"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Monday, February 13, 2012

Pilot Peluk Islam Selepas Lihat Kebesaran Allah


Kisah Teladan (ruangan pedoman & iktibar majalah Mastika)
Seperti diceritakan oleh Ustaz Amer Muttakim Abd. Ghani
Kepada Penolong Pengarang Mastika, Sahidan Jaafar


Selepas sembahyang Asar, di Masjid Tabligh Sri Petaling, Kuala Lumpur diadakan pula majlis taklim yakni kami duduk dalam satu bulatan dan seorang demi seorang diminta membaca fadilat tertentu yang telah dihafal seperti fadilat zikir dan sembahyang.
Selain saya, ada seorang lelaki berusia 40-an, keturunan India turut berada di majlis taklim itu. Lelaki India itu sudah lama menjalankan kerja-kerja dakwah dalam jemaah tabligh.

Dia pernah keluar berdakwah selama empat bulan di tiga buah Negara iaitu India, Pakistan dan Bangladesh (IBP), keluar 40 hari, seminggu dan tiga hari. Dia juga menghadiri ijtimak tabligh yang sering diadakan oleh jemaah tersebut di luar Negara.

Selepas majlis taklim, lelaki India itu mengambil kesempatan berbual-bual dengan saya apabila melihat penampilan saya tidak seperti ahli-ahli jemaah tabligh memakai baju kurta dan jubah. Saya pula hanya berpakaian biasa, T-shirt dan seluar slack.

Saya katakan pada lelaki India itu, saya bukan pengikut tabligh tetapi datang ke masjid tersebut untuk berjumpa seorang rakan yang mengikuti kumpulannya. Dalam perbualan itu, lelaki India berkenaan banyak bercerita kelebihan jemaah tabligh yang diikutinya dan bagaimana terlibat dengan jemaah tersebut.

Dari cerita lelaki India ini saya mendapat tahu dia bekas seorang pilot sebelum memeluk agama Islam. Oleh kerana saya baru mengenalinya, saya lebih banyak mendengar ceritanya. Jadi, saya tidak bertanya lanjut sama ada dia bertugas sebagai juruterbang Tentera Undara Diraja Malaysia (TUDM), dengan MAS atau syarikat penerbangan swasta. Saya juga tidak bertanya pekerjaan lelaki India ini setelah berhenti sebagai pilot.

Dalam perbualan itu, lelaki India tersebut bercerita dia bersyukur dapat hidup sebagai seorang Muslim setelah memeluk Islam. Fikirannya lebih tenang dan hidupnya lebih berkat, banyak diberi rezeki oleh Allah dari sumbangan yang tidak diketahuinya.

Perbualan itu tambah menarik apabila lelaki India tersebut bercerita pula bagaimana dia mendapat hidayah. Sebelum itu, lelaki India tersebut berkata dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan agama anutan nenek moyang dan keluarganya.

Tetapi peristiwa yang berlaku empat tahun lalu itu telah mengubah seratus peratus kehidupannya sehinggalah dia menjadi Muslim.

“Ana bersyukur kepada Allah sebab menurunkan asbab untuk ana memeluk Islam. Kalau ana tak diberi asbab ini, belum tentu ana dapat hidayah. Kalau Allah kata kun fayakun, ‘jadi, maka jadilah’, tak ada siapa boleh tahan.”

“Itu sebab ana amat bersyukur dapat melihat keajaiban Allah. Masya-Allah, ana tak boleh nak gambarkan macam mana Allah sayangkan hamba-Nya. Kalau Allah dah sayang hamba-Nya, Allah payungkan kita di dunia lagi.

“Ana dah saksikan, sepanjang penerbangan itu, ana takjub. Ana belum pernah lihat fenomena ajaib begitu. Ana tengok tempat lain panas, tapi pesawat ana dipayungi awan. Sepanjang perjalanan dipayungi awan seolah-olah ada awan megekori kami. Langsung tak kena panas terik.

“Itulah ana paling takjub. Ana Tanya kawan-kawan ana, mereka pun kata tak pernah alami kejadian macam tu, masya-Allah, awan sentiasa payungi pesawat yang bawa almarhum daripada terkena terik matahari.

“Kalau di dunia lagi Allah dah payungi kita, masya-Allah di akhirat kelak, Allah akan payung kita dari panahan cahaya matahari yang berada sejengkal di atas kepala kita. Masya-Allah!” cerita bekas pilot itu kepada saya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Kejadian itu, kata bekas pilot tersebut, bukan sahaja disaksikan olehnya seorang, tetapi lain-lain krew penerbangan yang mengendalikan pesawat.

“Ana tahu, jenazah yang ada dalam pesawat itu seorang ulama. Ulama ini buat kerja-kerja dakwah Islam. Ulama ini suruh orang buat baik, ajak jauhi mungkar. Hati ana tiba-tiba terdetik, ulama ini seorang Islam. Ana lihat ada kebenaran dalam Islam.

“Selepas ana tengok awan yang pelik itu dari mula sampai akhir penerbangan kami, ana beritahu rakan Muslim dalam pesawat, ana nak masuk Islam. Ana betul-betul kagum dengan kebesaran Allah,” cerita bekas pilot itu kepada saya.

Itulah punca lelaki India bekas pilot itu masuk Islam yang diceritakan kepada saya dua tahun lalu.

Kejadian menakjubkan itu berlaku ketika pilot India itu bertugas untuk membawa jenazah seorang ulama terkenal dari Kuala Lumpur untuk disemadikan di sebuah negeri di sebelah utara tanah air.

Oleh kerana pertemuan itu berlangsung selepas Asar dan kami berbual tidak lama, saya tidak sempat bertanya secara terperinci sama ada bekas pilot India itu sendiri yang menerbangkan pesawat atau dia yang menjadi ketua penerbangan ihsan itu.

Bekas pilot itu banyak bercerita tentang keajaiban yang dilihatnya, awan memayungi pesawatnya bermula dari Kuala Lumpur sehinggalah ke lapangan terbang di utara.

Sebenarnya saya turut membantu menguruskan jenazah ulama terkenal tersebut sebelum dibawa menaiki pesawat. Ketika itu saya baru menjadi sukarelawan menguruskan jenazah orang-orang Islam.

Saya ceritakan kepada bekas pilot itu, saya turut menyembahyangkan jenazah almarhum. Ulama itu yang meninggal dunia akibat sakit jantung di sebuah hospital di Kuala Lumpur dimandikan di sebuah hospital sebelum dibawa dengan van jenazah ke Surau al-Mustaqimah, Bandar Tun Razak untuk kami sembahyangkan.

Ketika itu saya beritahu bekas pilot tersebut, saya melihat ribuan orang datang dari segenap pelosok negara untuk bersama-sama memberikan penghormatan terakhir kepada almarhum.

Saya katakan pada pilot itu juga, saya sendiri berasa takjub apabila melihat bilangan mereka yang datang terlalu ramai untuk menyembahyangkan jenazah almarhum. Kami terpaksa bersesak-sesak berdiri.

Begitu juga saya beritahu bekas pilot itu, saya berasa bangga apabila setiap orang yang datang berebut-rebut hendak mengangkat jenazah almarhum sehingga ia meniti dari tangan ke tangan yang lain sampailah jenazah tersebut dibawa keluar daripada surau dan dimasukkan ke dalam van semula.

Saya juga ceritakan kepada bekas pilot itu, paling membanggakan saya, van jenazah itu diiringi pula oleh anggota motosikal peronda polis ke pangkalan Tentera Undara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Mengikut wasiat almarhum, almarhum mahu jasadnya disemadikan di sebuah madrasah yang menempatkan sebuah kolej pengajian Islam di negeri kelahirannya. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana jenazah almarhum selamat disemadikan di madrasah berkenaan seperti mana wasiat beliau.

Apa yang membuat saya terkilan, saya terlupa untuk bertanya bekas pilot itu sama ada beliau sendiri yang menerbangkan pesawat itu atau orang lain. Tetapi mengikut cakap-cakap orang ramai ke telinga saya, jenazah ulama itu diterbangkan dengan pesawat Hercules milik TUDM ke sebuah lapangan terbang di utara tanah air. Kalau beliau yang membawa pesawat tentulah bekas pilot itu seorang anggota tentera.

Sebagai seorang ulama terkenal yang berjuang atas nama agama, saya terharu dengan kematian almarhum. Almarhum banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kematian almarhum dan kejadian awan memayungi pesawat yang membawa jenazah ulama tersebut juga telah membuka pintu hati bekas pilot itu memeluk agama Islam.

Sejak itu saya tidak lagi bertemu dengan bekas pilot berkenaan. Saya tidak tahu di mana dia tinggal. Saya juga jarang ke masjid tabligh lagi kerana sibuk dengan pengajian tahfiz di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Baru, Selangor.


p/s: Siapakah ulama tersebut? Tidak dinyatakan namanya tetapi banyak fakta2 yang menarik berkenaan ulama tersebut yang boleh membawa kita mengenali siapakah beliau. Lihat video tersebut untuk mengetahui siapa sebenar almarhum.





Sumber : Mastika Julai 2008 (m/s 118)

Tuesday, February 7, 2012

Kenali Tokoh Ini


Dato' Haji Fadzil bin Mohd Noor merupakan seorang tokoh politik dan agamawan yang cukup masyhur di Malaysia. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor SetarKedah. Bapanya Mohd Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah.

Riwayat Hidup

Beliau menikahi sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star.Isterinya bersamanya ke Al-Azhar. Mereka mendapat lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna ’Izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga(1946-1949) ,DergaAlor Setar dan Maktab Mahmud (1951 -1959) sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir (1963- 1967) jurusan Perundangan Islam bersama  tajaan biasiswa kerajaan Kedah pada 1963 hingga 1967.Pada 1967. Sewaktu di Mesir, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Sekembalinya dari Mesir beliau mengajar di Maktab Mahmud dan kemudian sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (1973-1978).Beliau dipecat dari UTM kerana bertanding dalam Pilihan raya 1977 di DUN Alor Merah dan parlimen Kuala Kedah. Beliau membawa kes itu ke mahkamah kerana pemecatan tidak mengikut saluran yang betul. Mahkamah memerintahkan UTM membayar ganti rugi dan kembali menjadi pensyarah. Beberapa bulan kemudian beliau meletak jawatan demi perjuangan PAS sepenuh masa.

ABIM

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978) dan Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976). ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS di mana 8000 ahli ABIM ialah ahli PAS. Siaran ABIM jugas giat menyebarkan buku dan tulisan Ikhwanul Muslimin seperti Hassan al BannaSyed Qutb dan Jamiat Islami, Maududi. Beberapa tokoh PUM juga tonggak penting PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Fadzil Noor dilantik menjadi Presiden ABIM apabila Anwar Ibrahim ditahan ISA pada 1974 ekoran isu demonstrasi kebuluran di Baling. Tokoh penting ABIM ketika itu ialah Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman.

Parti Islam Semalaysia (PAS)

Pada tahun 1981, beliau dipilih sebagai Naib Presiden PAS (1981-1982) dan kemudian Timbalan Presiden pada 1983.Peristiwa Memali dan Peristiwa Lubuk Merbau terjadi pada 1985. Pada 30 Mac 1989 beliau dipilih sebagai Presiden PAS selepas pengunduran Tuan Guru Haji Yusof Rawa.
Pada tahun yang sama (1999), beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Lim Kit Siang yang kalah dalam pilihanraya umum itu.

Gerak

Pada 1998, beliau dilantik sebagai Pengerusi GERAK (Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia) (Gerak). Gerak ditubuhkan oleh PASDAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan disertai oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menegakkan keadilan selepas pemecatan dan penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meninggal Dunia

Beliau menerima rawatan selepas melakukan pembedahan pintasan jantung pada 10 Jun 2002.  Sebelum itu beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana mengadu sakit dada. Beliau meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi. Jenazah beliau diterbangkan oleh pesawat Hercules dari Selangor ke Kedah.

Jenazah Ustaz Fadzil Noor disemadikan di madrasah di tempat kelahiran beliau di Madrasah Darul UlumPokok Sena, Kedah sesuai dengan wasiat beliau. Masa jenazah beliau hendak disemadikan ribuan rakyat hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut untuk mengangkat jenazah beliau sehinggakan jalan raya sesak teruk sehingga 20 km.
*Rujukan; Wikipedia, the free encyclopedia 



Betapa Allah memuliakan tokoh besar ini. Saat kematiannya, arwahyarham masih mampu untuk membuka hati orang bukan Islam untuk menerima Islam. Masyaallah. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada pejuang-pejuang Islam yang lain, amin.


Biar hidup punah tanpa dipandang,
Asalkan perjuangan ini benar,
Matimu seorang,
Namun bisa melahirkan berjuta pahlawan... 

Monday, February 6, 2012

Ustaz Harun Din Tumpaskan Mubaligh Hindu

t
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.
Lelaki itu menghidupkan TV dan kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato’ Dr. Haron Din.
Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.
Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: “Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran.”
Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?
Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.
Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu tekad untuk berjumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.
Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya. Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.
Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.
Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.
Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.
Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.
Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.
Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.
Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.
Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.
Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi ‘masalahnya’ semakin lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.
Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.
Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?
Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.
Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; ” Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.
“Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?
“Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?”
Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.
Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.
Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.
Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: “Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir.”
Mohammad Fitri Abdullah
“Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam,” jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.
Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.
“Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau,” jelasnya.
Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.
“Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.
“Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu,” tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.
“Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din,” kata Fitri lagi.
Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.
Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. “Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.
“Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.
“Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini,” ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.
Wallahu’alam….
Dipetik Dari: Mastika edisi November 2011

Sunday, February 5, 2012

Bersyukurlah kerana imanmu tidak dicuri


ARAB OH ARAB

            Hampir separuh tahun lebih aku bersama teman-teman seperjuanganku menetap di lembah Syam ini. Tempoh yang cukup buat kami masak dengan perangai arab. Masyarakat arab memang cukup ramah. Habis semua orang dipanggilnya soddiq yang bermaksud kawan, walaupun pada orang yang mereka tidak kenali. Bercium pipi menjadi adat, berjalan sambil berpegang tangan menjadi kelaziman, sebarkan salam pula seakan satu kewajiban. Tidak kira dia lelaki mahupun wanita, perhubungan sesama mereka memang cukup terjaga. Kalaulah aku membawa adat mereka ini ke bumi Malaysia - jumpa sahabat lelaki kemudian bercium pipi dan berpegang tangan – aku rasa pasti aku akan di cop sebagai seorang gay pula. Dunia, dunia.

            Selalu kami bersembang, berbicara dengan sikap dan sifat orang arab ini. Salah satu topik yang menjadi perbincangan kami adalah berkaitan masakan orang arab.

            “Tak ada feel,” Tirmizi meluahkan pandangannya.

            “Ate, deme tak bosan ke. Asyik makan roti keras je. Ce tengok macam Malaysia, semua ada. Kari ada, tomyam ada. Masakan melayu ada, masakan cina ada, masakan india pun ada,” Raduan menggomel.

            “Kalau tak makan fallafil, makan syawarma. Kalau makan nasi, tak ada kuah pula.,” Amri juga sependapat dengan yang lain.

            “Haah. Kalau makan ayam pun, ayam golek je. Ei, kalau la deme ada jual ayam percik ke, kan laku,” Raduan menambah.

            “Itu kalau makanan. Ni kalau air, air teh dengan kopi je la,” aku yang dari tadi hanya mendengar turut mahu meluahkan pandangan bersama.

            “Betul. Kalau kat Malaysia, ada air bandung, air sirap, milo. Hai, macam-macam air la,” Tirmizi menambah pandangan aku tadi.

makanan ruji masyarakat Arab; Syawarma dan falafil

            Itu kami baru bicara tentang makanan. Aku sendiri sewaktu pergi ke kedai runcit, si penjual telah menunjukkan pada aku akan mee segera yang baru. Katanya pedas sangat-sangat. Aku pun membeli untuk merasai kepedasan mee segera itu. Bila aku makan, aduhai, memang mengecewakan. Seperti yang aku duga, memang tidak pedas. Kalau pelajar-pelajar Mu’tah mahu membeli sos cili, alamatnya kenalah pergi ke Carrefour di Amman, kerana di Mu’tah memang tidak menjual sos cili.


HON MUZIK KEHIDUPAN

            Satu lagi sikap arab yang aku musykil adalah hon pada kenderaan. Entah apa silapnya, mereka begitu bangga dengan bunyi hon yang perbagai. Kelakar juga ada bila aku mendengar bunyi hon mereka yang pelik-pelik. Mungkin bunyi hon itu adalah satu kebanggan bagi mereka. Sudahlah bunyi hon yang perbagai, masyarakat arab juga begitu suka untuk menekan hon pada kenderaan mereka. Bunyi hon ada di mana-mana.

            Terkenang aku dengan perbualan aku bersama dengan ustaz Rais, pensyarah kami di KISDAR dahulu. Katanya, orang arab ni bangga dengan bangsa arab mereka. Mereka kata para Rasul adalah daripada bangsa mereka. Tetapi mereka tidak sedar yang Allah mengutuskan Rasul daripada kalangan mereka juga kerana mereka sendiri adalah bangsa yang teruk sehingga Allah mengutuskan Rasul daripada bangsa Arab untuk memulihkan kembali bangsa tersebut.

Pekan Koboi Mu'tah yang sunyi di siang harinya, namun mula berubah pada petang dan malam harinya

            Aku sendiri ada pengalaman yang kurang enak bersama masyarakat arab ini. Pernah sekali aku dibaling sampah ke muka oleh seorang budak arab. Lantas aku menjerit, memanggil dia datang kepadaku. Hampir-hampir sahaja aku mahu mencekik kolar baju budak arab tersebut, namun seorang pemuda arab telah mententeramkan aku. Dia kata, biar dia sahaja yang menyelesaikan masalah aku dengan budak itu. Jika dahulu, aku sendiri selalu dibaling batu seakan aku ini Yahudi Laknatullah gamaknya. Namun selepas aku menegur perbuatan mereka itu, peristiwa dibaling batu itu tidak berulang lagi.

            Namun yang pasti, kita tidak boleh mengukur baik buruk seeorang hanya melalui pengalaman sendiri sahaja tanpa mengambil pengalaman orang lain. Tidak dinafikan jika ada orang arab itu jahat, memang dia jahat betul. Namun jika ada orang arab itu baik, maka dia memang benar-benar baik. Adakah dengan kita melihat kejahatan dia maka segala kebaikan dia sudah kita lupakan? Bersyukurlah dengan kejahatan kerana dengan kejahatan itu menjadikan diri kita sentiasa berwaspada. Jangan dipandang semua yang berdosa itu adalah jahat dan jijik kerana semua anak bani Adam tidak terlepas daripada dosa.


BERSYUKURLAH KERANA IMANMU TIDAK DICURI

            Aku ada terbaca sebuah kisah mengenai Imam Sahl bin Abdullah At-Tustari. Seorang lelaki telah mengadu kepada beliau. Katanya, “Wahai tuan, ada orang masuk ke dalam rumahku lalu mencuri hartaku dan merosakkan barang-barangku.”

            Imam Sahl bin Abdullah lalu menjawab, “Bersyukurlah kepada Allah SWT kerana bukan Syaitan yang masuk ke dalam hatimu, lalu mencuri imanmu dan merosakkan tadhidmu.”

            Moral di atas kisah tadi adalah jangan terlalu bersedih hati di atas musibah yang Allah uji kepada kita. Keduanya, sesungguhnya jika kita ditimpa musibah, ketahuilah bahawa ada insan lain yang ditimpa musibah yang lebih dasyat daripada kita. Dan yang terakhir, iman kita bukan setaraf para ulamak sufi dan para imam-imam mujtahid, kerana hati mana yang tidak marah jika barang-barang kesayangan kita dicuri dan dirosak-rosakkan?

Saturday, February 4, 2012

Hari Lahir Kekasihku


Sudah lama aku tidak bertemu dengan kekasihku. Bukan sudah lama, hakikatnya kami tidak pernah bertemu. Aku hanya mengenalinya melalui bacaan-bacaan serta dari mulut orang. Aku tahu, dia merupakan orang yang hebat, begitu ramai yang ada hati, menyimpan rasa dan telah jatuh cinta padanya. Sedangkan aku hanya insan biasa. Adakah insan yang sehebat dirinya mahu melihat rasa cinta aku ini?

Pabila aku merindui dia, aku sebut namanya. Hingga bergetar, luluh rasa jiwa ini. Jujurnya, aku takut rasa cinta aku padanya hanya bertepuk sebelah tangan. Jila cinta ini ditolak, pasti hidupku kelam, gelap berpanjangan. 

"Ya Allah, janganlah Kau biarkan rasa cinta aku ini pada insanmu hanya bertepuk sebelah tangan. Biarkanlah dia menerima cintaku ini jua, ya Rabb"
(")(")

Wednesday, February 1, 2012

Siapakah Lelaki Ini?


Selalu aku melihat wajah lelaki ini tatkala aku bermustautim di bumi Urdun. Wajah pak cik ini sering diletakkan di sebelah kiri gambar Raja Abdullah II, Raja Jordan sekarang. Sering kepalaku ligat memikirkan siapakah gerangan pak cik ini yang sebenarnya? Aku membayangkan lelaki ini pastinya Perdana Menteri Jordan, jawatan yang selayaknya untuk gambar beliau diletakkan di sisi seorang Raja. Malah pelajar-pelajar senior di sini juga sependapat dengan aku.

Gambar pak cik ini yang sering diletakkan di sebelah kiri gambar Raja Abdullah II

Hingga Ke Syurga

Tiba-tiba aku merindui suasana itu...

Merindui suasana rumah sewaku, rindu dengan ruang dan gelak tawa sahabat rumah sewaku, rindu waktu tidur bersama di ruang tamu, menonton bola di awal pagi, segalanya aku rindui di dalam kotak pemikiranku...

rumah sewa kami

Rumah sewa kami terletak di hadapan Kolej Islam Darul Ridzuan, hanya dalam seminit dua jika menaiki kenderaan. Rumah yang mempunyai tiga bilik, ditambah dengan satu bilik kecil itu menempatkan sepuluh orang pelajar. Memang padat maksima jadinya. Diketuai oleh as-Syeikh Aiman, penghuni-penghuni lain yang bertuah ialah Anwar An-nur, Abu Huzaifah, Asri, Fakhrul, Amri, Ehsan, Syamil dan aku sendiri.

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger