Nabi Sulaiman a.s. (سليمان) merupakan anak Nabi Daud a.s. Sejak
kecil lagi baginda telah menunjukkan kecerdasan dan ketajaman fikirannya.
Pernah memutuskan perkara 2 orang yang berselisih, iaitu antara pemilik kebun
dan pemilik kambing.
Raja Segala Makhluk
Allah SWT mengangkatnya
sebagai nabi dan rasul. Setelah
Sulaiman cukup umur dan ayahandanya wafat, Sulaiman diangkat menjadi raja di kerajaan bani
Israil. Beliau berkuasa tak hanya atas manusia, namun juga binatang dan
makhluk halus seperti jin dan lain-lain. Baginda dapat memahami bahasa
semua binatang
Istana Nabi Sulaiman sangat
indah. Dibangun dengan gotong royong manusia, binatang, dan jin. Dindingnya
terbuat dari batu pualam, tiang dan pintunya dari emas dan tembaga, atapnya
dari perak, hiasan dan ukirannya dari mutiara dan intan berlian, pasir di taman
ditaburi mutiara, dan sebagainya.
Nabi Sulaiman menguasai Jin
dan Haiwan
Nabi Sulaiman dianugerahkan
Allah kebijaksanaan sejak remaja lagi. Beliau juga memiliki pelbagai
keistimewaan, termasuk mampu bercakap, memahami dan memberi arahan terhadap jin
dan haiwan sehingga semua makhluk itu mengikuti kehendaknya.
Allah berfirman: “Dan sesungguhnya
Kami telah memberikan ilmu kepada Daud dan Sulaiman dan keduanya mengucapkan;
segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dan banyak hambanya yang beriman.
Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata; Wahai manusia, kami telah
diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu.
Sesungguhnya semua ini benar-benar satu anugerah yang nyata.”
Kebijaksanaan Sulaiman
dapat dilihat melalui pelbagai peristiwa yang dilaluinya. Misalnya, beliau cuba
mengetengahkan idea kepada bapanya, Nabi Daud bagi menyelesaikan perselisihan
antara dua pihak, masing-masing membabitkan pemilik haiwan ternakan dan kebun.
Walaupun ketika itu usianya
masih muda, pendapatnya bernas. Mulanya Nabi Daud memutuskan pemilik haiwan
supaya menyerahkan ternakannya kepada pemilik kebun sebagai ganti rugi
disebabkan ternakannya memasuki dan merosakkan kebun itu. Sulaiman yang
mendengar keputusan bapanya mencelah: “Wahai bapaku, menurut pandanganku,
keputusan itu sepatutnya berbunyi; kepada pemilik tanaman yang telah musnah
tanaman diserahkanlah haiwan jirannya untuk dipelihara, diambil hasilnya dan
dimanfaatkan bagi keperluannya. “Manakala tanamannya yang binasa itu diserahkan
kepada jirannya, pemilik ternakan untuk dijaga sehingga kembali kepada keadaan
asal. Kemudian masing-masing menerima kembali miliknya, sehingga dengan cara
demikian masing-masing pihak tidak ada yang mendapat keuntungan atau menderita
kerugian lebih daripada sepatutnya.” Pendapat yang dikemukakan Sulaiman
dipersetujui kedua-dua pihak. Malah orang ramai yang menyaksikan perbicaraan
itu kagum dengan kebolehan beliau menyelesaikan perselisihan terbabit.
Bertitik tolak daripada
peristiwa itu, kewibawaan Sulaiman semakin terserlah dan ia juga sebagai bibit
permulaan kenabian Sulaiman. Melihat kecerdasan akal yang ditonjolkannya itu,
Nabi Daud menaruh kepercayaan dengan mempersiapkannya sebagai pengganti dalam
kerajaan Bani Israel. Namun, abangnya Absyalum tidak meredai beliau melangkah
bendul dalam heriarki pemerintahan itu, malah mendakwa dia yang sepatutnya
dilantik putera mahkota kerana Sulaiman masih muda dan cetek pengalaman.
Absyalum mahu mendapatkan takhta itu daripada bapa dan adiknya. Justeru, dia
mula menunjukkan sikap baik terhadap rakyat, dengan segala masalah mereka
ditangani sendiri dengan segera, membuatkan pengaruhnya semakin meluas.
Sampai satu ketika,
Absyalum mengisytiharkan dirinya sebagai raja, sekali gus merampas kekuasaan
bapanya sendiri. Tindakannya itu mengakibatkan huru-hara di kalangan Bani
Israel. Melihatkan keadaan itu, Nabi Daud keluar dari Baitulmaqdis,
menyeberangi Sungai Jordan menuju ke Bukit Zaitun. Tindakannya itu semata-mata
mahu mengelakkan pertumpahan darah, namun Absyalum dengan angkuh memasuki
istana bapanya. Di Bukit Zaitun, Nabi Daud memohon petunjuk Allah supaya
menyelamatkan kerajaan Bailtulmaqdis daripada dimusnahkan anaknya yang derhaka
itu. Allah segera memberi petunjuk kepada Nabi Daud, iaitu memerangi Absyalum.
Namun, sebelum memulakan peperangan itu, Nabi Daud berpesan kepada tenteranya
supaya tidak membunuh anaknya itu, malah jika boleh ditangkap hidup-hidup.
Bagaimanapun, kuasa Allah melebihi segalanya dan ditakdirkan Absyalum mati juga
kerana dia mahu bertarung dengan tentera bapanya.
Kemudian, Nabi Daud kembali
ke Baitulmaqdis dan menghabiskan sisa hidupnya selama 40 tahun di istana itu
sebelum melepaskan takhta kepada Sulaiman. Kewafatan Nabi Daud memberikan kuasa
penuh kepada Nabi Sulaiman untuk memimpin Bani Israel berpandukan kebijaksanaan
yang dianugerah Allah. Beliau juga dapat menundukkan jin, angin dan burung,
sehingga dapat disuruh melakukan apa saja, termasuk mendapatkan tembaga dari
perut bumi untuk dijadikan perkakasan.
Firman Allah bermaksud: “Dan
Kami (tundukkan) angin bagi Sulaiman yang perjalanannya pada waktu petang, sama
dengan perjalanan sebulan dan Kami alirkan cairan tembaga baginya. Dan
sebahagian daripada jin ada yang bekerja di hadapannya (di bawah kekuasaannya)
dengan izin Tuhannya. Dan siapa yang menyimpang antara mereka daripada perintah
Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala. Mereka
(para jin itu) bekerja untuk Sulaiman sesuai dengan apa yang dikehendakinya di
antaranya (membuat) gedung-gedung yang tinggi, patung-patung, piring-piring
yang (besarnya) seperti kolam dan periuk-periuk yang tetap (berada di atas
tungku). Bekerjalah wahai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan
sedikit sekali dari hamba-hambaKU yang bersyukur.”
[surah Saba:12-13]
Ratu Balqis Tunduk kepada
Nabi Sulaiman
Disuruhnya burung hud-hud
(sejenis belatuk) mencari sumber air. Tetapi burung berkenaan
tiada ketika dipanggil. Ketiadaan burung hud-hud menimbulkan kemarahan
Sulaiman. Selepas itu burung hud-hud datang kepada Nabi Sulaiman dan berkata:
"Aku telah terbang untuk mengintip dan terjumpa suatu yang sangat
penting untuk diketahui oleh tuan..."
Firman Allah, bermaksud:
"Maka tidak lama kemudian datanglah hud-hud, lalu ia berkata; aku telah
mengetahui sesuatu, yang kamu belum mengetahuinya dan aku bawa kepadamu dari
negeri Saba suatu berita penting yang diyakini.
"Sesungguhnya aku
menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka dan dia dianugerahi segala
sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar. Aku mendapati dia dan kaumnya
menyembah matahari, selain Allah..."
Mendengar berita itu, Nabi
Sulaiman mengutuskan surat mengandungi nasihat supaya menyembah Allah kepada
Ratu Balqis. Surat itu dibawa burung hud-hud dan diterima sendiri Ratu Balqis. Selepas
dibaca surat itu, Ratu Balqis menghantarkan utusan bersama hadiah kepada
Sulaiman. Dalam al-Quran diceritakan: "Tatkala utusan itu sampai
kepada Nabi Sulaiman, seraya berkata; apakah patut kamu menolong aku dengan
harta?
"Sesungguhnya apa
yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikannya
kepadamu, tetapi kamu berasa bangga dengan hadiahmu.
"Kembalilah kepada
mereka, sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentera yang mereka
tidak mampu melawannya dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu
(Saba) dengan terhina dan mereka menjadi tawanan yang tidak berharga."
Utusan itu kembali ke
negeri Saba dan menceritakan pengalaman yang dialami di Yaman kepada Ratu
Balqis, sehingga dia berhajat untuk berjumpa sendiri dengan Sulaiman. Keinginan
Ratu Balqis itu diketahui Nabi Sulaiman terlebih dulu dan beliau memerintahkan
tenteranya, terdiri daripada manusia, haiwan dan jin untuk membuat persiapan
bagi menyambut kedatangan Ratu Balqis. Nabi Sulaiman juga memerintahkan
pasukannya supaya membawa singgahsana Ratu Balqis ke istananya.
Pada ayat 38 s/d 40 di
surat Al-Naml, disebutkan : 38. “Berkata Sulaiman : “Hai
pembesar-pembesar, siapakah diantara kamu sekalian yang sanggup membawa
singgahsananya (Ratu Balqis) kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai
orang yang berserah diri.”
39. “Berkata ‘Ifrit (yang
cerdik) dari golongan jin :” Aku akan datang kepadamu sebelum kamu berdiri
dari tempat dudukmu ; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya
lagi dapat dipercaya.”
40. “Berkatalah seorang
yang mempunyai ilmu dari buku-buku : “Aku akan membawa singgasana itu
kepadamu sebelum matamu berkedip.” Maka tatkala Sulaiman melihat singgasana
tersebut itu terletak di hadapannya, iapun berkata :” Ini termasuk kurnia
Tuhanku untuk mencuba apakah aku bersyukur atau mengingkari nikmatNya. Dan
barangsiapa bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya
sendiri dan baransiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi
Mulia.”
Lalu manusia yang memiliki
ilmu memindahkan istana ratu Balqis. Apabila Ratu Balqis tiba ditanya Sulaiman:
"Seperti inikah singgahsanamu?" Dijawab Ratu Balqis: "Ya,
memang sama apa yang seperti singgahsanaku" Kemudian Ratu Balqis
dipersilakan masuk ke istana Nabi Sulaiman. Namun, ketika berjalan di istana
itu, sekali lagi Ratu Balqis terpedaya, kerana menyangka air pada lantai istana
Sulaiman, sehingga menyelak kainnya.
Firman Allah yang
bermaksud: Dikatakan kepadanya; masuklah ke dalam istana. Maka tatkala dia
(Ratu Balqis) melihat lantai istana itu, dikiranya air yang besar dan
disingkapkannya kedua betisnya.
Berkatalah Sulaiman;
"sesungguhnya ia istana licin yang diperbuat daripada kaca".
Berkatalah Balqis; "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim
terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman dan kepada Allah, Tuhan
semesta alam."
Peristiwa itu menyebabkan Ratu Balqis berasa
sangat aib dan menyedari kelemahannya, sehingga dia memohon ampun atas
kesilapannya selama ini dan akhirnya dia diperisterikan oleh Nabi Sulaiman.
Kewafatan Baginda
Kisah Sulaiman merangkumi
tenteranya yang terdiri daripada manusia, haiwan dan jin dalam
menjalankan dakwah Allah terhadap Ratu Balqis. Kematian beliau berlainan dengan
manusia biasa. Nabi Sulaiman wafat dalam keadaan duduk di kerusi, dengan
memegang tongkat sambil mengawasi dan memerhatikan jin yang bekerja.
Firman Allah: "Tatkala
Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada
mereka setelah kematiannya itu melainkan anai-anai yang
memakan tongkatnya. Maka tatkala ia telah tersungkur, nyatalah bagi jin itu
bahawa sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak akan tetap
dalam seksa yang menghinakan."
[Surah Saba: 14]
0 comments:
Post a Comment