"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Saturday, April 13, 2013

Jasad Ahli Syurga Ada di Sini



Seusai solat Asar berjemaah di Masjid Syuhada, seorang warga Pakistan datang ke hadapan para jemaah. Arif kami bahawa beliau adalah seorang tabligh. Kumpulan tabligh yang berasal daripada Pakistan ini telah bermukim di sini selama beberapa hari. Aku kebiasaannya tidak berminat untuk mendengar, tetapi entah mengapa pada petang itu, aku masih duduk terpaku di ruangan solat, menanti untuk mendengar butiran mutiara daripada tabligh tersebut.

Asal namanya tabligh, pasti kita dapat membayangkan fizikal mereka. Berserban, berjubah bersama selendang serta kebiasaanya memiliki janggut yang panjang. Begitu juga tabligh yang sedang bertaujihad di hadapan kami. Bahasa Arabnya cukup fasih, mudah ditangkap oleh para hadirin.

“Hadirin sekalian, lihatlah para Sahabat. Contohilah para Sahabat dalam berdakwah. Lihatlah, tiga per empat daripada 124,000 Sahabat Rasulullah SAW meninggal di luar Makkah dan Madinah! Ada sahabat yang meninggal di Mesir, di China, malah di Jordan sendiri. Kenapa? Kerana mereka pergi keluar berdakwah tuan-tuan,” begitu bersemangat si tabligh menyampaikan kuliahnya.

Tersentak aku mendengarnya. Langsung selama ini, aku tidak pernah tersedar akan fakta ini. Benar, begitu banyak makam para Sahabat yang terletak di luar kota Makkah dan Madinah. Malah, terdapat banyak makam-makam Sahabat di bumi Jordan ini sendiri. Ada yang meninggal kerana syahid dalam peperangan, ada juga yang meninggal kerana bermukim di sini untuk melebarkan usaha dakwah.

Dalam rantaian makam-makam Sahabat yang terletak di bumi Syam ini, terdapat dua makam sahabat yang istimewa. Beliau adalah sahabat yang dijanjikan Syurga, pemegang amanah umat akhir zaman. Seorang lagi adalah sahabat yang paling alim dalam soal Syariat.

Alhamdulillah, aku diberi kesempatan untuk berziarah ke makam-makam tersebut.


PEMEGANG KUNCI UMAT


Bernama Amir ibn Abdullah, seorang muhajirin dari bani Quraisy, suku al-Harith ibn Fihr. Merupakan salah seorang sahabat yang terawal memeluk agama Islam, beliau antara sahabat yang berhijrah ke Habsyah dan madinah. Memiliki sikap yang baik dan paling berserdahana. Itulah pemuda yang dijanjikan Syurga, dikenali dengan nama Abu Ubaidah bin Al-Jarrah.

Abu Ubaidah Al-Jarrah begitu dipercayai oleh Rasulullah SAW, sehingga baginda mengungkapkan kelebihan beliau dengan hadis baginda, "Setiap umat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi umatku adalah Abu Ubaidah Al Jarrah"

Ya, beliaulah pemegang amanah bagi umat ini.

Malah, Rasulullah SAW memuji sifat yang ada pada diri Abu Ubaidah Al-Jarrah dengan hadis baginda, “Tiga orang yang paling terkemuka dalam suku Quraisy memiliki sifat yang terbaik dan paling sederhana. Mereka adalah Abu Bakar, Uthman bin Affan dan Abu Ubaidah al-Jarrah.”

Sejarah Perang Badar mencatatkan pertumpahan darah antara anak dan bapa. Bapa beliau, Abdullah bin al-Jarrah turut terlibat dalam peperangan tersebut. Tetapi ayahnya bukan berjuang bersama tentera Islam, sebaliknya bersama dengan pasukan Musyrikin. Malah, ayahnya sendiri mengejar Abu Ubaidah dalam peperangan tersebut dengan niat untuk membunuh anaknya sendiri.

Abu Ubaidah cemas. Ayahnya masih tetap mengekori. Kemarahan ayahnya pada dirinya tidak mampu dipadamkan lagi. Jiwa kecil seorang anak pasti tidak sanggup untuk membunuh ayahnya sendiri. Abu Ubaidah terus melarikan diri. Abdullah terus memburu anaknya sehingga suatu masa Abu Ubaidah terpaksa bersemuka juga dengan ayahnya. Pertempuran tercetus dan Abu Ubaidah terpaksa membunuh ayahnya dengan penuh rasa sedih dan bersalah.

Mengetahui akan kesedihan yang melanda Abu Ubaidah, lalu turunlah ayat ini bagi mengubati kesengsaraan jiwa penghuni Syurga itu;

“Engkau tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah mematri keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Akan menyenangi mereka, di pihak lain mereka pun senang dengan Allah. Mereka itulah perajurit Allah, ketahuilah bahawa perajurit Allah pasti akan berjaya.” (Surah Al Mujadalah: 22)

Ketika zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau telah dilantik menjadi ketua panglima Islam. Kepintarannya dalam menyusun taktikal peperangan membolehkan beliau berjaya menawan kota-kota yang besar seperti Damsyik, Aleppo, Hims, Antakiah, dan Al-Quds di Baitul Maqdis.

Selepas selesai melaksanakan tugasnya dalam peperangan, wabak taun pula menyerang tanah Syam. Hampir 20,000 penduduk telah meninggal dunia akibat penyakit berjangkit tersebut. Risau akan keselamatan Abu Ubaidah, Saidina Umar Al-Khattab telah mengutus surat kepadanya di Syam supaya pulang ke Madinah. Antara kandungan surat tu berbunyi;  “Jika engkau membaca surat ini, pulanglah ke Madinah kerana ada perkara yang ingin aku tanyakan.”

Namun Abu Ubaidah dapat membaca niat Umar yang risau akan keselamatannya. Lalu Abu Ubaidah membalas surat tersebut;

Wahai Amirul Mukminin, sebenarnya saya tahu tuan memerlukan saya. Akan tetapi saya berada di tengah-tengah tentera muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusan terhadap saya dan mereka. Oleh itu, sesampai surat saya ini, tolonglah jangan paksa saya pulang ke Madinah. Izinkan saya tinggal di sini.”

Saidina Umar menangis ketika membaca surat tersebut sehingga ramai menyangka Abu Ubaidah telah meninggal dunia.

Tidak lama selepas itu, Abu Ubaidah juga dijangkiti penyakit taun dan meninggal dunia ketika berusia 58 tahun. Sumbangannya kepada agama Islam sangat besar. Abu Ubaidah al-Jarrah dikenang membawa teladan yang sangat berkesan kepada seluruh umat Islam.


DUTA ISLAM YANG PERTAMA


Merupakan seorang pemuda yang yang tampan, beliau merupakan salah seorang Sahabat yang terawal memeluk agama Islam. Di kalangan penduduk Yathrib, beliau merupakan seorang pemuda yang bijak. Sahabat yang berbai’ah dengan Rasulullah SAW sejak kali pertama. Dialah Muaz bin Jabal, sahabat yang mempunyai kepintaran yang luar biasa.

Muaz memang dikenali sebagai sahabat yang cukup mendalami ilmu fiqh. Bahkan, Rasulullah SAW menyebutnya sebagai sahabat yang paling mengerti yang mana halal dan haram. Hadis baginda tentang kelebihan Muaz, “Orang yang paling mengetahui halal dan haram di kalangan umatku adalah Muaz ibn Jabal.”

Sewaktu penghijrahan Nabi Muhammad ke kota Madinah, Muaz sentiasa bersama baginda. Keberadaannya bersama kekasih Allah membolehkan beliau dapat memahami Al-Quran dan syariat-sayariat Islam dengan cukup baik. Beliau juga menjadi sahabat yang paling baik bacaan Al-Quran. Malah, beliau diberi kepercayaan sebagai salah seorang daripada enam sahabat yang mengumpulkan Al-Quran ketika zaman Rasulullah SAW.

Ketika peristiwa pembukaan Makkah, Rasulullah meminta Muaz untuk tinggal bersama penduduk Makkah untuk mengajar mereka ajaran Islam. Kepintaran beliau juga jelas terlihat ketika mana rombongan raja-raja Yaman datang menjumpai Rasulullah SAW lalu mengisytiharkan keislaman mereka dan meminta kepada Rasulullah supaya menghantarkan tenaga pengajar kepada mereka. Rasulullah SAW tetap memilih Muaz untuk memegang tugas itu bersama-sama dengan beberapa orang para sahabat yang lain.

Tatkala rombongan Muaz bin Jabal mahu berlalu pergi, Rasulullah SAW sempat mewasiatkan kepada Muaz dengan berkata, “Wahai Muaz! Kemungkinan kamu tidak akan dapat bertemu lagi dengan aku selepas tahun ini malah mungkin juga selepas ini kamu akan melalui masjid dan kuburku…”

Mendengar sahaja wasiat daripada rasulullah, lalu menangislah Muaz lantaran kesedihan yang tidak tergambar. Beliau tahu, selepas ini beliau tidak akan bertemu dengan baginda lagi.

Ketika zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau dihantar pula ke Maitul Maqdis untuk mengajarkan ilmu agama di sana. Sewaktu Muaz berada di sana, negeri tersebut sedang dilanda penyakit berjangkit yang membawa maut. Muaz juga tidak terkecuali menerima tempias penyakit tersebut. Nyawanya kini di hujung tanduk.

Saat ajalnya hampir tiba, wajahnya masih ceria, malah masih mampu bermadah pujangga, “Selamat datang wahai kematian! Selamat datang kepada tamu yang tak kunjung tiba dan selamat datang kepada kekasih yang datang setelah sekian lama dirindukan.”

Selang detik kemudian, pergilah seorang sahabat yang agung di bumi Urdun.


TANAH BERJASAD AHLI SYURGA

Si tabligh telah selesai memberikan taujihadnya. Para jemaah mulai pulang. Aku turut sama, melangkah keluar sambil terus mengenang perjuangan sahabat yang tidak mengenal erti lelah. Negara yang aku pijak ini, bukan sekadar negara bertanah tandus berdebu sahaja, tetapi di dasarnya ada jasad ahli Syurga yang tenang menunggu hari kebangkitannya.

Letakkan kami juga bersama mereka, Ya Allah.  

Tuesday, March 26, 2013

Lapangan Terbang Antarabangsa Ratu Alia sudah Siap

Ketika aku mula tiba di sini pada bulan 6 September 2011, ia sedang rancak dalam pembinaan.

Kini, bulan Mac 2013.

Lapangan Terbang Antarabangsa Ratu Alia yang terletak di Amman Jordan. Lapangan terbang ini baru sahaja menerima penaiktarafan dan dibuka pertengahan bulan ini. Lapangan terbang berkonsepkan seperti bubble wrap dari padangan atas. Rekaan ini dipilih oleh firma Norman Foster bagi menghasilkan sistem penyejukan pasif. Buat masa ini ia mampu menampung 6 juta penumpang setahun.

Tak sabar untuk menggunakannya, huhuhu...




__________
sumber: pen patah

Thursday, March 21, 2013

Kunci Kekuatan Diri


 

Suram.

Begitulah gambaran suasanan pilihanraya di sini, di bumi Mu’tah ini. Tidak semeriah seperti di Malaysia. Kempennya sekadar menampal poster di tebing-tebing jalan raya. Mungkin juga mereka sudah tahu siapa yang bakal diundi oleh mereka - calon daripada kabilah mereka sendiri. Pilihanraya ini sendiri merupakan wadah bagi setiap kabilah memperlihatkan kekuatan. Mudah kata, kabilah yang terbesar pastinya akan memenangi pilihanraya ini.

Pagi ketika pembuangan undi.

Kehidupan masyarakat tempatan berjalan seperti biasa. Entahlah, seakan tiada peristiwa besar yang terjadi pula. Kelihatan jalan raya agak lengang. Memang, poster setiap calon semakin membanjiri pekan Mu’tah, tetapi suasanan kempen pilihanraya tetap layu. Mungkin Mu’tah ini pekannya kecil, terpencil pula. Boleh jadi di Bandar-bandar besar seperti Amman, kemeriahannya lebih terasa. Mungkin.

Mu’tah?

Mu’tah tetap sama. Gelombang untuk menginginkan perubahan dan pembangunan seakan tiada. Jalan raya di sini tetap berlubang-lubang, langsung tiada sistem perparitan. Jika hujan lebat mencurah, jalan-jalan utama akan berubah menjadi sungai. Penduduknya seakan pasrah, walaupun mereka mampu melakukan perubahan dalam pilihanraya.

Ini bukan di terowong SMART, tetapi jalan-jalan di pekan Mu’tah.


MENGAPA INI TERJADI?

Hipotesis mudah, pola pilihanraya suram kerana tiada pembangkang yang kuat. Mereka yang menang kerana berlatar belakangkan daripada kabilah yang terbesar. Mereka menganggap jawatan yang disandang selepas pilihanraya sekadar tiada apa. Malah mereka sendiri tidak ambil peduli siapa pemimpin mereka.

Itulah realiti politik di sini.

Ya, ramai yang tidak mengenali siapa pemimpin mereka di sini. Bukannya orang lain, tetapi pemimpin yang dipilih oleh mereka sendiri sewaktu pilihanraya yang lepas. Sewaktu berkempen, punyalah calon ini bertemu rakyat, bertanya itu dan ini, mengambil peduli. Namun, skripnya cukup berbeza pasca pilihanraya. Mereka langsung senyap. Entah pemimpin mereka masih berada di sini, tidak mereka peduli. Kehidupan berjalan seperti biasa.

Bukannya tiada gerakan kesedaran, malah dalam khutbah jumaat juga menyentuh isu ini. Khatib meminta bersungguh-sungguh agar para jemaah memilih pemimpin yang mampu melakukan gerak kerja, bukan sekadar mahu mendapat nama. Pemimpin yang dilantik pula haruslah berjiwa rakyat, sentiasa dekat dengan penduduk setempat. Bukan sekadar goyang kaki sambil menunggu gaji datang!


REALITI KEHIDUPAN

Jika hadirnya musuh yang gagah, maka mahu tidak mahu perlu lahir seorang superhero yang lebih perkasa. Batman, Keluangman, Kamen Rider, Ultraman dan Son Goku tidak akan menjadi kuat jika musuh mereka juga tidak kuat. Superhero ini hanya akan muncul dan mengeluarkan kuasa penuh mereka jika musuh yang wujud juga kuat dan ganas. Andai musuh itu biasa-biasa sahaja, pihak polis sendiri boleh menyelesaikan masalah itu.

Lebih-lebih lagi dakwah para Rasul.

Allah Taala tidak memilih manusia-manusia biasa untuk diangkat menjadi seorang Rasul. Sebaliknya manusia yang dipilih oleh Allah adalah daripaada kalangan manusia yang luar biasa, lebih gagah perkasa daripada segala superhero yang ada. Musuh mereka juga bukan lemah, cabarannya lebih sukar. Mahu menumpaskan lawan tanpa melibatkan senjata memang cukup besar.

Kerana itu, golongan Rasul yang memikul cabaran dakwah yang terbesar dikurniakan kebesaran oleh Allah Taala, dikalungkan dengan gelaran Ulul Azmi, sebagai satu penghargaan. Ulul Azmi itu ada lima Rasul semuanya, tanpa dinafikan kehebatan Rasul-Rasul yang selaiannya. Perjuangan mereka tanpa mengharap kesenangan dunia. Sungguh mulianya para Rasul yang berjuang tanpa rasa mengalah.

Begitu juga dalam kehidupan seharian.

Sang pemimpin yang bakal dilahirkan akan menjadi kuat jika jalan yang mereka lalui semakin sukar. Jiwa mereka akan menjadi semakin kental. Jalan yang sukar itu hanya akan tercapai jika mereka punya pesaing daripada calon pembangkang yang kuat. Sifirnya mudah; semakin kuat penmbangkang, semakin kuat parti pemerintah.

Seperti juga kita. Semakin besar dugaan yang kita tempoh, semakin kita menjadi insan yang kental. Ujian yang datang bukan melemahkan, sebaliknya mampu menguatkan. Tanpa sedar, ujian itu mampu memberi kesedaran, menyedarkan kita daripada lamungan yang panjang. Dugaan yang digaulkan bersama pengalaman menjadikan kita manusia yang punya sifat kekuatan, bukan kerdil ketakutan.

Ujian itu sendiri sebagai tanda keimanan.

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan “kami telah beriman,” sedangkan mereka belum diuji? Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta. (surah Al-Ankabut: 2-3)


PASCA PILIHANRAYA

Seusai pilihanraya, keputusan telah diumumkan. Seperti sebelumnya, penduduk tempatan menjalani kehidupan harian seperti biasa, bagai tiada apa yang luar biasa. Tiada sambutan perayaan bagi meraikan kemenangan. Tiada perarakan seperti yang mereka suka lakukan. Keputusan juga di luar jangkaan, dengan calon daripada kabilah yang terbesar tewas dalam semua kerusi yang dipertandingkan.

Kecil itu, jika bergabung, mampu mengalahkan yang besar jua.

Belum sampai sebulan memegang tampuk pemerintahan, sudah ada suara yang menginginkan perubahan. Suara-suara ini berkembang menjadi ucapan umum di masjid-masjid, dan terus merebak ke jalan raya. Mereka menuntut pemimpin yang baru naik itu melakukan perubahan, memperbaiki jalan, meningkatkan kemudahan. Walau hakikatnya pimpinan itu baru naik tidak sampai sebulan.

Paling tidak, sudah ada angin perubahan. Minda penduduk seakan sudah bangkit daripada lena yang panjang. Pimpinan juga pasti tiada lagi tempoh berbulan madu. Jika tiada tekanan, pemimpin ini pasti merasa selesa. Tekanan yang menghimpit membuatkan mereka tidak lagi berada dalam lingkungan kesenangan, pedulisme mereka pada rungutan penduduk tempatan akan meningkat.


DI MANA LETAKNYA KUNCI KEKUATAN DIRI?

Kembali pada persoalan.

Semua superhero, para pemimpin, malah diri kita sendiri akan menjadi kuat jika punya lawan yang kuat. Lawan yang kuat boleh hadir melalui pengalaman hidup, ujian mahupun berhadapan dengan musuh yang sebenar. Jadi, jika kita tiada lawan yang kuat, tidak kira dalam pelajaran, pimpinan mahupun musuh sebenar yang memang berniat jahat, maka bersyukurlah. Dengan mereka, kita sebenarnya menjadi semakin kuat.

Ujian adalah satu kebaikan.

"Sekiranya Allah menginginkan kebaikan untuk seseorang itu, Allah akan mengujinya dengan kesusahan"  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kemenangan daripada ujian itu hadir melalui kekuatan. Dan kekuatan itu terletak pada sifat sabar.

"... dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar.." (surah al-Furqan: 20)

Moga sabar itu ada pada kita. Berdoalah. Sabar itu kunci kekuatan.

"Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: " Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir" (Surah al-Baqarah ayat 250)

Malah, Rasulullah SAW sendiri telah menjelaskan dalam hadisnya bahawa kunci kekuatan diri bukan terletak pada fizikal, tetapi mereka yang mampu mengawal kemarahan – dalam erti kata yang lain; sabar.

Nabi bertanya sahabat : Apakah kamu fikir berkenaan hal kekuatan dalam gusti (berlawan)? Sahabat menjawab : Lelaki yang tidak mampu ditandingi gustinya   Nabi menjawab : tidak sedemikian tetapi kekuatan yang sebenarnya adalah seseorang yang mampu mengawal dirinya ketika marah." ( Riwayat Muslim, no 4722 )

Kita menjadi semakin kuat dengan hadirnya musuh. Dan kita tidak mampu menewaskan musuh andai tiada kekuatan. Kekuatan itu pula hadir dalam sifat sabar. Moga kita semua tergolong dalam manusia yang gagah untuk memacu agama!.

Bukalah kunci kekuatan diri anda!

Tuesday, March 19, 2013

Kisah Ashabul Kahfi (Siri2)


Di hadapan pintu masuk perkarangan gua Ashabul Kahfi

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat lagi petunjuk. (Al-Kahfi: 13)

Di celahan kilang-kilang perindustrian, kami dapat melihat dari jauh sebuah masjid berdiri utuh di atas sebuah bukit. Masjid itu semakin didekati. Akhirnya, kami selamat juga tiba di sana, kawasan bermukimnya para pemuda di dalam gua. Kisahnya masyhur, malah terakam di dalam Al-Quran pula. Ashabul Kahfi, tidurnya mereka di dalam iman. Larinya mereka demi menyelamatkan aqidah.

Van yang dinaiki selamat berhenti. Luncur sahaja kami membersihkan diri lalu menunaikan solat jamak. Seusai solat, kami terus keluar, menuju ke arah kawasan gua sejarah. Gua itu kini dijaga rapi dan dipagari. Saat kami mula mahu menjejak masuk ke dalam gua, kisah pemuda-pemuda tersebut kini kembali bermain di fikiranku.


Kembali Pada Kisah Ashabul Kahfi

Tempat persembunyian para pemuda beriman berjaya ditemui. Gua yang terletak di puncak bukit segera dikepung. Bukan sedikit pengawal istana yang datang, gamaknya seakan mahu menangkap sekumpulan besar penjenayah pula. Bukit itu segera dikepung dari setiap penjuru. Para pengawal mula memanjat bukit tersebut lantas semakin mendekati gua yang dihuni oleh mereka.

Sampai berhampiran gua, pantas sekumpulan pengawal istana memasuki pintu gua. Namun tidak sampai senafas, mereka melompat keluar daripada gua. Badan mereka menggeletar ketakutan, sama seperti orang yang kurang siuman. Apabila ditanya ada apa di dalamnya, mereka tidak mampu menjawab, sebaliknya terus lari lintang pukang.

Adapun, masuklah lagi pengawal istana yang lain. Melangkah gagah seakan menyindir sahabat mereka yang ketakutan tadi. Tetapi babaknya tetap sama, mereka melompat keluar, sama seperti tadi. Wajah pengawal tersebut berkerut seribu, seakan melihat sesuatu yang cukup menakutkan. Masing-masing kini ketakutan untuk memasuki pintu gua tersebut.

Ada apa di dalam gua tersebut?

Melihat pengawalnya yang bersikap aneh, memaksa si Maharaja yang duduk melangut di kaki bukit untuk memanjat ke atas. Habis dimakinya para pengawalnya yang tidak punya sikap berani serta lemah semangat. Dengan penuh kemegahan, si Maharaja memasuki pintu gua.

Seperti diduga, si Maharaja juga turut berlari keluar daripada gua selepas hanya beberapa detik berapada di dalamnya. Habis terlondeh segala kemegahannya sebagai seorang Maharaja.  Badannya menggeletar, peluh menyimbah keluar. Raut wajahnya tergambar ketakutan yang teramat sangat. Biarlah pengawalnya mahu berkata apa, yang pasti dia memang cukup gerun selepas memasuki gua tersebut.

Benarlah firman Allah Taala, bahawa Allah sentiasa memelihara tubuh para pemuda tersebut. Sesiapa yang memasukinya, pasti mereka akan keluar kembali kerana rasa ketakutan yang dicampakkan ke dalam hati mereka.

“Dan engkau mengira mereka itu tidak tidur, padahal mereka tidur; dan Kami bolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka membentangkan kedua lengannya di depan pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka, tentu kamu akan berpaling melarikan (diri) dari mereka dan pasti kamu akan dipenuhi rasa takut terhadap mereka.” (surah Al-Kahfi: 18)

Siang berganti malam, hari berganti minggu, minggu terus berlalu memasuki bulan dan tahun. Bumi dan bulan masih beredar dalam edarannya. Masa yang berlalu begitu pantas meninggalkan tamadun. Zaman kezaliman Maharaja berlalu pergi. Cahaya keimanan mula memasuki. Mereka yang hidup telah lama mati. Namun tubuh para pemuda beriman tersebut masih terpelihara, kekal sama seperti yang adanya.

Dan mereka tinggal di dalam gua selama tiga ratus tahun dan ditambah Sembilan tahun.” (surah Al-Kahfi: 25)

Dengan izin dariNya, terjagalah para pemuda tersebut daripada lena yang panjang. Terasa badan mereka begitu lenguh, seakan tidur mereka begitu panjang sekali. Masing-masing kehairanan dan bertanya sesama sendiri. Sudah berapa lama mereka telah terlena? Mereka menyangka bahawa tidur mereka hanya setengah hari, boleh jadi juga tidur mereka genap sehari. Entah, masing-masing punya andaian sendiri.

“Dan demikianlah Kami bangunkan mereka, agar di antara mereka saling bertanya. Salah seorang di antara mereka berkata, “Sudah berapa lama kamu berada (di sini)?” Mereka menjawab, “Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari. Berkata (yang lain lagi), “Tuhanmu lebih mengetahui berapa lama kamu berada (di sini).” (surah Al-Kahfi: 19)

Dalam kebingunan lantaran terasa begitu lama sekali mereka tertidur, barulah mereka tersedar bahawa mereka kini dalam keadaan kelaparan yang tersangatan. Mulalah mereka berbincang dan mencari jalan bagaimana mahu memperolehi makanan tanpa dapat ditangkap oleh askar Maharaja yang zalim itu. Akhirnya mereka sepakat agar salah seorang daripada mereka keluar secara senyap-senyap dan penuh berhati-hati. Pemuda yang dipilih itu diberi wang Perak untuk dia membeli makanan yang baik untuk mereka semua.

Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, dan bawalah sebahagian makanan itu untukmu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan jangan sesekali mencaeritakan halmu kepada sesiapa pun.” (surah Al-Kahfi: 19)

Dengan penuh berhati-hati, pemuda itu menyelusuri laluan menuju ke pintu kota. Sesampainya di pintu kota, dia terkejut. Sangat terkejut. Dilihatnya kota itu telah mengalami begitu banyak perubahan. Malah, kesemua penduduk yang dilihatnya langsung dia tidak kenali. Bagaimana hal seumpama ini boleh terjadi? Sedangkan dia begitu pasti bahawa inilah kota yang mereka tinggalkan pada malam tadi.

Biarlah hal sebegini terjadi. Dia tidak ambil peduli lagi. Perutnya begitu lapar sekali. Sahabat-sahabatnya di gua pasti menunggu kepulangannya bersama dengan bekalan makanan. Duit perak yang berada di genggamannya digenggam erat. Dia kini mahu mencari makanan yang baik dan bersih untuk dirinya dan buat sahabat-sahabatnya.

Setelah bertemu dengan sebuah kedai yang dirasakan baik, dia lantas mengambil makanan. Selesai sahaja, dia menghulurkan wang syiling peraknya itu kepada si penjual. Tatkala wang perak itu bertukar milik, si penjual itu akan bentuk nilaian wang syiling perak tersebut. Mengerti benar si penjual itu bahawa wang syiling itu adalah wang lama yang kini tidak digunakan lagi.

Tanpa berfikir panjang, si penjual terus gasak bertanya kepada pemuda beriman itu bagaimana dia memperolehi wang tersebut. Dengan jujur pemuda itu berkata bahawa itu adalah wang miliknya. Kenapa perlu bertanya itu dan ini? Si penjual tidak berpuas hati, lalu dia memberitahu bahawa itu adalah wang lama yang tidak digunakan lagi. Sekali lagi pemuda beriman itu terkejut bukan kepalang.

Di dunia manakah dia berada kini?

Pemuda beriman itu sekali lagi mengelilingi kota. Nyata, begitu banyak perubahan yang berlaku di kota itu. Lebih hairan apabila dia tidak melihat langsung  patung-patung berhala yang sebelum ini menguasai pemandangan kota tersebut. Di mana patung-patung berhala itu kini?

Sedang dia berjalan-jalan, dia melihat himpunan manusia yang berhimpun untuk mendengar ucapan. Kedengaran ucapan yang dilontarkan itu percaya pada kewujudan Tuhan Yang Satu, Cuma dia tidak percaya pada kehidupan selepas kematian. Tegasnya, mana mungkin manusia yang sudah mati mampu dihidupkan kembali untuk kali kedua?

Berasa hairan, dia bertanya kepada salah seorang penduduk tempatan perihal kota ini. Benar, ini adalah kota yang mereka tinggalkan pada malam semalam, tetapi kemuncak kehairannya berada pada tahap tertinggi apabila Maharaja zalim itu telah lama mati, ratusan tahun dahulu. Malah, para penduduk kota juga tidak lagi menyembah berhala kerana agama anutan mereka kini adalah menyembah Allah, Tuhan Yang Esa.

Pemuda beriman itu kembali ke gua dengan perasaan kehairanan yang masih belum hilang. Bagaimanan dalam satu malam sahaja, boleh mengubah segalanya? Sungguh Allah itu Tuhan Yang Berkuasa, Tuhan yang mampu memati dan menghidupkan manusia dengan izin-Nya. Bukti tentang kebenaran kehidupan selepas kematian ada di hadapan mata, malah terjadi terhadap mereka.

Dan demikian (pula) Kami perlihatkan (manusia) dengan mereka, agar mereka tahu, bahawa janji Allah benar, dan bahawa (kedatangan) hari Kiamat tidak ada keraguan padanya.” (surah Al-Kahfi: 21)

Pemuda itu tiba semula ke gua, bertemu dengan sahabatnya yang beriman. Kembara mereka dalam menyelamatkan aqidah melempasi sempadan kurun. Dengan kuasa Allah jua, mereka ditidurkan sekali lagi. Kali ini, untuk selama-lamanya.

Sebagai memperingati kisah pemuda beriman itu, Maharaja pada zaman itu mengarahkan agar dibina sebuah bangunan ibadat di atas gua tersebut. Baginda berharap agar kisah pemuda gua yang beriman itu menjadi bukti yang nyata tentang kehidupan semula selepas kematian. Moga rakyatnya tidak lagi mempersoalkan tentang hari Kiamat tersebut.

Ketika mereka berselisih tentang urusan mereka, maka mereka berkata, “Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Tuhan mereka lebih mengetahui tentang mereka.” Orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata, “Kami pasti akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya.” (surah Al-Kahfi: 21)


SEKALI lagi aku tersedar daripada lamungan yang panjang. Ruang kawasan gua Ashabul Kahfi ini semakin dipenuhi pengunjung. Tanpa sedar, sahabat-sahabatku sudah keluar daripada gua, tinggal aku keseorangan. Kedengaran suara penjaga gua terus menceritakan kisah ini kepada para pengunjung yang tiba. Aku tersenyum sendirian. Bersyukur diberi kesempatan tiba di sini.

"sampaikan dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari kisah-kisah Bani Isra'il dan itu tidak mengapa (iaitu tidak berdosa walaupun ia tidak sahih dengan syarat memberitahu ia kisah Bani Israil dan bukan hadith). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka". (hadis riwayat al-Bukhari)


Benarlah, harga keimanan tiada nilainya.  

Wednesday, February 13, 2013

Kisah Ashabul Kahfi (Siri1)

salah sebuah dewan lama yang masih berdiri


Bandaraya Amman, ibu negara Jordan. Kota raya purba ini terus berkembang menjadi sebuah bandaraya moden seiring dengan kemajuan dunia. Dahulu, kota ini menjadi kota yang dikuasai oleh kerajaan Rom. Philadelphia nama kotanya. penduduknya hidup dalam kesesatan. Cahaya keimanan dipadamkan dengan keangkuhan si Maharaja yang menganggap dirinya sebagai seorang Tuhan yang wajib ditaati. Gelap kelam kota itu tanpa cahaya iman yang mampu menerangi.

Berada di puncak Jabal Amman, kami dapat melihat dengan jelas kota lama Rom yang masih berdiri teguh. Tiang-tiang tinggi yang merupakan simbol kemegahan mereka masih utuh terpacak. Pasar-pasar lama, dewan serta gereja juga masih belum dimamah bumi. Kawasan yang dikenali dengan nama Citadel itu kini menjadi tumpuan pelancong yang menyintai sejarah.

Dari puncak Citadel, kita juga dapat melihat keseluruhan Bandaraya Amman. Colluseum yang menjadi mercu tanda kerajaan Rom juga dapat dilihar dari puncak sana. Sungguh, kota  yang terbina megah tidak akan bernilai apa-apa jika rakyatnya masih berkiblatkan berhala, bertuhankan manusia. Bukannya tiada insan yang mengabdikan diri kepeada Yang Esa kala itu, tetapi mereka yang diketahui keimanan mereka, tubuh mereka akan dibakar di tengah-tengah kota, disaksikan sekalian rakyat jelata.

Colluseum dapat dilihat di bawah sana

Namun, masih ada juga yang beriman, dan berjaya menyembunyikan keimanannya. Orangnya juga bukan calang-calang, bahkan memegang jawatan sebagai Penasihat Kanan Maharaja pula. Kebijaksanaannya membolehkan dia terus mempertahankan keimanannya tanpa dapat dihidu oleh pihak istana. Mereka semua percaya kepadanya.

Hingga akhirnya, Maharaja Rom datang mencemar duli melihat rakyat jelata. Datangnya Maharaja penuh kemegahan, dengan segala kemewahan terhidang di hadapan. Keangkuhan si Maharaja semakin hilang pertimbangan. Habis segala rakyat dipaksa untuk sujud kepadanya, kerana merasakan semua rakyatnya hanyalah hambanya.

Saat waktunya penasihat beriman itu datang menghadap di hadapan Maharaja, dengan segala keberanian dia berjalan dan berdiri di hadapan Maharaja, lalu berkatalah dia, 
"Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi. Kami tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang jauh daripada kebenaran." (surah Al-Kahfi: 14)
Habis gempita istana mendengar pengakuan daripada penasihat Maharaja sendiri. Rupanya, penasihat itu tidak keseorangan dalam mempertahankan keimanan, malah terdapat lima lagi pemuda yang turut menyatakan keimanan.

Seperti disangka, keenam-enam pemuda beriman itu ditangkap dan dihumban ke penjara. Kala itu, mereka terus disiksa dengan segala mahunya, agar mereka berpaling daripada pegangan mereka mereka. Namun, keimanan mereka bukan palsu. Mana mungkin mereka mahu tunduk kepada berhala yang diciptakan daripada tangan mereka sendiri? Tidak mungkin Maharaja yang sifatnya sama seperti manusia yang lain boleh diangkat menjadi Tuhan?

Keteguhan keenam-enam pemuda itu akhirnya membuka hati ketua pengawal penjara. Dengan rela hati dia melafazkan keimanan, malah melepaskan pemuda-pemuda tersebut tanpa pengetahuan sesiapa. Secara penuh senyap dan berhati-hati, pemuda-pemuda tersebut terus melarikan diri, pergi keluar daripada kota yang penuh kejahilan.

Dalam mencari tempat perlindungan, mereka ketemu dengan seorang pengembala kambing bersama seeokor anjingnya. Dengan lapang hati, si pengembala bersama anjingnya mengalu-alukan kedatangan kesemua pemuda tersebut ke rumahnya. Bersama raut wajah kehairanan, si pengembala bertanya sopan mengapa mereka kelihatan gelisah, walau mereka dipakaikan dengan pakaian kebesaran. Pastinya para pemuda itu punya kedudukan dalam kerajaan.

Tanpa rasa wasangka, si penasihat Maharaja menceritakan kisah sebenar. Daripada mereka menyembunyikan keimanan, terus kepada siksaan akibat tidak mahu berpaling daripada keimanan. Kisah itu membuatkan hati pengembala terpaut dengan pegangan yang mereka bawa. Dengan sekali lafaz, maka berimanlah si pengembala. Gugurlah dosa-dosanya yang silam, suci murni hatinya. Bagai bayi yang baru dilahirkan.

Kini bertambah bilangan pemuda yang beriman itu menjadi tujuh. Ketujuh-tujuh mereka tahu bahawa mereka selamanya tidak akan selamat berada di situ. Para pengawal istana pasti dapat menghidu mereka satu masa nanti. Sedang mereka berehat melepaskan lelah, tiba-tiba datanglah ilham daripada salah seorang daripada mereka, agar mereka bersembunyi di dalam gua.
“Dan apabila kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu. Niscaya Tuhanmu akan melimpahkan sebahagian rahmat-Nya kepadamu dan menyediakan sesuatu yang berguna dalam urusanmu.” (surah Al-Kahfi: 16)

“Hamid, jom la. Kita nak gerak ni, pergi ke gua Ashabul Kahfi pula,” teguran daripada Hafizuddin menyedarkan aku daripada lamungan yang panjang. Kini aku di dunia reality, namun masih berada di kota lama yang menyimpan kisahnya yang tersendiri. Kisah Ashabul Kahfi, pemuda beriman yang memelihara keimanan, sehingga kisah mereka terangkum di dalam Al-Quran.

para rombongan yang berada di Citadel, kemuncak tertinggi Amman

Kami bergegas beredar meninggalkan Jabal Amman, merentasi kesesakan kota raya menuju ke pinggir kota. Destinasi kami yang seterusnya, Gua Ashabul Kahfi.







Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger