Belajar di mana-mana sama sahaja. Yang berbeza hanya pada diri. Benar,
persekitaran juga menjadi penyumbang kepada kejayaan, tetapi kecemerlangan yang
sebenar itu lahir daripada kekuatan dalaman. Biarlah belajar di Malaysia,
Mesir, Jordan atau Sudan sekalipun, jika diri ini masih di takuk lama, pasti
tidak akan ke mana.
Belajar di bumi Jordan ini mempertemukan aku dengan tenaga pengajar yang
hebat-hebat belaka. Professor Doktor Abdullah Fawwas, Prof. Dr. Hamad Azzam,
Dr. Faris, Prof. Dr. Iwady, Prof. Dr. Ali Zukaili, Dr. Tolib, dan semuanya
adalah pendidik yang begitu tinggi ilmunya, namun zuhud orangnya. Penuh
tawadduk mengajar kami, walau diri ini begitu lemah sekali.
Hebatnya anak murid hasil daripada acuan gurunya.
Tempoh pengajianku hampir tamat. Entah apa yang dipelajari, aku juga
tidak mampu mengingatinya terperinci. Lubuk ilmu itu jika digali, tidak mungkin
kita temui dasarnya. Perjalanan sebagai penuntut ilmu masih jauh berliku, tidak
terhenti sekadar bergelar graduasi. Ketika pulangnya, itulah lapangan kami. Di
sini, kami sekadar mengambil langkah kecil sebelum langkahan besar diambil
ketika di Malaysia nanti.
Tetapi, aku akui, diri ini masih lebih lagi. Langsung tidak layak
bergelar ustaz, menanggung amanah yang terasa cukup berat. Allahu Allah.
Aku bakal graduasi lulusan Mu’tah?
SAAT KITA BANGKIT HEBAT
Aku selalu mengutip ilmu daripada Wan Mufti. Malah kami di sini telah
menganggapnya sebagai ayah sendiri. Ketinggian ilmunya serta kutipan pengalaman
hidup yang dilalui membuatkan kami begitu menghormatinya.
“Pejam celik pejam celik, kita dah nak habis belajar dah.”
“Macam sekejap sangat kita belajar di sini,” Wan menyokong kenyataan
aku.
“Rasa macam takut pula nak balik Malaysia. Entahlah, rasa ilmu ini
kurang sangat,” aku sedikit mengeluh, takut.
“Memang kita rasa sekarang kita lemah. Tapi kita mula rasa hebat bila
kita sudah mula bekerja nanti. Waktu itu, kita jangan lagi bersifat rendah diri,”
kebimbangan aku dipadamkan dengan ungkapan penuh dalam.
Aku diam, mengharap agar Wan Mufti meneruskan bicaranya.
“Di KISDAR dahulu, ana pernah berjumpa dengan ustaz Azmi selepas ana
dapat ijazah diploma. Ana tanya pada dia, kenapa ana rasa masih tak hebat macam
ustaz? Sedangkan ustaz Azmi dahulu sekadar lepasan diploma sahaja, macam kita
ketika itu. Tapi lihatlah keilmuan ustaz Azmi dengan kita, cukup jauh berbeza,
bukan. Umpama langit dengan bumi.”
Aku semakin tertarik.
“Ustaz Azmi kata, kita memang akan rasa kurang sangat ilmu. Tetapi kita
akan mula memaksa diri kita menjadi hebat setelah kita mengajar, mula
berkhidmat kepada masyarakat.”
Aku masih diam, tidak dapat menangkap maksud yang tersirat.
“Bila dah mula bekerja nanti, orang mula panggil kita, buat ceramah,
ajar agama. Waktu itu kita pasti akan membelek-belek kitab. Takkan kita nak
sembang kosong pula. Nanti orang suruh ceramah Isra Miqraj, Maulidur Rasul,
tanya hokum itu ini. Mahu tak mahu kita mesti akan hadam dahulu, kan? Pada
waktu itulah, ilmu-ilmu yang kita pelajari mula datang kembali, dan melekat
dalam diri.”
Kini aku mengangguk mengerti.
Bukan sekadar pelajar agama sahaja, tetapi pelajar dalam apa jua
jurusan, mereka akan mula bangkit hebat dan mengerti apa yang dipelajari
apabila memasuki alam pekerjaan nanti. Ketika sedang belajar, ukuran pencapaian
kita akan ditentukan dalam peperiksaan. Dalam dunia pekerjaan pula, kayu ukur
pencapaian kita diukur melalui hasil kerja kita.
1 comments:
:-)
Post a Comment