KEHIDUPAN adalah sebuah kisah. Setiap daripada kita
punya kisah hidup dan cerita yang tersendiri. Kitalah watak utama dalam lakon
layar kita dan kita berhak memilih untuk menjadi watak baik ataupun watak
jahat. Ada daripada kisah hidup yang dibuku dan diceritakan, tetapi kebanyakan
kisah hidup manusia hanya menjadi kenangan diri dan akan dilupakan oleh orang
lain.
Andai
wujud anugerah untuk mengangkat kisah hidup manusia yang terbaik pernah
diceritakan, kisah itu pasti akan dimenangi oleh Nabi Yusuf.
Mengapa saya
memilih kisah Nabi Yusuf?
Untuk
memilih sebuah kisah yang terbaik, pasti kita akan memilih kisah tersebut di
dalam sebuah buku yang terbaik. Tidak lain buku yang terbaik pernah wujud di
atas muka bumi ini pastilah Al-Quran, kalam Allah, sebuah kitab yang tidak
diragukan lagi kebenarannya.
Seterusnya,
Allah menyebut secara jelas di dalam Al-Quran mengenai cerita terbaik yang
pernah diperturunkan, iaitu kisah Nabi Yusuf. Perkataan ‘Ahsanal Qosos :
The best story ever’ (Yusuf: 3) – merupakan frasa yang digunakan untuk
menggambarkan ketinggian kualiti Surah Yusuf. Surah ini merupakan satu-satunya
surah yang mengandungi ayat dialog terbanyak iaitu 86 ayat daripada 111 jumlah
ayat keseluruhannya.
Kisah
Nabi Yusuf seperti yang tercatat juga adalah kisah yang paling lengkap
berkenaan sejarah hidup seorang nabi di dalam Al-Quran, di mana ia bermula
sejak Nabi Yusuf kecil sehinggalah baginda dewasa. Lebih menarik, semua ayat
berkenaan kisah hidup baginda terkumpul dalam satu surah khas iaitu Surah
Yusuf. Ini berbeza dengan ayat-ayat berkenaan kisah nabi-nabi lain yang tidak
terkumpul dalam surah yang dinamai sempena nama masing-masing.
Nilai
suspen diterapkan di dalam kisah ini. Kisah Nabi Yusuf bermula dengan mimpi
yang dialaminya. Mimpi tersebut tidak diketahui tafsirannya sehinggalah kita
membaca sehingga habis kisahnya. Jalan ceritanya juga tidak dapat dibaca dan
diagak oleh para pembaca membuatkan kisah ini begitu berkualiti tinggi. Watak
utamanya – Nabi Yusuf – turut diceritakan dengan memiliki wajah yang tersangat
tampan dan mempunyai budi pekerti yang cukup luhur.
Jika
diliht filem blockbuster yang
evergreen sepanjang zaman, semuanya berkongsi satu tema utama iaitu
‘kebaikan’ lawan ‘kejahatan’. Surah Yusuf juga berpusing pada tema serupa.
Ceritanya bermula dengan watak hero – Nabi Yusuf – yang mengalmi kesusahan pada
awalnya, namun ceritanya berakhir dengan kesenangan serta pengakuan salah watak
jahat terhadap hero utama. Malah, watak-watak jahat juga turut berubah menjadi
baik pada pengakhiran ceritanya.
Sesuatu yang
boleh kita pelajari dalam kisah Nabi Yusuf ini ialah bagaimana seorang
pemerintah sanggup melepaskan jawatannya semata-mata kerana percaya ada insan
lain yang lebih baik untuk mentadbir berbanding dirinya. Bukan mudah untuk
seseorang yang mempunyai kekuasaan di tangannya untuk melepaskan jawatannya
walaupun negaranya dalam keadaan aman dan para rakyat masih menumpahkan
kesetiaan kepadanya.
Seperti
watak-watak hero di dalam filem, Nabi Yusuf juga ditonjolkan memiliki kekuatan
luar biasa yang lebih hebat daripada semua hero-hero yang ada di muka bumi ini.
Kekuatan Nabi Yusuf adalah terletak kepada kesabarannya yang tinggi. Cabaran
yang dihadapi baginda bukan mudah dihadapi oleh manusia biasa, hatta watak hero
di dalam filem sekalipun seperti;
1. Komplot anak derhaka.
2. Cemburu adik-beradik.
3. Plot rancangan pembunuhan.
4. Berpisah dengan ayah tercinta.
5. Cinta terlarang.
6. Fitnah dan di ‘kambinghitam’ kan.
7. Pendustaan, tipu helah.
Namun, kesemua cabaran tersebut dapat
diatasi oleh Nabi Yusuf. Ya, baginda tidak memiliki kekuatan luar biasa, tetapi
baginda dikurniakn kelebihan yang luar biasa, iaitu mentafsir mimpi. Kelebihannya
itu digunakan dengan sebaik mungkin untuk mengubah kehidupannya serta kehidupan
para penduduk. Kisah Nabi Yusuf juga berakhir dengan happy ending yang
cukup menarik dan tidak dapat digambarkan oleh pemikiran manusia.
0 comments:
Post a Comment