"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Saturday, January 4, 2014

Tatkala Malaysia Dilanda Salji



Aku dahulu pernah mengharap (sewaktu di sekolah rendah dahulu), agar Malaysia dapat menerima salji. Aku tahu itu mustahil, tetapi akalku tetap mengatakan logik. Logik, hanya bila kutub magnet dunia akan berubah. Itulah harapanku. Kerana aku tahu tiada lagi yang mampu membuatkan Malaysia dilanda salji (mengikut logik akal) melainkan apabila magnet bumi - Kutub Utara dan Selatan - berubah tempatnya, mendekati garisan Khatulistiwa.

Dan kini, sebenarnya harapanku itu bukanlah sesuatu yang mustahil, malah mungkin menjadii satu realiti...

Harap sabar membacanya...


*Aku menemui artikel ini di dalam wassap, dan terdapat juga artikel yang seperti ini, yang telah keluar di dalam akhbar.
PERUBAHAN KUTUB BUMI MENURUT HADIS DAN SAINS Mesir sedang mengalami musim salji pertama dalam sejarah selepas 112 tahun manakala Vietnam juga mengalami jatuhan salji yang tidak begitu berat berbanding Mesir. Kehadiran salji di beberpaa tempat di Vietnam menarik ramai penduduk seluruh Vietnam ke kawasan terlibat untuk melihat fenomena bersejarah itu sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas selama berjam-jam seperti dilaporkan Al Jazeera. Penjelasan tentang fenomena itu boleh dirungkai dengan membaca artikel di bawah.

PAKSI BUMI SEDANG BERALIH ARAH Kutub Bumi berganjak 1 batu sehari. Pada tahun 2007, Medan kutub utara berganjak dari Kanada Utara kearah Siberia di Russia pada kadar 35 batu setahun. Ini bermakna arah kompas berganjak 35 batu menghampiri Russia dalam tahun tersebut. Anjakan kutub bumi ini mengakibatkan jajaran kompas dan arah utara sebenar semakinketara perbezaannya. Hingga menjadikan arah panduan beberapa landasan kapal terbang tidak lagi terpakai.
Ia semakin memberi kesan terhadap kegiatan manusia hinggakan lapangan terbang antarabangsa Tampa di Florida terpaksa mengubahsuai tanda arah di landasan dengan kedudukan yang baru. Lapangan terbang tersebut terpaksa ditutup selama sebulan bagi kerja-kerja pengubahsuaian.
Pergerakan kutub utara ke arah Siberia berlaku kerana cepatnya perubahan magnet pada kerak bumi. Perubahan terkini adalah paling dramatik. Ia bergerak semakin pantas. Kutub bergerak ke timur laut 9 batu setahun pada tahun 1904. Kelajuannya kira-kira 35 batu setahun pada tahun 2007. Ia bergerak sepantas 26 batu sebulan pada tahun 2013. 

Terkini kepantasannya 1 batu setiap hari!!
Malaysia Dihujani Salji?

Kelajuan pergerakan Kutub makin bertambah Dalam masa 2 tahun kutub ia akan sampai ke Siberia untuk berada di kedudukan 40 darjah. Pada titik ini ia akan meluru merentasi garis Khatulistiwa untuk berada pada kedudukan 40 darjah di selatan. Ini boleh berlaku dalam jangka waktu yang sangat pantas samada beberapa hari atau beberapa jam. Jika ini berlaku, seluruh geografi akan berubah. Ada tempat yang timbul. Ada tempat yang tenggelam. Air akan mencari tempatnya. Ada tempat mengalami banjir. Ada tempat berubah menjadi padang pasir. Amerika selatan khususnya Brazil akan menjadi Kutub Utara manakala India akan menjadi Kutub Selatan. 

Malaysia dijangka berada sebaris dengan India. Tidak tenggelam tapi membeku.
Khatulistiwa berada di Antartika Peralihan kutub yang semakin pantas membuatkan saintis mengagak keseluruhan medan magnet bumi akan "flip" di mana kompas yang dahulunya menunjuk ke utara akan beralih arah ke selatan. Semasa pergerakan " flip" peralihan kutub dari 40 darjah utara ke 40 darjah selatan pergerakan besar air boleh mencetuskan mega tsunami yang menenggelamkan tempat-tempat sebagaimana yang berlaku kepada Atlantis. Antara negara yang dijangka tenggelam terus ialah India dan Australia Barat. Bandar-bandar ditepi lautakan ditenggelami air. Peta dunia akan berubah dalam masa dua tahun selepas peralihan kutub berlaku. India akan tenggelam terus. 

Begitu juga Australia barat. Apabila berlaku "flip" pada kutub medan magnet bumi akan menjadi lemah. Medan magnet yang kuat melindungi bumi dari kerosakan oleh sinaran matahari. Kini bumi akan lebih terdedah kepada kesan dahsyat akibat gejolak api di matahari, angin solar, ribut surya dan "sun spot".
Manakala "flip" juga bakal mengakibatkan berlaku gempa bumi,letusan gunung berapi, banjir, tsunami dan taufan yang dahsyat yang belum pernah berlaku sedahsyat itu. Pergerakan kutub memang sedang berlaku. makin hari makin laju. Pergerakan kutub dapat dilihat dengan fenomena berbagai bencana alam yang kerap berlaku. 

Bilakah peralihan sepenuhnya kutub akan berlaku? Mengikut anggaran saintis ianya akan berlaku pada 2015. Hanya Allah yang Maha Mengetahui kerana semuanya adalah perencanan Ilahi. Sama ada merujuk kepada Komet ISON atau kejadian langit yang lain yang belum muncul, berikut adalah sabdaan Rasulullah SAW dan kata-kata sahabat tentang fenomena bintang berekor yang bakal disaksikan di akhir zaman.

Di Dalam Hadis

Terdapat sabdaan Rasulullah saw dan Saidina Ali tentang sejenis komet yang memberi indikasi sejarah. Sama ada hadis dan sabdaan tersebut merujuk kepada kehadiran Komet ISON, hanya Allah swt yang Maha Mengetahui.
Sabda Rasulullah S.A.W

“.. antara tanda muncul Imam Mahadi ialah munculnya bintang berekor dengan ekornya bercahaya menerangi langit dan menyebabkan tenggelamnya kawasan pantai ”
Kata Saidina Ali RA Saidina Ali K.A.W mengungkapkan dalam catatannya (Jufr Ahmar), "Kedatangan Al Mahdi akan di dahului oleh kemunculan bintang yang ekornya menakjubkan, bukan seperti bintang yang kamu lihat muncul setiap dua pertiga pada satu dekad (sepuluh tahun) dan bukan juga bintang yang muncul pada dua pertiga abad dan bukan juga bintang yang muncul setiap abad. Tetapi ia adalah bintang berabad-abad, yang diliputi api, salji, udara dan tanah. Ekornya memanjang, kelajuannya seperti kelajuan cahaya matahari ketika menyonsong fajar. Hujung depannya bertemu dengan hujung belakangnya seperti lingkaran raksasa memancarkan sinar terang dalam langit yang gelap seperti matahari yang terbit. Kemudian bintang itu akan kembali beredar pada orbitnya. Setelah itu akan datang banyak malapetaka dan kematian yang merupakan keuntungan bagi orang- orang yang baik, dan ia merupakan kerugian bagi orang -orang yang jahat".

Antara fakta Komet ISON ialah:
1. ISON digelar “ Komet abad ini”
2. ISON akan berada paling hampir dengan matahari pada 28 November 2013.
3. ISON akan berada paling hampir dengan bumi pada 26 Disember 2013.
4. ISON dapat dilihat seperti matahari kedua di siang hari.
5. ISON boleh dilihat diwaktu siang dan malam.
6. ISON memiliki ekor sepanjang 57,000 Km.
7. ISON adalah komet yang paling mudah dilihat oleh ramai orang.
8. ISON akan dilihat 15 kali ganda kecerahan cahaya bulan.
9. ISON akan menghasilkan ribut suria yang sempurna@perfect Solar Storm.
10. Bumi akan merempuh debu2 komet ISON pada 14 Januari 2014.


Artikel ini ditulis bukan untuk menggempar dan menakutkan. Apa yang bakal terjadi akan tetap terjadi. Jika tidak terjadi sekalipun, kiamat pasti terjadi jua. Semoga setelah membaca artikel ini, saudara- saudari serta anak-anak ku bertambah kesedaran dan keinsafan. Bertambah taat pada Allah. Bertambah akan amalan agama. Di waktu yang sama terus peka dengan perubahan-perubahan serta lebih rajin membaca dan mengkaji fenomena perubahan kutub ini.-
Harakatul Muqawamatul Islamiyyah...

Terima kasih kerana sabar membaca artikel ini.

Sampaikan... sabar saja dan berdoa

Saturday, November 30, 2013

Sesi Pengemasan


Sudah lama aku tidak meng'update' blog. Pasti sudah bersawang. Ingat bila sudah habis belajar, aku makin aktif ber 'blog', rupanya tidak. Makin malas, adalah. Lebih-lebih lagi apabila aku telah mula bekerja. Malas itu semakin bertambah-tambah.

Jadi, untuk entry kali ini, aku namakan sebagai SESI PENGEMASAN, sempena aku yang sudah lama beno tak update blog. Haha haha.

Cakap pasal kemas, aku pun nak petik kata-kata mutiara daripada mulut Rasulullah SAW,

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur’an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.
Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Malas nak tulis panjang-panjang lagi. Hehehe. Selamat berehat bagi yang mahu berehat, dan jangan lupa mengemaskan apa yang perlu dikemaskan!

Sunday, October 6, 2013

PELANGI CINTA - Bab 1: Nasi Maqlubah


BAB 1
NASI MAQLUBAH


“Oit! Kamu tak ada kelas ke Baen?”

Adoi, siapa pula yang ganggu masa keemasan aku ni? Malas la nak layan. Teruskan berbaring lagi baik.

“Kalau kamu tak de kelas, jom teman aku makan maqlubah. Aku belanja.”

Mendengar nama maqlubah disebut, spontan aku membuka mata. “maqlubah?” Terus aku terduduk. Minda sudah terbayang akan keenakan nasi Arab itu, ditambah ketika perut dalam kelaparan ini. Aduh!

“Agak dah. Kalau kamu dengar orang nak belanja makan, laju je ya. Hehe,” Syauqi tergelak sinis. Tidak susah untuk aku mengenali suara garaunya itu.

“Jom. Aku lapar ni,” aku terus bangun sambil mengibas-ngibas belakang baju dan seluarku.

“Kamu tahu, kamu la lelaki Melayu pertama yang aku tengok dengan selambanya tidur kat hamparan rumput ni. Selamba betul kamu ya.”

Aku hanya tersengih. Entah, aku tengok budak-budak Arab selalu tidur di hamparan rumput hijau ni. Macam best je. Itu yang aku saja nak cuba, dan memang selesa pun. Ditambah pada musim bunga yang mendamaikan. Terasa nikmatnya hidup. Malu? Buat apa nak malu? Bukan buat benda salah pun. Tapi kalau tidur di situ sambil berdengkur, memang memalukan.

Hehe.

Berjalan dari Fakulti Syariah menuju ke Mat’am Abbasi hanya mengambil masa lima minit sahaja. Menaiki sedikit tangga, melalui dataran Universiti Mu’tah yang dihiasi dengan kolam pancutan air yang tiada air, ditambah dengan longgokan remaja-remaja Arab yang bertugas mengusha  awek-awek Arab di kaki jalan, terus berjalan di hadapan perpustakaan, menaiki lagi tangga, dan sampai.

Bau haruman nasi maqlubah telah mencucuk-cucuk perutku. Kelaparanku semakin bertambah. Mat’am Abbasi, inilah kantin universiti yang terletak di pintu Junubi. Terdapat sebuah lagi kantin universiti yang terletak di pintu Syimali, Mat’am Ummawi namanya.

Tidak ramai pelajar yang makan ketika ini. Baguslah, tidak perlu beratur panjang. Selesai membayar dan mengambil makanan, kami terus duduk di penjuru hujung ruang makan.

“Aku tengok kamu tenang je, Baen. Dah habis imtihan ke?” Syauqi bertanya sambil mulutnya terus mengunyah nasi.

“Habis dah,” ringkas aku menjawab. Mahu menjiwai kelazatan nasi Arab yang sukar sekali didapati di Malaysia ini. “Ha, apapun syukran ya, belanja aku makan ni, hehe.”

“Kamu bab makan, laju la. Tapi badan tak juga gemuk-gemuk,” Syauqi menggeleng-geleng.

Aku terus melatah daging ayam bersama kentang yang dimasak sekali, membiarkan Syauqi yang mahu terus bersembang dengan aku. Sungguh nikmat, apatah lagi dimakan ketika lapar. Bertambah nikmat apabila dapat makan free.

Oh, cerita tentang makan membuatkan aku lupa untuk memperkenalkan diri aku. Nama aku, Faiz Faqiuddin bin Fauzi. Berusia 23 tahun, masih bujang, dan kini sebagai belajar tahun akhir di Universiti Mu’tah dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Fiqh wa Usul. Tinggal di Ipoh, Perak. Ayahku seorang guru, dan mak aku suri rumah yang paling berdedikasi.

Masih bujang?

Ya, masih bujang dan masih mencari cahaya hati. Mana tahu kalau tersangkut dengan awek Arab ke kan? Hehe. Tapi, mak aku dah pesan awal-awal dah, supaya cari calon tu dekat-dekat sikit, jangan jauh sangat. Mak cakap, kalau dapat dengan orang Ipoh, lagi baik.

Aku memang pelajar agama, dari sekolah menengah lagi aku dihantar ke Maktab Ahmadiah, sebuah sekolah agama yang terletak di utara Perak. Tapi entahlah, aku seakan tidak melihat diriku ini bakal menjadi seorang ustaz. Perangai pun pelik-pelik, suka usha perempuan pula tu. Nak beramal ibadat macam hero filem Tujuh Petala Cinta tu, memang taubat la aku tak buat. Tapi itulah hakikatnya, aku bakal bergelar ustaz juga bila pulang nanti.

Habis makan, Syauqi terus pulang ke rumah. Aku pula masih ada satu lagi kelas pukul satu petang nanti, kelas Talak bersama Dr. Ali Zukaily. Macam mahu ponteng pun ada, tapi muka aku ni, tak pernah lagi ponteng kelas. Tak boleh, kena datang juga ni. Kena jaga status sebagai pelajar yang hadir penuh dalam kelas, baru ada markah bonus, huhu.

Kelas bersama Dr. Ali memang tidak pernah mengantukkan. Mana tidaknya, setiap minit, pasti ada sahaja soalan yang ditanya kepada para pelajar. Jadi, mahu tidak mahu, kita kena sentiasa fokus. Kalau tak dapat jawab soalan, alamatnya kena sindir habis la dengan Dr. Ali, dan salah seorang pelajar yang pernah disindir kerana tidak dapat menjawab soalan adalah aku sendiri.

Pelajar tahun akhir tidak mampu menjawab soalan Dr. Ali, memang malu!

Habis kelas, aku terus cabut. Mata dah berpinar-pinar ni, hanya nampak katil sahaja. Awek yang lalu lalang pun aku tak pandang dah. Janji, aku dapat qailullah sebentar sebelum aku solat asar nanti. Tapi selalunya, qailullah aku meleret sampai dua tiga jam. Tak apa, asal dapat rehatkan diri selepas otak ini sudah penuh serabut dengan segala ilmu yang ditadah tadi.


Terima kasih para guruku.

Saturday, October 5, 2013

PELANGI CINTA - Sebuah Novel


Pelangi Cinta

Novel terbaru, under proses, huhu. Berkisar tentang krisis kehidupan watak utama, Faiz Faqiuddin dalam menempuh kehidupan sebagai pelajar tahun akhir fakulti Syariah di Universiti Mutah, Jordan. Kisah dia bersama lima sahabat BFF nya. Hidupnya seperti dia bukan pelajar agama, malah hobinya suka mengusha awek-awek Malaysia mahupun awek Arab. Teruk, kan?

Sehinggalah dia bertemu dengan Dhia Marsya.

Tapi, ini bukan kisah antara Faiz dengan Dhia Marsya, tetapi kisah tentang cinta itu patut diletakkan di mana. Mencintai sahabat itu jauh lebih baik, kerana itu salah satu cara untuk mendapat naungan Allah di Padang Mahsyar nanti.

Habis, ini cerita apa? Kenapa namanya Pelangi Amsterdam?

Mahu tahu, kena terus hayati novel ini sehingga ke akhir, insyaAllah. Moga mendapat sesuatu - jika tidak banyak, sedikit - pengajaran di dalam novel hingusan ini. Enjoy it!

"Mengapa perlu husnuzon, sedangkan kita mampu untuk berhusnuzon?"


Sinopsis

Khalid kata aku ni gila. Syauqi, Adam dan Ehsan turut bersutuju dengan dia. Aku gila? Aku hanya memecah masuk bilik warden, membuka pembesar suara, membuat ucapan awam secara terbuka dan melancarkan perang terhadap ustaz Azrul Hisyam, warden yang cukup aku benci. Adakah tindakan aku ini dianggap gila?

Biarlah, itu kisah ketika aku berada di tingkatan tiga. Dan asbab peristiwa itu, aku kini mula berubah menjadi ustaz, walaupun tidak sebiji seperti hero filem Tujuh Petala Cinta itu. Ustaz? Orang hanya panggil aku ustaz, kerana aku pelajar tahun akhir pengajian Syariah di Universiti Mutah. Kalau balik Malaysia nanti, aku mahu berlakon menjadi seorang jurutera la. Mengubati mesin yang mati jauh lebih mudah daripada merawat hati manusia yang sudah mati, kan?

Mati hati manusia kerana tidak jumpa jalan pulang, akhirnya silau dan sesat dengan cahaya yang diciptanya sendiri. Ada cahaya yang dianggapnya benar, tetapi cahaya yang dianggap menuju kepada Tuhan itu juga tetap silau, kerana cahaya menuju Tuhan hanya satu, bukan tujuh puluh dua. Apa, cahaya Syiah? Sudah, itu lagi mengarut. Nanti aku ceritakan dakyah sahabatku yang tersilau dengan cahaya Syiah itu.

Apapun, ini kisah aku, bukan kisah kamu. Kisah aku yang mencari cinta. Walau hakikatnya cinta itu seperti pelangi, indah di mata, namun fana di tangan. Bukan cinta monyet, kerana aku manusia tulen lagi asli. Salah cinta, hilang sahabat. Lebih parah, hilang aqidah dan maruah. Cinta itu pasti akan hilang, andai tidak kembali kepada Pencipta-Nya.


Sunday, September 29, 2013

Rome Kami Datang (Siri 2)


Sambungan daripada artikel 'Rome Kami Datang (Siri 1)'...

Setelah separuh perjalan di Cardo, tiang-tiang menjadi semakin besar dan tinggi menandakan kami telah memasuki pintu masuk ke Macellum atau pasar. Bangunan ini terletak di sebelah kiri jalan jajaran tiang. Turut terlihat adalah inskripsi berhampiran air pancut berkepala singa bertarikh 211 Masihi.

Kota lama ini juga turut dipenuhi dengan binaan gereja-gereja lama. Antaranya adalah Gereja Utama (Cathedal) yang terletak di sebelah kiri Cardo. Pada kurun keempat, kuil ini dibina semula sebagai Gereja Byzantium. Gereja St. Theodore yang terletak berhampiran pula dibina pada tahun 496 Masihi. Terbina sebuah medan kecil dengan pancutan air di antara dua gereja ini.

Di kemuncak tertinggi kota Gerasa ini, terbinanya sebuah Kuil Zeus yang cukup besar. Terdapat anak tangga yang menuju ke suah Esplanad, iaitu terletak di hadapan kuil.  Dianggap sebagai tempat suci, kuil ini diubah suai pada kurun kedua. Dari situ, terdapat satu lagi anak tangga menuju ke kuil yang mana asalnya dikelilingi oleh tiang-tiang Corinthian setinggi 15 meter.

laluan yang dipenuhi tiang-tiang yang mencongak tinggi

Tidak terkecuali adalah binaan sebuah masjid yang dibina pada kurun ketujuh atau kelapan. Masjid Umawiah ini merupakan satu-satunya masjid yang terletak di kota lama Jerash ini. Terletak di sebelah kanan, dibelakangi oleh empat tiang Corinthian, masjid ini dibina daripada bahan-bahan yang diambil daripada rumah-rumah Rum.

Fitrah manusia kembali mencari Tuhan.

Sesuatu yang biasa kelihatan di bandar-bandar Rom adalah pancutan air. Gerasa juga tidak terkecuali. Pancutan Air Awam (Nymphaeum) dibina pada tahun 191 Masihi dan ditujukan untuk Nymphs. Pancutan air ini dihiasi dengan marmar di bahagian bawah. Di bahagian atasnya lepa berwarna dan dibumbungi oleh separuh kubah. Air memancut melalui tujuh ukiran kepala singa, seterusnya mengalir ke bawah. Pancutan air ini bertindak sebagai tempat tumpuan kegiatan sesuatu bandar.

pancutan yang yang terletak di tepi laluan

Di penghujung utara, terbinanya sebuah Pintu Gerbang Utara. Pintu gerbang ini terletak di hujung Cardo. Dibina pada tahun 1115 Masihi. Walaupun tidak sebesar Pintu Gerbang Selatan, tetapi binaannya tetap unik. Sendalnya yang berbentuk aneh berkemungkinan diperlukan untuk menyelarikan pintu gerbang di bahagian dalam dengan Cardo serta menyelarikan bahagian luar dengan jalan Rom yang menuju ke bandar Decapolis.

Puas berjalan, kami mula bergerak keluar. Sebelum pulang, kami sempat singgah dan membeli sedikit barangan untuk dikenang. Gerai-gerai cenderamata yang banyak didirikan di luar kawasan pintu masuk membolehkan kami memilih barangan yang berkenan di hati. Tanpa sedar, sudah hampir seharian kami di sini.


DARI KACA MATA KINI

Betapa gagahnya kota ini suatu masa dahulu, menjadi rebutan kuasa besar dunia. Kotanya besar, penuh kekayaan. Tetapi lihatlah realitinya kini, kota besar ini hanya menjadi kota kosong berbatuan, menjadi tempat manusia melihat dan mencuci pandangan. Gagahnya hilang bersama zaman, kota ini hanya tinggal sebagai tempat perlancongan.

Kegagahan yang terbina tidak mampu bertahan selamanya. Zaman The Great Britian menguasai timur dunia suatu masa dahulu kini telah tiada. Gagahnya Sepanyol menawan barat latin dunia juga sudah tiada, dimamah usia. Begitu juga Rom. Kuasa mereka begitu hebat, kegemilangannya cukup panjang. Wujudnya sejak zaman Nabi Salleh, terus berkembang tanpa halangan. Tetapi terhakis juga lantaran kemunculan Rasul akhir zaman, Muhammad bin Abdullah.

Kini, zaman Amerika pula menguasai dunia. Kuasa mutlak mereka dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  membuatkan mereka tidak takut apa-apa. Seluruh dunia di bawah telunjuk mereka. Seakan kuasa mereka tidak mampu digugat, apatah lagi mahu dijatuhkan. Tetapi yakinlah, negara besar itu pasti akan tumbang juga. Percayalah.

Dunia ini bulat. Yang di atas pasti akan jatuh ke bawah jua.


Kota Gerasa, bukti bahawa kekuasaan dan kegagahan tidak mampu dikekalkan. Gagahnya hanya sementara. Suatu masa, pasti akan tumbang juga.


Sunday, September 1, 2013

Rome Kami Datang (Siri 1)


Menjejak kaki ke sana, jiwaku diragut rasa takjub. Seakan kini aku bukan berada di bumi ambiya, Jordan. Sebaliknya jasadku seakan terbang melayang ke kota Rome, Itali. Itulah perasaanku ketika kali pertama aku menjejak kaki ke kota Jerash yang terletak di utara Jordan, berjarak hanya 35 kilometer daripada ibu negara, Amman.


SEJARAH BANDAR JERASH

Bandar Jerash ini turut mencatat sejarahnya yang panjang. Pernah dipanggil Gerasa ketika kota ini dikuasai oleh Jeneral Pompeii dari Rom Timur. Bandar ini dipengaruhi oleh rakan perdagangan dan sekutunya daripada kerajaan Arab Nabatean dalam perbagai aspek. Tahun 395 Masihi menyaksikan agama Kristian menjadi agama dominan di Jerassah. 219 tahun kemudian, kota ini dikuasai pula oleh Parsi yang membinasakan hampir kesemua monumen mereka.

Membalas serangan, kerajaan Rom di bawah pimpinan Maharaja Hercules pada tahun 627 Mahsihi telah merampas semula Jerash dan kerajaan Arab Ghassan di bawah pemerintahan mereka. Tidak bertahan lama, Islam mula menguasai kota rebutan itu pada tahun 636 Masihi. Kota itu mencapai kemuncak kegemilangannya pada zaman Umawiah. Pada zaman tersebut, kota ini terkenal sebagai lombong perak dan gangsa di samping kawasan industri tembikar.

Tahun 749 Masihi, Jerash dilanda gempa bumi yang menyebabkan populasi penduduknya merudum kepada 4000 orang sahaja.

Jerash tidak terkecuali daripada bahang Perang Salib apabila Raja Baldwin cuba menguasainya namun gagal. Pada percubaan mereka menguasai Syria, tentera salib telah memusnahkan sebahagian Jerash dan membakarnya. Pada zaman Turki Uthmaniah, Bandar ini dipelihara dan masjid telah didirikan. Jerash telah menjadi daerah di bawah kerajaan Jordan dengan mandat British sehinggalah Jordan mencapai kemerdekaan pada tahun 1946.

Begitulah serba sedikit sejarah panjang yang dilalui oleh kota lama ini.

Memasuki Bandar ini, monumen pertama yang kelihatan daripada jauh adalah sebuah pintu gerbang besar yang begitu cantik, seakan pintu gerbang yang terdapat di Kota Paris. Perasaanku untuk menjelajah kota lama Jerash semakin membuak-buak, lebih-lebih lagi apabila mendapati bahawa ini adalah kota kerajaan Rom yang terbesar dan terlengkap, yang terletak di luar negara Itali.


MEMASUKI KOTA LAMA JERASH

Van yang dinaiki telah berhenti. Kami lalu berjalan menuju ke pintu masuk kota lama Jerash yang menempatkan monumen dan binaan kota Rom. Cuaca di awal musim sejuk begitu menyenangkan. Perjalanan pada waktu sebegini pasti tidak meletihkan. Selesai membuat pembayaran, kami mula meneruskan langkahan.

Di hadapan Arka Hadrian

Memasuki kota lama Jerash, kami disajikan dengan binaan pintu gerbang besar yang aku sedari tadi telah melihatnya. Rupanya itu adalah Arka Hadrian yang dibina sempena lawatan Maharaja Hadrian ke Gerasa pada tahun 129 Masihi. Arka ini dibina sebagai gerbang utama di bahagian selatan.

Melewati arka besar itu, kami mula mendengar suara riuh rendah daripada dalam. Rupanya, satu pertunjukan akan diadakan sebentar lagi. Kami tidak melepaskan peluang untuk melihatnya. Pertunjukan itu dibuat di sebuah arena besar yang bernama Hippodrome. Arena ini dibina bagi menyaksikan perlumbaan kereta kuda dan sukan-sukan lain. Ketika kami tiba, kelihatan mereka sedang mengadakan pertunjukan perlumbaan kereta kuda, siap dengan pakaian ala Rom Sungguh menghiburkan.

selesai menonton pertunjukan
Kami meneruskan langkahan. Kelihatan dinding-dinding kota masih utuh berdiri. Corak dan ukiran daun Acanthus masih dipelihara. Sungguh kota lama itu cukup besar. Begitu banyak monumen yang menarik perhatian. Kami akhirnya memilih untuk bergerak ke Teater Rom atau collusion dahulu sebelum pergi ke monumen-monumen yang lain.

Teater Rom Selatan kami masuki. Ia boleh menempatkan lebih 3000 orang. Sungguh menakjubkan berada di dalamnya. Begitu besar dan masih cantik. Kelihatan warga Arab sedang bernyanyi dan menari di atas pentas. Suara mereka boleh didengari daripada atas. Sesetengah tempat duduk boleh ditempah dan tulisan Greek masih kelihatan. Terdapat dua laluan menuju ke okestra dan empat laluan di belakang teater yang menghubungkan barisan-barisan atas tempat duduk.

di atas pentas collusium bersama si kembar yang comel

Di tengah-tengah kota lama ini, terdapat sebuah Medan Bujur. Medan ini dikelilingi kaki lima yang luas dan di tengahnya terdapat dua kolam pancutan air yang dibina pada kurun ke tujuh. Barisan tiang dibina daripada senibina Yunani. Medan Bujur yang tidak bersimetri ini dianggap aneh bagi bandar-bandar klasik, tetapi ia mempunyai peranan yang khusus iaitu membenarkan paksi barat laut Kuil Zeus agar selari dengan paksi Utara - Selatan Cardo dan seluruh bandarnya.

Menuju ke Cardo

Tanpa sedar, kami berada di permulaan Cardo. Cardo pula letaknya di utara kota lama Jerrash.

Sepanjang perjalanan menuju ke Utara kota, kami disajikan dengan pemandangan jajaran tiang yang indah. Batu-batu asal masih kekal di jalan jajaran tiang dan kesan roda kereta kuda juga masih kelihatan pada jalan. Cardo sepanjang 800 meter ini merupakan tulang belakang senibina dan tumpuan kegiatan penduduk Gerasa. Jalan jajaran ini telah dilebarkan ke bentuk Corinthian seperti yang dilihat pada hari ini. Kedai-kedai juga dahulunya dibina di kaki lima  jalan ini.

berpoyo sebentar

Terdapat juga sistem kumabahan bawah tanah yang mengalir di sepanjang Cardo serta lubang-lubang yang wujud di tepi jalan bagi mengalirkan saliran air hujan. Struktur-struktur terpenting bandar ini telah diatur di sekeliling Cardo termasuk pasar, kuil, pancutan air, dan binaan-binaan awam yang lain. Ketika melalui jalan ini, kelihatan beberapa monumen penting dan bangunan awam seperti Agora.

bersambung di siri kedua...

Saturday, July 27, 2013

Mengapa Kamu Semua Mengangkat Jubah?

Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.
Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”
Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.
Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orangramai!”.
Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.
Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.
Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.
Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.
Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”. Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi” 
(lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger