Merenung masa hadapan. Syaaban telah berlabuh. Moga sampaikan kami kepada Ramadhan-Mu, amin
Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut bertempiaran ke mana-mana tempat untuk mencari air, setengahnya mengatakan bahawa mereka mencari air itu di gua-gua.
Sebahagiannya pula mengatakan sebab diertikan demikian kerana ia sebagai pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.
Menurut Yahya bin Mu'adz pula : Sesungguhnya perkataan Syaaban itu terbentuk dari lima huruf, yang mana setiap huruf merupakan singkatan kurnia kepada orang-orang yang beriman. adalah singkatan yang bererti kemulian dan pertolongan, singkatan kepada yang bererti keperkasaan dan keutamaan, singkatan kepada ertinya kebaikan, singkatan bagi ertinya rasa kasih sayang dan singkatan bagi yang bererti cahaya.
Dari berbagai keterangan mengenai pengertian bulan Syaaban itu tadi dapatlah disimpulkan bahawa pada bulan ini adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Tahukah kamu sekalian, mengapa dinamakan bulan Syaaban?" Mereka menjawab : "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui". Baginda bersabda : "Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Keutamaan Bulan Syaaban
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Sayidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang maksudnya :
"Adalah Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasas ebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban berbanding bulan lain? Baginda bersabda yang bermaksud:
“Bulan itu (Syaaban) yang berada antara Rejab dan Ramadan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadahku di angkat ketika aku berpuasa.” (Hadis riwayat an-Nasaie)
Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa ini menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dari bulan-bulan yang lain dari segi pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain dari bulan Ramadhan.
Peristiwa-peristiwa penting di Bulan Syaaban
1. Malam Nisfu Syaaban
kelebihan malam Nisfu Syaaban disebut dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)
Malam Nisfu Syaaban juga adalah antara malam yang dikabulkan doa. Memetik pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm:
“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam hari raya Aidiladha, malam hari raya Aidilfitri, malam pertama pada bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”
Kita boleh menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.
Kesimpulannya, amalan berterusan ini membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta menyambut kedatangan Ramadan dengan hati bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Lakukanlah amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua jemu. Sembahyang paling disukai oleh Nabi SAW iaitu yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit apabila baginda sembahyang. Apa juga sembahyang ia akan lakukan secara berterusan.” (Hadis riwayat Bukhari)
2. Penukaran Arah Kiblat
Allah swt telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara' bin Azib maksudnya: ''Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmakdis al-selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar.
Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ''Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ''Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah swt untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah swt. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam kitab suci Al-Quran Al-Karim dengan firmannya yang bermaksud:
Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulaang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah Al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke kaabah) itu adalah perintah yang benar dari tuhan mereka, dan Allah s.w.t. tidak sekali-kali lali akan apa yang mereka lakukan.
3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi')
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi.
Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.
Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.
Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.
Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.
4. Perang Zat Al-Riqa'
Peristiwa peperangan Zat Al-Riqa tercetus akibat pengkhianatan di kalangan kabilah-kabilah Nadj terhadap kaum Muslimin. Dalam pertempuran ini seramai 400 tentera Islam terdiri daripada berkuda dan berjalan kaki telah menghadapi kekuatan musuh daripada Banu Muharib dan Banu Tha’labah daripada Ghatfan di satu tempat di Najd bernama Zat al-Riqa’.
Tragedi ini telah mengorbankan sehingga 70 orang kaum muslimin. Peperangan ini dinamakan Zat Al-Riqa (peperangan yang bertampung) oleh kerana tentera Islam pada ketika itu ramai yang telah pecah tapak kaki ketika dalam perjalanan. Perang ini berlaku pada bulan Syaaban tahun ke-4 Hijrah. Perang ini berakhir dengan kemenangan di pihak Islam apabila kedua-dua kabilah musuh telah melarikan diri.
_______________________
sumber:
0 comments:
Post a Comment