"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Sunday, December 18, 2011

Saat Malam Pertama

Setiap kita pasti sudah melalui atau bakal melalui malam pertama. Begitu juga aku. Aku sama sekali tidak akan melupakan malam pertamaku itu. Malam pertama yang begitu sejuk sehingga mencengkam tuang rusukku. Ya, malam pertama aku di bumi Urdun, bumi barakah, bumi ambiya serta bumi permukimanku...


Bumi Jordan, 5 September 2011

            Seakan percaya atau tidak, aku bersama sahabat-sahabatku akhirnya selamat tiba di bumi ambiya ini, meninggalkan bumi Malaysia yang ketika itu masih meriah dengan sambuatan hari rayanya. Kami berlepas pada tujuh Syawal 1432 Hijrah. Sempat juga kami merasai kelazatan ketupat dan lemang sebelum kami berangkat. Sesuatu yang tidak pernah aku impian sebenarnya untuk aku melanjutkan pengajian di negara orang, lebih-lebih lagi bumi barakah seperti Jordan ini.

            Ahlan wa sahlan ya Urdun…

            Kepenatan akibat penerbangan yang mengambil masa sehingga berbelas jam itu dirasakan hilang apabila sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman. Wah, aku akhirnya telah menjejak kaki ke bumi ambiya ini. Aku seperti rusa masuk kampung gamatnya, melihat setiap ceruk bangunan, seakan begitu takjub dengan seni bina lapangan terbang ini. Hakikatnya, aku terasa begitu megahnya Malaysia apabila dibandingkan lapangan terbang ini dengan lapangan terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA).

            ‘Macam airport Ipoh je,’ aku berdialog sendirian.
           
          Bentuk dan rekaan lapangan terbang ini saling tidak tumpah seperti KLIA. Tetapi ternyata KLIA pastinya lebih hebat dan megah, lebih daripada segala-galanya. Barulah aku tahu lapangan terbangan yang dalam proses pembesaran ini sebenarnya dibina oleh arkitek daripada Malaysia juga. Patutlah rekaannya saling tak tumpah seperti KLIA. Siapa kata arkitek Malaysia tidak hebat?
        
        Amman ketika itu berada di penghujung musim panas. Panasnya tidak sehangat seperti di Malaysia. Musim luruh menanti waktunya sebelum musim sejuk bakal menyusul tiba. Anginnya begitu dingin, sepoi-sepoi bahasa, seakan turut sama menyambut kedatangan kami di sini. Hari ketika itu hampir gelap, jadi kami perlu segera bertolak ke Mu’tah, pekan yang bakal menjadi tempat permukiman kami sepanjang dua tahun kami di sini, insyaallah.


Pekan Mu’tah, Al-Karak

            Perjalan kami daripada Bandaraya Amman ke Pekan Mu’tah hanya diisi dengan tidur, atau istilah yang lebih manis - zikir senyap. Ternyata kepenatan akibat penerbangan tadi masih belum hilang. Coaster yang menjadi pengangkutan kami sunyi sepi kerana kesemua penumpang tidur dengan nyenyaknya. Kepenatan mengatasi keghairahan kami untuk menyelongkar dan mencuci mata melihat pemandangan negara Jordan.

            Sesampainya di Mu’tah, kami terus dibawa ke PUSKMA, singkatan nama bagi Pusat Khidmat Mahasiswa Mu’tah. Jujurnya, aku terkejut apabila sampai sahaja di pekan Mu’tah ini. Sampah memenuhi setiap sudut ruang, suatu pemandangan yang tiada di Malaysia, kecuali hanya ketika berada di pasar malam sahaja. Biarlah, perut pula sudah lapar, makanan pula sudah terhidang di depan mata. Nasi ayam pula. Aku makan dengan dengan penuh selera sedangkan kawan-kawanku yang lain masih tidak puas tidur. Masakan tidak, bangun daripada tidur sahaja, terus diajak makan. Apa yang pasti, lepas makan sahaja, aku mahu tidur puas-puas. Aku rasa seperti sudah lewat malam, sedangkan hakikatnya jam baru menunjukkan pukul 10 malam.

            “Hai, dah mengantuk dah mil?” Aku menyapa Nizammil tatkala aku melihat dia menguap beberapa kali.

            “Kan dah lewat malam ni,”

            “Lewat? Kan awal lagi, baru pukul 10”

            “10? Kan dah pukul tiga pagi ni,”

            “Tiga pagi?”

            “Iyea la, tiga pagi. Kan sekarang Malaysia dah pukul tiga pagi. Itu yang aku mengantuk tu.”

            Jawapan bersahaja daripada Nizammil itu membuatkan aku tertawa kecil, begitu juga Amirul. Walaupun jasad kami sudah berada di Jordan, namun hati dan semangat kami masih berbaki di Malaysia. Malam itu, aku bersama Nizammil dan Amirul menikmati malam yang pertama di bumi Jordan. Malam yang diselubungi kesejukan sehingga aku bangun berkali-kali kerana kekejangan kaki akibat suhu sejuk yang begitu mencengkam. Ini baru malam pada musim panas. Ya Allah, bagaimana nanti aku mahu menghadapi musim sejuk pula.

            Kembaraku sebagai penuntut ilmu kini baru bermula. Langkah pertama telah diambil sebelum langkah yang lebih jauh bakal menyusul. Ya Allah, Kau permudahkanlah langkahku ini dalam mencari ilmuMu, amin.


2 comments:

ARIFI PUTRA said...

Teringat tunggu coaster lambat sampai..tapi apapun terima kasih kepada team SPB(Sambutan Pelajar Baru)....jasa kalian hanya ALLAH yang mampu membalasnya

hamid addin said...

naam..
syukran ya SPB
:)

Post a Comment

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger