Markas Pengawal Imperial Jepun yang terletak di lereng bukit
menjanjikan pemandangan yang mempesonakan. Tiupan angin yang nyaman begitu
memberi keselesaan kepada para calon yang mengharungi jadual yang padat. Namun
Zul tetap bersyukur kerana dia diberikan ruang masa untuk mendirikan solat.
Masuk sahaja waktu solat, Zul akan bergegas menunaikan solat yang menjadi
kefardhuan baginya.
Kelakuan aneh Zul
melakukan ritual solat menjadi buah mulut calon yang lain. Nama Zulkarnain
menjadi semakin terkenal. Dia mula dikenali dengan nama ‘The Only One’ kerana
satu-satunya calon yang bukan berbangsa Jepun. Zul juga kerap digelar ‘Samurai
Malaya’ kerana asalnya daripada Tanah Malaya.
“Apa yang kamu
selalu lakukan, Zul? Aku lihat kamu berdiri tegak, kemudian mula
bertonggek-tonggek sebelum berdiri tegak kemabali,” Kenji bertanya kepada Zul
sewaktu mereka selesai makan malam di dewan makan.
“Itu namanya
solat, satu ibadat yang menjadi satu kewajipan kepada kami sebagai umat Islam.
Kami wajib mendirikannya lima kali sehari,” Zul menjelaskan.
“Ibadat? Tetapi
aku tidak pula melihat apa yang kamu sembah,” Kenji menyuarakan kehairanannya.
“Kami menyembah
Tuhan Yang Satu, iaitu Allah. Kami diwajibkan solat dengan menyembah kiblat
yang satu iaitu Kaabah sebagai tanda penyatuan umat-umat Islam. Walau di ceruk
mana kami berada, kami tetap berkiblatkan kiblat yang sama.”
“Kaabah?” Nama itu
cukup asing bagi Kenji.
“Ya. Kaabah adalah
binaan yang dibina pada zaman dahulu lagi oleh utusan Allah iaitu nabi Ibrahim
bersama anaknya, nabi Ismail. Kaabah menjadi lambang kepada penyatuan umat
Islam. Walaupun kami bersolat berkiblatkan Kaabah, tetapi kami tidak menyembah
Kaabah, sebaliknya kami menyembah Allah, Tuhan yang Esa.”
Jawapan daripada
Zul masih memeningkan Kenji. “Kamu katakan kamu perlu mendirikan solat sebanyak
lima kali sehari. Mengapa Tuhan kamu menyusahkan kami dengan ibadat yang
sebegitu?”
“Kami sebagai umat
Islam tidak pernah terbeban untuk mendirikan solat lima kali sehari. Malah
solat itu sendiri adalah waktu rehat bagi kami umat Islam. Di dalam solatlah
kami mampu untuk menenangkan kembali fikiran kami daripada keserabutan urusan
dunia. Solat juga mengajar kami erti pentingnya menjaga masa. Solat yang telah
ditetapkan waktunya membolehkan kami mengawal masa kami dengan lebih baik.
Lebih daripada itu, solat juga mengajar umatnya untuk sentiasa menjaga kebersihan.
Sebelum bersolat, kami wajib dalam keadaan suci daripada sebarang najis.
Bukankah itu menjaga kebersihan namanya?”
Baru kini Kenji
mengangguk.
“Jika kamu ada
keraguan terhadap agama aku, kamu terus ajukan sahaja soalan kepada aku. Aku
sedia menjawabnya jika aku mengetahui jawapannya,” Zul membuka luas ruang
soalan kepada Kenji.
“Tadi kamu katakan
kamu menyembah Allah, tetapi berkiblatkan Kaabah. Mengapa tidak terus menyembah
Allah sahaja?” Kenji terus bertanya apabila diberi keizinan oleh Zul. Islam
merupakan agama yang cukup ganjil dan aneh bagi mereka kerana sinar Islam belum
menyinari negara Jepun kala itu.
“Seperti yang aku
katakan tadi, kami berkiblatkan Kaabah sebagai tanda kesatuan umat Islam, juga
sebagai tanda bahawa Tuhan itu hanya satu, yakni Allah. Kami tidak terus
menyembah Allah kerana kewujudan Allah tidak bertempat. Kerana itu Allah
menyuruh kami menyembah Kaabah sebagai kiblat kami.”
“Allah wujud tidak
bertempat? Itu cukup mustahil, Zul. Tiap sesuatu pasti ada tempatnya,” Kenji
seakan tidak berpuas hati.
“Kewujudan Allah
tidak bertempat kerana Allah itu Maha Kuasa. Tempat hanyalah selayaknya dihuni
oleh makhluk seperti manusia. Sedangkan Allah adalah Tuhan semesta Alam. Jika
kamu katakan mustahil kerana Allah tidak bertempat, makan bolehkan kamu
tunjukkan padaku di manakah kedudukan roh kamu?”
Kenji sekadar diam.
Dia kemudian menggeleng.
“begitulah dengan
kewujudan Allah. Allah wujud tanpa bertempat. Sesungguhnya kewujudan tempat
hanya selayaknya dihuni oleh para makhlukNya yang lemah sahaja, sedangkan Allah
itu Maha Kuasa. Kewujudan Allah tiada awalnya dan tiada akhirnya.”
“Tiada awal dan
tiada akhir?” Kenji semakin hairan.
“Ya,” ringkas
jawapan Zul.
“Bagaimana?” Kenji
masih hairan.
“Aku ibaratkan
seperti nombor. Bolehkan kamu sebutkan apakah nombor yang paling kecil sekali?
Dan bolehkan kamu sebutkan apakah nombor yang paling besar sekali?”
Sekali lagi Kenji
menggeleng.
“Ada perkara
tentang agama kami yang boleh kami ketahui dan kaji, dan ada juga perkara dalam
agama kami yang kami tidak boleh kaji, malah dihalang untuk mempersoalkannya.
Itulah kehebatan agama Islam berbanding agama-agama yang lain. Islam adalah
agama yang benar, dibawa oleh para RasulNya untuk menjaga dan memelihara kami
semua.”
Tiada persoalan
lagi yang muncul di benak fikiran Kohashi
Kenji. Jawapan daripada Zulkarnain
memuaskan hatinya. Tanpa sedar, dia mula meminati agama Islam. Keinginan untuk
mendalami agama itu makin menyala. Kenji semakin mengagumi perwatakan diri
Zulkanain.
[Petikan daripada novel 'Samurai Malaya']
0 comments:
Post a Comment