"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Monday, February 11, 2013

Berkahwin Ketika Belajar, Wajarkah? (siri 2)




       Selang masa antara kelas membuatkan aku duduk termangu di kawasan halaman bangunan Kuliah Syariah. Musim panas yang berada di penghujung membuatkan cuaca begitu selesa, tidak terlalu panas, tidak pula terlalu sejuk. Kelihatan para pelajar wanita Malaysia berbicara sesama mereka. Para pemuda Arab pula bergelak sakan di hamparan rumput hijau yang mendamaikan. Pelajar Arab wanita yang lalu lalang tidak aku endahkan. Sedang aku leka melihat lakonan manusia, tiba-tiba bahuku ditepuk dari belakang.

       "Assalamualaikum."

       Tidak sempat aku menoleh ke belakang, lelaki itu terus melabuhkan tubuhnya di sebelah aku. 

      "Waalaikum salam. Tak ada kelas ke?" Cukup aku kenali raut tubuhnya. Shukran namanya, Semester akhir pengajian di sini.

       "Tak ada dah. Tinggal nak pergi ke maktabah je, nak siapkan bahas," ramah Shukran berbicara. Sememangnya lelaki itu cukup dikenali kerana punyai perwatakan yang ramah. Sedang kami berborak kosong, timbul persoalan yang sudah lama aku mahu tanyakan kepada beliau.

       "Ha, apa dia? Tanyalah," Shukran berkalih arah, bertentang mata denganku.

       "Nak tanya pendapat enta tentang kahwin ketika belajar ni."

       "Kalau ikutkan, ana lebih menggalakan para pelajar tidak berkahwin ketika masih belajar," Shukran tidak mengambil masa yang lama untuk menjawab. Aku pula semakin berminat mendengar kupasan daripadanya. Tidak ramai sebenarnya daripada kami yang menolak untuk berkahwin ketika sedang belajar ini.

       "Kenapa enta cakap macam tu?"

      "Ramai yang ingat dengan berkahwin dapat mengatasi masalah maksiat, tetapi sebenarnya perkahwinan bukan semata-mata kerana itu. Perkahwinan itu adalah tanggungjawab!"

       Shukran memandang sekeliling, mengambil nafas sehela dua, sebelum menyambung bicaranya,

     "Bayangkan, ibu bapa kita beri duit pada kita untuk kita belajar, lepas tu senang-senang je kita minta kahwin? Bila sudah kahwin, kita akan sibuk dengan pasangan kita. Bila masa kita untuk bersama ibu bapa kita?"

       Aku terus mendengar.

    "Masa kita bersama keluarga kita hanya ketika kecil sahaja. Itu pun kita tidak pernah membalas pengorbanan mereka. Masuk sekolah menengah, ada yang mula berpisah dengan keluarga, tinggal di asrama. Masuk kolej dan universiti, kita berpisah lagi. Pulang ke rumah menjenguk keluarga mungkin hanya sebulan sekali sahaja. Ini, tidak sempat kita menamatkan pengajian, kita mahu berpisah sekali lagi dengan keluarga atas alasan mahu berkahwin. Jadi, bila masa kita mahu bermesra dengan keluarga kita? Ingat, mereka juga mahu diri mereka disayangi."

       Aku semakin berminat untuk terus mendengar.

     "Macam ana, emak ana sakit. Abang kakak ana tidak boleh memberi sepenuh masa mereka kerana mereka sendiri punyai tanggungjawab dalam keluarga masing-masing. Nanti, bila ana habis belajar, ana mahu bekerja dan membantu ibu bapa ana. Waktu itulah masa untuk ana membalas jasa mereka, kerana bila sudah berkahwin nanti, pasti sukar untuk mencuri masa bersama mereka. Biar kita berkahwin lewat sedikit, asalkan kita mampu memberi kebahagiaan kepada ibu bapa kita."

       Aku puas mendengar keluhan rasa daripada Shukran. Fikirannya bernas, cukup menyenangkan.


Tiga bulan berlalu,

       "Apa yang enta tuliskan tu?" Putra bertanya mesra sambil mengukir senyuman. Kala itu, kami sedang menunggu kehadiran Doktor Tolib di dalam kelas.

       "Ala, tulis sikit pasal artikel berkaitan kahwin muda."

       "Tidak, tidak. Tidak bagus," cepat Putra memuncungkan bibir, melahirkan bantahan tanpa sempat aku bertanya apa-apa.

       "Ha, kenapa enta berpandangan begitu?"

      "Berkahwin ini tidak akan lari daripada wang. Benar, wang bukan segalanya, tetapi wang adalah perkara asasiah dalam mendirikan rumah tangga. Dalam kita sibuk mengejar ilmu pelajaran, bila kita mahu mencari nafkah?" Bersungguh Putra meluahkan rasa.

       "Kita pelajar berkehendak dengan ilmu. Pada masa inilah kita belajar bersungguh-sungguh untuk mengejar ilmu. Namun, bila kita berkahwin, kita akan terbeban dengan tanggungjawab. Masa kita untuk menuntut ilmu menjadi semakin singkat. Jadi, pada masa inilah kita fokus untuk memungut sebanyak mungkin ilmu. Tidak perlu tergopoh untuk berkahwin.

       "Perkahwinan juga bukan semata-mata untuk menahan gelora nafsu. tetapi turut terkesan dengan emosi kita. Lelaki terutamanya mengalami tempoh masa kematangan yang lebih lewat daripada wanita. Mungkin kita merasakan bahawa kita sudah matang dalam usia awal 20-an, tetapi sebenarnya kita masih belum matang dari sudut usia. Benar, usia bukan apa-apa, tetapi hidup memerlukan usia."

       Pulang daripada rumah, aku timbulkan isu ini kepada Radzuan. Kami memanggilnya dengan panggilan Mufti kerana kefaqihannya dalam bidang fiqh. Rupanya, dia juga turut tidak bersetuju dengan langkah awal mendirikan rumah tangga ketika masih belajar.

       "Masa masa remaja inilah kita patut bersama dengan sahabat-sahabat kita. Nanti bila kita berkahwin awal, jurang masa kita bersama sahabat-sahabat kita menjadi semakin jauh. Sedangkan baki usia kita nanti, kita akan tetap bersama dengan isteri kita. Selepas habis belajar ini, kita bekerja dalam dua tahun. Selepas tempoh itu, baru sesuai untuk kita mendirikan rumah tangga. Ketika itu, ekonomi kita pun stabil, Ketika itu juga kita mula menjadi manusia dari sudut ilmu dan kematangan. Jasa dan pengorbanan ibu bapa kita juga mungkin kita sudah terbayar sedikit."


Kesimpulan

       Bagaimana? Mahu tetap meneruskan usaha dan memasang impian untuk mendirikan rumah tangga ketika masih belajar? Ingat, pernikahan bukan semata-mata pintu keluar bagi melepaskan diri daripada ikatan nafsu. Jika anda hanya berfikir sedemikian, terimalah hakikat bahawa anda sebenarnya masih belum bersedia untuk berkahwin.

Berkahwin Ketika Belajar, Wajarkah? (siri 1)


Gamaknya, kini menjadi fenomena para remaja berkahwin ketika masih di alam pembelajaran. Siapa yang tidak suka untuk berkahwin, bukan? Malah, jika ada perbualan sesama pelajar, pastinya isu ini tidak lari daripada topik yang dibualkan, tidak kira lelaki mahupun wanita. Golongan pelajar yang inginkan mendirikan rumah tangga kebiasaannya selepas mereka menemui insan yang dirasakan sesuai untuk dijadikan pasangan. 


Mengapa Perlu Berkahwin Awal?

Antara dalil kuat yang mendorong untuk pelajar berkahwin awal adalah untuk mengawal gelora nafsu. Perkahwinan yang dibina pastinya akan membolehkan pasangan ini mengalirkan aliran nafsu mereka ke jalan yang halal. Tiada lagi soal zina hati, sebaliknya hubungan yang dibina menambahkan lagi pahala bagi mereka. Bayangkan hubungan dahulu sebelum nikah yang bergelumang dengan dosa noda, terus bertukar menjadi salah satu ibadah hanya dengan lafaz sakinah. MasyaAllah! 

Perkahwinan ketika usia muda juga merupakan salah satu sunnah yang dituntut oleh Rasulullah SAW. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, 
"Wahai sekalian pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan kemaluan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah ia kerana dengan berpuasa dapat memelihara daripada kejahatan." – (Hadis Nasai dan Abu Daud). 
Aku sendiri dikelilingi dengan para sahabat yang ingin mendirikan mahligai ketika belajar. Asal bertemu, pasti topik ini yang mendapat tempat. Masing-masing, mengeluarkan hujah, mengemukakan pendapat. Ditambah lagi dengan segelintir sahabat kami yang mendirikan rumah tangga dalam situasi seperti kami, dan ternyata mereka semakin bahagia.

Diakui, perkahwinan di usia awal ini sememangnya baik, baik dari segi syariat, akhlak, agama dan macam-macam lagi. Perkahwinan di usia muda juga mampu menghasilkan anak yang pintar. Dari sudut yang lain, ibu bapa tidak perlu lagi risau kerana sudah ada orang yang sah di sisi agama untuk menjaga keselamatan, keperluan dan kebajikan anak perempuannya.

Mari berkahwin muda!


Semudah itu Sahaja?

Namun kebiasaannya, keinginan anak muda ini akan mendapat halangan daripada ibu bapa. Antara alasan yang dikemukakan adalah, "Nanti bila sudah kahwin, mahu beri nafkah apa pada isteri?" Orang tua juga pasti tidak merasa yakin untuk melepaskan anak mereka, kerana tanggungjawab selepas perkahwinan bukan kecil, bukan sekadar mahu mengelakkan maksiat sahaja!

Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat kebahagian anak-anaknya?

Hakikatnya, zaman ini tidak sama dengan zaman dahulu. Niat anak-anak muda ini suci, mahu mengelakkan maksiat dan dosa keji. Zaman fitnah dan maksiat ini memaksa para remaja untuk berkahwin awal sebagai jalan keluar daripada terus hidup digelumungi dosa. Dunia kini cukup berbeza, dengan segala pintu maksiat sentiasa terbuka, cukup merangsang jiwa muda.

Kesimpulan awal, tiada salahnya untuk para remaja ini berkahwin awal, hatta mereka masih menuntut pelajaran lagi. Asalkan perkahwinan itu mendapat redha daripada keluarga. 

Perlu juga diingat, redha semata-mata bukannya kunci bagi memasuki gerbang perkahwinan yang cukup mencabar ini. Redha tanpa persiapan mental dan fizikal juga tidak berguna. Seperkara lagi, mahu tidak mahu wang juga diperlukan untuk merialisasikan perkahwinan ini. benar, wang bukan segalanya, tetapi segalanya kini memerlukan wang. Asal ibu bapa bersedia untuk 'menyara' pasangan muda ini, itu sudah cukup.

suami bukan untuk dibebani, tetapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tetapi untuk dikasihi.

Buat para remaja, adakah anda ingin meneruskan niat untuk berkawhin muda? Ketika di masih alam pembelajaran? Semudah itu sahajakah? 

Fikir dahulu. Tersukan bacaan anda di siri 2 nanti...






Tuesday, February 5, 2013

Kenali Hadis Palsu


Kitab Sahih Bukhari, kitab yang mengumpulkan hadis-hadis sohih

Ramai manusia suka menyebarkan hadith-hadith Nabi SAW dalam internet terutamanya Facebook. Mereka berniat baik atas alasan sabda Nabi SAW:


بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً  

"sampaikan dariku walau satu ayat". 

Tetapi mereka lupa lafaz penuh hadith berkenaan berbunyi:



بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ ، وَلاَ حَرَجَ ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ 

"sampaikan dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari kisah-kisah Bani Isra'il dan itu tidak mengapa (iaitu tidak berdosa walaupun ia tidak sahih dengan syarat memberitahu ia kisah Bani Israil dan bukan hadith). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka". 

Jangan baca hadith sekerat saja, tetapi bacalah keseluruhannya. Ketahuilah bahawa hadith yang sama ini padanya galakan dan ancaman, bahagian pertama hadith berbunyi "بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً - sampaikan dariku walau satu ayat" adalah galakan.


manakala ia diringi dengan ancaman pada bahagian akhir hadith berbunyi: "وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ - dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka".

-dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Jami'nya (Sahih al-Bukhari), no. 3461, dari `Abdullah bin Amru al-Aas
Haram dan Berdosa Besar

Justeru itu, Islam mengharamkan sama sekali perbuatan mengadakan hadis palsu seperti penegasan Nabi SAW dalam hadis Mutawatir:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
Bukan sahaja mengadakan hadis palsu itu dosa besar, menyebarkannya juga berkongsi dosa besar yang sama. Dalam era teknologi ini, begitu mudah sesuatu hadis palsu itu tersebar.

Menerusi SMS, Email, Facebook, Twitter dan pelbagai lagi, ramai yang terlibat dengan kegiatan dosa menyebarkan hadis palsu ini. Maka berhati-hatilah. Beberapa klik tanpa penelitian boleh membawa anda menjadi pendusta yang menggunakan nama ALLAH dan RasulNYa.

Oleh itu sebelum anda ingin beramal dengan galakan menyebarkan hadith Nabi SAW itu, jangan lupa ancamannya, tanya dulu diri anda sekurang-kurangnya 3 perkara: 
  1. Benarkah ia adalah hadith?
  2. Riwayat siapa?  
  3. Apakah status hadis ini?.  
Apabila telah terjawab kesemua 3 soalan asas ini, maka silakanlah menyebarkan hadith itu, jika tidak maka usahlah sebarkan walaupun ayatnya nampak baik dan mampu memberi suntikan jiwa. Kerana tiada lagi yang baik apabila anda telah berdusta kepada Baginda Nabi SAW. 

Ada pula yang tidak dapat membezakan antara kata-kata sahabat atau hukamak(cendekiawan) dengan hadis Nabi. Mereka menganggap semua itu sama sahaja daripada segi statusnya Kesalahan menyebarkan hadis palsu boleh dikenakan tindakan mengikut pelbagai seksyen seperti mencerca agama dan penerbitan agama bertentangan dengan hukum syarak.

Kesalahan ini terletak di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, Seksyen 13 (1). Malah, tindakan boleh juga diambil mengikut Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-negeri.

Hukum Menyebarkan hadis palsu bahi yang Jahil atau Tidak Tahu

Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa pula, dia akan mendapat dosa menyebarkan hadis palsu walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui mengenai kepalsuan hadis itu.
Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut; pertama, Firman Allah dalam surah al-Isra ayat 36 bermaksud:
“Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu mengenainya.”
Dalil kedua, hadis Nabi yang bermaksud:
“Sesiapa yang meriwayatkan hadis daripadaku sedang ia diketahui oleh para ulama sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu.” (HR Muslim dalam Muqaddimah Sahih Muslim).
Dalil ketiga, hadis Nabi SAW yang bermaksud:,
“Kadi terbahagi tiga golongan; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Kadi yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Kadi yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Kadi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka.” (HR Abu Daud, Kitab al-Aqdiyah, Bab fi al-Qadi Yukhti’)

Bagaimana untuk mengetahui kesahihan sesuatu hadis?

Secara umumnya, hadis palsu dapat diketahui melalui dua cara; pertama: kajian terhadap sanad (rangkaian perawi). Kedua; kajian terhadap matan atau kritik teks (textual criticism). Untuk mengkaji para perawi adalah sesuatu yang bukan mudah melainkan mereka yang terbabit langsung dalam bidang hadis.

Bertanya Kepada yang Ahli

Sesuatu hadis itu boleh diketahui kesahihannya dengan bertanya sendiri pada ahlinya, pada mereka yang benar-benar belajar agama, para ustaz-ustaz. Malah, kita sendiri boleh merujuk kitab-kitab agama serta website yang boleh dipercayai.

Ilmuwan hadis yang terbilang iaitu al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) pernah ditanya apakah mungkin untuk mengetahui hadis palsu tanpa melihat kepada sanadnya? Untuk menjawab persoalan yang besar itu, beliau telah menghasilkan buku yang amat penting dalam sejarah ilmu mengkritik teks hadis iaitu karya beliau al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Da’if. 

Kelebihan yang Keterlaluan

Antara yang disebut oleh Ibn Qayyim dalam kitabnya itu; hadis palsu itu antara cirinya mengandungi unsur mujazafah iaitu berlebih-lebihan dalam penetapan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar, ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah.

Percanggahan Fakta

Antara ciri lain bagi hadis palsu ialah bercanggah dengan fakta yang nyata. Banyak contoh yang disebut oleh beliau; antaranya hadis palsu: “Terung itu ubat bagi segala penyakit”. Contoh lain: “Hendak kamu memakan kacang dal kerana ia berkat dan melunakkan jantung hati. Membanyakkan air mata dan ia disucikan oleh 70 nabi”. (m/s 52)

Kelihatan Selekeh dan Boleh Dipersendakan

Antara lain beliau menyebut hadis ciri hadis palsu itu ia kelihatan selekeh dan boleh dipersendakan. Banyak contohnya, antara yang disebut; hadis palsu “Jika beras itu lelaki nescaya dia seorang yang penyantun”. Contoh lain; “Hendaklah kamu memakan garam kerana ia ubat bagi 70 penyakit”. Contoh lain: “Tiada buah delima melainkan bijinya berasal dari syurga”. (m/s 55)

Contoh lain: “Sesiapa yang membela ayam jantan putih, maka dia tidak akan dihampiri oleh syaitan dan sihir”. Kemudian Ibn Qayyim membuat kesimpulan tentang hadis ayam jantan: “Kesemua hadis ayam jantan adalah dusta kecuali satu hadis iaitu “Sesiapa yang mendengar kokokan ayam jantan hendaklah dia memohon kurniaan dari ALLAH kerana ia melihat malaikat” (Riwayat Bukhari dan Muslim). (m/s 56)

Canggah sumber sahih

Ciri hadis palsu yang lain yang dinyatakan oleh Ibn Qayim apabila sesuatu hadis itu bercanggah dengan hadis sahih yang lain secara nyata. Ini seperti hadis-hadis palsu yang memuji orang yang bernama Muhammad ataupun Ahmad bahawa sesiapa bernama seperti itu tidak akan masuk neraka.

Ini bercanggah dengan prinsip ajaran Nabi yang menegas bahawa neraka itu bukan dapat dielakkan dengan nama dan gelaran sebaliknya dengan iman dan amalan soleh.  (m/s 57)

Antara ciri palsu lain ialah hadis yang menyebut Nabi Khidir masih hidup. Kesemua hadis yang membawa maksud tersebut adalah palsu dan dusta. Kemudian al-Imam Ibn Qayyim mengemukan banyak hujah dari al-Quran dan al-Sunnah yang membuktikan bahawa cerita Khidir masa hidup sehingga kini adalah dusta dan palsu. (m/s 67-76)

Pelik

Contoh hadis palsu lain: “Pelangi di langit itu adalah tengkuk ular yang berada di bawah Arsy”. Juga hadis palsu: “Jangan mandi air yang terdedah kepada matahari kerana ia menyebabkan sopak” (m/s 60)

Antara ciri hadis palsu ialah apabila terdapat dalamnya penetapan tarikh tertentu seperti pada tahun sekian dan sekian, pada bulan sekian dan sekian akan berlaku peristiwa itu dan ini. Ini ciri kepalsuan sesuatu hadis. Ini seperti hadis bahawa akan berlaku gerhana dalam bulan Muharam kemudian berlaku peristiwa itu dan ini. (m/s 64).

Banyak hadis yang seperti ini tersebar dalam Internet lalu dipercayai oleh mereka yang dangkal akal dan pengetahuan.

Antara ciri yang lain hadis yang seakan ucapan ahli perubatan, bukan ungkapan seorang nabi. Ini seperti hadis palsu: “Memakan ikan melemahkan jasad”. Contoh lain: “Ada seseorang mengadu kepada Nabi bahawa dia tiada anak. Nabi menyuruhnya memakan telur dan bawang”.


Kesimpulan

Jaringan komunikasi menerusi Internet menjadikan tugas dakwah dimanfaatkan dengan lebih berkesan, pantas dan mencapai golongan sasaran lebih besar. Sebab itu ia mampu memartabatkan Islam ke tahap lebih tinggi, sesuai dengan keadaan semasa selain menarik pelbagai golongan lebih dekat dengan Islam.

Namun, pendakwah, penceramah agama atau penulis perlu menitikberatkan perkara sumber dalil supaya mereka tidak mudah menggunakan hadis tanpa memeriksa ketulenan serta kesahihannya. Masyarakat Islam juga perlu mengambil berat perkara itu demi menjaga kesucian hadis nabi yang menjadi sumber kedua perundangan Islam selepas al-Quran.
Sesiapa yang mencipta, mengguna dan menyebarkan hadis palsu dianggap melakukan pendustaan besar terhadap Nabi Muhammad SAW. Sebelum menyebarkan sesuatu hadis kepada umum, sama ada melalui media baru atau cetak, ia mesti dirujuk kepada golongan yang ahlinya (arif) atau berdasarkan sumber muktabar.

______________________
rujukan:

Sunday, February 3, 2013

7 Kelab Bola Paling Berjaya Dekad ini

Siapa yang tidak meminati bola? Para pria pastinya meminatinya, malah kita pasti mempunyai pasukan pilihan masing-masing. Ada yang menyokong kelab Manchester United, Barcalona, Bayern Munich, dan perbagai lain. Tidak mahu bercakap panjang, di sini aku senaraikan 7 kelab bola sepak di Eropah yang paling berjaya dalam dekad terakhir ini. (Ogos 2002 - Ogos 2012). Senarai kelab-kelab ini hanyalah daripada kelab-kelab bola sepak yang berprestij sahaja. Cheewah !


7. Real Madrid 
4 La Liga, 1 Copa Delrey, 1 Champions Langue, 1 Fifa World Cup
= 7 trohies


6. Chelsea
3 Premier Leagues, 4 FA Cups, 2 Lengue Cups, 1 Champions Lengue 
= 10 Trophies


5. Manchester United
5 Premier Leagues, 1 FA Cups, 3 Lengue Cups, 1 Champions Lengues, 1 Club World Cup 
= 11 Tropies


4. Inter Milan
5 Serie A, 5 Coppa Italia, 1 Champions Lengues, 1 Club World Cup 
=12 Tropies


3. Bayern Munich
5 German Champions, 5 DFB-Pokal, 2 DFB Ligapokal, 2 DFL Supercup 
= 14 Trophies


2. Barcelona FC
5 La Liga, 2 Copa Del Rey, 3 Champions Langue, 2 Uefa Super Cups, 2 Fifa World Cup
= 14 trohies




1. Porto FC
8 Portuguese Lengues, 5 Portuguese National Cup, 7 Supercups, 1 Champion Lengues, 1 UEFA Cup, 1 Europa Lengue, 1 Intercontinental Cup
= 24 Trophies


Pasti ramai yang meneka Barcelona adalah kelab yang mempunyai coretan sejarah kejuaraan yang terbanyak, kan? huhu. Lihatlah betapa jauhnya Porto FC meninggalkan Barcelona dari segi pungutan trofi. Tahniah FC Porto dan kepada para penyokongnya.

p/s: aku bukanlah penyokong Porto, bukan pula anti Barcelona ya. Piece !

Thursday, January 31, 2013

10 Universiti Terbaik di Dunia

Universiti menjadi pusat pendidikan yang tertinggi. Malah mana-mana negara pasti mempunyai universiti mereka yang tersendiri. Universiti juga menjadi lambang kemegahan bagi para penuntutnya. Di sini, aku senaraikan 10 universiti yang terbaik di dunia pada tahun 2012.  Turutan rankin mengikut QS dari sumber http://www.topuniversities.com/university-rankings/world-university-rankings/2012


10. California Institute of Technology (Caltech) 
1200 East California Boulevard
Pasadena  --  91125
United States


9. Princeton University
Princeton  --  08544
United States



8. University of Chicago
5801 South Ellis Avenue
Chicago  --  60637
United States


7. Yale University
P.O. Box 208236
New Haven  --  06520
United States

6. Imperial College London
South Kensington Campus
London
SW7 2AZ
United Kingdom


5. University of Oxford
Wellington Square
Oxford
NY
OX1 2JD
United Kingdom


4. UCL (University College London)
Gower Street
London
WC1E 6BT
United Kingdom



3. Harvard University
1350 Massachusetts Ave
Cambridge  --  02138
United States


2. University of Cambridge
Trinity Lane
Cambridge
CB2 1TN
United Kingdom


1. Massachusetts Institute of Technology (MIT)
77 Massachusetts Avenue
Cambridge  --  02139
United States


10 universiti ini bukan sahaja hebat dari segi pengeluaran para pelajarnya, malah mempunyai seni bina yang cukup memukau. Tidak hairanlah para pelajarnya dapat skor, huhu.

Tuesday, January 29, 2013

Hukum berselawat ke Atas Rasulullah SAW



Status nabi dan rasul adalah darjat tertinggi dalam kalangan manusia di sisi Allah Taala. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib merupakan penutup bagi sekalian anbiya’ adalah sebaik-baik insan yang wajar dijadikan tauladan oleh setiap lapisan umat Islam yang menyanjung tinggi kerasulannya. Lantaran ini Allah Taala memuliakan utusanNya dengan berselawat serta mengucapkan salam ke atas beliau.
Mafhum firman Allah:
“Sesungguh Allah dan para malaikatNya berselawat (menyampaikan rahmat serta memuji) untuk Nabi (Muhammad). Wahai orang-orang yang beriman berselawat serta ucapkanlah salam ke atas Nabi dengan sebenar-benarnya” .(Surah al-Ahzab, ayat 52)
Dalam mafhum ayat di atas, Allah Taala menegaskan bahawa Dia dan para malaikat ciptaanNya sentiasa berselawat ke atas nabi Muhammad disamping memokuskan dua bentuk arahan kepada golongan mukminun agar sentiasa berselawat dan mengucapkan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad selaku Rasul akhir zaman sebagai tanda terima kasih dan penghormatan tertinggi yang tidak terhingga di atas segala pengorbanan beliau yang berperanan menerangi seluruh galaksi dengan cahaya Islam. Berselawat ke atas nabi dari segi bahasa bermaksud; berdoa dan memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa Taala bagi pihak beliau. Menurut al-Imam al-Fakhru al-Razi dalam kitabnya jilid 6, halaman 796; selawat Allah Taala ke atas RasulNya bermaksud rahmat dan selawat para malaikat pula bermaksud mohon keampunan bagi dirinya. Manakala mengucapkan salam ke atas Nabi pula; Mengucapkan selamat serta kesejahteraan ke atas diri beliau.


Bentuk lafaz Selawat

Terdapat pelbagai bentuk lafaz selawat ke atas Rasul. Ada yang masyhur dengan ungkapan nama selawat syifa’, tafrijiyyah dan sebagainya. Walau apa sekalipun nama yang tonjolkan, hakikat sebenar lafaz-lafaz selawat ini merupakan susunan kalimah indah memuji kemuliaan Junjungan Besar Muhammad demi untuk meraih syafaat beliau di hari Akhirat kelak. Lafaz-lafaz juga merupakan langkah bertertib dan beradab bagi seseorang muslim untuk melafazkannya sebelum mengutarakan sebarang bentuk permohonan kepada Allah Taala dalam setiap doa yang dipohon. Dalam sebuah hadis daripada Kaab bin Ujrah r.a berkata 
“Seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami mengetahui cara mengucap salam ke atas diri Tuan. Tetapi bagaimanakah pula untuk berselawat ke atas diri Tuan?” Rasulullah menjawab “Katakanlah Ya Allah selawatkanlah (berikanlah rahmat) ke atas diri Muhammad dan ahli keluarga Muhammad sebagaimana yang Engkau telah berikan rahmat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha  Mulia. Ya Allah berkatilah ke atas Muhammad dan ahli keluarganya sebagaimana Engkau telah berkati ke atas Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam sebuah mafhum hadis diriwayatkan oleh al-Imam Malik, Ahmad, al-Bukhari dan Muslim daripada Abi Hamid al-Saiidi r.a, bahawa orang ramai bertanya “Wahai Rasulullah! Bagaimana cara kami nak berselawat ke atas Tuan?”. Maka jawab Rasulullah “Katakanlah Ya Allah berselawatlah ke atas Muhammad, para isterinya dan zuriatnya sebagaimana Engkau berselawat ke atas keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, para isterinya dan zuriatnya sebagaimana yang Engkau telah berkati ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia”.


Hukum Berselawat

Berasaskan arahan nyata yang termaktub dalam nas, jumhur ulama’ berpendapat bahawa selawat ke atas rasul merupakan salah satu bentuk ibadat seperti berzikir, tahmid dan tasbih. Hukumnya adalah wajib sekali seumur hidup dan sunat serta digalakkan pada setiap masa dan ketika sebagai menyahut seruan Rasulullah sendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis  yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim 
“Sesiapa yang berselawat ke atas diriku sekali nescaya Allah berselawat ke atas dirinya sebanyak sepuluh kali”. Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.

Adapun lafaz salam pula umpama seorang muslim mengatakan  “Assalamualaika Ya Rasulullah (Salam sejahtera ke atas dirimu wahai Rasulullah). Ia merupakan doa selamat kesejahteraan daripada segala bentuk bala bencana. Setelah mencapai kata sepakat mengatakan hukum selawat ke atas Nabi wajib sekali dalam seumur hidup, para ulama berselisih pendapat pula dalam menentukan adakah selawat tersebut wajib dalam setiap majlis? Atau hanya wajib setiap kali disebut nama Nabi atau adakah ia hanya sunat semata-mata? Berasaskan permasalahan ini, ijtihad para ulama terbahagi kepada tiga katogari berlandaskan hujjah masing-masing;
i)          Wajib berselawat ke atas nabi setiap kali disebut nama beliau. Hujjah ini berasaskan kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.
ii)         Wajib berselawat ke atas nabi sekali dalam satu majlis meskipun namanya disebut berulang kali dalam majlis tersebut. Pendapat ini berasaskan kepada sebuah hadis yang juga diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Sesiapa daripada kalangan satu jamaah yang berada dalam satu majlis kemudian mereka beredar meninggalkan majlis tersebut tanpa menyebut nama Allah serta tidak berselawat ke atas RasulNya, maka mereka tidak akan memperolehi sesuatu di hari akhirat kecuali penyesalan” 
iii)        Pendapat mengatakan wajib diperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan sebarang bilangan dan bentuk majlis serta mengatakan tidak memadai dengan berselawat sekali dalam seumur hidup. Golongan pertama dan ketiga berhujjah dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.

Sehubungan dengan ayat 52 surah al-Ahzab ini, para fuqaha juga berselisih pendapat adakah selawat ke atas nabi diwajibkan dalam solat? Dalam masalah ini, al-Syafie dan al-Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat; selawat ke atas nabi dalam solat adalah wajib dan tidak sah solat tanpanya. Manakala al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Malik pula mengatakan; selawat ke atas Nabi ketika solat adalah sunat muakadah dan tidak batal solat tanpanya tetapi makruh. 


Kelebihan Berselawat

Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]

Nabi SAW bersabda;
"Sesungguhnya semulia-mulia manusia di hari Kiamat adalah mereka yang paling banyak berselawat ke atasku." [riwayat Termizi, hasan ghorib]
Sabda Rasulullah SAW lagi;

"Mereka yang bakhil adalah mereka yang mendengar namau tetapi tidak berselawat kembali kepadaku." [riwayat Termizi dan Nasaie dan Ibnu Hibban]

__________________________
rujukan:
روائع البيان تفسير اّية الاحكام من القراذن
بقلم محمد علي الصابوني
باب الصلاة على النبي صلى الله عليه و سلم

Thursday, January 24, 2013

Kenali Ashabul Kahfi

berada di hadapan Masjid Ashabul Kahfi


Kisah Ashabul Kahfi (أصحاب الكهف‎) merupakan suatu kisah benar mengenai beberapa orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua, dan cuma bangun 309 tahun kemudian. Kisah ini ada diceritakan di dalam Al-Quran, Surah Al-Khafi dari ayat 9 hingga 27.

Pemuda-pemuda beriman ini hidup pada masa Raja Diqyanus di Rom, beberapa ratus tahun selepas diutusnya Nabi Isa a.s. Mereka hidup di tengah masyarakat penyembah berhala dengan seorang raja yang zalim. Demi menjaga iman, mereka melarikan diri dari kota, dikejar oleh tentera raja untuk dibunuh. Hingga pada suatu ketika, sampailah mereka di mulut sebuah gua yang kemudian dipakai sebagai tempat persembunyian.


Sebab diturunkan ayat berkaitan kisah ini

Kisah bermula dari seorang kafir Quraisy yang bernama Nadir bin Haris datang kepada seorang Yahudi di Madinah. Dia menceritakan kepadanya bahawa Muhammad mengaku dirinya sebagai Nabi dan dia meminta nasihat kepadanya bagaimana caranya untuk membantahnya. Yahudi tadi berkata  supaya dia bertanya kepada Muhammad tiga soalan, dan salah satunya tentang kisah Ashhabul Kahfi, jika dia mengetahunya maka ia benar sebagai Nabi. Lalu orang kafir tadi bertanya kepada Rasulullah SAW tantang soalan tersebut.

Mereka menyangka baginda tidak mengetahuinya sehingga mereka boleh mengalahkan dan membantah baginda. Tapi apa yang terjadi. Allah perintahkan Jibril as agar menceritakan kepada Rasulullah SAW kesemua soalan-soalan tersebut, termasuk kisah ashabul kahfi sebagaimana tertera dalam Al-Qur'an dalam surat Al-Kahfi.


Zaman berlakunya Kisah ini

Kisah ini berlaku di zaman agama Al-Masih Isa ibnu Maryam, berdalilkan bahawa kaum Yahudi juga turut mengetahui kisah ini, namun tidak diketahui bila tarikhnya. Kebanyakan riwayat mengatakan bahawa mereka hidup pada zaman Diqyanus, kerana Raja tersebut diketahui sebagai penyembah berhala dan menyeksa para pengikut Masihi.
artifak yang ditemui di sekitar gua

Bilangan Pemuda

Tidak dinyatakan secara tepat bilangan mereka. Ada yang mengatakan 3, 5, 7 dan 8 termasuk seekor anjing. Firman Allah Taala dalam Surah Al-Kahfi, ayat 22;
Maksudnya: Mereka akan berkata; Jumlah Ashaabul-Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka; dan setengahnya berkata: Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka, sebagai tekaan akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kelapannya anjing mereka. Katakanlah: Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit. Maka janganlah kamu berbahas mengenai mereka kecuali secara zahir, dan jangan kamu bertanyakan tentang mereka kepada seseorang pun dari mereka.

Bilangan yang paling kuat mengatakan 7 orang, ditambah seekor anjing walaupun jelas di dalam ayat ini menunjukkan hanya sebilangan kecil sahaja yang tahu bilangan mereka yang sebenarnya. Adapun, yang paling penting bukanlah mengetahui bilangan mereka, sebaliknya pengajaran di sebalik kisah ashabul kahfi ini.


Lokasi Gua

Terdapat khilaf bagi menyatakan di mana kedudukan gua ini. Sebahagian menyatakan bahawa berhampiran dengan Aqabah, di selatan Palestin. Sebahagian yang lain menyatakan gua ini terletak di Utara Iraq. Dan sebahagian yang lain pula mengatakan terletak Selatan Turki. Kesemua tempat-tempat ini adalah di bawah kekuasaan kerajaan Rom yang lama. 

Namun, pandangan yang paling kuat adalah terletak di selatan Palestin, atau nama kini tempatnya adalah Ar-Raqim, Amman.
di hadapan pintu masuk gua

Tempoh mereka ditidurkan

Firman Allah Taala dalam surah Al-Kahfi ayat 25;
Maksudnya: Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka :tiga ratus tahun dan sembilan lagi.

Tempoh waktu mereka tidur selama 300 tahun mengikut kalendar Masihi, iaitu mengikut kiraan Matahari, dan 309 tahun mengikut kalender Hijrah, iaitu mengikut kiraan bulan.

Suasana di dalam gua

Ashabul kahfi, kisahnya bukan sekadar bagi melahirkan rasa takjub, tetapi bagi meyakini diri bahawa Allah mampu menciptakan sesuatu yang telah mati menjadi hidup kembali. Bahawa Allah berkuasa terhadap sesuatu

_____________________
rujukan: 
Tafsir Munir fi Aqidah wa Syariah wa Manhaj, karangan Pro. Dr. Wahbah Zuhaili

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger