"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Showing posts with label Mu'tah. Show all posts
Showing posts with label Mu'tah. Show all posts

Saturday, March 1, 2014

BAHTERA PEMBAWA KEHIDUPAN

 

Kesemua peserta kini telah berhimpun di hadapan Masjid Syuhada, Mutah. Kedua-dua coaster telah dipenuhi pelajar. Hari ini, kami menyambut Hari Keluarga Kisdarian di Laut Mati. Kelihatan pelajar tahun pertama begitu teruja sekali untuk pergi ke salah satu destinasi pelancongan yang terkemuka itu.

Coaster mula bergerak seiring menuju ke destinasi.

Saat kami melalui pekan Karak, coaster yang dipandu oleh Aiman berhenti di tepi jalan. Lalu dia menunjukkan sesuatu kepada kami yang terletak di puncak bukit sana.

“Itulah dia bahtera Nabi Nuh,” Aiman berkata dengan penuh yakin. Aku sendiri yang ketika itu telah memasuki tahun kedua pengajian  juga terkejut. Pertama kali mendengarnya, bahtera Nabi Nuh itu tersidai di sini. Pandangannya memang lemah, tetapi cerita ini begitu dipercayai oleh penduduk tempatan, ditambah juga dengan kewujudan tempat persinggahan Nabi Nuh yang juga terletak di pekan Karak ini.

Mungkin ada benarnya, boleh jadi juga salah. Apapun, pengajarannya tidak boleh ditolak ke tepi. Kisah Nabi Nuh, bukti kecekalan seorang nabi dalam menempuh ujian dakwah yang cukup panjang.


IMBAS KEMBALI

Kewujudannya seakan tiada, walaupun bukan sebentar dia bersama kaumnya. Terus menyebarkan dakwahnya tanpa rasa penat, jauh sekali merasa sesal. Dengan usianya yang mencecah 950 tahun, cukup masak dia mengenali sifat dan sikap kaumnya. Kecekalannya terserlah, sekalipun dia tidak menyerah, meninggalkan amanah. Usia dakwahnya cukup panjang, namun pengikutnya hanya seberapa kerat.

Dan sungguh, Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya. (Dia berkata), “Sungguh, aku ini adalah pemberi peringatan yang nyata bagi kamu, agar kamu tidak menyembah selain Allah. Aku benar-benar khuatir kamu akan ditimpa azab (pada) hari yang sangat pedih.

Maka berkatalah para pemuka kafir dari kaumnya, “kami tidak melihat engkau, melainkan hanyalah seorang manusia (biasa) seperti kami, dan kami tidak melihat orang yang mengikuti engkau, melainkan orang yang hina dina di antara kami yang lekas percaya. Kami tidak melihat kamu memiliki satu kelebihan apa pun atas kami, bahkan kami menganggap kamu adalah orang pendusta.” (Surah Hud: 25-27)

Begitulah kisah perjuangan nabi Nuh. Cabaran dakwahnya bukannya kecil, malah terpaksa berdakwah kepada kaum yang mula-mula sekali mengangkat patung sebagai berhala. Merekalah kaum yang pertama kufur kepada Allah Taala. Apa mereka mahu terus membutakan hati-hati mereka? Apa mereka terus-menerus mahu diberikan bukti yang nyata? Malah mahu diberi imbuhan pula jika mereka mengikuti dakwah daripada Rasul mereka sendiri?

Dan (Nuh) berkata, “Wahai kaumku! Apa pendapatmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku, dan aku diberi rahmat dari sisi-Nya, sedangkan rahmat itu disamarkan bagimu. Apa kami akan memaksa kamu untuk menerimanya, padahal kamu tidak menyukainya?

Dan wahai kaumku! Aku tidak meminta harta kepada kamu (sebagai imbalan) atas seruanku. Imbalanku hanyalah dari Allah dan aku sekali-kali tidak akan mengusir orang yang beriman. Sungguh, mereka akan bertemu dengan Tuhannya, dan sebaliknya aku memandangmu sebagai kaum yang bodoh. Dan wahai kaumku! Siapakah yang akan menolongku dari (azab) Allah jika aku mengusir mereka? Tidakkah kamu mengambil pelajaran?

Dan aku tidak mengatakan kepadamu, bahawa aku mempunyai gudang-gudang rezeki dan kekayaan dari Allah, dan aku tidak mengetahui yang ghaib, dan tidak (pula) mengatakan bahawa sesungguhnya aku adalah malaikat, dan aku tidak (juga) mengatakan kepada orang yang dipandang hina oleh penglihatanmu, “bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui apa yang ada pada diri mereka. Sungguh, jika demikian aku benar-benar termasuk orang-orang yang zalim.” (Surah Hud: 29-31)

Sabar itu ada hadnya.

Tidak pernah memikirkan penat, namun jiwa juga pasti dijentik rasa lelah. Manakan tidak, usaha dakwahnya yang memakan beberapa abad hanya mampu menarik beberapa orang. Malah, kaumnya semakin sesat. Dengan angkuh meminta diturunkan azab.

Mereka berkata, “Wahai Nuh! Sungguh, engkau telah berbantah dengan kami, dan engkau telah memperpanjang bantahanmu terhadap kami, maka datangkanlah kepada kami azab yang engkau ancamkan, jika kamu termasuk orang yang benar.”

Nabi Nuh terus melayan kejahilan kaumnya walaupun baginda tahu nasihatnya tidak lagi berguna bagi mereka.

Dia (Nuh) menjawab, “hanya Allah yang akan mendatangkan azab kepadamu jika Dia menghendaki, dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri. Dan nasihatku tidak akan bermanfaat bagimu sekalipun aku ingin memberi nasihat kepadamu, kalau Allah menyesatkan kamu. Dia adalah Tuhanmu, dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.” (Surah Hud: 32-34)


TERBINANYA BAHTERA

Kejahilan umat Nabi Nuh tidak mampu diubati lagi. Golongan yang beriman digembirakan. Kehidupan berbahagia di Syurga dijanjikan. Mereka yang kafir perlu dihapuskan kesemuanya agar umat yang muncul selepas itu tidak lagi dibuai kesesatan. Wahyu diturunkan, sebuah bahtera besar perlu disiapkan.

Dan diwahyukan kepadanya (Nuh), “ketahuilah, tidak akan beriman di antara kaummu, kecuali orang yang benar-benar beriman (sahaja), kerana itu janganlah engkau bersedih hati tentang apa yang mereka perbuat.

Dan buatlah kapal itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami, dan janganlah engkau bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim. Sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.” (Surah Hud: 36-37)

Bersama umatnya yang beriman, mereka berganting tulang membina bahtera di puncak gunungan. Walau mereka membinanya secara senyap-senyap, tetapi dapat dihidu juga oleh umatnya yang buta dengan kebenaran.

“Dan mulailah Nuh membuat bahtera itu. Dan setiap kali pemimpin kaumnya berjalan metewati Nuh, mereka mengejeknya. Berkatalah Nuh: “Jika kamu mengejek kami, maka sesungguhnya kami (pun) akan mengejekmu sebagaimana kamu sekalian mengejek kami. Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa oleh azab yang menghinakan dan yang akan ditimpa azab yang kekal.” (Surah Hud, ayat 38- 39)

Bahtera besar yang tidak pernah terbina sebelum ini kini telah siap terbina, hinggalah turunnya wahyu agar digunakan bahtera besar itu.


BUMI MULA DIBANJIRI AIR

Hingga apabila perintah Kami datang dan tannur telah memancarkan air, Kami berfirman: “Muatkanlah ke dalam bahtera itu dari masing- masing binatang sepasang (jantan dan betina), dan keluargamu kecuali orang yang terdahulu ketetapan terhadapnya dan (muatkanlah pula) orang-orang yang beriman.” Ternyata orang-orang beriman yang bersama dengan Nuh hanya sedikit.
(Surah Hud, ayat 40)

Sebentar cuma, air yang mencurah meninggi di atas kepala manusia, lalu melampaui  ketinggian pohon, bahkan puncak gunung. Akhirnya, permukaan bumi diselimuti dengan air. Maka, berlayarlah bahtera pembawa kehidupan itu menyelusuri gunungan. Saat sedang berlayar, terlihatlah Nabi Nuh akan anaknya yang terkapai-kapai kelemasan. Simpati seorang ayah hadir. Lalu baginda pun mengajak anaknya itu naik ke atas bahtera;

"Hai anakku, naiklah (ke kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir." (Surah  Hud, ayat 42)

Namun dengan angkuh anak itu menjawab;

"Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah." (Surah Hud, ayat 43)

Baginda tetap menyeru anaknya untuk naik bersama-samanya;

“Tidak ada yang melindungi hari ini dari azab Allah selain orang yang dirahmati-Nya.” (Surah Hud, ayat 43)

Tidak sempat si anak membalas ajakan daripada ayahnya, lalu datang satu gelombang besar, si anak terus hilang daripada pandangan.

Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya; maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan. (Surah Hud, ayat 43)

Maka teruslah berlayar bahtera itu sehingga bumi yang ditenggelami air mula surut;

Dan difirmankan: “Hai bumi telanlah airmu, dan hai langit (hujan) berhentilah,” dan air pun disurutkan, perintah pun diselesaikan dan bahtera itu pun berlabuh di atas bukit Judi. Dan dikatakan: “Binasalah orang-orang yang lalim.”
(Surah Hud, ayat 44)

Bahtera besar itu berlabuh dengan selamatnya. Maka, bermulalah kehidupan manusia yang baharu. Terciptalah satu ketamadunan, hilanglah segala kekufuran.


PENGAJARAN

Pengajaran di sini, bahawa hubungan antara manusia yang terjalin kerana ikatan aqidah adalah lebih erat dan lebih berkesan daripada hubungan yang terjalin kerana ikatan darah atau kelahiran. Kan'aan, walaupun dia adalah anak kandung Nabi Nuh, namun Allah SWT tetap memasukkan dia bersama kaum yang ditimba bala kerana menganut kepercayaan dan agama berlainan dengan apa yang dianut dan didakwahkan oleh ayahnya sendiri.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Tidaklah sempurna iman seseorang kecuali jika dia menyintai saudaranya yang beriman sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri.” 



Sunday, July 7, 2013

Jujur Aku Bukan Ustaz


Belajar di mana-mana sama sahaja. Yang berbeza hanya pada diri. Benar, persekitaran juga menjadi penyumbang kepada kejayaan, tetapi kecemerlangan yang sebenar itu lahir daripada kekuatan dalaman. Biarlah belajar di Malaysia, Mesir, Jordan atau Sudan sekalipun, jika diri ini masih di takuk lama, pasti tidak akan ke mana.

Belajar di bumi Jordan ini mempertemukan aku dengan tenaga pengajar yang hebat-hebat belaka. Professor Doktor Abdullah Fawwas, Prof. Dr. Hamad Azzam, Dr. Faris, Prof. Dr. Iwady, Prof. Dr. Ali Zukaili, Dr. Tolib, dan semuanya adalah pendidik yang begitu tinggi ilmunya, namun zuhud orangnya. Penuh tawadduk mengajar kami, walau diri ini begitu lemah sekali.

Hebatnya anak murid hasil daripada acuan gurunya.

Tempoh pengajianku hampir tamat. Entah apa yang dipelajari, aku juga tidak mampu mengingatinya terperinci. Lubuk ilmu itu jika digali, tidak mungkin kita temui dasarnya. Perjalanan sebagai penuntut ilmu masih jauh berliku, tidak terhenti sekadar bergelar graduasi. Ketika pulangnya, itulah lapangan kami. Di sini, kami sekadar mengambil langkah kecil sebelum langkahan besar diambil ketika di Malaysia nanti.

Tetapi, aku akui, diri ini masih lebih lagi. Langsung tidak layak bergelar ustaz, menanggung amanah yang terasa cukup berat. Allahu Allah.

Aku bakal graduasi lulusan Mu’tah?


SAAT KITA BANGKIT HEBAT

Aku selalu mengutip ilmu daripada Wan Mufti. Malah kami di sini telah menganggapnya sebagai ayah sendiri. Ketinggian ilmunya serta kutipan pengalaman hidup yang dilalui membuatkan kami begitu menghormatinya.

“Pejam celik pejam celik, kita dah nak habis belajar dah.”

“Macam sekejap sangat kita belajar di sini,” Wan menyokong kenyataan aku.

“Rasa macam takut pula nak balik Malaysia. Entahlah, rasa ilmu ini kurang sangat,” aku sedikit mengeluh, takut.

“Memang kita rasa sekarang kita lemah. Tapi kita mula rasa hebat bila kita sudah mula bekerja nanti. Waktu itu, kita jangan lagi bersifat rendah diri,” kebimbangan aku dipadamkan dengan ungkapan penuh dalam.

Aku diam, mengharap agar Wan Mufti meneruskan bicaranya.

“Di KISDAR dahulu, ana pernah berjumpa dengan ustaz Azmi selepas ana dapat ijazah diploma. Ana tanya pada dia, kenapa ana rasa masih tak hebat macam ustaz? Sedangkan ustaz Azmi dahulu sekadar lepasan diploma sahaja, macam kita ketika itu. Tapi lihatlah keilmuan ustaz Azmi dengan kita, cukup jauh berbeza, bukan. Umpama langit dengan bumi.”

Aku semakin tertarik.

“Ustaz Azmi kata, kita memang akan rasa kurang sangat ilmu. Tetapi kita akan mula memaksa diri kita menjadi hebat setelah kita mengajar, mula berkhidmat kepada masyarakat.”

Aku masih diam, tidak dapat menangkap maksud yang tersirat.

“Bila dah mula bekerja nanti, orang mula panggil kita, buat ceramah, ajar agama. Waktu itu kita pasti akan membelek-belek kitab. Takkan kita nak sembang kosong pula. Nanti orang suruh ceramah Isra Miqraj, Maulidur Rasul, tanya hokum itu ini. Mahu tak mahu kita mesti akan hadam dahulu, kan? Pada waktu itulah, ilmu-ilmu yang kita pelajari mula datang kembali, dan melekat dalam diri.”

Kini aku mengangguk mengerti.


Bukan sekadar pelajar agama sahaja, tetapi pelajar dalam apa jua jurusan, mereka akan mula bangkit hebat dan mengerti apa yang dipelajari apabila memasuki alam pekerjaan nanti. Ketika sedang belajar, ukuran pencapaian kita akan ditentukan dalam peperiksaan. Dalam dunia pekerjaan pula, kayu ukur pencapaian kita diukur melalui hasil kerja kita.

Wednesday, September 12, 2012

Manis Senyumanmu Masih Terasa...


BUNYI bising menyebabkan aku terjaga daripada lena yang dalam...

"Pukul berapa sekarang, Pok Jat?" Aku bertanya dalam keadaan mamai kepada Hafizat atau nama timangannya Pok Jat.

"Tiga pagi," Ringkas dia menjawab. Hafizat masih sibuk dengan laptopnya seakan tidak mempedulikan aku. Mukanya seakan menahan rasa sedih yang mendalam.

Abdullah Sobri atau Pok Lah kelihatan begitu resah. Aku mendengar daripada perbualan talefonnya mengatakan seseorang masih koma. Hatiku mula merasa gelisah.

"Kamu sudah tahu yang Hanafi tengah koma sekarang?"

Persoalan daripada Abdullah membuatkan aku terus segar terjaga.

"Ya Allah! Betul ke? Kenapa?" Aku begitu terkejut dengan berita yang baru aku dengar.

"Haah, kemalangan. Ni, kamu tahu yang Oyak Kayo dah meninggal?"

Sekali lagi aku terkejut besar. Aku seakan tidak percaya dengan berita yang baru didengari tersebut.

"Ya Allah. Bila?"

"Malam tadi," ringkas Abdullah menjawab.

Wajah arwah Saiful Asraf atau lebih dikenali dengan nama Oyak Kayo menggamit mindaku. Baru sahaja aku bertemu dengannya selepas solat Maghrib di Masjid Syuhada sebentar tadi. Kehilangan dirinya secara tiba-tiba memang begitu mengejutkan aku. Air mata mengalir tanpa aku sedar. Aku menarik kembali selimutku agar tidak dilihat kesedihan yang melanda jiwaku. Sebentar sahaja aku terus memasuki dunia mimpi dalam resah yang masih membaluti...


SELESAI solat Subuh di Masjid Syuhada, seperti yang diduga, para pelajar berkumpul di pintu gerbang masjid. Kematian Oyak Kayo menjadi topik perbualan. Aku merapati Khalil, sahabat paling karib dengan arwahyarham. Hayyi, seorang senior kami, merangkap Penasihat bagi PERMATA yang turut berada bersama kami mula menceritakan detik-detik akhir kematian arwahyarham,

"Malam kejadian, mereka menuju ke lapangan terbang untuk mengambil akhowat yang baru pulang daripada bercuti. Hanafi yang membawa kereta tersebut. Waktu tersebut, mereka dalam perjalanan pulang menuju ke Mu'tah. Hanafi merasa mereka sudah terlepas masuk simpang menuju ke Karak. Dia bertanya kepada Oyak. Oyak yang dalam keadaan mamai sebab tidur hanya mengiyakan dan menyambung kembali tidurnya. Merasa tidak sedap hati, Hanafi bertanya lagi kepada Oyak, perlu ke untuk membuat U-turn, Oyak yang masih dalam mamai sekali lagi mengiyakan. Lepas tu, Hanafi pun mula la buat U-turn,"

Kami yang mendengar semakin berdebar...

"Kemudian, bila Hanafi membuat U-turn, matanya silau sebab lampu tinggi daripada arah bertentangan. Hanafi tak nampak jalan, lepas itu dia terlanggar benteng jalan. Waktu tu dia mula cemas dan tertekan minyak. Selepas daripada situ, kemalangan mula berlaku. Kepala Oyak terhantuk. Dia meninggal kerana pendarahan dalaman."

"Keadaan yang lain, macam mana?" Hadi bertanya.

"Yang lain, alhamdulillah."

"Hanafi katanya koma?"

"Bukan koma, tapi trauma. Keadaan yang lain stabil, cuma luka bahagian luar sahaja," Hayyi menjelaskan. Lega aku mendengar berita kesihatan pelajar yang lain.

Kami semua terdiam selepas mendengar pencerahan daripada Fakhrul.

"Kome semua nampak tak perubahan pada Oyak kebelakangan ni? Tak ada kan?" Khalil memecah kesunyian.

"Status terakhir dia dalam facebook," mereka yang lain mula bersuara.

Status terakhir arwahyarham di facebook adalah petikan lirik daripada lagu Keinsafan nyanyian kumpulan Krabat. Lirik lagu tersebut akan aku nukilkan di penghujung penulisan ini.

Allahyarham Saiful Asraf begitu dikenali di bumi Mu'tah ini. Perwatakannya yang suka tersenyum, ramah menyapa sesiapa sahaja dan melazimi solat berjemaah di masjid membuatkan dia begitu dikenali. Jika berjumpa dengannya, pasti dia menjadi orang pertama yang menghulurkan salam dan menyedekahkan senyuman. Arwahyarham begitu menghormati semua sahabat-sahabatnya tidak kira yang lebih tua ataupun yang lebih muda daripadanya.

Mindaku kembali semula selepas jauh menerawang...

"Oyak, sebelum dia meninggal, 2,3 hari ini, dia tak tidur malam. Bilik dia tertutup, lepas tu dia padamkan lampu. Aku pun tak tahu dia buat apa. Tapi yang pasti, dia lepas itu mesti turun pergi solat Subuh berjemaah di masjid," Khalil menceritakan hari-hari terakhir arwahyarham.

Petikan berita mengenai nahas yang meragut nyawanya


SUBUH esoknya, aku sempat menjamah sarapan bersama dengan Presiden MPPMJ, ustaz Kailani bersama dengan Afif di Mat'am Zumur. Perbualan kami masih berkisar dengan kemalangan yang meragut nyawa sahabat kami.

"Bila jenazah nak dihantar pulang?" Afif bertanya kepada Kailani.

"InsyaAllah petang ini (16hb September) jenazahnya akan dihantar pulang."

"Enta sempat tengok wajahnya?" Afif terus bertanya.

"Sempat. Memang kalau tengok wajahnya, wajah seperti syahid. Kalau ikut adat, jenazah yang sudah masuk hari kedua, mesti sudah berbau hanyir. Tetapi jenazah dia berbau wangi. Ana ingat ana je yang perasan bau tu, rupanya Syauqani dengan Ehsan Fadhli pun sama,"

Aku dan Afif masih mahu terus mendengar.

"Lagi, waktu kami tengok wajahnya, arwah dalam keadaan tersenyum. Badannya masih dalam keadaan baik, cuma luka di kepala sahaja. Lebih menghairankan, darah merah masih lagi mengalir daripada hidung seperti masih hidup. Memang seperti tanda-tanda mati syahid. MasyaAllah," Bersungguh-sungguh Kailani bercerita.

"Itu la, Allah sudah bercerita dah, kalau kita merangkak berjumpa dengannya, Allah akan berjalan menemui kita. Jika kita berjalan, Allah akan berlari," sempat Kailani memberikan taujihad.


Arwahyarham Saiful Asraf, walau dirimu tiada di sini, manis senyumanmu masih kami terasa sehingga kini.
Sedekah Al-Fatihah untuk dirimu, sahabatku...


Status facebook arwahyarham yang terakhir...

Sayup terdengar hujan mencurah ke bumi
Kini terasa memecah kesunyian malam
Dan aku di sini sendiri dibaluti resah
Dibayangi sesal yang tak sudah

Renung langit sepi tiada purnama
Di dalam kelam ku lihat bayangku sendiri
Terpaku membisu tanpa suara dan segala
Apa petanda, apa rahsia

Oh Tuhanku Yang Maha Esa
Maha Penyayang Maha Pemurah
Andainya malam yang begini
Memberi pengertian untukku
Mencari hidayahmu...

Maka kutadahkan setulus
Pengampunan dan pengharapan
Untuk aku menebus dosa-dosa semalam

Cukup setakat ini... aku merasa
Terasing terhukuman dalam sengsara
Balasan dari kehancuran
Yang aku ciptakan

Dan kini ku mengerti
Antara dosa pahala
Yang mana lebih utama
Dalam meniti hidupan dan hari kematian
oh...

Andai malam ini satu peringatan
Bersyukurku pada Illahi
Andai malam ini satu kesudahan
Ku pintakan... satu pengaduan
Untukku menyudahkan kalimah
Terakhir...

~Krabat - Keinsafan~
-muhasabah diri masing2 yokk!!



Sunday, February 5, 2012

Bersyukurlah kerana imanmu tidak dicuri


ARAB OH ARAB

            Hampir separuh tahun lebih aku bersama teman-teman seperjuanganku menetap di lembah Syam ini. Tempoh yang cukup buat kami masak dengan perangai arab. Masyarakat arab memang cukup ramah. Habis semua orang dipanggilnya soddiq yang bermaksud kawan, walaupun pada orang yang mereka tidak kenali. Bercium pipi menjadi adat, berjalan sambil berpegang tangan menjadi kelaziman, sebarkan salam pula seakan satu kewajiban. Tidak kira dia lelaki mahupun wanita, perhubungan sesama mereka memang cukup terjaga. Kalaulah aku membawa adat mereka ini ke bumi Malaysia - jumpa sahabat lelaki kemudian bercium pipi dan berpegang tangan – aku rasa pasti aku akan di cop sebagai seorang gay pula. Dunia, dunia.

            Selalu kami bersembang, berbicara dengan sikap dan sifat orang arab ini. Salah satu topik yang menjadi perbincangan kami adalah berkaitan masakan orang arab.

            “Tak ada feel,” Tirmizi meluahkan pandangannya.

            “Ate, deme tak bosan ke. Asyik makan roti keras je. Ce tengok macam Malaysia, semua ada. Kari ada, tomyam ada. Masakan melayu ada, masakan cina ada, masakan india pun ada,” Raduan menggomel.

            “Kalau tak makan fallafil, makan syawarma. Kalau makan nasi, tak ada kuah pula.,” Amri juga sependapat dengan yang lain.

            “Haah. Kalau makan ayam pun, ayam golek je. Ei, kalau la deme ada jual ayam percik ke, kan laku,” Raduan menambah.

            “Itu kalau makanan. Ni kalau air, air teh dengan kopi je la,” aku yang dari tadi hanya mendengar turut mahu meluahkan pandangan bersama.

            “Betul. Kalau kat Malaysia, ada air bandung, air sirap, milo. Hai, macam-macam air la,” Tirmizi menambah pandangan aku tadi.

makanan ruji masyarakat Arab; Syawarma dan falafil

            Itu kami baru bicara tentang makanan. Aku sendiri sewaktu pergi ke kedai runcit, si penjual telah menunjukkan pada aku akan mee segera yang baru. Katanya pedas sangat-sangat. Aku pun membeli untuk merasai kepedasan mee segera itu. Bila aku makan, aduhai, memang mengecewakan. Seperti yang aku duga, memang tidak pedas. Kalau pelajar-pelajar Mu’tah mahu membeli sos cili, alamatnya kenalah pergi ke Carrefour di Amman, kerana di Mu’tah memang tidak menjual sos cili.


HON MUZIK KEHIDUPAN

            Satu lagi sikap arab yang aku musykil adalah hon pada kenderaan. Entah apa silapnya, mereka begitu bangga dengan bunyi hon yang perbagai. Kelakar juga ada bila aku mendengar bunyi hon mereka yang pelik-pelik. Mungkin bunyi hon itu adalah satu kebanggan bagi mereka. Sudahlah bunyi hon yang perbagai, masyarakat arab juga begitu suka untuk menekan hon pada kenderaan mereka. Bunyi hon ada di mana-mana.

            Terkenang aku dengan perbualan aku bersama dengan ustaz Rais, pensyarah kami di KISDAR dahulu. Katanya, orang arab ni bangga dengan bangsa arab mereka. Mereka kata para Rasul adalah daripada bangsa mereka. Tetapi mereka tidak sedar yang Allah mengutuskan Rasul daripada kalangan mereka juga kerana mereka sendiri adalah bangsa yang teruk sehingga Allah mengutuskan Rasul daripada bangsa Arab untuk memulihkan kembali bangsa tersebut.

Pekan Koboi Mu'tah yang sunyi di siang harinya, namun mula berubah pada petang dan malam harinya

            Aku sendiri ada pengalaman yang kurang enak bersama masyarakat arab ini. Pernah sekali aku dibaling sampah ke muka oleh seorang budak arab. Lantas aku menjerit, memanggil dia datang kepadaku. Hampir-hampir sahaja aku mahu mencekik kolar baju budak arab tersebut, namun seorang pemuda arab telah mententeramkan aku. Dia kata, biar dia sahaja yang menyelesaikan masalah aku dengan budak itu. Jika dahulu, aku sendiri selalu dibaling batu seakan aku ini Yahudi Laknatullah gamaknya. Namun selepas aku menegur perbuatan mereka itu, peristiwa dibaling batu itu tidak berulang lagi.

            Namun yang pasti, kita tidak boleh mengukur baik buruk seeorang hanya melalui pengalaman sendiri sahaja tanpa mengambil pengalaman orang lain. Tidak dinafikan jika ada orang arab itu jahat, memang dia jahat betul. Namun jika ada orang arab itu baik, maka dia memang benar-benar baik. Adakah dengan kita melihat kejahatan dia maka segala kebaikan dia sudah kita lupakan? Bersyukurlah dengan kejahatan kerana dengan kejahatan itu menjadikan diri kita sentiasa berwaspada. Jangan dipandang semua yang berdosa itu adalah jahat dan jijik kerana semua anak bani Adam tidak terlepas daripada dosa.


BERSYUKURLAH KERANA IMANMU TIDAK DICURI

            Aku ada terbaca sebuah kisah mengenai Imam Sahl bin Abdullah At-Tustari. Seorang lelaki telah mengadu kepada beliau. Katanya, “Wahai tuan, ada orang masuk ke dalam rumahku lalu mencuri hartaku dan merosakkan barang-barangku.”

            Imam Sahl bin Abdullah lalu menjawab, “Bersyukurlah kepada Allah SWT kerana bukan Syaitan yang masuk ke dalam hatimu, lalu mencuri imanmu dan merosakkan tadhidmu.”

            Moral di atas kisah tadi adalah jangan terlalu bersedih hati di atas musibah yang Allah uji kepada kita. Keduanya, sesungguhnya jika kita ditimpa musibah, ketahuilah bahawa ada insan lain yang ditimpa musibah yang lebih dasyat daripada kita. Dan yang terakhir, iman kita bukan setaraf para ulamak sufi dan para imam-imam mujtahid, kerana hati mana yang tidak marah jika barang-barang kesayangan kita dicuri dan dirosak-rosakkan?

Saturday, January 21, 2012

Apa Perlunya PERSATUAN Jika Tidak Memberi PENYATUAN


ISMA kini menjadi polomik baru bagi warga pelajar Malaysia yang bermstautim di Jordan. Sewaktu pertama kali aku mendengar tentangnya, aku juga tidak pasti apa perlunya perkara ini dipolimikkan? Apa masalahnya ISMA ini? Perkara yang bersifat jernih ini mengapa perlu dikeruhkan? Sebelum aku mengupas lebih panjang, lebih baik aku perincikan apa itu ISMA.

Friday, January 20, 2012

Kucing dan kaitannya dengan undang-undang Syariah




Selalu aku terserempak dengan kucing tatkala aku berjalan mencari damai di bumi Mu'tah. Kucing-kucing ini begitu gagah melawan suhu sejuk melampau semata-mata untuk meneruskan legasi kehidupan demi mengisi perut yang memulas. Haiwan kesayangan Abu Hurairah ini menggamit nostalgiaku kepada program Akses Pemikiran Pelajar (API) yang telah aku tinggalkan lebih kurang tiga bulan yang sudah. Kisah yang aku bawakan berkaitan seekor kucing pada program tersebut...

Tuesday, January 10, 2012

Ada Salji di Bumi Mu'tah pada Tahun ini...(?)

Aku juga mahu bermain salji...

BAGI pelajar-pelajar yang baru menjejakkan kaki ke Bumi Mu’tah, pastinya salah satu perkara yang sering bermain di fikiran adalah bermain salji. Aku juga salah seorang daripadanya. Semua orang ternanti-nanti adakah salji akan turun pada tahun ini, ataupun salji tidak turun seperti tahun lepas. Keinginan aku yang membuak-buak membuatkn aku membuat kajian berkaitan salji ini. Adakah salji akan turun di bumi Mu’tah pada tahun ini?

Baiklah, kita bermula dengan fakta berkaitan Jordan. Jordan menerima tempias angin Mediterrinein yang memungkinkan ia mengalami 4 musim yang berbeza. Kawasan Karak turut menerima keistimewaan 4 musim ini. Musim bunga bermula akhir Mac hingga awal Jun, musim panas pertengahan Jun hingga awal Oktober, musim luruh yang singkat dan musim sejuk bermula pada akhir November hingga pertengahan Mac. Kawasan Mu’tah dan Mazar merupakan kawasan yang lebat menerima salji disebabkan berada dikawasan yang lebih tinggi dari kawasan sekitarnya. Kebiasaanya salji akan turun pada bulan Februari setiap tahun. Ketinggian Mu’tah daripada paras Laut Mati adalah setinggi 1200 meter.

Monday, January 2, 2012

Kenali Universiti Mu'tah

MU’TAH UNIVERSITY


Motto                          :  Vision of Education
Tahun dibina                :  1981
Presiden                      :  Dr. Abdulrahim Al-Hunaity
Bilangan Staff              :  550
Admin Staff                 :  2500
Bilangan Pelajar           :  17000


Terdapat 12 Fakulti utama di Universiti Mu’tah ini. Fakulti-fakulti tersebut adalah

Sunday, December 18, 2011

Saat Malam Pertama

Setiap kita pasti sudah melalui atau bakal melalui malam pertama. Begitu juga aku. Aku sama sekali tidak akan melupakan malam pertamaku itu. Malam pertama yang begitu sejuk sehingga mencengkam tuang rusukku. Ya, malam pertama aku di bumi Urdun, bumi barakah, bumi ambiya serta bumi permukimanku...


Bumi Jordan, 5 September 2011

            Seakan percaya atau tidak, aku bersama sahabat-sahabatku akhirnya selamat tiba di bumi ambiya ini, meninggalkan bumi Malaysia yang ketika itu masih meriah dengan sambuatan hari rayanya. Kami berlepas pada tujuh Syawal 1432 Hijrah. Sempat juga kami merasai kelazatan ketupat dan lemang sebelum kami berangkat. Sesuatu yang tidak pernah aku impian sebenarnya untuk aku melanjutkan pengajian di negara orang, lebih-lebih lagi bumi barakah seperti Jordan ini.

            Ahlan wa sahlan ya Urdun…

            Kepenatan akibat penerbangan yang mengambil masa sehingga berbelas jam itu dirasakan hilang apabila sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman. Wah, aku akhirnya telah menjejak kaki ke bumi ambiya ini. Aku seperti rusa masuk kampung gamatnya, melihat setiap ceruk bangunan, seakan begitu takjub dengan seni bina lapangan terbang ini. Hakikatnya, aku terasa begitu megahnya Malaysia apabila dibandingkan lapangan terbang ini dengan lapangan terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA).

            ‘Macam airport Ipoh je,’ aku berdialog sendirian.
           
          Bentuk dan rekaan lapangan terbang ini saling tidak tumpah seperti KLIA. Tetapi ternyata KLIA pastinya lebih hebat dan megah, lebih daripada segala-galanya. Barulah aku tahu lapangan terbangan yang dalam proses pembesaran ini sebenarnya dibina oleh arkitek daripada Malaysia juga. Patutlah rekaannya saling tak tumpah seperti KLIA. Siapa kata arkitek Malaysia tidak hebat?
        
        Amman ketika itu berada di penghujung musim panas. Panasnya tidak sehangat seperti di Malaysia. Musim luruh menanti waktunya sebelum musim sejuk bakal menyusul tiba. Anginnya begitu dingin, sepoi-sepoi bahasa, seakan turut sama menyambut kedatangan kami di sini. Hari ketika itu hampir gelap, jadi kami perlu segera bertolak ke Mu’tah, pekan yang bakal menjadi tempat permukiman kami sepanjang dua tahun kami di sini, insyaallah.


Pekan Mu’tah, Al-Karak

            Perjalan kami daripada Bandaraya Amman ke Pekan Mu’tah hanya diisi dengan tidur, atau istilah yang lebih manis - zikir senyap. Ternyata kepenatan akibat penerbangan tadi masih belum hilang. Coaster yang menjadi pengangkutan kami sunyi sepi kerana kesemua penumpang tidur dengan nyenyaknya. Kepenatan mengatasi keghairahan kami untuk menyelongkar dan mencuci mata melihat pemandangan negara Jordan.

            Sesampainya di Mu’tah, kami terus dibawa ke PUSKMA, singkatan nama bagi Pusat Khidmat Mahasiswa Mu’tah. Jujurnya, aku terkejut apabila sampai sahaja di pekan Mu’tah ini. Sampah memenuhi setiap sudut ruang, suatu pemandangan yang tiada di Malaysia, kecuali hanya ketika berada di pasar malam sahaja. Biarlah, perut pula sudah lapar, makanan pula sudah terhidang di depan mata. Nasi ayam pula. Aku makan dengan dengan penuh selera sedangkan kawan-kawanku yang lain masih tidak puas tidur. Masakan tidak, bangun daripada tidur sahaja, terus diajak makan. Apa yang pasti, lepas makan sahaja, aku mahu tidur puas-puas. Aku rasa seperti sudah lewat malam, sedangkan hakikatnya jam baru menunjukkan pukul 10 malam.

            “Hai, dah mengantuk dah mil?” Aku menyapa Nizammil tatkala aku melihat dia menguap beberapa kali.

            “Kan dah lewat malam ni,”

            “Lewat? Kan awal lagi, baru pukul 10”

            “10? Kan dah pukul tiga pagi ni,”

            “Tiga pagi?”

            “Iyea la, tiga pagi. Kan sekarang Malaysia dah pukul tiga pagi. Itu yang aku mengantuk tu.”

            Jawapan bersahaja daripada Nizammil itu membuatkan aku tertawa kecil, begitu juga Amirul. Walaupun jasad kami sudah berada di Jordan, namun hati dan semangat kami masih berbaki di Malaysia. Malam itu, aku bersama Nizammil dan Amirul menikmati malam yang pertama di bumi Jordan. Malam yang diselubungi kesejukan sehingga aku bangun berkali-kali kerana kekejangan kaki akibat suhu sejuk yang begitu mencengkam. Ini baru malam pada musim panas. Ya Allah, bagaimana nanti aku mahu menghadapi musim sejuk pula.

            Kembaraku sebagai penuntut ilmu kini baru bermula. Langkah pertama telah diambil sebelum langkah yang lebih jauh bakal menyusul. Ya Allah, Kau permudahkanlah langkahku ini dalam mencari ilmuMu, amin.


Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger