"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Sunday, July 7, 2013

Jujur Aku Bukan Ustaz


Belajar di mana-mana sama sahaja. Yang berbeza hanya pada diri. Benar, persekitaran juga menjadi penyumbang kepada kejayaan, tetapi kecemerlangan yang sebenar itu lahir daripada kekuatan dalaman. Biarlah belajar di Malaysia, Mesir, Jordan atau Sudan sekalipun, jika diri ini masih di takuk lama, pasti tidak akan ke mana.

Belajar di bumi Jordan ini mempertemukan aku dengan tenaga pengajar yang hebat-hebat belaka. Professor Doktor Abdullah Fawwas, Prof. Dr. Hamad Azzam, Dr. Faris, Prof. Dr. Iwady, Prof. Dr. Ali Zukaili, Dr. Tolib, dan semuanya adalah pendidik yang begitu tinggi ilmunya, namun zuhud orangnya. Penuh tawadduk mengajar kami, walau diri ini begitu lemah sekali.

Hebatnya anak murid hasil daripada acuan gurunya.

Tempoh pengajianku hampir tamat. Entah apa yang dipelajari, aku juga tidak mampu mengingatinya terperinci. Lubuk ilmu itu jika digali, tidak mungkin kita temui dasarnya. Perjalanan sebagai penuntut ilmu masih jauh berliku, tidak terhenti sekadar bergelar graduasi. Ketika pulangnya, itulah lapangan kami. Di sini, kami sekadar mengambil langkah kecil sebelum langkahan besar diambil ketika di Malaysia nanti.

Tetapi, aku akui, diri ini masih lebih lagi. Langsung tidak layak bergelar ustaz, menanggung amanah yang terasa cukup berat. Allahu Allah.

Aku bakal graduasi lulusan Mu’tah?


SAAT KITA BANGKIT HEBAT

Aku selalu mengutip ilmu daripada Wan Mufti. Malah kami di sini telah menganggapnya sebagai ayah sendiri. Ketinggian ilmunya serta kutipan pengalaman hidup yang dilalui membuatkan kami begitu menghormatinya.

“Pejam celik pejam celik, kita dah nak habis belajar dah.”

“Macam sekejap sangat kita belajar di sini,” Wan menyokong kenyataan aku.

“Rasa macam takut pula nak balik Malaysia. Entahlah, rasa ilmu ini kurang sangat,” aku sedikit mengeluh, takut.

“Memang kita rasa sekarang kita lemah. Tapi kita mula rasa hebat bila kita sudah mula bekerja nanti. Waktu itu, kita jangan lagi bersifat rendah diri,” kebimbangan aku dipadamkan dengan ungkapan penuh dalam.

Aku diam, mengharap agar Wan Mufti meneruskan bicaranya.

“Di KISDAR dahulu, ana pernah berjumpa dengan ustaz Azmi selepas ana dapat ijazah diploma. Ana tanya pada dia, kenapa ana rasa masih tak hebat macam ustaz? Sedangkan ustaz Azmi dahulu sekadar lepasan diploma sahaja, macam kita ketika itu. Tapi lihatlah keilmuan ustaz Azmi dengan kita, cukup jauh berbeza, bukan. Umpama langit dengan bumi.”

Aku semakin tertarik.

“Ustaz Azmi kata, kita memang akan rasa kurang sangat ilmu. Tetapi kita akan mula memaksa diri kita menjadi hebat setelah kita mengajar, mula berkhidmat kepada masyarakat.”

Aku masih diam, tidak dapat menangkap maksud yang tersirat.

“Bila dah mula bekerja nanti, orang mula panggil kita, buat ceramah, ajar agama. Waktu itu kita pasti akan membelek-belek kitab. Takkan kita nak sembang kosong pula. Nanti orang suruh ceramah Isra Miqraj, Maulidur Rasul, tanya hokum itu ini. Mahu tak mahu kita mesti akan hadam dahulu, kan? Pada waktu itulah, ilmu-ilmu yang kita pelajari mula datang kembali, dan melekat dalam diri.”

Kini aku mengangguk mengerti.


Bukan sekadar pelajar agama sahaja, tetapi pelajar dalam apa jua jurusan, mereka akan mula bangkit hebat dan mengerti apa yang dipelajari apabila memasuki alam pekerjaan nanti. Ketika sedang belajar, ukuran pencapaian kita akan ditentukan dalam peperiksaan. Dalam dunia pekerjaan pula, kayu ukur pencapaian kita diukur melalui hasil kerja kita.

1 comments:

a.R said...

:-)

Post a Comment

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger