"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Sunday, February 5, 2012

Bersyukurlah kerana imanmu tidak dicuri


ARAB OH ARAB

            Hampir separuh tahun lebih aku bersama teman-teman seperjuanganku menetap di lembah Syam ini. Tempoh yang cukup buat kami masak dengan perangai arab. Masyarakat arab memang cukup ramah. Habis semua orang dipanggilnya soddiq yang bermaksud kawan, walaupun pada orang yang mereka tidak kenali. Bercium pipi menjadi adat, berjalan sambil berpegang tangan menjadi kelaziman, sebarkan salam pula seakan satu kewajiban. Tidak kira dia lelaki mahupun wanita, perhubungan sesama mereka memang cukup terjaga. Kalaulah aku membawa adat mereka ini ke bumi Malaysia - jumpa sahabat lelaki kemudian bercium pipi dan berpegang tangan – aku rasa pasti aku akan di cop sebagai seorang gay pula. Dunia, dunia.

            Selalu kami bersembang, berbicara dengan sikap dan sifat orang arab ini. Salah satu topik yang menjadi perbincangan kami adalah berkaitan masakan orang arab.

            “Tak ada feel,” Tirmizi meluahkan pandangannya.

            “Ate, deme tak bosan ke. Asyik makan roti keras je. Ce tengok macam Malaysia, semua ada. Kari ada, tomyam ada. Masakan melayu ada, masakan cina ada, masakan india pun ada,” Raduan menggomel.

            “Kalau tak makan fallafil, makan syawarma. Kalau makan nasi, tak ada kuah pula.,” Amri juga sependapat dengan yang lain.

            “Haah. Kalau makan ayam pun, ayam golek je. Ei, kalau la deme ada jual ayam percik ke, kan laku,” Raduan menambah.

            “Itu kalau makanan. Ni kalau air, air teh dengan kopi je la,” aku yang dari tadi hanya mendengar turut mahu meluahkan pandangan bersama.

            “Betul. Kalau kat Malaysia, ada air bandung, air sirap, milo. Hai, macam-macam air la,” Tirmizi menambah pandangan aku tadi.

makanan ruji masyarakat Arab; Syawarma dan falafil

            Itu kami baru bicara tentang makanan. Aku sendiri sewaktu pergi ke kedai runcit, si penjual telah menunjukkan pada aku akan mee segera yang baru. Katanya pedas sangat-sangat. Aku pun membeli untuk merasai kepedasan mee segera itu. Bila aku makan, aduhai, memang mengecewakan. Seperti yang aku duga, memang tidak pedas. Kalau pelajar-pelajar Mu’tah mahu membeli sos cili, alamatnya kenalah pergi ke Carrefour di Amman, kerana di Mu’tah memang tidak menjual sos cili.


HON MUZIK KEHIDUPAN

            Satu lagi sikap arab yang aku musykil adalah hon pada kenderaan. Entah apa silapnya, mereka begitu bangga dengan bunyi hon yang perbagai. Kelakar juga ada bila aku mendengar bunyi hon mereka yang pelik-pelik. Mungkin bunyi hon itu adalah satu kebanggan bagi mereka. Sudahlah bunyi hon yang perbagai, masyarakat arab juga begitu suka untuk menekan hon pada kenderaan mereka. Bunyi hon ada di mana-mana.

            Terkenang aku dengan perbualan aku bersama dengan ustaz Rais, pensyarah kami di KISDAR dahulu. Katanya, orang arab ni bangga dengan bangsa arab mereka. Mereka kata para Rasul adalah daripada bangsa mereka. Tetapi mereka tidak sedar yang Allah mengutuskan Rasul daripada kalangan mereka juga kerana mereka sendiri adalah bangsa yang teruk sehingga Allah mengutuskan Rasul daripada bangsa Arab untuk memulihkan kembali bangsa tersebut.

Pekan Koboi Mu'tah yang sunyi di siang harinya, namun mula berubah pada petang dan malam harinya

            Aku sendiri ada pengalaman yang kurang enak bersama masyarakat arab ini. Pernah sekali aku dibaling sampah ke muka oleh seorang budak arab. Lantas aku menjerit, memanggil dia datang kepadaku. Hampir-hampir sahaja aku mahu mencekik kolar baju budak arab tersebut, namun seorang pemuda arab telah mententeramkan aku. Dia kata, biar dia sahaja yang menyelesaikan masalah aku dengan budak itu. Jika dahulu, aku sendiri selalu dibaling batu seakan aku ini Yahudi Laknatullah gamaknya. Namun selepas aku menegur perbuatan mereka itu, peristiwa dibaling batu itu tidak berulang lagi.

            Namun yang pasti, kita tidak boleh mengukur baik buruk seeorang hanya melalui pengalaman sendiri sahaja tanpa mengambil pengalaman orang lain. Tidak dinafikan jika ada orang arab itu jahat, memang dia jahat betul. Namun jika ada orang arab itu baik, maka dia memang benar-benar baik. Adakah dengan kita melihat kejahatan dia maka segala kebaikan dia sudah kita lupakan? Bersyukurlah dengan kejahatan kerana dengan kejahatan itu menjadikan diri kita sentiasa berwaspada. Jangan dipandang semua yang berdosa itu adalah jahat dan jijik kerana semua anak bani Adam tidak terlepas daripada dosa.


BERSYUKURLAH KERANA IMANMU TIDAK DICURI

            Aku ada terbaca sebuah kisah mengenai Imam Sahl bin Abdullah At-Tustari. Seorang lelaki telah mengadu kepada beliau. Katanya, “Wahai tuan, ada orang masuk ke dalam rumahku lalu mencuri hartaku dan merosakkan barang-barangku.”

            Imam Sahl bin Abdullah lalu menjawab, “Bersyukurlah kepada Allah SWT kerana bukan Syaitan yang masuk ke dalam hatimu, lalu mencuri imanmu dan merosakkan tadhidmu.”

            Moral di atas kisah tadi adalah jangan terlalu bersedih hati di atas musibah yang Allah uji kepada kita. Keduanya, sesungguhnya jika kita ditimpa musibah, ketahuilah bahawa ada insan lain yang ditimpa musibah yang lebih dasyat daripada kita. Dan yang terakhir, iman kita bukan setaraf para ulamak sufi dan para imam-imam mujtahid, kerana hati mana yang tidak marah jika barang-barang kesayangan kita dicuri dan dirosak-rosakkan?

Saturday, February 4, 2012

Hari Lahir Kekasihku


Sudah lama aku tidak bertemu dengan kekasihku. Bukan sudah lama, hakikatnya kami tidak pernah bertemu. Aku hanya mengenalinya melalui bacaan-bacaan serta dari mulut orang. Aku tahu, dia merupakan orang yang hebat, begitu ramai yang ada hati, menyimpan rasa dan telah jatuh cinta padanya. Sedangkan aku hanya insan biasa. Adakah insan yang sehebat dirinya mahu melihat rasa cinta aku ini?

Pabila aku merindui dia, aku sebut namanya. Hingga bergetar, luluh rasa jiwa ini. Jujurnya, aku takut rasa cinta aku padanya hanya bertepuk sebelah tangan. Jila cinta ini ditolak, pasti hidupku kelam, gelap berpanjangan. 

"Ya Allah, janganlah Kau biarkan rasa cinta aku ini pada insanmu hanya bertepuk sebelah tangan. Biarkanlah dia menerima cintaku ini jua, ya Rabb"
(")(")

Wednesday, February 1, 2012

Siapakah Lelaki Ini?


Selalu aku melihat wajah lelaki ini tatkala aku bermustautim di bumi Urdun. Wajah pak cik ini sering diletakkan di sebelah kiri gambar Raja Abdullah II, Raja Jordan sekarang. Sering kepalaku ligat memikirkan siapakah gerangan pak cik ini yang sebenarnya? Aku membayangkan lelaki ini pastinya Perdana Menteri Jordan, jawatan yang selayaknya untuk gambar beliau diletakkan di sisi seorang Raja. Malah pelajar-pelajar senior di sini juga sependapat dengan aku.

Gambar pak cik ini yang sering diletakkan di sebelah kiri gambar Raja Abdullah II

Hingga Ke Syurga

Tiba-tiba aku merindui suasana itu...

Merindui suasana rumah sewaku, rindu dengan ruang dan gelak tawa sahabat rumah sewaku, rindu waktu tidur bersama di ruang tamu, menonton bola di awal pagi, segalanya aku rindui di dalam kotak pemikiranku...

rumah sewa kami

Rumah sewa kami terletak di hadapan Kolej Islam Darul Ridzuan, hanya dalam seminit dua jika menaiki kenderaan. Rumah yang mempunyai tiga bilik, ditambah dengan satu bilik kecil itu menempatkan sepuluh orang pelajar. Memang padat maksima jadinya. Diketuai oleh as-Syeikh Aiman, penghuni-penghuni lain yang bertuah ialah Anwar An-nur, Abu Huzaifah, Asri, Fakhrul, Amri, Ehsan, Syamil dan aku sendiri.

Monday, January 30, 2012

Jaulah ke Aqabah (Siri 2)

Sambungan daripada artikel 'Jaulah ke Aqabah' (siri 1)

Sampai di Pantai Aqabah, kelihatan berderet-deret bot menunggu di persisir pantai menanti para penumpang. Kami tanpa membuang masa terus menuju ke bot kayuh (bot Dolpin?). Ntah, aku pun tidak tahu namanya secara saintifik, tapi yang pasti bot itu menggunakan kuasa kayuhan (ala-ala basikal) untuk menggerakkannya. 

jom kita berkayuh!

Berkayuh hingga ke Israel  Palestin yang hanya nun di seberang sana

Sunday, January 29, 2012

Jaulah Ke Aqabah (siri1)

       Dek kerana rindukan masakan laut, rancangan kami untuk berkhemah ke Aqabah akhirnya telah berjaya terlaksana. Ahli rombongan kami adalah seramai lima orang dengan diketuai oleh chef division kami, Pameran Syeikh Nizammil. Ahli rombongan yang lain ialah Amri Alhusni, Amirul Asyraf, Khairman Naim dan aku sendiri. Rombongan kami meninggalkan bumi Mu'tah tepat pukul 8.30am - yang ketika itu dibanjiri hujan serta suhu sejuk beku yang tidak tertahan.
       
     Perjalanan yang mengambil masa hampir lima jam itu memang memenatkan jiwa dan punggung para penumpang, ditambah dengan permukaan jalan yang tidak sekata. Namun, perjuangan harus diteruskan (cheewah). Akhirnya, kami selamat tiba di Aqabah pada pukul 12.30pm. Perkara pertama yang dicari pastilah restoran yang menyediakan makanan bernasi. Selepas perut diisi, barulah enak untuk mencuci mata dan berjual beli. Selesai segala urusan, baru kami solat jamak tak'hir di Masjid Besar Aqabah sebelum kami berangkat ke Pantai Aqabah - Main Beach 4 - dengan menggunakan perkhidmatan teksi.

     Sampai di pantai, khemah terus dipacakkan. Pertandingan membina khemah berlangsung dengan penuh meriah. Team Hitam vs Team Merah. Seperti diduga, Team Merah menang dengan jayanya walaupun Team Hitam ada membuat bantahan.

Tuesday, January 24, 2012

Top 10 Lagu 'Nasyid' yang Bukan Nasyid

Muzik memainkan peranan yang cukup penting dalam mengembangkan sesuatu idealogi mahupun pemikiran. Lagu nasyid contohnya memainkan peranan yang cukup penting dalam membentuk dakwah para pendengarnya. Namun ada juga penyanyi dan kumpulan pemuzik yang bukan bernaung di bawah nama nasyid namun masih mampu membawakan unsur ke'nasyid'an di dalam lagu-lagu mereka. 

       Dalam tulisan kali ini, aku mahu membawa penulisan berkaitan lagu islamik yang memberi pengajaran kepada para pendengar, namun lagu-lagu tersebut bukan di bawah nama 'nasyid'. Aku sertakan sekali lirik lagunya agar kita boleh menghayatinya bersama. Mari mendengar sambil meningkatkan amalan~

*lagu-lagu dari seperti kumpulan 'Wali Band' dan 'Opcik' aku tidak masukkan kerana mereka memang dikenali dengan kumpulan yang membawa lagu berunsur ketuhanan


10. Andai Ku Tahu, Ungu

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger