"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Showing posts with label Rasulullah. Show all posts
Showing posts with label Rasulullah. Show all posts

Tuesday, February 5, 2013

Kenali Hadis Palsu


Kitab Sahih Bukhari, kitab yang mengumpulkan hadis-hadis sohih

Ramai manusia suka menyebarkan hadith-hadith Nabi SAW dalam internet terutamanya Facebook. Mereka berniat baik atas alasan sabda Nabi SAW:


بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً  

"sampaikan dariku walau satu ayat"

Tetapi mereka lupa lafaz penuh hadith berkenaan berbunyi:



بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ ، وَلاَ حَرَجَ ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ 

"sampaikan dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari kisah-kisah Bani Isra'il dan itu tidak mengapa (iaitu tidak berdosa walaupun ia tidak sahih dengan syarat memberitahu ia kisah Bani Israil dan bukan hadith). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka". 

Jangan baca hadith sekerat saja, tetapi bacalah keseluruhannya. Ketahuilah bahawa hadith yang sama ini padanya galakan dan ancaman, bahagian pertama hadith berbunyi "بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً - sampaikan dariku walau satu ayat" adalah galakan.


manakala ia diringi dengan ancaman pada bahagian akhir hadith berbunyi: "وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ - dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka".

-dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Jami'nya (Sahih al-Bukhari), no. 3461, dari `Abdullah bin Amru al-Aas
Haram dan Berdosa Besar

Justeru itu, Islam mengharamkan sama sekali perbuatan mengadakan hadis palsu seperti penegasan Nabi SAW dalam hadis Mutawatir:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
Bukan sahaja mengadakan hadis palsu itu dosa besar, menyebarkannya juga berkongsi dosa besar yang sama. Dalam era teknologi ini, begitu mudah sesuatu hadis palsu itu tersebar.

Menerusi SMS, Email, Facebook, Twitter dan pelbagai lagi, ramai yang terlibat dengan kegiatan dosa menyebarkan hadis palsu ini. Maka berhati-hatilah. Beberapa klik tanpa penelitian boleh membawa anda menjadi pendusta yang menggunakan nama ALLAH dan RasulNYa.

Oleh itu sebelum anda ingin beramal dengan galakan menyebarkan hadith Nabi SAW itu, jangan lupa ancamannya, tanya dulu diri anda sekurang-kurangnya 3 perkara: 
  1. Benarkah ia adalah hadith?
  2. Riwayat siapa?  
  3. Apakah status hadis ini?.  
Apabila telah terjawab kesemua 3 soalan asas ini, maka silakanlah menyebarkan hadith itu, jika tidak maka usahlah sebarkan walaupun ayatnya nampak baik dan mampu memberi suntikan jiwa. Kerana tiada lagi yang baik apabila anda telah berdusta kepada Baginda Nabi SAW. 

Ada pula yang tidak dapat membezakan antara kata-kata sahabat atau hukamak(cendekiawan) dengan hadis Nabi. Mereka menganggap semua itu sama sahaja daripada segi statusnya Kesalahan menyebarkan hadis palsu boleh dikenakan tindakan mengikut pelbagai seksyen seperti mencerca agama dan penerbitan agama bertentangan dengan hukum syarak.

Kesalahan ini terletak di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, Seksyen 13 (1). Malah, tindakan boleh juga diambil mengikut Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-negeri.

Hukum Menyebarkan hadis palsu bahi yang Jahil atau Tidak Tahu

Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa pula, dia akan mendapat dosa menyebarkan hadis palsu walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui mengenai kepalsuan hadis itu.
Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut; pertama, Firman Allah dalam surah al-Isra ayat 36 bermaksud:
“Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu mengenainya.”
Dalil kedua, hadis Nabi yang bermaksud:
“Sesiapa yang meriwayatkan hadis daripadaku sedang ia diketahui oleh para ulama sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu.” (HR Muslim dalam Muqaddimah Sahih Muslim).
Dalil ketiga, hadis Nabi SAW yang bermaksud:,
“Kadi terbahagi tiga golongan; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Kadi yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Kadi yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Kadi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka.” (HR Abu Daud, Kitab al-Aqdiyah, Bab fi al-Qadi Yukhti’)

Bagaimana untuk mengetahui kesahihan sesuatu hadis?

Secara umumnya, hadis palsu dapat diketahui melalui dua cara; pertama: kajian terhadap sanad (rangkaian perawi). Kedua; kajian terhadap matan atau kritik teks (textual criticism). Untuk mengkaji para perawi adalah sesuatu yang bukan mudah melainkan mereka yang terbabit langsung dalam bidang hadis.

Bertanya Kepada yang Ahli

Sesuatu hadis itu boleh diketahui kesahihannya dengan bertanya sendiri pada ahlinya, pada mereka yang benar-benar belajar agama, para ustaz-ustaz. Malah, kita sendiri boleh merujuk kitab-kitab agama serta website yang boleh dipercayai.

Ilmuwan hadis yang terbilang iaitu al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) pernah ditanya apakah mungkin untuk mengetahui hadis palsu tanpa melihat kepada sanadnya? Untuk menjawab persoalan yang besar itu, beliau telah menghasilkan buku yang amat penting dalam sejarah ilmu mengkritik teks hadis iaitu karya beliau al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Da’if. 

Kelebihan yang Keterlaluan

Antara yang disebut oleh Ibn Qayyim dalam kitabnya itu; hadis palsu itu antara cirinya mengandungi unsur mujazafah iaitu berlebih-lebihan dalam penetapan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar, ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah.

Percanggahan Fakta

Antara ciri lain bagi hadis palsu ialah bercanggah dengan fakta yang nyata. Banyak contoh yang disebut oleh beliau; antaranya hadis palsu: “Terung itu ubat bagi segala penyakit”. Contoh lain: “Hendak kamu memakan kacang dal kerana ia berkat dan melunakkan jantung hati. Membanyakkan air mata dan ia disucikan oleh 70 nabi”. (m/s 52)

Kelihatan Selekeh dan Boleh Dipersendakan

Antara lain beliau menyebut hadis ciri hadis palsu itu ia kelihatan selekeh dan boleh dipersendakan. Banyak contohnya, antara yang disebut; hadis palsu “Jika beras itu lelaki nescaya dia seorang yang penyantun”. Contoh lain; “Hendaklah kamu memakan garam kerana ia ubat bagi 70 penyakit”. Contoh lain: “Tiada buah delima melainkan bijinya berasal dari syurga”. (m/s 55)

Contoh lain: “Sesiapa yang membela ayam jantan putih, maka dia tidak akan dihampiri oleh syaitan dan sihir”. Kemudian Ibn Qayyim membuat kesimpulan tentang hadis ayam jantan: “Kesemua hadis ayam jantan adalah dusta kecuali satu hadis iaitu “Sesiapa yang mendengar kokokan ayam jantan hendaklah dia memohon kurniaan dari ALLAH kerana ia melihat malaikat” (Riwayat Bukhari dan Muslim). (m/s 56)

Canggah sumber sahih

Ciri hadis palsu yang lain yang dinyatakan oleh Ibn Qayim apabila sesuatu hadis itu bercanggah dengan hadis sahih yang lain secara nyata. Ini seperti hadis-hadis palsu yang memuji orang yang bernama Muhammad ataupun Ahmad bahawa sesiapa bernama seperti itu tidak akan masuk neraka.

Ini bercanggah dengan prinsip ajaran Nabi yang menegas bahawa neraka itu bukan dapat dielakkan dengan nama dan gelaran sebaliknya dengan iman dan amalan soleh.  (m/s 57)

Antara ciri palsu lain ialah hadis yang menyebut Nabi Khidir masih hidup. Kesemua hadis yang membawa maksud tersebut adalah palsu dan dusta. Kemudian al-Imam Ibn Qayyim mengemukan banyak hujah dari al-Quran dan al-Sunnah yang membuktikan bahawa cerita Khidir masa hidup sehingga kini adalah dusta dan palsu. (m/s 67-76)

Pelik

Contoh hadis palsu lain: “Pelangi di langit itu adalah tengkuk ular yang berada di bawah Arsy”. Juga hadis palsu: “Jangan mandi air yang terdedah kepada matahari kerana ia menyebabkan sopak” (m/s 60)

Antara ciri hadis palsu ialah apabila terdapat dalamnya penetapan tarikh tertentu seperti pada tahun sekian dan sekian, pada bulan sekian dan sekian akan berlaku peristiwa itu dan ini. Ini ciri kepalsuan sesuatu hadis. Ini seperti hadis bahawa akan berlaku gerhana dalam bulan Muharam kemudian berlaku peristiwa itu dan ini. (m/s 64).

Banyak hadis yang seperti ini tersebar dalam Internet lalu dipercayai oleh mereka yang dangkal akal dan pengetahuan.

Antara ciri yang lain hadis yang seakan ucapan ahli perubatan, bukan ungkapan seorang nabi. Ini seperti hadis palsu: “Memakan ikan melemahkan jasad”. Contoh lain: “Ada seseorang mengadu kepada Nabi bahawa dia tiada anak. Nabi menyuruhnya memakan telur dan bawang”.


Kesimpulan

Jaringan komunikasi menerusi Internet menjadikan tugas dakwah dimanfaatkan dengan lebih berkesan, pantas dan mencapai golongan sasaran lebih besar. Sebab itu ia mampu memartabatkan Islam ke tahap lebih tinggi, sesuai dengan keadaan semasa selain menarik pelbagai golongan lebih dekat dengan Islam.

Namun, pendakwah, penceramah agama atau penulis perlu menitikberatkan perkara sumber dalil supaya mereka tidak mudah menggunakan hadis tanpa memeriksa ketulenan serta kesahihannya. Masyarakat Islam juga perlu mengambil berat perkara itu demi menjaga kesucian hadis nabi yang menjadi sumber kedua perundangan Islam selepas al-Quran.
Sesiapa yang mencipta, mengguna dan menyebarkan hadis palsu dianggap melakukan pendustaan besar terhadap Nabi Muhammad SAW. Sebelum menyebarkan sesuatu hadis kepada umum, sama ada melalui media baru atau cetak, ia mesti dirujuk kepada golongan yang ahlinya (arif) atau berdasarkan sumber muktabar.

______________________
rujukan:

Tuesday, January 29, 2013

Hukum berselawat ke Atas Rasulullah SAW



Status nabi dan rasul adalah darjat tertinggi dalam kalangan manusia di sisi Allah Taala. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib merupakan penutup bagi sekalian anbiya’ adalah sebaik-baik insan yang wajar dijadikan tauladan oleh setiap lapisan umat Islam yang menyanjung tinggi kerasulannya. Lantaran ini Allah Taala memuliakan utusanNya dengan berselawat serta mengucapkan salam ke atas beliau.
Mafhum firman Allah:
“Sesungguh Allah dan para malaikatNya berselawat (menyampaikan rahmat serta memuji) untuk Nabi (Muhammad). Wahai orang-orang yang beriman berselawat serta ucapkanlah salam ke atas Nabi dengan sebenar-benarnya” .(Surah al-Ahzab, ayat 52)
Dalam mafhum ayat di atas, Allah Taala menegaskan bahawa Dia dan para malaikat ciptaanNya sentiasa berselawat ke atas nabi Muhammad disamping memokuskan dua bentuk arahan kepada golongan mukminun agar sentiasa berselawat dan mengucapkan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad selaku Rasul akhir zaman sebagai tanda terima kasih dan penghormatan tertinggi yang tidak terhingga di atas segala pengorbanan beliau yang berperanan menerangi seluruh galaksi dengan cahaya Islam. Berselawat ke atas nabi dari segi bahasa bermaksud; berdoa dan memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa Taala bagi pihak beliau. Menurut al-Imam al-Fakhru al-Razi dalam kitabnya jilid 6, halaman 796; selawat Allah Taala ke atas RasulNya bermaksud rahmat dan selawat para malaikat pula bermaksud mohon keampunan bagi dirinya. Manakala mengucapkan salam ke atas Nabi pula; Mengucapkan selamat serta kesejahteraan ke atas diri beliau.


Bentuk lafaz Selawat

Terdapat pelbagai bentuk lafaz selawat ke atas Rasul. Ada yang masyhur dengan ungkapan nama selawat syifa’, tafrijiyyah dan sebagainya. Walau apa sekalipun nama yang tonjolkan, hakikat sebenar lafaz-lafaz selawat ini merupakan susunan kalimah indah memuji kemuliaan Junjungan Besar Muhammad demi untuk meraih syafaat beliau di hari Akhirat kelak. Lafaz-lafaz juga merupakan langkah bertertib dan beradab bagi seseorang muslim untuk melafazkannya sebelum mengutarakan sebarang bentuk permohonan kepada Allah Taala dalam setiap doa yang dipohon. Dalam sebuah hadis daripada Kaab bin Ujrah r.a berkata 
Seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami mengetahui cara mengucap salam ke atas diri Tuan. Tetapi bagaimanakah pula untuk berselawat ke atas diri Tuan?” Rasulullah menjawab “Katakanlah Ya Allah selawatkanlah (berikanlah rahmat) ke atas diri Muhammad dan ahli keluarga Muhammad sebagaimana yang Engkau telah berikan rahmat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha  Mulia. Ya Allah berkatilah ke atas Muhammad dan ahli keluarganya sebagaimana Engkau telah berkati ke atas Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam sebuah mafhum hadis diriwayatkan oleh al-Imam Malik, Ahmad, al-Bukhari dan Muslim daripada Abi Hamid al-Saiidi r.a, bahawa orang ramai bertanya “Wahai Rasulullah! Bagaimana cara kami nak berselawat ke atas Tuan?”. Maka jawab Rasulullah “Katakanlah Ya Allah berselawatlah ke atas Muhammad, para isterinya dan zuriatnya sebagaimana Engkau berselawat ke atas keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, para isterinya dan zuriatnya sebagaimana yang Engkau telah berkati ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia”.


Hukum Berselawat

Berasaskan arahan nyata yang termaktub dalam nas, jumhur ulama’ berpendapat bahawa selawat ke atas rasul merupakan salah satu bentuk ibadat seperti berzikir, tahmid dan tasbih. Hukumnya adalah wajib sekali seumur hidup dan sunat serta digalakkan pada setiap masa dan ketika sebagai menyahut seruan Rasulullah sendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis  yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim 
Sesiapa yang berselawat ke atas diriku sekali nescaya Allah berselawat ke atas dirinya sebanyak sepuluh kali”. Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.

Adapun lafaz salam pula umpama seorang muslim mengatakan  Assalamualaika Ya Rasulullah (Salam sejahtera ke atas dirimu wahai Rasulullah). Ia merupakan doa selamat kesejahteraan daripada segala bentuk bala bencana. Setelah mencapai kata sepakat mengatakan hukum selawat ke atas Nabi wajib sekali dalam seumur hidup, para ulama berselisih pendapat pula dalam menentukan adakah selawat tersebut wajib dalam setiap majlis? Atau hanya wajib setiap kali disebut nama Nabi atau adakah ia hanya sunat semata-mata? Berasaskan permasalahan ini, ijtihad para ulama terbahagi kepada tiga katogari berlandaskan hujjah masing-masing;
i)          Wajib berselawat ke atas nabi setiap kali disebut nama beliau. Hujjah ini berasaskan kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.
ii)         Wajib berselawat ke atas nabi sekali dalam satu majlis meskipun namanya disebut berulang kali dalam majlis tersebut. Pendapat ini berasaskan kepada sebuah hadis yang juga diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Sesiapa daripada kalangan satu jamaah yang berada dalam satu majlis kemudian mereka beredar meninggalkan majlis tersebut tanpa menyebut nama Allah serta tidak berselawat ke atas RasulNya, maka mereka tidak akan memperolehi sesuatu di hari akhirat kecuali penyesalan 
iii)        Pendapat mengatakan wajib diperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan sebarang bilangan dan bentuk majlis serta mengatakan tidak memadai dengan berselawat sekali dalam seumur hidup. Golongan pertama dan ketiga berhujjah dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.

Sehubungan dengan ayat 52 surah al-Ahzab ini, para fuqaha juga berselisih pendapat adakah selawat ke atas nabi diwajibkan dalam solat? Dalam masalah ini, al-Syafie dan al-Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat; selawat ke atas nabi dalam solat adalah wajib dan tidak sah solat tanpanya. Manakala al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Malik pula mengatakan; selawat ke atas Nabi ketika solat adalah sunat muakadah dan tidak batal solat tanpanya tetapi makruh. 


Kelebihan Berselawat

Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]

Nabi SAW bersabda;
"Sesungguhnya semulia-mulia manusia di hari Kiamat adalah mereka yang paling banyak berselawat ke atasku." [riwayat Termizi, hasan ghorib]
Sabda Rasulullah SAW lagi;

"Mereka yang bakhil adalah mereka yang mendengar namau tetapi tidak berselawat kembali kepadaku." [riwayat Termizi dan Nasaie dan Ibnu Hibban]

__________________________
rujukan:
روائع البيان تفسير اّية الاحكام من القراذن
بقلم محمد علي الصابوني
باب الصلاة على النبي صلى الله عليه و سلم

Wednesday, October 24, 2012

Musafir Menuju Ilahi


Bukan sebentar aku menunggu, malah sudah  penat aku menyabarkan diri, akhirnya saat yang dinantikan tiba menghampiri.

Musafir yang bakal membawa kami menuju Ilahi semakin hampir. Musafir yang bakal menobatkan kami menjadi tetamu agong kepada Yang Maha Agung, Allah Azza Wa Jalla.

"Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Agong kepada Allah swt, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah swt perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya nescaya Allah swt ampunkan mereka". (Riwayat al-Nasa’iy dan Ibnu Majah)

Bas yang bakal membawa kami menuju ke Tanah Yang Diberkati mula mengengsot meninggalkan Bumi Syuhada Yang Disayangi. Bukan mudah untuk memilih pergi menunaikan ibadah Umrah ketika kemuncak musim panas dalam keadaan kami masih menunaikan ibadah puasa. Wang yang dibayar pula sekali ganda lebih mahal daripada biasa, ditambah dengan ramai sahabat-sahabatku yang memilih untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri di Malaysia membuatkan hatiku menjadi berbelah bagi. Lebih mencabar, di sana nanti pasti kami bakal bersesak-sesak dengan jutaan umat manusia daripada seluruh pelusuk dunia untuk sama-sama mencapai kelebihan beribadat di sana.

Namun, aku tetap membulatkan tekad untuk pergi menunaikan ibadah Umrah pada penghujung bulan Ramadhan walau dengan kepayahan yang bakal dipunggak. Benar, bukan mudah untuk melaksanakan ibadah yang mana pahalanya akan dilipat berkali-kali ganda. Aku, malah kami semua maklum akan fadilat melaksanakan ibadah Umrah pada bulan Ramadhan.


Dalam hadis, Rasulullah pernah menjelaskan kepada wanita Ansar, Ummu Sinan mengenai kelebihan umrah pada bulan ini.

Baginda bersabda bermaksud: 
“Apa yang menghalangmu untuk melakukan haji bersama kami?” Wanita itu menjawab: “Keldai yang ada pada kami yang satu dipakai oleh ayahnya si polan (suaminya) untuk mengerjakan haji bersama anaknya, manakala yang lain dipakai untuk memberi minum anak kami.” Baginda bersabda lagi: “Umrah pada Ramadan sama dengan mengerjakan haji atau haji bersamaku.”

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
“Melakukan umrah pada bulan Ramadhan menyamai ibadah haji.”
Siapa yang tidak mahu memiliki pahala seperti melaksanakan ibadah haji?


Memasuki Arab Saudi

Alhamdulillah, musafir kami bermula dengan agak baik walaupun mendapat sedikit kesulitan akibat karenah birokrasi Arab yang mempunyai ego yang tinggi. Bas kami terus meluncur sehingga tiba di sempadan negara Arab Saudi. Kami berhenti untuk berbuka puasa sebelum meneruskan baki perjalanan yang masih jauh.

Dari kota Maan menelusuri daerah padang pasir kontang Arab Saudi. Bas yang dinaiki berhenti sebentar selepas jauh berjalan, mengizinkan kami untuk berehat. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam, namun aku masih kedengaran bunyian jemaah daripada surau berdekatan seakan melaksanakan solat. Solat apakah pada tengah malam ini? Rupanya, di sini mengamalkan sunat tahajjud secara berjemaah.

Bas sekali lagi berhenti bagi mengizinkan pemandu bas untuk berehat. Kali ini, destinasi persinggahan kami adalah daerah Khaibar. Khaibar yang suatu masa dahulu pernah dimandihi darah hasil perjuangan para mujahid Islam untuk menawan Kota Yahudi Khaibar yang utuh terbina. Namun dengan izin Allah, pintu kota yang tidak mampu dibuka melainkan dengan kekuatan 70 orang pemuda mampu diranapkan oleh Saidina Ali keseorangan. MasyaAllah!

Tatkala matahari sudah mula tegak memacak di dada langit, kami tiba juga di Tanah Suci Madinah. Selajur kisah nabawiah kami tuturi. Terasa sebak di dada mengenangkan perjuangan kekasih kami bersama para sahabat untuk menyebarkan seruan Islam ke serata pelusuk alam. Kami mula mengambil tempat di Dzulhulaifah Abyar 'Ali untuk menunaikan solat Jumaat, seterusnya menunaikan miqat umrah di sana.


Seusai solat Jumaat, kami mula mandi sunat sebelum mengenakan pakaian ihram.


Musafir Ini Semakin Hampir

Bas yang dinaiki mula bergerak menuju Makkah Al-Mukarramah. Kali ini, kami diuji dengan ujian yang dirasakan cukup berat. Dalam keadaan cuaca yang begitu terik, bas kami pula menghadapi masalah akibat penghawa dingin yang tidak berfungsi. MasyaAllah! Panasnya seakan berada di bilik saauna, malah mungkin lebih panas lagi. Namun kami tetap terus bertalbiah.
"Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan ni'kmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu."
Keadaan mula kelam. Kerlipan bintang semakin galak menyinar. Kawasan sekitar yang sedari tadi hanya kontang kini mula disinari cahaya kalimantang serta bangunan yang mekar berkembang. Kami tahu, kota Makkah tidak jauh lagi. MasyaAllah! Segala puji bagi Allah. Talbiah yang pudar kini semakin dinyaringkan. Cahaya Menara Jam sudah mula kelihatan daripada kejauhan. Sinaran lasernya menunjukkan bahawa telah masuknya waktu solat Fardhu. Laser itu terus memancar selama setengah jam selepas azan dikumandangkan.


Permusafiran yang memakan masa selama 18 jam itu kini sudah berada di penghujung destinasinya. Barangan yang dibawa mula dipunggah dan dibawa naik ke dalam bilik hotel masing-masing


Hamba-Mu Datang Menyahut Panggilan-Mu

Tidak lama kami berada di hotel, kami terus bergegas menuju ke Masjidil Haram untuk melaksanakan tuntutan Umrah yang difardukan ke atas semua umat Islam.

Ibnu Umar RA pernah berkata :
 Tidak ada seorang pun kecuali diwajibkan atasnya satu kali haji dan umrah” (Al-Bukhari)
Seperti diduga, keadaan di persekitaran Masjidil Haram penuh sesak dengan jemaah manusia walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Kami seperti yang lain terpaksa berengsot untuk memasuki Baitullah. Debaran semakin terasa, Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam semakin mampir.

Memasuki Pintu Dar Salam, menyelosori sunnatullah, tersergam binaan Kaabah di hadapan mata kami. Binaan yang selalu terlihat di corengan lukisan dan gambaran ini jelas berdiri di hadapan kami. Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu! Begitu besar sekali nikmat yang diberikan ini. Syukur padaMu Ya Allah.

Kami memulakan Umrah kami dengan meminum air Zamzam, menyusuri tauladan yang diajar oleh kekasih kami Rasulullah yang tercinta. Kemudian, kami bersama-sama para jemaah lain melaksanakan tuntutan tawaf sebanyak tujuh kali. Terasa begitu nikmat mengerjakan ibadah di rumah-Mu ini ya Allah.

Seusai melaksanakan tawaf - melazimi seperti apa yang dilaksanakan oleh para Malaikat di atas sana, kami beralih menuju ke Safa', melaksanakan ibadah saie. Seperti mana yang pernah dilakukan oleh ibu kita Hajar tatkala mencari air untuk anaknya Ismail. Saat bekalan sudah ketandusan, Hajar meninggalkan bayinya di tanah tandus keseorangan yang kini menjadi sumur Zamzam. Berharap dapat menemui pertolongan atau sumber air, Hajar berlari mendaki Safa. Melihat tiada apa di sana, si ibu beralih ke bukit Marwah pula, terus berbolak-balik sebanyak tujuh kali. Seperti itu juga yang kita laksanakan, semoga ada ikhtibar yang dapat diamalkan.

Saie itu sendiri bermakna pencarian. Langkahan yang diambil pula dengan penuh tujuan, moga ibadah ini bukan sekadar simbolan, sebaliknya melahirkan insan yang mahukan berTuhan.

Musafir ini, musafir menuju Ilahi. Musafir ini, adalah panggilan Agong, menjadi tetamu Agung untuk berada di tempat yang Agung. Biar penat yang dirasai, kerana tahu ada manis yang tersembunyi. Moga musafir Agong ini beroleh natijahnya, Amin.

Monday, May 7, 2012

Tatkala Tasik Galilee Mengering


Laut Galilee, juga Tasik Gennesaret, Tasik Kinneret, Laut Tiberias atau Tasik Tiberias (Bahasa Ibrani: ים כנרת, Bahasa Arab: بحيرة طبريا), terletak berdekatan dengan Bukit Golan. Ia merupakan tasik air tawar terbesar di Timur Tengah, dan memiliki ukur lilit sepanjang kira-kira 53 km (33 batu), kira-kira 21 km (13 batu) panjang, dan 13 km (8 batu) lebar. Tasik ini memiliki keluasan sebanyak 166 km², dan kedalaman maksima kira-kira 43 m (141 kaki). Pada kedalaman 209 meter di bawah paras laut, ia merupakan tasik air tawar terendah di Bumi dan tasik kedua terendah di dunia (selepas Laut Mati, sebuah tasik air masin).

  Gambar bersama sahabat dengan berlatar belakangkan Tasik Galilee

Gambar Tasik Galilee dari angkasa. Tasik ini menjadi rebutan tiga buah negara. DI utaranya adalah negara Syria, timurnya pula negara Jordan dan di sebelah baratnya adalah negara haram Israel
 

APA HUBUNGKAIT ISLAM DAN TASIK GALILEE?? BUKTI KEBENARAN ISLAM!!

Pada 27/11/2011 telah genap setahun selepas akhbar harian Kosmo melaporkan beberapa pemimpin Israel mengadakan upacara memanggil hujan. Ia diadakan berikutan kebimbangan Yahudi di Israel terhadap paras air di Tasik Galilee yang dilihat semakin susut. Laporan itu antara lain menunjukkan beberapa orang lelaki Yahudi meniup alat muzik shofar sebelum majlis penyembahan meminta hujan yang diadakan di atas bot di tengah-tengah laut Galilee, utara Israel.


Sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang diterima dari Fathimah binti Qais dalam al-Fitan menyebut :

“Saya telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.”

Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?”

Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”

Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Ad-Dari adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal."

"Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya. Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya."

Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?”

Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.”

Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?”

Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu."

Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya.

Mereka bertanya: “Siapakah anda?”

Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”

Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini."

“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”

Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.”

Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” (nama tempat di negeri Syam).

Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?”

Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?”

Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”

Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.”

Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?”

Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.”

Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”


Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?”

Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.

Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.”

Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”

Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?”

Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.”

Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah timur. {3}

 

PERHATIKAN pada ayat di atas yang telah dihitamkan. Sungai Tabrah yang disebutkan itulah yang kini dikenali sebagai Tasik Galilee (juga disebut laut). Keadaan 'paras air' di Tasik Galilee ini telah pun disebut-sebut pada zaman Rasulullah SAW jika diperkirakan dari sudut hadith Tamim Ad-Dari ini.

Perhatikan pada ayat di bawah :

Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”

Jelas sekali, Dajjal telah memberitahu kepada 'mereka' bahawa dia (Dajjal) bimbang paras air di Sungai Tabarah (Tasik Galilee) akan kering kerana berdasarkan apa yang telah dijanjikan, Dajjal akan dibunuh oleh Isa Ibn Maryam (Nabi Isa as) yang akan turun setelah keringnya air di tasik itu.
Hendaklah diingatkan bahawa hadith Tamim ad-Dari ini sememangnya terbukti sahih apabila ia diriwayatkan oleh Imam Muslim dan beberapa orang lagi yang tinggi martabatnya dalam Islam. Penulis buku "Membongkar Misteri Dajjal", Muhammad Nurani Maarif memberikan komentarnya berkenaan hadith ini dengan berkata :

Nabi (SAW) tidak hanya memiliki sifat cerdik di dalam memilih kata-kata, bahkan dia adalah seorang yang benar di dalam setiap tutur katanya. Dia membenarkan buah butir perkataan Tamim ad-Dari. Baginda seorang yang amanah dan tidak berselindung atau meninggalkan kata-kata tersembunyi. Baginda berusaha menjelaskan keadaan Dajjal yang dilihat oleh Tamim ad-Dari itu agar ia difahami dengan jelas dan terang.

Saya membaca dan meneliti hadith perihal Dajjal ini (hadith Tamim ad-Dari) secara berulang kali, bahkan melihat riwayat-riwayat yang lain untuk mendapatkan kepastian apakah benar Nabi SAW sekadar menyatakan sesuatu tetapi pada hakikatnya mempunyai makna yang berlainan. JELAS IA TIDAK BERLAKU DEMIKIAN.

Tamim ad-Dari menyebut: :... akulah Jasassah. Tak usahlah kamu bertanya lagi dan hendaklah kamu pergi menemui SEORANG LELAKI yang ada di tempat pertapaan (biara) kerana ia sangat mahu mendengar berita dari kamu. {4}

Jika Dajjal yang dimaksudkan itu adalah segolongan manusia, kenapa pada ketika itu Nabi Muhammad SAW tidak memotong kata-kata Tamim ad-Dari atau mengubahnya atau menghuraikannya semula dihadapan para sahabat yang khusyuk mendengar buah kata baginda? Adalah sesuatu yang pelik apabila Nabi (SAW) tidak bertangguh memanggil para sahabat yang jauh mahupun dekat untuk mendengar berita ini tetapi hanya diam dan bertangguh untuk membetulkan kesalahan fakta dan huraian tamim ad-Dari (jika ada). Bahkan Nabi SAW meng-ia-kan apa yang ditemui oleh Tamim ad-Dari adalah Dajjal.

....Oleh kerana Nabi (SAW) bersifat amanahlah maka baginda menyampaikan berita yang didengarinya tanpa menokok tambah dan baginda menggunakan laras bahasa yang mudah , terang dan jelas...{5}

Apa yang boleh kita fahami daripada komentar Muhammad Nurani Maarif di atas adalah mengenai logik dan sahih-nya hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Fathimah bin Qais ini.Tidak mampu untuk kita selaku umat akhir zaman cuba menafikan kebenaran, dari petunjuk Nabi SAW ini hanya kerana kita takut menghadapi kemusnahan.

Tasik Galilee kini sedang mengering dengan pantas. Sekiranya diperhitungkan keseluruhan fakta-fakta saintifik yang diperolehi, diperkirakan dengan petunjuk-petunjuk Nabi SAW menerusi hadith-hadith baginda, kita akan dapati bahawa semuanya akan lengkap dalam tempoh 40 tahun saja lagi.

Reuters bertarikh 14 Ogos 2001, memaparkan sebuah artikel yang bertajuk "Kekeringan Air Laut Galilee di Israel Memerlukan Mukjizat Untuk Pulih". Mengikut artikel tersebut, air Laut Galilee sedang berada pada paras 214.04 meter. lebih rendah daripada paras bahaya ditetapkan.

Jelas pada tahun 2001 air laut paras air Laut Galilee telah berada diparas yang membimbangkan. Sekarang 2012 iaitu 11 tahun telah berlalu, apa yang terjadi kepada air laut tersebut? Sama-sama kita hitung, kira dan timbangkan. Sedarlah kita berada di hujung penamatan. Jadi apa tindakan kita?

Masa kini sedang berlalu, dan akan terus berlalu...


rujukan:
-Hadis Rasulullah, sahih Muslim (hadith Tamim ad-Dari)
-Muhasabah diri photo(facebook)
-Wikipedia bahasa Melayu, carian Laut Galilee
-Dewan Kosmik, Mac 2007, m/s: 12

Saturday, February 4, 2012

Hari Lahir Kekasihku


Sudah lama aku tidak bertemu dengan kekasihku. Bukan sudah lama, hakikatnya kami tidak pernah bertemu. Aku hanya mengenalinya melalui bacaan-bacaan serta dari mulut orang. Aku tahu, dia merupakan orang yang hebat, begitu ramai yang ada hati, menyimpan rasa dan telah jatuh cinta padanya. Sedangkan aku hanya insan biasa. Adakah insan yang sehebat dirinya mahu melihat rasa cinta aku ini?

Pabila aku merindui dia, aku sebut namanya. Hingga bergetar, luluh rasa jiwa ini. Jujurnya, aku takut rasa cinta aku padanya hanya bertepuk sebelah tangan. Jila cinta ini ditolak, pasti hidupku kelam, gelap berpanjangan. 

"Ya Allah, janganlah Kau biarkan rasa cinta aku ini pada insanmu hanya bertepuk sebelah tangan. Biarkanlah dia menerima cintaku ini jua, ya Rabb"
(")(")

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger