidak akan terkena
azab.
Para malaikat itu
sampai di Sadum dengan menyamar sebagai lelaki muda yang berparas tampan dan
badan yang berotot, tegap dan sasa tubuhnya. Dalam perjalanan mereka hendak
memasuki kota, mereka berselisih dengan seorang gadis yang cantik dan ayu
sedang mengambil air dari sebuah perigi. Lelaki muda (malaikat) bertanya kepada
si gadis kalau-kalau mereka diterima ke rumah sebagai tetamu. Si gadis tidak
berani memberi keputusan sebelum ia beruding terlebih dahulu dengan
keluarganya. Maka ditinggalkanlah para lelaki muda itu oleh lalu pulang ke
rumah segera untuk memberitahu ayahnya (Luth).
Mendengar khabar berita anak perempuannya, Nabi Luth menjadi bingung,
jawapan apa yang harus ia berikan kepada para pendatang yang ingin bertamu ke
rumahnya untuk seketika, namun menerima tetamu yang berparas tampan dan kacak
akan mengundang risiko gangguan kepadanya dan kepada tetamu dari kaumnya yang
tergila-gila untuk melakukan hubungan seks sejenis dengan anak muda yang
mempunyai tubuh yang sasa dan berparas wajah tampan. Jika terjadi yang demikian,
maka baginda sebagai tuan rumah harus bertanggungjawab terhadap keselamatan tetamunya,
padahal baginda merasa bahawa baginda tidak akan berdaya menghadapi kaumnya
yang bengis dan haus dengn kemaksiatan itu.
Nabi Luth memutuskan untuk menerima kunjungan lelaki-lelaki muda itu
sebagai tetamu di rumahnya. Luth hanya pasrah kepada Allah dan berlindung
sekiranya terdapat segala rintangan yang akan datang. Lalu baginda sendiri
menjemput tetamu yang sedang menanti di pinggir kota dan diajaklah mereka
bersama-sama ke rumah. Ketika itu, kota Sadum sudah diliputi kegelapan dan
manusia sudah nyenyak tidur di rumah masing-masing.
Nabi Luth telah pun berpesan kepada isteri dan kedua puterinya agar
merahsiakan kedatangan anak-anak lelaki muda itu. Jangan sampai terdengar dan
diketahui oleh kaumnya. Namun, kedegilan isteri Nabi Luth, yang juga sehaluan
dan sependirian dengan penduduk Sadum, telah membocorkan berita kedatangan
tetamu Luth kepada mereka. Berita kedatangan tetamu Luth tersebar kerana isteri
Nabi Luth. Datanglah beramai-ramai lelak-lelaki Sodom, yang buta seks ini, ke
rumah Nabi Luth, berhajat untuk memuaskan nafsu seksual mereka, setelah lama
tidak mendapat anak muda. Berteriaklah mereka memanggil Luth untuk lepas
anak-anak muda itu, agar diberi kepada mereka untuk memuaskan nafsu.
Terdengar sahaja teriakan mereka, Nabi Luth tidak membuka pintu dan menyeru
agar mereka kembali ke rumah masing-masing dan jangan menggunggu tetamu yang
datangnya dari jauh yang sepatutnya dihormati dan dimuliakan. Mereka diberi
nasihat agar meninggalkan perbuatan kebiasaan mereka yang keji itu. Perbuatan
mereka yang bertentangan dengan fitrah manusia dan kudrat alam di mana Allah
telah menciptakan manusia berpasangan antara lelaki dengan perempuan untuk
menjaga kelangsungan perkembangan umat manusia sebagai makhluk yang termulia di
atas bumi. Nabi Luth berseru agar mereka kembali kepada isteri-isteri mereka
dan meninggalkan perbuatan maksiat dan mungkar yang tidak senonoh, sebelum mereka
dilanda azab dan seksaan Allah.
Seruan dan nasihat-nasihat Nabi Luth tidak dihiraukan dan dipedulikan. Mereka
bahkan mendesak akan menolak pintu rumahnya dengan paksa dan kekerasan jika
pintu tidak dibuka dengan sukarela. Merasa dirinya sudah tidak berdaya untuk
menahan arus orang-orang lelaki kaumnya itu yang akan memaksakan kehendaknya
dengan kekerasan, maka berkatalah Nabi Luth secara terus terang kepada para
tamunya:" Sesungguhnya aku tidak berdaya lagi menahan orang-orang itu
menyerbu ke dalam .Aku tidak memiliki senjata dan
kekuatan fizikal yang dapat menolak kekerasan mereka, tidak pula mempunyai
keluarga atau sanak saudara yang disegani mereka yang dapat aku meminta
pertolongannya, maka aku merasa sangat kecewa, bahwa sebagai tuan rumah aku
tidak dapat menghalau gangguan terhadap tetamu dirumahku sendiri.”
Mendengar keluh-resah Nabi Luth, lantas anak-anak muda itu memberitahu hal
yang sebenar, mereka adalah malaikat-malaikat yang menyamar sebagai manusia
yang diutus oleh Allah untuk menurunkan azab dan seksa atas rakyatnya kerana
segala kemungkaran dan kemaksiat yang keji dan kotor.
Malaikat-malaikat itu menyuruh Nabi Luth membuka pintu rumahnya seluas mungkin agar dapat memberi kesempatan bagi orang -orang yang hauskan seks dengan lelaki itu masuk. Namun malangnya apabila pintu dibuka dan para penyerbu memijak kaki untuk masuk, tiba-tiba gelaplah pandangan mereka dan tidak dapat melihat sesuatu. Malaikat-malaikat tadi telah membutakan mata mereka. Lalu, diusap-usap dan digosok-gosok mata mereka, ternyata mereka sudah menjadi buta.
Sementara para penyerbu rumah Nabi Luth berada dalam keadaan kacau bilau
berlanggar antara satu dengan lain berteriak-teriak menanya-nanya gerangan apa
yang menjadikan mereka buta dengan mendadak, para malaikat berseru
kepada Nabi Luth agar meninggalkan segera perkampungan itu bersama keluarganya,
kerana masanya telah tiba bagi azab Allah yang akan ditimpakan. Para malaikat
berpesan kepada Nabi Luth dan keluarganya agar apabila berjalan ke luar kota
nanti, jangan seorang pun dari mereka menoleh ke belakang. Kisah ini ada
ditulis di dalam Al-Qurah, Surah Hud, ayat 77 hingga 81;
“Dan ketika para utusan kami (para malaikat) itu datang kepada luth, dia
berasa curig dan dadanya merasa sempit kerana (kedatangannya). Dia (Luth)
berkata, “ini hari yang sangat sulit.” Dan kaumnya segera datang kepadanya. Dan
sejak dahulu mereka selalu melakukan perbuatan keji. Luth berkata, “Wahai
kaumku! Inilah puteri-puteri (negeri)ku. Mereka lebih suci bagimu, maka
bertakwalah kepada Allah dan janganlah kmu mencemarkan (nama)ku terhadap tamuku
ini. Tidakkah ada di antaramu orang yang pandai? Mereka menjawab, “Sesungguhnya
engkau pasti tahu bahawa kami tidak mempunyai keinginan (syahwat) terhadap
puteri-puterimu, dan engkau pasti tahu apa yang (sebenarnya) kami kehendaki.”
Dia (Luth) berkata, “Sekiranya aku mempunyai kekuatan (untuk menolakmu) atau
aku dapat berlindung kepada Allah yang Maha Kuat (tentu aku lakukan).” Mereka
(para Malaikat) berkata, “Wahai Luth! Sesungguhnya kami adalah para utusan
Tuhanmu, mereka tidak dapt mengganggu kamu. Sebab itu pergilah bersama
kelurgamu pada akhir malam dan jangan ada seorang pun di antara kamu yang
menoleh ke belakang, kecuali isterimu. Sesungguhnya dia (juga) akan ditimpa
(siksaan) yang menimpa mereka. Sesungguhnya saat terjadinya siksaan bagi mereka
itu pada waktu subuh. Bukankah subuh itu sudah dekat?”
Nabi Luth keluar dari rumahnya selepas masa berinjak tengah malam, bersama
keluarganya terdiri dari seorang isteri dan dua puterinya. Mereka berjalan
cepat menuju keluar kota, tidak menoleh ke kanan mahupun kekiri sesuai dengan
petunjuk para malaikat yang menjadi tamunya. Akan tetapi si isteri yang menjadi
musuh dalam selimut bagi Nabi Luth tidak tergamak meninggalkan kaumnya. Ia
berada dibelakang rombongan Nabi Luth berjalan perlahan-lahan tidak secepat
langkah suaminya dan tidak henti-henti menoleh ke belakang karena ingin
mengetahui apa yang akan menimpa atas kaumnya, seakan-akan meragukan kebenaran
ancaman para malaikat yang telah didengarnya sendiri. Dan begitu langkah Nabi
Luth berserta kedua puterinya melewati batas kota Sadum, sewaktu fajar
menyingsing, bergetarlah bumi dengan dahsyatnya di bawah kaki rakyat Sadum,
tidak terkecuali isteri Nabi Luth yang munafiq itu.
Getaran itu mendahului suatu gempa bumi yang kuat dan hebat disertai angin yang
kencang dan hujan batu sijjil yang menghancurkan dengan serta-merta kota Sadum
berserta semua pemghuninya . Bertebaran mayat-mayat yang dilaknat oleh Allah
S.W.T di kota Sodom, dan hancurlah kota tersebut yang berada di laluan manusia
yang lalu-lalang. Namun, masih ditinggalkan kesan-kesan kehancuran kota
tersebut oleh Allah S.W.T, sebagai peringatan kaum yang kemudian yang melalui
di jalan tersebut. Demikianlah kebesaran dan ayat Allah yang diturunkan untuk
menjadi pengajaran dan ibrah bagi hamba-hamba-Nya yang mendatang.
rujukan:
Al-Quran dan terjemahan
0 comments:
Post a Comment