"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Sunday, April 14, 2013

Takbur Lalu Terkubur


Kumpulan expedisi yang berjaya menawan kemuncak tertinggi Petra 

Petra, satu nama yang cukup dikenali. Pekan terpencil ini mula menjadi tumpuan dunia apabila dipilih sebagai Tujuh Keajaiban Baru Dunia pada tahun 2007. Namanya cukup gah, duduk sebaris dengan Kota Rome di Itali, Piramid di Kaherah dan Tembok Besar di China. Tidak pernah aku sangka, berjaya juga dalam hidupku ini menjejakkan kaki ke salah satu tempah ajaib dunia ini.

Suasana luar sebelum memasuki gerbang keajaiban.

Angin yang agak deras menyejukkan suasana. Kelihatan ramai pelancong asing berada di perkarangan pintu masuk. Kami tidak meluru masuk ke dalam, sebaliknya terus masak dan menyediakan hidangan. Orang kata, untuk menjelajahi The Rose City ini memerlukan tenaga fizikal yang tinggi. Persiapan awal perlu dilakukan agar kami dapat menawan kemuncak Petra.

Tanpa rasa malu, kami makan beralaskan plastik makanan sahaja. Bajet, huhu

Tanapa rasa malu, kami membentangkan plastik makanan di kawasan parkir kenderaan. Bukan apa, makanan di sini mahal-mahal belaka. Perut yang lapar perlu diutamakan, takut semput dan tersungkur di perjalanan. Makan dengan berselera tanpa menghiraukan jemaah manusia yang semakin membanjiri kawasan. Selesai makan, kami bergegas menuju ke kaunter pembayaran.

Terkedu aku melihat harga tiket masuk bagi pelancong asing. Tiket mereka mencecah 50 dinar. Jika ditukar, nilainya menjadi sekitar RM230! Fuh, selamat kami punya kad pelajar di sini yang menyamakan kami membayar harga tiket sama seperti penduduk tempatan. Kami hanya perlu membayar sedinar sahaja untuk satu tiket masuk.

Dengan kad pelajar sini, kami berpeluang membeli tiket dengan harga serendah 1.00 JD. Hehe


THE ROSE CITY

Kami beratur, berbaris menunggu giliran untuk masuk.

Memasuki pintu masuk, kami seakan berada pada satu zaman yang berbeza. Kuda, keldai dan unta memenuhi ruangan, mengangkut pelancong yang mahu menjimatkan tenaga tanpa perlu berjalan. Tiada lagi kenderaan moden yang memuntahkan asap, menyesakkan udara. Polis-polis yang mengawal keamanan juga turut menunggang kuda. Kawasan di sana sifir pembangunan. Mereka tidak mahu kemodenan menenggelamkan ketamadunan lama ini.

Menjejaki sejarah penemuan kota yang hilang ini, Petra mula diketahui oleh dunia Barat apabila ditemui oleh penjelajah Switzerland yang bernama Johann Ludwig Burckhardt pada tahun 1812. Kota ini dipercayai pernah diduduki oleh kaum Nabatean dan kamu Tsamud yang hidup pada zaman Nabi Saleh. Mereka terkenal dengan kemahiran seni bina dan pemotongan batu dengan memahat bukit serta gunung menjadi bangunan yang indah.

Awal perjalanan agak membosankan dengan tiada pemandangan yang mengujakan. Sehingga tiba ke minit sepuluh, barulah mata kami kembali segar dengan pemandangan sebuah struktur indah yang dipahat di gunung. Binaan terpahat itu dinamakan Tomb of the Obelisks. Sahabat seniorku berkata bahawa ini hanya mukaddimah sahaja, sebelum kita akan melihat lebih banyak seni keajaiban kota Petra ini.

Tomb of the Obelisks

Kami terus menyelusuri laluan.

Perjalanan kami kini tiba di laluan celahan gunungan. The Rose City mendapat namanya di sini. Cahaya di sini malap merah seperti bunga mawar merah. Menenangkan. Laluan itu dinamakan Siq. Sungguh mengagumkan apabila melihat umat zaman dahulu mampu meratah gunung untuk dijadikan laluan. Sistem saliran air juga turut kelihatan. Malah terdapat empangan air di tengah-tengah laluan.

Menyelusuri laluan Siq

Keadaan yang agak malap di sepanjang Siq mula disimbahi cahaya mentari. Kami tahu, kini kami hampir tiba di penghujung laluan tersebut.

MasyaAllah.

Selama ini, aku hanya melihatnya di television, poster-poster serta bahan bacaan. Tetapi kini binaan besar bernama Al-Khazneh  itu berada di hadapan mata kami, betul-betul seusai kami keluar daripada laluan Siq. Benar, aku teruja. Kekagumanku tidak terungkai dengan kata-kata. Binaan itu cukup gah, benar-benar indah. Melihat gahnya binaan ini seakan aku lupa bahawa pembinanya adalah umat zaman dahulu yang disangka tiada kemodenan.

Di hadapan Al-Khazneh


Benar, kota ini telah lama menghilang. Hilang daripada peradaban manusia selama 500 tahun. Namun, sejarahnya tidak pernah terpadam.


TAKBUR LALU TERKUBUR

Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum ‘Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah, maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi membuat kerosakan. (Surah Al-A’raaf: 74)

Kaum Tsamud langsung tidak mengendahkan seruan Rasul mereka, Nabi Saleh. Mereka yang dikurniakan kekuatan fizikal dan mental terus dibuai dengan kesesatan. Kaum tsamud masih mengangkat patung yang dicipta daripada tangan mereka sendiri sebagai tuhan. Lebih parah, mereka menganggap nabi Saleh sebagai seorang yang gila.

Lalu mereka berkata; “Patutkah kita menurut manusia daripada jenis kita, lebih-lebih lagi yang berseorangan? Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila. Tidaklah patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang yang lebih layak ada) di kalangan kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi sombong dan angkuh.” (Surah Al-Qamar: 24-25)

Mereka meminta diberikan bukti kerasulan nabi Saleh. Lalu Allah kurniakan unta yang lahir daripada celahan batu. Nabi Saleh meminta kaumnya agar tidak diapa-apakan unta mukjizat itu.

Mereka yang kufur masih terus dalam kesombongan mereka. Sengaja mereka membutakan mata daripada melihat mukjizat di hadapan mata. Mereka yang beriman pula terus menerima provokasi daripada mereka yang masih kufur dan sombong.

“Tahukah kamu bahawa Saleh diutus oleh Tuhannya?” (Surah Al-A’raf: 75)

Golongan yang beriman lalu menjawab, “Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu yang Saleh diutus untuk menyampaikannya.” (Surah Al-A’raf: 75)

Berang dengan jawapan daripada mereka, lalu golongan kafir itu berkata dengan penuh takabbur, “Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imami itu.” (Surah Al-A’raf: 76)

Melihat golongan yang beriman itu tidak terkesan dengan provokasi mereka, kemarahan mereka semakin membuak-buak. Lalu mereka membulatkan tekad, menyembelih unta mukjizat. Melihat unta mukjizat itu dibunuh oleh mereka, mereka bertemu terus dengan nabi Saleh seraya berkata dengan nada yang angkuh;

“Hai Saleh! Datangkanlah apa yang kamu ancamkan itu kepada kami, jika kamu termasuk salah seorang Rasul!” (Surah Al-A’raf: 77)

Sungguh, keangkuhan mereka mendatang kemurkaan Allah.

Lalu datanglah gempa menimpa mereka, dan mereka pun mati bergelimpangan di dalam runtuhan rumah mereka. Kemudian dia (Saleh) pergi meninggalkan mereka sambil berkata, “Wahai kaumku! Sungguh, aku telah menyampaikan amanat Tuhanmu dan aku telah menasihati kamu. Tetapi kamu tidak menyukai orang yang member nasihat.” (Surah Al-A’raf: 78).

Begitulah kisah kaum Tsamud. Kerana takbur, mereka terkubur.


KEMBALI DI PETRA

Hampir seharian kami berada di Petra. Bermula seawal jam sembilan pagi. Menyelusuri jalan luas berdebu, memasuki lorong sempit Siq, bertemu dengan Al-Khazneh. Terus berjalan dan memanjat lagi, melihat teater dan pusat pentadbiran mereka. Mendaki tangga yang dipahat di atas batu, menemui lagi sebuah struktur binaan besar di puncak gunung. Lalu kami berpatah pulang dan kembali semula di pintu masuk pada pukul tiga petang.


Di hadapan kawasan Transformer berlakon

Begitu kisah pengembaraan kami. Petra, megahnya bukan sekadar untuk dihayati, tetapi untuk dikutip ibrahnya sekali. Betapa keangkuhan sebilangan kecil daripada mereka, namun bala yang diterima menimpa mereka semua. Kekuatan fizikal dan kemahiran mereka langsung tidak dapat membantu mereka. Saat azab itu tiba, semuanya binasa.

 Katakanlah; “Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Surah Al Ankabut : 20)

0 comments:

Post a Comment

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger