"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Friday, September 14, 2012

Nama abang... Adi


Kemeriahan jutaan umat Islam menunaikan ibadat pada bulan Ramadhan di Masjidil Haram begitu terasa, lebih-lebih lagi pada malam 27 Ramadhan. Pada malam tersebut, kebanjiran manusia untuk beribadat ke sana sungguh luar biasa. Dikatakan enam juta jemaah daripada seluruh dunia datang untuk mencari satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, MasyaAllah!

Keesokan harinya, pada malam 28 Ramadhan, selepas selesai solat Tarawih, aku terus keluar daripada masjid. Perutku perlu diisi kerana aku hanya berbuka puasa dengan buah kurma, sebungkus roti dan sekotak air yang dihidangkan di hadapan masjid. Kali ini, aku mahu mencari Restoran Felda kebanggaan rakyat Malaysia yang terletak di dalam bangunan yang hanya bersebelahan dengan Masjidil Haram sahaja.

Setelah tiga hari berada di tanah suci Al-Haram, akhirnya aku tiba juga ke Restoran D’Saji atau lebih dikenali dengan nama Restoran Felda. Restoran tersebut terletak di tingkat keempat bangunan Marwah. Berada di restoran tersebut membuatkan aku berada seperti di Malaysia. Restoran tersebut memonopoli ruang food court di tingkat tersebut. Barulah aku lihat betapa ramainya jemaah daripada Malaysia yang turut sama datang beribadat di sini.


Setelah puas bertawaf untuk mencari sebuah tempat untuk duduk, akhirnya aku bertemu juga dengan sebuah meja yang mempunyai hanya sebuah kerusi. Aku duduk-duduk sambil melihat gelagat manusia. Bacaan Syeikh Maher yang mengimami solat Tahajjud sedikit tenggelam dengan suara manusia yang begitu sibuk dengan urusan sendiri.

Tiba-tiba, datang seorang pemuda dengan berkopiah putih datang merapati aku.

“Adik duduk seorang je ke?”

“Haah. Eh, abang tunggu sini dulu, biar saya yang carikan kerusi untuk abang,” aku cuba  menghulurkan bantuan.

“Eh, tak payah susah-susah. Adik duduk je di sini, biar abang yang cari,” pemuda tersebut tersenyum padaku lantas terus beredar untuk mencari kerusi.

Aku mengekori pemuda tersebut dengan anak mata sambil membalas senyuyman. Melihat pemuda tersebut masih tidak berjaya untuk menemui tempat duduk, kali ini aku nekad untuk menghulurkan bantuan kepadanya.

Pencarian aku berjaya. Aku berjaya menemui sebuah kerusi kosong dalam kepadatan manusia. Setelah pemuda itu duduk bersama aku, datang pula seorang pak cik yang merupakan kenalan kepada pemuda tersebut.

“Mari adik, makan sekali,” pak cik tersebut menghulurkan pinggan yang berisi bihun dan mee kepadaku. Namun aku menolak dengan baik.

“Adik datang sini, sorang-sorang je?” Pak cik itu bertanya.

“Haah. Kawan-kawan lain ada sahaja di masjid.”

“Adik belajar di sini?”

“Tak, saya belajar di Jordan.”

Pak cik dan pemuda tersebut terus menikmati hidangan. Ketika aku duduk bersama mereka, aku dapat lihat ramai mata yang memerhatikan aku, terutamanya para wanita. Aku mula merasa sedikit tidak selesa. Malah aku dapat melihat ada seorang wanita yang terus menjerit apabila melihat kami.

“Apa nama pak cik ya?” Aku mula bertanya untuk menghilangkan rasa ganjilku.

“Nama pak cik, Firdaus.”

“Owh. Nama abang pula?”

“Nama abang, Adi,” agak lambat pemuda itu menjawab. Pak cik Firdaus pula melihat raut wajah aku dengan penuh kehairanan.

“Ni, lupa pula nak tanya, nama adik siapa?” Kali ini pak cik Firdaus pula bertanya.

“Nama saya Hamid,” aku mula memperkenalkan diri.

Beberapa minit kemudian, pemuda yang bernama Adi beredar sebentar untuk membeli roaster.

“Adik tak kenal ke abang tadi?” Pak cik Firdaus merapati aku dengan wajah kehairanan.

Aku mengerut dahi.

“Abang itu, pelakon terkenal. Adi Putra. Pelakon cerita KL Gangster. Adik tengok cerita itu?” bersungguh-sungguh pak cik Firdaus bercerita.

“Owh, dia ke Adi Putra. Kenal sangat-sangat pak cik,” aku sedikit terkejut. Rupanya pemuda yang bernama Adi itu adalah Adi Putra, seorang pelakon terkenal! Aku tersenyum sendirian.

Adi Putra kembali semula dengan membawa roaster. Kali ini aku tidak menolak pelawaan daripadanya. Tidak beberapa lama kemudian, sahabat-sahabat aku mula datang dan bersalaman dengan kami. Ternyata mereka semua mengenali Adi Putra. Aku mula merasa bersalah kerana tidak sedar sedari awal lagi. 'Pasti Adi Putra berkecil hati kerana masih ada rakyat Malaysia yang masih tidak mengenali dirinya,' bisikku di dalam hati.

Selesai bersama mereka, aku mula bersama sahabat-sahabatku…

“Hebat enta, makan dengan pelakon. Macam mana enta boleh kenal dengan dia? Saudara ya?” Syafiq mula bertanya.

“Eh, tak la. Jumpa dengan dia tadi. Dia tengah cari tempat kosong. Itu yang makan sekali tu. Hakikatnya, ana pun tak kenal pada mulanya yang dia tu Adi Putra,” aku mengaku jujur.

“Enta tak kenal dia? Mana boleh macam ini syeikh. Enta kata nak buat filem Islamik. Kalau nak buat filem, tapi tak kenal pelakon, susah la.”

Kata-kata Syafiq begitu terkesan di hatiku.

Ya, aku memang memasang impian untuk menghasilkan sebuah movie Islamik. Hakikatnya, bukan mudah untuk mencapai impianku itu. Jika aku sendiri tidak mampu mengenali para pelakon dengan baik, bagaimana aku mahu menghasikan sebuah naskah filem yang baik?

Seorang pelajar agama tidak perlu hanya sekadar membaca buku-buku agama sahaja. Seorang daie yang hebat adalah mereka yang mengetahui isu-isu semasa, tahu keinginan dan kegemaran masyarakat serta tahu untuk mengalih perhatian orang ramai. Kerana itulah Syeikh Yusuf Qardhawi pernah menyebut di dalam Kitab Fiqh Awlawiyyat karangannya bahawa seorang muslim yang kaya lebih baik untuk menghasilkan sebuah cerita Islam yang mendidik jiwa daripada pergi menunaikan umrah berkali-kali.

Jadi, mari bersamaku untuk memasang impian menghasilkan sebuah movie Islamik yang mampu mengubah pemikiran manusia kepada cara hidup yang lebih baik. Owh, tetapi sebelum itu pastikan anda mengenali pelakon-pelakon dengan cukup baik dahulu ya  ^_^

0 comments:

Post a Comment

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger