"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Sunday, April 14, 2013

Takbur Lalu Terkubur


Kumpulan expedisi yang berjaya menawan kemuncak tertinggi Petra 

Petra, satu nama yang cukup dikenali. Pekan terpencil ini mula menjadi tumpuan dunia apabila dipilih sebagai Tujuh Keajaiban Baru Dunia pada tahun 2007. Namanya cukup gah, duduk sebaris dengan Kota Rome di Itali, Piramid di Kaherah dan Tembok Besar di China. Tidak pernah aku sangka, berjaya juga dalam hidupku ini menjejakkan kaki ke salah satu tempah ajaib dunia ini.

Suasana luar sebelum memasuki gerbang keajaiban.

Angin yang agak deras menyejukkan suasana. Kelihatan ramai pelancong asing berada di perkarangan pintu masuk. Kami tidak meluru masuk ke dalam, sebaliknya terus masak dan menyediakan hidangan. Orang kata, untuk menjelajahi The Rose City ini memerlukan tenaga fizikal yang tinggi. Persiapan awal perlu dilakukan agar kami dapat menawan kemuncak Petra.

Tanpa rasa malu, kami makan beralaskan plastik makanan sahaja. Bajet, huhu

Tanapa rasa malu, kami membentangkan plastik makanan di kawasan parkir kenderaan. Bukan apa, makanan di sini mahal-mahal belaka. Perut yang lapar perlu diutamakan, takut semput dan tersungkur di perjalanan. Makan dengan berselera tanpa menghiraukan jemaah manusia yang semakin membanjiri kawasan. Selesai makan, kami bergegas menuju ke kaunter pembayaran.

Terkedu aku melihat harga tiket masuk bagi pelancong asing. Tiket mereka mencecah 50 dinar. Jika ditukar, nilainya menjadi sekitar RM230! Fuh, selamat kami punya kad pelajar di sini yang menyamakan kami membayar harga tiket sama seperti penduduk tempatan. Kami hanya perlu membayar sedinar sahaja untuk satu tiket masuk.

Dengan kad pelajar sini, kami berpeluang membeli tiket dengan harga serendah 1.00 JD. Hehe


THE ROSE CITY

Kami beratur, berbaris menunggu giliran untuk masuk.

Memasuki pintu masuk, kami seakan berada pada satu zaman yang berbeza. Kuda, keldai dan unta memenuhi ruangan, mengangkut pelancong yang mahu menjimatkan tenaga tanpa perlu berjalan. Tiada lagi kenderaan moden yang memuntahkan asap, menyesakkan udara. Polis-polis yang mengawal keamanan juga turut menunggang kuda. Kawasan di sana sifir pembangunan. Mereka tidak mahu kemodenan menenggelamkan ketamadunan lama ini.

Menjejaki sejarah penemuan kota yang hilang ini, Petra mula diketahui oleh dunia Barat apabila ditemui oleh penjelajah Switzerland yang bernama Johann Ludwig Burckhardt pada tahun 1812. Kota ini dipercayai pernah diduduki oleh kaum Nabatean dan kamu Tsamud yang hidup pada zaman Nabi Saleh. Mereka terkenal dengan kemahiran seni bina dan pemotongan batu dengan memahat bukit serta gunung menjadi bangunan yang indah.

Awal perjalanan agak membosankan dengan tiada pemandangan yang mengujakan. Sehingga tiba ke minit sepuluh, barulah mata kami kembali segar dengan pemandangan sebuah struktur indah yang dipahat di gunung. Binaan terpahat itu dinamakan Tomb of the Obelisks. Sahabat seniorku berkata bahawa ini hanya mukaddimah sahaja, sebelum kita akan melihat lebih banyak seni keajaiban kota Petra ini.

Tomb of the Obelisks

Kami terus menyelusuri laluan.

Perjalanan kami kini tiba di laluan celahan gunungan. The Rose City mendapat namanya di sini. Cahaya di sini malap merah seperti bunga mawar merah. Menenangkan. Laluan itu dinamakan Siq. Sungguh mengagumkan apabila melihat umat zaman dahulu mampu meratah gunung untuk dijadikan laluan. Sistem saliran air juga turut kelihatan. Malah terdapat empangan air di tengah-tengah laluan.

Menyelusuri laluan Siq

Keadaan yang agak malap di sepanjang Siq mula disimbahi cahaya mentari. Kami tahu, kini kami hampir tiba di penghujung laluan tersebut.

MasyaAllah.

Selama ini, aku hanya melihatnya di television, poster-poster serta bahan bacaan. Tetapi kini binaan besar bernama Al-Khazneh  itu berada di hadapan mata kami, betul-betul seusai kami keluar daripada laluan Siq. Benar, aku teruja. Kekagumanku tidak terungkai dengan kata-kata. Binaan itu cukup gah, benar-benar indah. Melihat gahnya binaan ini seakan aku lupa bahawa pembinanya adalah umat zaman dahulu yang disangka tiada kemodenan.

Di hadapan Al-Khazneh


Benar, kota ini telah lama menghilang. Hilang daripada peradaban manusia selama 500 tahun. Namun, sejarahnya tidak pernah terpadam.


TAKBUR LALU TERKUBUR

Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum ‘Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah, maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi membuat kerosakan. (Surah Al-A’raaf: 74)

Kaum Tsamud langsung tidak mengendahkan seruan Rasul mereka, Nabi Saleh. Mereka yang dikurniakan kekuatan fizikal dan mental terus dibuai dengan kesesatan. Kaum tsamud masih mengangkat patung yang dicipta daripada tangan mereka sendiri sebagai tuhan. Lebih parah, mereka menganggap nabi Saleh sebagai seorang yang gila.

Lalu mereka berkata; “Patutkah kita menurut manusia daripada jenis kita, lebih-lebih lagi yang berseorangan? Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila. Tidaklah patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang yang lebih layak ada) di kalangan kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi sombong dan angkuh.” (Surah Al-Qamar: 24-25)

Mereka meminta diberikan bukti kerasulan nabi Saleh. Lalu Allah kurniakan unta yang lahir daripada celahan batu. Nabi Saleh meminta kaumnya agar tidak diapa-apakan unta mukjizat itu.

Mereka yang kufur masih terus dalam kesombongan mereka. Sengaja mereka membutakan mata daripada melihat mukjizat di hadapan mata. Mereka yang beriman pula terus menerima provokasi daripada mereka yang masih kufur dan sombong.

“Tahukah kamu bahawa Saleh diutus oleh Tuhannya?” (Surah Al-A’raf: 75)

Golongan yang beriman lalu menjawab, “Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu yang Saleh diutus untuk menyampaikannya.” (Surah Al-A’raf: 75)

Berang dengan jawapan daripada mereka, lalu golongan kafir itu berkata dengan penuh takabbur, “Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imami itu.” (Surah Al-A’raf: 76)

Melihat golongan yang beriman itu tidak terkesan dengan provokasi mereka, kemarahan mereka semakin membuak-buak. Lalu mereka membulatkan tekad, menyembelih unta mukjizat. Melihat unta mukjizat itu dibunuh oleh mereka, mereka bertemu terus dengan nabi Saleh seraya berkata dengan nada yang angkuh;

“Hai Saleh! Datangkanlah apa yang kamu ancamkan itu kepada kami, jika kamu termasuk salah seorang Rasul!” (Surah Al-A’raf: 77)

Sungguh, keangkuhan mereka mendatang kemurkaan Allah.

Lalu datanglah gempa menimpa mereka, dan mereka pun mati bergelimpangan di dalam runtuhan rumah mereka. Kemudian dia (Saleh) pergi meninggalkan mereka sambil berkata, “Wahai kaumku! Sungguh, aku telah menyampaikan amanat Tuhanmu dan aku telah menasihati kamu. Tetapi kamu tidak menyukai orang yang member nasihat.” (Surah Al-A’raf: 78).

Begitulah kisah kaum Tsamud. Kerana takbur, mereka terkubur.


KEMBALI DI PETRA

Hampir seharian kami berada di Petra. Bermula seawal jam sembilan pagi. Menyelusuri jalan luas berdebu, memasuki lorong sempit Siq, bertemu dengan Al-Khazneh. Terus berjalan dan memanjat lagi, melihat teater dan pusat pentadbiran mereka. Mendaki tangga yang dipahat di atas batu, menemui lagi sebuah struktur binaan besar di puncak gunung. Lalu kami berpatah pulang dan kembali semula di pintu masuk pada pukul tiga petang.


Di hadapan kawasan Transformer berlakon

Begitu kisah pengembaraan kami. Petra, megahnya bukan sekadar untuk dihayati, tetapi untuk dikutip ibrahnya sekali. Betapa keangkuhan sebilangan kecil daripada mereka, namun bala yang diterima menimpa mereka semua. Kekuatan fizikal dan kemahiran mereka langsung tidak dapat membantu mereka. Saat azab itu tiba, semuanya binasa.

 Katakanlah; “Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Surah Al Ankabut : 20)

Saturday, April 13, 2013

Jasad Ahli Syurga Ada di Sini



Seusai solat Asar berjemaah di Masjid Syuhada, seorang warga Pakistan datang ke hadapan para jemaah. Arif kami bahawa beliau adalah seorang tabligh. Kumpulan tabligh yang berasal daripada Pakistan ini telah bermukim di sini selama beberapa hari. Aku kebiasaannya tidak berminat untuk mendengar, tetapi entah mengapa pada petang itu, aku masih duduk terpaku di ruangan solat, menanti untuk mendengar butiran mutiara daripada tabligh tersebut.

Asal namanya tabligh, pasti kita dapat membayangkan fizikal mereka. Berserban, berjubah bersama selendang serta kebiasaanya memiliki janggut yang panjang. Begitu juga tabligh yang sedang bertaujihad di hadapan kami. Bahasa Arabnya cukup fasih, mudah ditangkap oleh para hadirin.

“Hadirin sekalian, lihatlah para Sahabat. Contohilah para Sahabat dalam berdakwah. Lihatlah, tiga per empat daripada 124,000 Sahabat Rasulullah SAW meninggal di luar Makkah dan Madinah! Ada sahabat yang meninggal di Mesir, di China, malah di Jordan sendiri. Kenapa? Kerana mereka pergi keluar berdakwah tuan-tuan,” begitu bersemangat si tabligh menyampaikan kuliahnya.

Tersentak aku mendengarnya. Langsung selama ini, aku tidak pernah tersedar akan fakta ini. Benar, begitu banyak makam para Sahabat yang terletak di luar kota Makkah dan Madinah. Malah, terdapat banyak makam-makam Sahabat di bumi Jordan ini sendiri. Ada yang meninggal kerana syahid dalam peperangan, ada juga yang meninggal kerana bermukim di sini untuk melebarkan usaha dakwah.

Dalam rantaian makam-makam Sahabat yang terletak di bumi Syam ini, terdapat dua makam sahabat yang istimewa. Beliau adalah sahabat yang dijanjikan Syurga, pemegang amanah umat akhir zaman. Seorang lagi adalah sahabat yang paling alim dalam soal Syariat.

Alhamdulillah, aku diberi kesempatan untuk berziarah ke makam-makam tersebut.


PEMEGANG KUNCI UMAT


Bernama Amir ibn Abdullah, seorang muhajirin dari bani Quraisy, suku al-Harith ibn Fihr. Merupakan salah seorang sahabat yang terawal memeluk agama Islam, beliau antara sahabat yang berhijrah ke Habsyah dan madinah. Memiliki sikap yang baik dan paling berserdahana. Itulah pemuda yang dijanjikan Syurga, dikenali dengan nama Abu Ubaidah bin Al-Jarrah.

Abu Ubaidah Al-Jarrah begitu dipercayai oleh Rasulullah SAW, sehingga baginda mengungkapkan kelebihan beliau dengan hadis baginda, "Setiap umat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi umatku adalah Abu Ubaidah Al Jarrah"

Ya, beliaulah pemegang amanah bagi umat ini.

Malah, Rasulullah SAW memuji sifat yang ada pada diri Abu Ubaidah Al-Jarrah dengan hadis baginda, “Tiga orang yang paling terkemuka dalam suku Quraisy memiliki sifat yang terbaik dan paling sederhana. Mereka adalah Abu BakarUthman bin Affan dan Abu Ubaidah al-Jarrah.”

Sejarah Perang Badar mencatatkan pertumpahan darah antara anak dan bapa. Bapa beliau, Abdullah bin al-Jarrah turut terlibat dalam peperangan tersebut. Tetapi ayahnya bukan berjuang bersama tentera Islam, sebaliknya bersama dengan pasukan Musyrikin. Malah, ayahnya sendiri mengejar Abu Ubaidah dalam peperangan tersebut dengan niat untuk membunuh anaknya sendiri.

Abu Ubaidah cemas. Ayahnya masih tetap mengekori. Kemarahan ayahnya pada dirinya tidak mampu dipadamkan lagi. Jiwa kecil seorang anak pasti tidak sanggup untuk membunuh ayahnya sendiri. Abu Ubaidah terus melarikan diri. Abdullah terus memburu anaknya sehingga suatu masa Abu Ubaidah terpaksa bersemuka juga dengan ayahnya. Pertempuran tercetus dan Abu Ubaidah terpaksa membunuh ayahnya dengan penuh rasa sedih dan bersalah.

Mengetahui akan kesedihan yang melanda Abu Ubaidah, lalu turunlah ayat ini bagi mengubati kesengsaraan jiwa penghuni Syurga itu;

“Engkau tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah mematri keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Akan menyenangi mereka, di pihak lain mereka pun senang dengan Allah. Mereka itulah perajurit Allah, ketahuilah bahawa perajurit Allah pasti akan berjaya.” (Surah Al Mujadalah: 22)

Ketika zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau telah dilantik menjadi ketua panglima Islam. Kepintarannya dalam menyusun taktikal peperangan membolehkan beliau berjaya menawan kota-kota yang besar seperti Damsyik, Aleppo, Hims, Antakiah, dan Al-Quds di Baitul Maqdis.

Selepas selesai melaksanakan tugasnya dalam peperangan, wabak taun pula menyerang tanah Syam. Hampir 20,000 penduduk telah meninggal dunia akibat penyakit berjangkit tersebut. Risau akan keselamatan Abu Ubaidah, Saidina Umar Al-Khattab telah mengutus surat kepadanya di Syam supaya pulang ke Madinah. Antara kandungan surat tu berbunyi;  “Jika engkau membaca surat ini, pulanglah ke Madinah kerana ada perkara yang ingin aku tanyakan.”

Namun Abu Ubaidah dapat membaca niat Umar yang risau akan keselamatannya. Lalu Abu Ubaidah membalas surat tersebut;

Wahai Amirul Mukminin, sebenarnya saya tahu tuan memerlukan saya. Akan tetapi saya berada di tengah-tengah tentera muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusan terhadap saya dan mereka. Oleh itu, sesampai surat saya ini, tolonglah jangan paksa saya pulang ke Madinah. Izinkan saya tinggal di sini.”

Saidina Umar menangis ketika membaca surat tersebut sehingga ramai menyangka Abu Ubaidah telah meninggal dunia.

Tidak lama selepas itu, Abu Ubaidah juga dijangkiti penyakit taun dan meninggal dunia ketika berusia 58 tahun. Sumbangannya kepada agama Islam sangat besar. Abu Ubaidah al-Jarrah dikenang membawa teladan yang sangat berkesan kepada seluruh umat Islam.


DUTA ISLAM YANG PERTAMA


Merupakan seorang pemuda yang yang tampan, beliau merupakan salah seorang Sahabat yang terawal memeluk agama Islam. Di kalangan penduduk Yathrib, beliau merupakan seorang pemuda yang bijak. Sahabat yang berbai’ah dengan Rasulullah SAW sejak kali pertama. Dialah Muaz bin Jabal, sahabat yang mempunyai kepintaran yang luar biasa.

Muaz memang dikenali sebagai sahabat yang cukup mendalami ilmu fiqh. Bahkan, Rasulullah SAW menyebutnya sebagai sahabat yang paling mengerti yang mana halal dan haram. Hadis baginda tentang kelebihan Muaz, “Orang yang paling mengetahui halal dan haram di kalangan umatku adalah Muaz ibn Jabal.”

Sewaktu penghijrahan Nabi Muhammad ke kota Madinah, Muaz sentiasa bersama baginda. Keberadaannya bersama kekasih Allah membolehkan beliau dapat memahami Al-Quran dan syariat-sayariat Islam dengan cukup baik. Beliau juga menjadi sahabat yang paling baik bacaan Al-Quran. Malah, beliau diberi kepercayaan sebagai salah seorang daripada enam sahabat yang mengumpulkan Al-Quran ketika zaman Rasulullah SAW.

Ketika peristiwa pembukaan Makkah, Rasulullah meminta Muaz untuk tinggal bersama penduduk Makkah untuk mengajar mereka ajaran Islam. Kepintaran beliau juga jelas terlihat ketika mana rombongan raja-raja Yaman datang menjumpai Rasulullah SAW lalu mengisytiharkan keislaman mereka dan meminta kepada Rasulullah supaya menghantarkan tenaga pengajar kepada mereka. Rasulullah SAW tetap memilih Muaz untuk memegang tugas itu bersama-sama dengan beberapa orang para sahabat yang lain.

Tatkala rombongan Muaz bin Jabal mahu berlalu pergi, Rasulullah SAW sempat mewasiatkan kepada Muaz dengan berkata, “Wahai Muaz! Kemungkinan kamu tidak akan dapat bertemu lagi dengan aku selepas tahun ini malah mungkin juga selepas ini kamu akan melalui masjid dan kuburku…”

Mendengar sahaja wasiat daripada rasulullah, lalu menangislah Muaz lantaran kesedihan yang tidak tergambar. Beliau tahu, selepas ini beliau tidak akan bertemu dengan baginda lagi.

Ketika zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau dihantar pula ke Maitul Maqdis untuk mengajarkan ilmu agama di sana. Sewaktu Muaz berada di sana, negeri tersebut sedang dilanda penyakit berjangkit yang membawa maut. Muaz juga tidak terkecuali menerima tempias penyakit tersebut. Nyawanya kini di hujung tanduk.

Saat ajalnya hampir tiba, wajahnya masih ceria, malah masih mampu bermadah pujangga, “Selamat datang wahai kematian! Selamat datang kepada tamu yang tak kunjung tiba dan selamat datang kepada kekasih yang datang setelah sekian lama dirindukan.”

Selang detik kemudian, pergilah seorang sahabat yang agung di bumi Urdun.


TANAH BERJASAD AHLI SYURGA

Si tabligh telah selesai memberikan taujihadnya. Para jemaah mulai pulang. Aku turut sama, melangkah keluar sambil terus mengenang perjuangan sahabat yang tidak mengenal erti lelah. Negara yang aku pijak ini, bukan sekadar negara bertanah tandus berdebu sahaja, tetapi di dasarnya ada jasad ahli Syurga yang tenang menunggu hari kebangkitannya.

Letakkan kami juga bersama mereka, Ya Allah.  

Tuesday, March 19, 2013

Kisah Ashabul Kahfi (Siri2)


Di hadapan pintu masuk perkarangan gua Ashabul Kahfi

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat lagi petunjuk. (Al-Kahfi: 13)

Di celahan kilang-kilang perindustrian, kami dapat melihat dari jauh sebuah masjid berdiri utuh di atas sebuah bukit. Masjid itu semakin didekati. Akhirnya, kami selamat juga tiba di sana, kawasan bermukimnya para pemuda di dalam gua. Kisahnya masyhur, malah terakam di dalam Al-Quran pula. Ashabul Kahfi, tidurnya mereka di dalam iman. Larinya mereka demi menyelamatkan aqidah.

Van yang dinaiki selamat berhenti. Luncur sahaja kami membersihkan diri lalu menunaikan solat jamak. Seusai solat, kami terus keluar, menuju ke arah kawasan gua sejarah. Gua itu kini dijaga rapi dan dipagari. Saat kami mula mahu menjejak masuk ke dalam gua, kisah pemuda-pemuda tersebut kini kembali bermain di fikiranku.


Kembali Pada Kisah Ashabul Kahfi

Tempat persembunyian para pemuda beriman berjaya ditemui. Gua yang terletak di puncak bukit segera dikepung. Bukan sedikit pengawal istana yang datang, gamaknya seakan mahu menangkap sekumpulan besar penjenayah pula. Bukit itu segera dikepung dari setiap penjuru. Para pengawal mula memanjat bukit tersebut lantas semakin mendekati gua yang dihuni oleh mereka.

Sampai berhampiran gua, pantas sekumpulan pengawal istana memasuki pintu gua. Namun tidak sampai senafas, mereka melompat keluar daripada gua. Badan mereka menggeletar ketakutan, sama seperti orang yang kurang siuman. Apabila ditanya ada apa di dalamnya, mereka tidak mampu menjawab, sebaliknya terus lari lintang pukang.

Adapun, masuklah lagi pengawal istana yang lain. Melangkah gagah seakan menyindir sahabat mereka yang ketakutan tadi. Tetapi babaknya tetap sama, mereka melompat keluar, sama seperti tadi. Wajah pengawal tersebut berkerut seribu, seakan melihat sesuatu yang cukup menakutkan. Masing-masing kini ketakutan untuk memasuki pintu gua tersebut.

Ada apa di dalam gua tersebut?

Melihat pengawalnya yang bersikap aneh, memaksa si Maharaja yang duduk melangut di kaki bukit untuk memanjat ke atas. Habis dimakinya para pengawalnya yang tidak punya sikap berani serta lemah semangat. Dengan penuh kemegahan, si Maharaja memasuki pintu gua.

Seperti diduga, si Maharaja juga turut berlari keluar daripada gua selepas hanya beberapa detik berapada di dalamnya. Habis terlondeh segala kemegahannya sebagai seorang Maharaja.  Badannya menggeletar, peluh menyimbah keluar. Raut wajahnya tergambar ketakutan yang teramat sangat. Biarlah pengawalnya mahu berkata apa, yang pasti dia memang cukup gerun selepas memasuki gua tersebut.

Benarlah firman Allah Taala, bahawa Allah sentiasa memelihara tubuh para pemuda tersebut. Sesiapa yang memasukinya, pasti mereka akan keluar kembali kerana rasa ketakutan yang dicampakkan ke dalam hati mereka.

“Dan engkau mengira mereka itu tidak tidur, padahal mereka tidur; dan Kami bolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka membentangkan kedua lengannya di depan pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka, tentu kamu akan berpaling melarikan (diri) dari mereka dan pasti kamu akan dipenuhi rasa takut terhadap mereka.” (surah Al-Kahfi: 18)

Siang berganti malam, hari berganti minggu, minggu terus berlalu memasuki bulan dan tahun. Bumi dan bulan masih beredar dalam edarannya. Masa yang berlalu begitu pantas meninggalkan tamadun. Zaman kezaliman Maharaja berlalu pergi. Cahaya keimanan mula memasuki. Mereka yang hidup telah lama mati. Namun tubuh para pemuda beriman tersebut masih terpelihara, kekal sama seperti yang adanya.

Dan mereka tinggal di dalam gua selama tiga ratus tahun dan ditambah Sembilan tahun.” (surah Al-Kahfi: 25)

Dengan izin dariNya, terjagalah para pemuda tersebut daripada lena yang panjang. Terasa badan mereka begitu lenguh, seakan tidur mereka begitu panjang sekali. Masing-masing kehairanan dan bertanya sesama sendiri. Sudah berapa lama mereka telah terlena? Mereka menyangka bahawa tidur mereka hanya setengah hari, boleh jadi juga tidur mereka genap sehari. Entah, masing-masing punya andaian sendiri.

“Dan demikianlah Kami bangunkan mereka, agar di antara mereka saling bertanya. Salah seorang di antara mereka berkata, “Sudah berapa lama kamu berada (di sini)?” Mereka menjawab, “Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari. Berkata (yang lain lagi), “Tuhanmu lebih mengetahui berapa lama kamu berada (di sini).” (surah Al-Kahfi: 19)

Dalam kebingunan lantaran terasa begitu lama sekali mereka tertidur, barulah mereka tersedar bahawa mereka kini dalam keadaan kelaparan yang tersangatan. Mulalah mereka berbincang dan mencari jalan bagaimana mahu memperolehi makanan tanpa dapat ditangkap oleh askar Maharaja yang zalim itu. Akhirnya mereka sepakat agar salah seorang daripada mereka keluar secara senyap-senyap dan penuh berhati-hati. Pemuda yang dipilih itu diberi wang Perak untuk dia membeli makanan yang baik untuk mereka semua.

Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, dan bawalah sebahagian makanan itu untukmu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan jangan sesekali mencaeritakan halmu kepada sesiapa pun.” (surah Al-Kahfi: 19)

Dengan penuh berhati-hati, pemuda itu menyelusuri laluan menuju ke pintu kota. Sesampainya di pintu kota, dia terkejut. Sangat terkejut. Dilihatnya kota itu telah mengalami begitu banyak perubahan. Malah, kesemua penduduk yang dilihatnya langsung dia tidak kenali. Bagaimana hal seumpama ini boleh terjadi? Sedangkan dia begitu pasti bahawa inilah kota yang mereka tinggalkan pada malam tadi.

Biarlah hal sebegini terjadi. Dia tidak ambil peduli lagi. Perutnya begitu lapar sekali. Sahabat-sahabatnya di gua pasti menunggu kepulangannya bersama dengan bekalan makanan. Duit perak yang berada di genggamannya digenggam erat. Dia kini mahu mencari makanan yang baik dan bersih untuk dirinya dan buat sahabat-sahabatnya.

Setelah bertemu dengan sebuah kedai yang dirasakan baik, dia lantas mengambil makanan. Selesai sahaja, dia menghulurkan wang syiling peraknya itu kepada si penjual. Tatkala wang perak itu bertukar milik, si penjual itu akan bentuk nilaian wang syiling perak tersebut. Mengerti benar si penjual itu bahawa wang syiling itu adalah wang lama yang kini tidak digunakan lagi.

Tanpa berfikir panjang, si penjual terus gasak bertanya kepada pemuda beriman itu bagaimana dia memperolehi wang tersebut. Dengan jujur pemuda itu berkata bahawa itu adalah wang miliknya. Kenapa perlu bertanya itu dan ini? Si penjual tidak berpuas hati, lalu dia memberitahu bahawa itu adalah wang lama yang tidak digunakan lagi. Sekali lagi pemuda beriman itu terkejut bukan kepalang.

Di dunia manakah dia berada kini?

Pemuda beriman itu sekali lagi mengelilingi kota. Nyata, begitu banyak perubahan yang berlaku di kota itu. Lebih hairan apabila dia tidak melihat langsung  patung-patung berhala yang sebelum ini menguasai pemandangan kota tersebut. Di mana patung-patung berhala itu kini?

Sedang dia berjalan-jalan, dia melihat himpunan manusia yang berhimpun untuk mendengar ucapan. Kedengaran ucapan yang dilontarkan itu percaya pada kewujudan Tuhan Yang Satu, Cuma dia tidak percaya pada kehidupan selepas kematian. Tegasnya, mana mungkin manusia yang sudah mati mampu dihidupkan kembali untuk kali kedua?

Berasa hairan, dia bertanya kepada salah seorang penduduk tempatan perihal kota ini. Benar, ini adalah kota yang mereka tinggalkan pada malam semalam, tetapi kemuncak kehairannya berada pada tahap tertinggi apabila Maharaja zalim itu telah lama mati, ratusan tahun dahulu. Malah, para penduduk kota juga tidak lagi menyembah berhala kerana agama anutan mereka kini adalah menyembah Allah, Tuhan Yang Esa.

Pemuda beriman itu kembali ke gua dengan perasaan kehairanan yang masih belum hilang. Bagaimanan dalam satu malam sahaja, boleh mengubah segalanya? Sungguh Allah itu Tuhan Yang Berkuasa, Tuhan yang mampu memati dan menghidupkan manusia dengan izin-Nya. Bukti tentang kebenaran kehidupan selepas kematian ada di hadapan mata, malah terjadi terhadap mereka.

Dan demikian (pula) Kami perlihatkan (manusia) dengan mereka, agar mereka tahu, bahawa janji Allah benar, dan bahawa (kedatangan) hari Kiamat tidak ada keraguan padanya.” (surah Al-Kahfi: 21)

Pemuda itu tiba semula ke gua, bertemu dengan sahabatnya yang beriman. Kembara mereka dalam menyelamatkan aqidah melempasi sempadan kurun. Dengan kuasa Allah jua, mereka ditidurkan sekali lagi. Kali ini, untuk selama-lamanya.

Sebagai memperingati kisah pemuda beriman itu, Maharaja pada zaman itu mengarahkan agar dibina sebuah bangunan ibadat di atas gua tersebut. Baginda berharap agar kisah pemuda gua yang beriman itu menjadi bukti yang nyata tentang kehidupan semula selepas kematian. Moga rakyatnya tidak lagi mempersoalkan tentang hari Kiamat tersebut.

Ketika mereka berselisih tentang urusan mereka, maka mereka berkata, “Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Tuhan mereka lebih mengetahui tentang mereka.” Orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata, “Kami pasti akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya.” (surah Al-Kahfi: 21)


SEKALI lagi aku tersedar daripada lamungan yang panjang. Ruang kawasan gua Ashabul Kahfi ini semakin dipenuhi pengunjung. Tanpa sedar, sahabat-sahabatku sudah keluar daripada gua, tinggal aku keseorangan. Kedengaran suara penjaga gua terus menceritakan kisah ini kepada para pengunjung yang tiba. Aku tersenyum sendirian. Bersyukur diberi kesempatan tiba di sini.

"sampaikan dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari kisah-kisah Bani Isra'il dan itu tidak mengapa (iaitu tidak berdosa walaupun ia tidak sahih dengan syarat memberitahu ia kisah Bani Israil dan bukan hadith). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka". (hadis riwayat al-Bukhari)


Benarlah, harga keimanan tiada nilainya.  

Thursday, January 24, 2013

Kenali Ashabul Kahfi

berada di hadapan Masjid Ashabul Kahfi


Kisah Ashabul Kahfi (أصحاب الكهف‎) merupakan suatu kisah benar mengenai beberapa orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua, dan cuma bangun 309 tahun kemudian. Kisah ini ada diceritakan di dalam Al-Quran, Surah Al-Khafi dari ayat 9 hingga 27.

Pemuda-pemuda beriman ini hidup pada masa Raja Diqyanus di Rom, beberapa ratus tahun selepas diutusnya Nabi Isa a.s. Mereka hidup di tengah masyarakat penyembah berhala dengan seorang raja yang zalim. Demi menjaga iman, mereka melarikan diri dari kota, dikejar oleh tentera raja untuk dibunuh. Hingga pada suatu ketika, sampailah mereka di mulut sebuah gua yang kemudian dipakai sebagai tempat persembunyian.


Sebab diturunkan ayat berkaitan kisah ini

Kisah bermula dari seorang kafir Quraisy yang bernama Nadir bin Haris datang kepada seorang Yahudi di Madinah. Dia menceritakan kepadanya bahawa Muhammad mengaku dirinya sebagai Nabi dan dia meminta nasihat kepadanya bagaimana caranya untuk membantahnya. Yahudi tadi berkata  supaya dia bertanya kepada Muhammad tiga soalan, dan salah satunya tentang kisah Ashhabul Kahfi, jika dia mengetahunya maka ia benar sebagai Nabi. Lalu orang kafir tadi bertanya kepada Rasulullah SAW tantang soalan tersebut.

Mereka menyangka baginda tidak mengetahuinya sehingga mereka boleh mengalahkan dan membantah baginda. Tapi apa yang terjadi. Allah perintahkan Jibril as agar menceritakan kepada Rasulullah SAW kesemua soalan-soalan tersebut, termasuk kisah ashabul kahfi sebagaimana tertera dalam Al-Qur'an dalam surat Al-Kahfi.


Zaman berlakunya Kisah ini

Kisah ini berlaku di zaman agama Al-Masih Isa ibnu Maryam, berdalilkan bahawa kaum Yahudi juga turut mengetahui kisah ini, namun tidak diketahui bila tarikhnya. Kebanyakan riwayat mengatakan bahawa mereka hidup pada zaman Diqyanus, kerana Raja tersebut diketahui sebagai penyembah berhala dan menyeksa para pengikut Masihi.
artifak yang ditemui di sekitar gua

Bilangan Pemuda

Tidak dinyatakan secara tepat bilangan mereka. Ada yang mengatakan 3, 5, 7 dan 8 termasuk seekor anjing. Firman Allah Taala dalam Surah Al-Kahfi, ayat 22;
Maksudnya: Mereka akan berkata; Jumlah Ashaabul-Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka; dan setengahnya berkata: Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka, sebagai tekaan akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kelapannya anjing mereka. Katakanlah: Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit. Maka janganlah kamu berbahas mengenai mereka kecuali secara zahir, dan jangan kamu bertanyakan tentang mereka kepada seseorang pun dari mereka.

Bilangan yang paling kuat mengatakan 7 orang, ditambah seekor anjing walaupun jelas di dalam ayat ini menunjukkan hanya sebilangan kecil sahaja yang tahu bilangan mereka yang sebenarnya. Adapun, yang paling penting bukanlah mengetahui bilangan mereka, sebaliknya pengajaran di sebalik kisah ashabul kahfi ini.


Lokasi Gua

Terdapat khilaf bagi menyatakan di mana kedudukan gua ini. Sebahagian menyatakan bahawa berhampiran dengan Aqabah, di selatan Palestin. Sebahagian yang lain menyatakan gua ini terletak di Utara Iraq. Dan sebahagian yang lain pula mengatakan terletak Selatan Turki. Kesemua tempat-tempat ini adalah di bawah kekuasaan kerajaan Rom yang lama. 

Namun, pandangan yang paling kuat adalah terletak di selatan Palestin, atau nama kini tempatnya adalah Ar-Raqim, Amman.
di hadapan pintu masuk gua

Tempoh mereka ditidurkan

Firman Allah Taala dalam surah Al-Kahfi ayat 25;
Maksudnya: Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka :tiga ratus tahun dan sembilan lagi.

Tempoh waktu mereka tidur selama 300 tahun mengikut kalendar Masihi, iaitu mengikut kiraan Matahari, dan 309 tahun mengikut kalender Hijrah, iaitu mengikut kiraan bulan.

Suasana di dalam gua

Ashabul kahfi, kisahnya bukan sekadar bagi melahirkan rasa takjub, tetapi bagi meyakini diri bahawa Allah mampu menciptakan sesuatu yang telah mati menjadi hidup kembali. Bahawa Allah berkuasa terhadap sesuatu

_____________________
rujukan: 
Tafsir Munir fi Aqidah wa Syariah wa Manhaj, karangan Pro. Dr. Wahbah Zuhaili

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger