"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Showing posts with label kami. Show all posts
Showing posts with label kami. Show all posts

Sunday, September 1, 2013

Rome Kami Datang (Siri 1)


Menjejak kaki ke sana, jiwaku diragut rasa takjub. Seakan kini aku bukan berada di bumi ambiya, Jordan. Sebaliknya jasadku seakan terbang melayang ke kota Rome, Itali. Itulah perasaanku ketika kali pertama aku menjejak kaki ke kota Jerash yang terletak di utara Jordan, berjarak hanya 35 kilometer daripada ibu negara, Amman.


SEJARAH BANDAR JERASH

Bandar Jerash ini turut mencatat sejarahnya yang panjang. Pernah dipanggil Gerasa ketika kota ini dikuasai oleh Jeneral Pompeii dari Rom Timur. Bandar ini dipengaruhi oleh rakan perdagangan dan sekutunya daripada kerajaan Arab Nabatean dalam perbagai aspek. Tahun 395 Masihi menyaksikan agama Kristian menjadi agama dominan di Jerassah. 219 tahun kemudian, kota ini dikuasai pula oleh Parsi yang membinasakan hampir kesemua monumen mereka.

Membalas serangan, kerajaan Rom di bawah pimpinan Maharaja Hercules pada tahun 627 Mahsihi telah merampas semula Jerash dan kerajaan Arab Ghassan di bawah pemerintahan mereka. Tidak bertahan lama, Islam mula menguasai kota rebutan itu pada tahun 636 Masihi. Kota itu mencapai kemuncak kegemilangannya pada zaman Umawiah. Pada zaman tersebut, kota ini terkenal sebagai lombong perak dan gangsa di samping kawasan industri tembikar.

Tahun 749 Masihi, Jerash dilanda gempa bumi yang menyebabkan populasi penduduknya merudum kepada 4000 orang sahaja.

Jerash tidak terkecuali daripada bahang Perang Salib apabila Raja Baldwin cuba menguasainya namun gagal. Pada percubaan mereka menguasai Syria, tentera salib telah memusnahkan sebahagian Jerash dan membakarnya. Pada zaman Turki Uthmaniah, Bandar ini dipelihara dan masjid telah didirikan. Jerash telah menjadi daerah di bawah kerajaan Jordan dengan mandat British sehinggalah Jordan mencapai kemerdekaan pada tahun 1946.

Begitulah serba sedikit sejarah panjang yang dilalui oleh kota lama ini.

Memasuki Bandar ini, monumen pertama yang kelihatan daripada jauh adalah sebuah pintu gerbang besar yang begitu cantik, seakan pintu gerbang yang terdapat di Kota Paris. Perasaanku untuk menjelajah kota lama Jerash semakin membuak-buak, lebih-lebih lagi apabila mendapati bahawa ini adalah kota kerajaan Rom yang terbesar dan terlengkap, yang terletak di luar negara Itali.


MEMASUKI KOTA LAMA JERASH

Van yang dinaiki telah berhenti. Kami lalu berjalan menuju ke pintu masuk kota lama Jerash yang menempatkan monumen dan binaan kota Rom. Cuaca di awal musim sejuk begitu menyenangkan. Perjalanan pada waktu sebegini pasti tidak meletihkan. Selesai membuat pembayaran, kami mula meneruskan langkahan.

Di hadapan Arka Hadrian

Memasuki kota lama Jerash, kami disajikan dengan binaan pintu gerbang besar yang aku sedari tadi telah melihatnya. Rupanya itu adalah Arka Hadrian yang dibina sempena lawatan Maharaja Hadrian ke Gerasa pada tahun 129 Masihi. Arka ini dibina sebagai gerbang utama di bahagian selatan.

Melewati arka besar itu, kami mula mendengar suara riuh rendah daripada dalam. Rupanya, satu pertunjukan akan diadakan sebentar lagi. Kami tidak melepaskan peluang untuk melihatnya. Pertunjukan itu dibuat di sebuah arena besar yang bernama Hippodrome. Arena ini dibina bagi menyaksikan perlumbaan kereta kuda dan sukan-sukan lain. Ketika kami tiba, kelihatan mereka sedang mengadakan pertunjukan perlumbaan kereta kuda, siap dengan pakaian ala Rom Sungguh menghiburkan.

selesai menonton pertunjukan
Kami meneruskan langkahan. Kelihatan dinding-dinding kota masih utuh berdiri. Corak dan ukiran daun Acanthus masih dipelihara. Sungguh kota lama itu cukup besar. Begitu banyak monumen yang menarik perhatian. Kami akhirnya memilih untuk bergerak ke Teater Rom atau collusion dahulu sebelum pergi ke monumen-monumen yang lain.

Teater Rom Selatan kami masuki. Ia boleh menempatkan lebih 3000 orang. Sungguh menakjubkan berada di dalamnya. Begitu besar dan masih cantik. Kelihatan warga Arab sedang bernyanyi dan menari di atas pentas. Suara mereka boleh didengari daripada atas. Sesetengah tempat duduk boleh ditempah dan tulisan Greek masih kelihatan. Terdapat dua laluan menuju ke okestra dan empat laluan di belakang teater yang menghubungkan barisan-barisan atas tempat duduk.

di atas pentas collusium bersama si kembar yang comel

Di tengah-tengah kota lama ini, terdapat sebuah Medan Bujur. Medan ini dikelilingi kaki lima yang luas dan di tengahnya terdapat dua kolam pancutan air yang dibina pada kurun ke tujuh. Barisan tiang dibina daripada senibina Yunani. Medan Bujur yang tidak bersimetri ini dianggap aneh bagi bandar-bandar klasik, tetapi ia mempunyai peranan yang khusus iaitu membenarkan paksi barat laut Kuil Zeus agar selari dengan paksi Utara - Selatan Cardo dan seluruh bandarnya.

Menuju ke Cardo

Tanpa sedar, kami berada di permulaan Cardo. Cardo pula letaknya di utara kota lama Jerrash.

Sepanjang perjalanan menuju ke Utara kota, kami disajikan dengan pemandangan jajaran tiang yang indah. Batu-batu asal masih kekal di jalan jajaran tiang dan kesan roda kereta kuda juga masih kelihatan pada jalan. Cardo sepanjang 800 meter ini merupakan tulang belakang senibina dan tumpuan kegiatan penduduk Gerasa. Jalan jajaran ini telah dilebarkan ke bentuk Corinthian seperti yang dilihat pada hari ini. Kedai-kedai juga dahulunya dibina di kaki lima  jalan ini.

berpoyo sebentar

Terdapat juga sistem kumabahan bawah tanah yang mengalir di sepanjang Cardo serta lubang-lubang yang wujud di tepi jalan bagi mengalirkan saliran air hujan. Struktur-struktur terpenting bandar ini telah diatur di sekeliling Cardo termasuk pasar, kuil, pancutan air, dan binaan-binaan awam yang lain. Ketika melalui jalan ini, kelihatan beberapa monumen penting dan bangunan awam seperti Agora.

bersambung di siri kedua...

Sunday, June 16, 2013

Town Musicians of Bremen

Amri di hadapan tugu empat sekawan ini

Bremen, sebuah kota indah yang penuh epik dan kisah rakyat. Kota yang terletak di utara Jermen itu menjanjikan panorama yang menarik. Ketika kami tiba di sana, suhunya jatuh mendadak. Musim panas yang terik bertukar menjadi dingin sejuk yang menggigil. Tetapi kembara di kota ini harus berjalan juga.

Malas mahu bercerita tentang kembara kami di sini, tetapi aku mahu bercerita tentang sebuah kisah dongeng yang begitu masyhur di bumi Bremen ini. Mahu tahu kisahnya apa? Mari teruskan bacaan ^_^


KISAH EMPAT SEKAWAN

Keldai, haiwan yang bekerja untuk majikan dengan penuh taat. Beliau menghampiri sisa-sisa kehidupan dengan rutin harian yang sama setiap hari.

Bosan menjalani kehidupan yang sama setiap hari, si keldai memutuskan untuk berhijrah ke kota Bremen untuk menjadi artis, menjadi penyanyi. Kota Bremen memang dikenali sebagai kota kebebasan. Merasakan suaranya begitu merdu, beliau terus berjalan sambil menyanyi-nyanyi tanpa henti. Ketika beliau berjalan, si keldai bertemu dengan si anjing.

"Yop. Bersenang-lenang nampak! Nak ke mana tu yop?" Soal anjing dalam loghat perak.

"Ate, mike nak ke kota Bremen ni. Ingat nak jadi artis," keldai menjawab ramah.

"Macam best je. Nak juga teman ke sana, jadi artis. Boleh ke yop?" Anjing menjadi teruja.

:Boleh je. Moh le ikut teman," terus si keldai mempelawa.

Maka dua ekor binatang ini terus berjalan seiringan menuju ke kota Bremen. Sehinggalah perjalan mereka terhenti apabila ditegur oleh si kucing. Si kucing kehairanan melihat dua ekor binatang itu berjalan seiringan lantas bertanya ke mana tujuan mereka.

"Kami mahu ke kota Bremen. Mahu menjadi artis," keldai yang seakan menjadi ketua deligasi laju menjawab.

"Wah, bestnya. Nak ikut, nak ikut," kucing mempamer muka simpati penuh empeti dengan harapan dia juga dapat turut serta dalam kembara mereka menjadi bintang.

"Ma fi musykilahon punya. Moh le ikut kami," keldai lantas menerima kucing sebagai rekrut baru teamnya.

Kini, mereka bertiga. Gamaknya, boleh menjadi satu kumpulan band yang gempak punya!

Sedang berjalan, kali ini ayam yang melihat mereka daripada kejauhan pula turut meelahirkan harapan agar dia juga mahu mengikut jejak langkah mereka.

"Jom, lagi ramai, lagi bagus," keldai laju menerima ajakan si ayam.

Kini, berjalan empat sekawan menuju ke dunia baru, bakal menjadi bintang, walaupun mereka hanya binatang! Mereka terus bernyanyi untuk memperbaiki mutu suara mereka. menyanyi, dan terus berlatih menyanyi.


bertemu perompak

Tengah malam. Ketika mereka hampir tiba di kota Bremen, mereka melihat dari kejauhan sebuah rumah yang masih bercahaya, penuh riuh rendah di dalamnya. Seakan isi rumah itu bergembira tak ingat dunia.

"Kita ni, asyik praktik sesama kita je. Apa kata kita buat persembahan di hadapan penonton pula. Apa macam?" Keldai sebagai ketua menanyakan pendapat.

"OK BRO!!!" Mereka bertiga menjawab serentak dengan penuh bersemangat.

Mereka berempat terus menuju ke rumah yang masih riuh dan bercahaya itu. Mahu membuat persembahan dengan harapan tuan rumahnya memberi mereka upah berupa makanan. Lalu mereka bersedia untuk menyanyikan lagu di hadapan penonton pula.

Nyanyian mereka menghasilkan efek di luar jangkaan; para perompak keluar lari daripada rumah, tidak mengetahui bunyi bunyi apa yang menakutkan di luar sana. 

"Kenapa deme keluar, bro?" Si ayam bertanya hairan.

"Itu maknanya mereka suruh kita masuk ke dalam, ambil habuan kita la tu," keldai membuat andaian.

Lalu mereka berempat masuk ke dalam, menguasai ruangan rumah, makan segala makanan; hatta ke petang esok harinya.

Pada malamnya, kumpulan perompak itu kembali datang ke rumah. Mereka masih ketakutan memikirkan hal semalam. Lalu mereka menghantar salah seorang daripada mereka untuk membuat siasatan. Wakil perompak terus masuk ke dalam rumah yang telah gelap. Dia melihat silauan mata kucing, lalu disangkanya arang api. Dia mencapai lilin api. Memikirkan sesuatu yang buruk, kucing terus melompat dan mencakar muka perompak itu dengan kukunya., anjing menggigit kaki, keldai menendang dan ayam menyinga lalu menghalau perompak keluar daripada rumah.

Takut!

Terus wakil perompak itu bertemu dengan kumpulannya, menceritakan apa situasinya di rumah sana. Dia menceritakan satu lembaga berkuku panjang mencakar mukanya (kucing),hantu dengan pisau (anjing), raksasa yang telah memukulnya (keldai) dan penunggu yang menyinga daripada atap (ayam).

Mengambil keputusan, kumpulan perompak itu pun meninggalkan rumah mereka yang penuh puaka. Maka, hiduplah empat sekawan itu berbahagia, happy ever after.

Begitulah ceritanya...

Juga empat sekawan, mencari damai di kota Bremen :)

Sunday, April 14, 2013

Takbur Lalu Terkubur


Kumpulan expedisi yang berjaya menawan kemuncak tertinggi Petra 

Petra, satu nama yang cukup dikenali. Pekan terpencil ini mula menjadi tumpuan dunia apabila dipilih sebagai Tujuh Keajaiban Baru Dunia pada tahun 2007. Namanya cukup gah, duduk sebaris dengan Kota Rome di Itali, Piramid di Kaherah dan Tembok Besar di China. Tidak pernah aku sangka, berjaya juga dalam hidupku ini menjejakkan kaki ke salah satu tempah ajaib dunia ini.

Suasana luar sebelum memasuki gerbang keajaiban.

Angin yang agak deras menyejukkan suasana. Kelihatan ramai pelancong asing berada di perkarangan pintu masuk. Kami tidak meluru masuk ke dalam, sebaliknya terus masak dan menyediakan hidangan. Orang kata, untuk menjelajahi The Rose City ini memerlukan tenaga fizikal yang tinggi. Persiapan awal perlu dilakukan agar kami dapat menawan kemuncak Petra.

Tanpa rasa malu, kami makan beralaskan plastik makanan sahaja. Bajet, huhu

Tanapa rasa malu, kami membentangkan plastik makanan di kawasan parkir kenderaan. Bukan apa, makanan di sini mahal-mahal belaka. Perut yang lapar perlu diutamakan, takut semput dan tersungkur di perjalanan. Makan dengan berselera tanpa menghiraukan jemaah manusia yang semakin membanjiri kawasan. Selesai makan, kami bergegas menuju ke kaunter pembayaran.

Terkedu aku melihat harga tiket masuk bagi pelancong asing. Tiket mereka mencecah 50 dinar. Jika ditukar, nilainya menjadi sekitar RM230! Fuh, selamat kami punya kad pelajar di sini yang menyamakan kami membayar harga tiket sama seperti penduduk tempatan. Kami hanya perlu membayar sedinar sahaja untuk satu tiket masuk.

Dengan kad pelajar sini, kami berpeluang membeli tiket dengan harga serendah 1.00 JD. Hehe


THE ROSE CITY

Kami beratur, berbaris menunggu giliran untuk masuk.

Memasuki pintu masuk, kami seakan berada pada satu zaman yang berbeza. Kuda, keldai dan unta memenuhi ruangan, mengangkut pelancong yang mahu menjimatkan tenaga tanpa perlu berjalan. Tiada lagi kenderaan moden yang memuntahkan asap, menyesakkan udara. Polis-polis yang mengawal keamanan juga turut menunggang kuda. Kawasan di sana sifir pembangunan. Mereka tidak mahu kemodenan menenggelamkan ketamadunan lama ini.

Menjejaki sejarah penemuan kota yang hilang ini, Petra mula diketahui oleh dunia Barat apabila ditemui oleh penjelajah Switzerland yang bernama Johann Ludwig Burckhardt pada tahun 1812. Kota ini dipercayai pernah diduduki oleh kaum Nabatean dan kamu Tsamud yang hidup pada zaman Nabi Saleh. Mereka terkenal dengan kemahiran seni bina dan pemotongan batu dengan memahat bukit serta gunung menjadi bangunan yang indah.

Awal perjalanan agak membosankan dengan tiada pemandangan yang mengujakan. Sehingga tiba ke minit sepuluh, barulah mata kami kembali segar dengan pemandangan sebuah struktur indah yang dipahat di gunung. Binaan terpahat itu dinamakan Tomb of the Obelisks. Sahabat seniorku berkata bahawa ini hanya mukaddimah sahaja, sebelum kita akan melihat lebih banyak seni keajaiban kota Petra ini.

Tomb of the Obelisks

Kami terus menyelusuri laluan.

Perjalanan kami kini tiba di laluan celahan gunungan. The Rose City mendapat namanya di sini. Cahaya di sini malap merah seperti bunga mawar merah. Menenangkan. Laluan itu dinamakan Siq. Sungguh mengagumkan apabila melihat umat zaman dahulu mampu meratah gunung untuk dijadikan laluan. Sistem saliran air juga turut kelihatan. Malah terdapat empangan air di tengah-tengah laluan.

Menyelusuri laluan Siq

Keadaan yang agak malap di sepanjang Siq mula disimbahi cahaya mentari. Kami tahu, kini kami hampir tiba di penghujung laluan tersebut.

MasyaAllah.

Selama ini, aku hanya melihatnya di television, poster-poster serta bahan bacaan. Tetapi kini binaan besar bernama Al-Khazneh  itu berada di hadapan mata kami, betul-betul seusai kami keluar daripada laluan Siq. Benar, aku teruja. Kekagumanku tidak terungkai dengan kata-kata. Binaan itu cukup gah, benar-benar indah. Melihat gahnya binaan ini seakan aku lupa bahawa pembinanya adalah umat zaman dahulu yang disangka tiada kemodenan.

Di hadapan Al-Khazneh


Benar, kota ini telah lama menghilang. Hilang daripada peradaban manusia selama 500 tahun. Namun, sejarahnya tidak pernah terpadam.


TAKBUR LALU TERKUBUR

Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum ‘Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah, maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi membuat kerosakan. (Surah Al-A’raaf: 74)

Kaum Tsamud langsung tidak mengendahkan seruan Rasul mereka, Nabi Saleh. Mereka yang dikurniakan kekuatan fizikal dan mental terus dibuai dengan kesesatan. Kaum tsamud masih mengangkat patung yang dicipta daripada tangan mereka sendiri sebagai tuhan. Lebih parah, mereka menganggap nabi Saleh sebagai seorang yang gila.

Lalu mereka berkata; “Patutkah kita menurut manusia daripada jenis kita, lebih-lebih lagi yang berseorangan? Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila. Tidaklah patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang yang lebih layak ada) di kalangan kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi sombong dan angkuh.” (Surah Al-Qamar: 24-25)

Mereka meminta diberikan bukti kerasulan nabi Saleh. Lalu Allah kurniakan unta yang lahir daripada celahan batu. Nabi Saleh meminta kaumnya agar tidak diapa-apakan unta mukjizat itu.

Mereka yang kufur masih terus dalam kesombongan mereka. Sengaja mereka membutakan mata daripada melihat mukjizat di hadapan mata. Mereka yang beriman pula terus menerima provokasi daripada mereka yang masih kufur dan sombong.

“Tahukah kamu bahawa Saleh diutus oleh Tuhannya?” (Surah Al-A’raf: 75)

Golongan yang beriman lalu menjawab, “Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu yang Saleh diutus untuk menyampaikannya.” (Surah Al-A’raf: 75)

Berang dengan jawapan daripada mereka, lalu golongan kafir itu berkata dengan penuh takabbur, “Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imami itu.” (Surah Al-A’raf: 76)

Melihat golongan yang beriman itu tidak terkesan dengan provokasi mereka, kemarahan mereka semakin membuak-buak. Lalu mereka membulatkan tekad, menyembelih unta mukjizat. Melihat unta mukjizat itu dibunuh oleh mereka, mereka bertemu terus dengan nabi Saleh seraya berkata dengan nada yang angkuh;

“Hai Saleh! Datangkanlah apa yang kamu ancamkan itu kepada kami, jika kamu termasuk salah seorang Rasul!” (Surah Al-A’raf: 77)

Sungguh, keangkuhan mereka mendatang kemurkaan Allah.

Lalu datanglah gempa menimpa mereka, dan mereka pun mati bergelimpangan di dalam runtuhan rumah mereka. Kemudian dia (Saleh) pergi meninggalkan mereka sambil berkata, “Wahai kaumku! Sungguh, aku telah menyampaikan amanat Tuhanmu dan aku telah menasihati kamu. Tetapi kamu tidak menyukai orang yang member nasihat.” (Surah Al-A’raf: 78).

Begitulah kisah kaum Tsamud. Kerana takbur, mereka terkubur.


KEMBALI DI PETRA

Hampir seharian kami berada di Petra. Bermula seawal jam sembilan pagi. Menyelusuri jalan luas berdebu, memasuki lorong sempit Siq, bertemu dengan Al-Khazneh. Terus berjalan dan memanjat lagi, melihat teater dan pusat pentadbiran mereka. Mendaki tangga yang dipahat di atas batu, menemui lagi sebuah struktur binaan besar di puncak gunung. Lalu kami berpatah pulang dan kembali semula di pintu masuk pada pukul tiga petang.


Di hadapan kawasan Transformer berlakon

Begitu kisah pengembaraan kami. Petra, megahnya bukan sekadar untuk dihayati, tetapi untuk dikutip ibrahnya sekali. Betapa keangkuhan sebilangan kecil daripada mereka, namun bala yang diterima menimpa mereka semua. Kekuatan fizikal dan kemahiran mereka langsung tidak dapat membantu mereka. Saat azab itu tiba, semuanya binasa.

 Katakanlah; “Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Surah Al Ankabut : 20)

Tuesday, March 19, 2013

Kisah Ashabul Kahfi (Siri2)


Di hadapan pintu masuk perkarangan gua Ashabul Kahfi

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat lagi petunjuk. (Al-Kahfi: 13)

Di celahan kilang-kilang perindustrian, kami dapat melihat dari jauh sebuah masjid berdiri utuh di atas sebuah bukit. Masjid itu semakin didekati. Akhirnya, kami selamat juga tiba di sana, kawasan bermukimnya para pemuda di dalam gua. Kisahnya masyhur, malah terakam di dalam Al-Quran pula. Ashabul Kahfi, tidurnya mereka di dalam iman. Larinya mereka demi menyelamatkan aqidah.

Van yang dinaiki selamat berhenti. Luncur sahaja kami membersihkan diri lalu menunaikan solat jamak. Seusai solat, kami terus keluar, menuju ke arah kawasan gua sejarah. Gua itu kini dijaga rapi dan dipagari. Saat kami mula mahu menjejak masuk ke dalam gua, kisah pemuda-pemuda tersebut kini kembali bermain di fikiranku.


Kembali Pada Kisah Ashabul Kahfi

Tempat persembunyian para pemuda beriman berjaya ditemui. Gua yang terletak di puncak bukit segera dikepung. Bukan sedikit pengawal istana yang datang, gamaknya seakan mahu menangkap sekumpulan besar penjenayah pula. Bukit itu segera dikepung dari setiap penjuru. Para pengawal mula memanjat bukit tersebut lantas semakin mendekati gua yang dihuni oleh mereka.

Sampai berhampiran gua, pantas sekumpulan pengawal istana memasuki pintu gua. Namun tidak sampai senafas, mereka melompat keluar daripada gua. Badan mereka menggeletar ketakutan, sama seperti orang yang kurang siuman. Apabila ditanya ada apa di dalamnya, mereka tidak mampu menjawab, sebaliknya terus lari lintang pukang.

Adapun, masuklah lagi pengawal istana yang lain. Melangkah gagah seakan menyindir sahabat mereka yang ketakutan tadi. Tetapi babaknya tetap sama, mereka melompat keluar, sama seperti tadi. Wajah pengawal tersebut berkerut seribu, seakan melihat sesuatu yang cukup menakutkan. Masing-masing kini ketakutan untuk memasuki pintu gua tersebut.

Ada apa di dalam gua tersebut?

Melihat pengawalnya yang bersikap aneh, memaksa si Maharaja yang duduk melangut di kaki bukit untuk memanjat ke atas. Habis dimakinya para pengawalnya yang tidak punya sikap berani serta lemah semangat. Dengan penuh kemegahan, si Maharaja memasuki pintu gua.

Seperti diduga, si Maharaja juga turut berlari keluar daripada gua selepas hanya beberapa detik berapada di dalamnya. Habis terlondeh segala kemegahannya sebagai seorang Maharaja.  Badannya menggeletar, peluh menyimbah keluar. Raut wajahnya tergambar ketakutan yang teramat sangat. Biarlah pengawalnya mahu berkata apa, yang pasti dia memang cukup gerun selepas memasuki gua tersebut.

Benarlah firman Allah Taala, bahawa Allah sentiasa memelihara tubuh para pemuda tersebut. Sesiapa yang memasukinya, pasti mereka akan keluar kembali kerana rasa ketakutan yang dicampakkan ke dalam hati mereka.

“Dan engkau mengira mereka itu tidak tidur, padahal mereka tidur; dan Kami bolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka membentangkan kedua lengannya di depan pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka, tentu kamu akan berpaling melarikan (diri) dari mereka dan pasti kamu akan dipenuhi rasa takut terhadap mereka.” (surah Al-Kahfi: 18)

Siang berganti malam, hari berganti minggu, minggu terus berlalu memasuki bulan dan tahun. Bumi dan bulan masih beredar dalam edarannya. Masa yang berlalu begitu pantas meninggalkan tamadun. Zaman kezaliman Maharaja berlalu pergi. Cahaya keimanan mula memasuki. Mereka yang hidup telah lama mati. Namun tubuh para pemuda beriman tersebut masih terpelihara, kekal sama seperti yang adanya.

Dan mereka tinggal di dalam gua selama tiga ratus tahun dan ditambah Sembilan tahun.” (surah Al-Kahfi: 25)

Dengan izin dariNya, terjagalah para pemuda tersebut daripada lena yang panjang. Terasa badan mereka begitu lenguh, seakan tidur mereka begitu panjang sekali. Masing-masing kehairanan dan bertanya sesama sendiri. Sudah berapa lama mereka telah terlena? Mereka menyangka bahawa tidur mereka hanya setengah hari, boleh jadi juga tidur mereka genap sehari. Entah, masing-masing punya andaian sendiri.

“Dan demikianlah Kami bangunkan mereka, agar di antara mereka saling bertanya. Salah seorang di antara mereka berkata, “Sudah berapa lama kamu berada (di sini)?” Mereka menjawab, “Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari. Berkata (yang lain lagi), “Tuhanmu lebih mengetahui berapa lama kamu berada (di sini).” (surah Al-Kahfi: 19)

Dalam kebingunan lantaran terasa begitu lama sekali mereka tertidur, barulah mereka tersedar bahawa mereka kini dalam keadaan kelaparan yang tersangatan. Mulalah mereka berbincang dan mencari jalan bagaimana mahu memperolehi makanan tanpa dapat ditangkap oleh askar Maharaja yang zalim itu. Akhirnya mereka sepakat agar salah seorang daripada mereka keluar secara senyap-senyap dan penuh berhati-hati. Pemuda yang dipilih itu diberi wang Perak untuk dia membeli makanan yang baik untuk mereka semua.

Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, dan bawalah sebahagian makanan itu untukmu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan jangan sesekali mencaeritakan halmu kepada sesiapa pun.” (surah Al-Kahfi: 19)

Dengan penuh berhati-hati, pemuda itu menyelusuri laluan menuju ke pintu kota. Sesampainya di pintu kota, dia terkejut. Sangat terkejut. Dilihatnya kota itu telah mengalami begitu banyak perubahan. Malah, kesemua penduduk yang dilihatnya langsung dia tidak kenali. Bagaimana hal seumpama ini boleh terjadi? Sedangkan dia begitu pasti bahawa inilah kota yang mereka tinggalkan pada malam tadi.

Biarlah hal sebegini terjadi. Dia tidak ambil peduli lagi. Perutnya begitu lapar sekali. Sahabat-sahabatnya di gua pasti menunggu kepulangannya bersama dengan bekalan makanan. Duit perak yang berada di genggamannya digenggam erat. Dia kini mahu mencari makanan yang baik dan bersih untuk dirinya dan buat sahabat-sahabatnya.

Setelah bertemu dengan sebuah kedai yang dirasakan baik, dia lantas mengambil makanan. Selesai sahaja, dia menghulurkan wang syiling peraknya itu kepada si penjual. Tatkala wang perak itu bertukar milik, si penjual itu akan bentuk nilaian wang syiling perak tersebut. Mengerti benar si penjual itu bahawa wang syiling itu adalah wang lama yang kini tidak digunakan lagi.

Tanpa berfikir panjang, si penjual terus gasak bertanya kepada pemuda beriman itu bagaimana dia memperolehi wang tersebut. Dengan jujur pemuda itu berkata bahawa itu adalah wang miliknya. Kenapa perlu bertanya itu dan ini? Si penjual tidak berpuas hati, lalu dia memberitahu bahawa itu adalah wang lama yang tidak digunakan lagi. Sekali lagi pemuda beriman itu terkejut bukan kepalang.

Di dunia manakah dia berada kini?

Pemuda beriman itu sekali lagi mengelilingi kota. Nyata, begitu banyak perubahan yang berlaku di kota itu. Lebih hairan apabila dia tidak melihat langsung  patung-patung berhala yang sebelum ini menguasai pemandangan kota tersebut. Di mana patung-patung berhala itu kini?

Sedang dia berjalan-jalan, dia melihat himpunan manusia yang berhimpun untuk mendengar ucapan. Kedengaran ucapan yang dilontarkan itu percaya pada kewujudan Tuhan Yang Satu, Cuma dia tidak percaya pada kehidupan selepas kematian. Tegasnya, mana mungkin manusia yang sudah mati mampu dihidupkan kembali untuk kali kedua?

Berasa hairan, dia bertanya kepada salah seorang penduduk tempatan perihal kota ini. Benar, ini adalah kota yang mereka tinggalkan pada malam semalam, tetapi kemuncak kehairannya berada pada tahap tertinggi apabila Maharaja zalim itu telah lama mati, ratusan tahun dahulu. Malah, para penduduk kota juga tidak lagi menyembah berhala kerana agama anutan mereka kini adalah menyembah Allah, Tuhan Yang Esa.

Pemuda beriman itu kembali ke gua dengan perasaan kehairanan yang masih belum hilang. Bagaimanan dalam satu malam sahaja, boleh mengubah segalanya? Sungguh Allah itu Tuhan Yang Berkuasa, Tuhan yang mampu memati dan menghidupkan manusia dengan izin-Nya. Bukti tentang kebenaran kehidupan selepas kematian ada di hadapan mata, malah terjadi terhadap mereka.

Dan demikian (pula) Kami perlihatkan (manusia) dengan mereka, agar mereka tahu, bahawa janji Allah benar, dan bahawa (kedatangan) hari Kiamat tidak ada keraguan padanya.” (surah Al-Kahfi: 21)

Pemuda itu tiba semula ke gua, bertemu dengan sahabatnya yang beriman. Kembara mereka dalam menyelamatkan aqidah melempasi sempadan kurun. Dengan kuasa Allah jua, mereka ditidurkan sekali lagi. Kali ini, untuk selama-lamanya.

Sebagai memperingati kisah pemuda beriman itu, Maharaja pada zaman itu mengarahkan agar dibina sebuah bangunan ibadat di atas gua tersebut. Baginda berharap agar kisah pemuda gua yang beriman itu menjadi bukti yang nyata tentang kehidupan semula selepas kematian. Moga rakyatnya tidak lagi mempersoalkan tentang hari Kiamat tersebut.

Ketika mereka berselisih tentang urusan mereka, maka mereka berkata, “Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Tuhan mereka lebih mengetahui tentang mereka.” Orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata, “Kami pasti akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya.” (surah Al-Kahfi: 21)


SEKALI lagi aku tersedar daripada lamungan yang panjang. Ruang kawasan gua Ashabul Kahfi ini semakin dipenuhi pengunjung. Tanpa sedar, sahabat-sahabatku sudah keluar daripada gua, tinggal aku keseorangan. Kedengaran suara penjaga gua terus menceritakan kisah ini kepada para pengunjung yang tiba. Aku tersenyum sendirian. Bersyukur diberi kesempatan tiba di sini.

"sampaikan dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari kisah-kisah Bani Isra'il dan itu tidak mengapa (iaitu tidak berdosa walaupun ia tidak sahih dengan syarat memberitahu ia kisah Bani Israil dan bukan hadith). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka". (hadis riwayat al-Bukhari)


Benarlah, harga keimanan tiada nilainya.  

Wednesday, October 24, 2012

Musafir Menuju Ilahi


Bukan sebentar aku menunggu, malah sudah  penat aku menyabarkan diri, akhirnya saat yang dinantikan tiba menghampiri.

Musafir yang bakal membawa kami menuju Ilahi semakin hampir. Musafir yang bakal menobatkan kami menjadi tetamu agong kepada Yang Maha Agung, Allah Azza Wa Jalla.

"Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Agong kepada Allah swt, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah swt perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya nescaya Allah swt ampunkan mereka". (Riwayat al-Nasa’iy dan Ibnu Majah)

Bas yang bakal membawa kami menuju ke Tanah Yang Diberkati mula mengengsot meninggalkan Bumi Syuhada Yang Disayangi. Bukan mudah untuk memilih pergi menunaikan ibadah Umrah ketika kemuncak musim panas dalam keadaan kami masih menunaikan ibadah puasa. Wang yang dibayar pula sekali ganda lebih mahal daripada biasa, ditambah dengan ramai sahabat-sahabatku yang memilih untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri di Malaysia membuatkan hatiku menjadi berbelah bagi. Lebih mencabar, di sana nanti pasti kami bakal bersesak-sesak dengan jutaan umat manusia daripada seluruh pelusuk dunia untuk sama-sama mencapai kelebihan beribadat di sana.

Namun, aku tetap membulatkan tekad untuk pergi menunaikan ibadah Umrah pada penghujung bulan Ramadhan walau dengan kepayahan yang bakal dipunggak. Benar, bukan mudah untuk melaksanakan ibadah yang mana pahalanya akan dilipat berkali-kali ganda. Aku, malah kami semua maklum akan fadilat melaksanakan ibadah Umrah pada bulan Ramadhan.


Dalam hadis, Rasulullah pernah menjelaskan kepada wanita Ansar, Ummu Sinan mengenai kelebihan umrah pada bulan ini.

Baginda bersabda bermaksud: 
“Apa yang menghalangmu untuk melakukan haji bersama kami?” Wanita itu menjawab: “Keldai yang ada pada kami yang satu dipakai oleh ayahnya si polan (suaminya) untuk mengerjakan haji bersama anaknya, manakala yang lain dipakai untuk memberi minum anak kami.” Baginda bersabda lagi: “Umrah pada Ramadan sama dengan mengerjakan haji atau haji bersamaku.”

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
“Melakukan umrah pada bulan Ramadhan menyamai ibadah haji.”
Siapa yang tidak mahu memiliki pahala seperti melaksanakan ibadah haji?


Memasuki Arab Saudi

Alhamdulillah, musafir kami bermula dengan agak baik walaupun mendapat sedikit kesulitan akibat karenah birokrasi Arab yang mempunyai ego yang tinggi. Bas kami terus meluncur sehingga tiba di sempadan negara Arab Saudi. Kami berhenti untuk berbuka puasa sebelum meneruskan baki perjalanan yang masih jauh.

Dari kota Maan menelusuri daerah padang pasir kontang Arab Saudi. Bas yang dinaiki berhenti sebentar selepas jauh berjalan, mengizinkan kami untuk berehat. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam, namun aku masih kedengaran bunyian jemaah daripada surau berdekatan seakan melaksanakan solat. Solat apakah pada tengah malam ini? Rupanya, di sini mengamalkan sunat tahajjud secara berjemaah.

Bas sekali lagi berhenti bagi mengizinkan pemandu bas untuk berehat. Kali ini, destinasi persinggahan kami adalah daerah Khaibar. Khaibar yang suatu masa dahulu pernah dimandihi darah hasil perjuangan para mujahid Islam untuk menawan Kota Yahudi Khaibar yang utuh terbina. Namun dengan izin Allah, pintu kota yang tidak mampu dibuka melainkan dengan kekuatan 70 orang pemuda mampu diranapkan oleh Saidina Ali keseorangan. MasyaAllah!

Tatkala matahari sudah mula tegak memacak di dada langit, kami tiba juga di Tanah Suci Madinah. Selajur kisah nabawiah kami tuturi. Terasa sebak di dada mengenangkan perjuangan kekasih kami bersama para sahabat untuk menyebarkan seruan Islam ke serata pelusuk alam. Kami mula mengambil tempat di Dzulhulaifah Abyar 'Ali untuk menunaikan solat Jumaat, seterusnya menunaikan miqat umrah di sana.


Seusai solat Jumaat, kami mula mandi sunat sebelum mengenakan pakaian ihram.


Musafir Ini Semakin Hampir

Bas yang dinaiki mula bergerak menuju Makkah Al-Mukarramah. Kali ini, kami diuji dengan ujian yang dirasakan cukup berat. Dalam keadaan cuaca yang begitu terik, bas kami pula menghadapi masalah akibat penghawa dingin yang tidak berfungsi. MasyaAllah! Panasnya seakan berada di bilik saauna, malah mungkin lebih panas lagi. Namun kami tetap terus bertalbiah.
"Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan ni'kmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu."
Keadaan mula kelam. Kerlipan bintang semakin galak menyinar. Kawasan sekitar yang sedari tadi hanya kontang kini mula disinari cahaya kalimantang serta bangunan yang mekar berkembang. Kami tahu, kota Makkah tidak jauh lagi. MasyaAllah! Segala puji bagi Allah. Talbiah yang pudar kini semakin dinyaringkan. Cahaya Menara Jam sudah mula kelihatan daripada kejauhan. Sinaran lasernya menunjukkan bahawa telah masuknya waktu solat Fardhu. Laser itu terus memancar selama setengah jam selepas azan dikumandangkan.


Permusafiran yang memakan masa selama 18 jam itu kini sudah berada di penghujung destinasinya. Barangan yang dibawa mula dipunggah dan dibawa naik ke dalam bilik hotel masing-masing


Hamba-Mu Datang Menyahut Panggilan-Mu

Tidak lama kami berada di hotel, kami terus bergegas menuju ke Masjidil Haram untuk melaksanakan tuntutan Umrah yang difardukan ke atas semua umat Islam.

Ibnu Umar RA pernah berkata :
 Tidak ada seorang pun kecuali diwajibkan atasnya satu kali haji dan umrah” (Al-Bukhari)
Seperti diduga, keadaan di persekitaran Masjidil Haram penuh sesak dengan jemaah manusia walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Kami seperti yang lain terpaksa berengsot untuk memasuki Baitullah. Debaran semakin terasa, Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam semakin mampir.

Memasuki Pintu Dar Salam, menyelosori sunnatullah, tersergam binaan Kaabah di hadapan mata kami. Binaan yang selalu terlihat di corengan lukisan dan gambaran ini jelas berdiri di hadapan kami. Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu! Begitu besar sekali nikmat yang diberikan ini. Syukur padaMu Ya Allah.

Kami memulakan Umrah kami dengan meminum air Zamzam, menyusuri tauladan yang diajar oleh kekasih kami Rasulullah yang tercinta. Kemudian, kami bersama-sama para jemaah lain melaksanakan tuntutan tawaf sebanyak tujuh kali. Terasa begitu nikmat mengerjakan ibadah di rumah-Mu ini ya Allah.

Seusai melaksanakan tawaf - melazimi seperti apa yang dilaksanakan oleh para Malaikat di atas sana, kami beralih menuju ke Safa', melaksanakan ibadah saie. Seperti mana yang pernah dilakukan oleh ibu kita Hajar tatkala mencari air untuk anaknya Ismail. Saat bekalan sudah ketandusan, Hajar meninggalkan bayinya di tanah tandus keseorangan yang kini menjadi sumur Zamzam. Berharap dapat menemui pertolongan atau sumber air, Hajar berlari mendaki Safa. Melihat tiada apa di sana, si ibu beralih ke bukit Marwah pula, terus berbolak-balik sebanyak tujuh kali. Seperti itu juga yang kita laksanakan, semoga ada ikhtibar yang dapat diamalkan.

Saie itu sendiri bermakna pencarian. Langkahan yang diambil pula dengan penuh tujuan, moga ibadah ini bukan sekadar simbolan, sebaliknya melahirkan insan yang mahukan berTuhan.

Musafir ini, musafir menuju Ilahi. Musafir ini, adalah panggilan Agong, menjadi tetamu Agung untuk berada di tempat yang Agung. Biar penat yang dirasai, kerana tahu ada manis yang tersembunyi. Moga musafir Agong ini beroleh natijahnya, Amin.

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger