"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Tuesday, December 4, 2012

5 Filem yang Cerdik

Cuti-cuti begini, mengisi masa lapang dengan menonton movie yang cerdik bagus juga. Eh, movie yang cerdik? Bagi aku, filem yang cerdik adalah sebuah filem yang mampu mengkritik kehidupan manusia. Di sini, aku senaraikan 5 movie yang bagi aku cukup cerdik. Hehe...

5. Hantu Gangster
Movie ni tak patut ada dalam senarai pun, tapi aku bubuh juga sebagai wakil bagi industri perfileman Malaysia, hehe. Movie ini menjadi pilihan aku kerana di dalamnya mengkritik tentang hubungan kaum di Malaysia. Kisah di mana objektif penubuhan kongsi gelap dipaparkan. Cerita yang mengarut, lawak tetapi ada moral value yang tinggi. Yang penting, kritikan membina untuk menyatu padukan lagi hubungan kaum di Malaysia.


4. Idiocracy
Sebuah filem sains fiksyen yang kelakar. Menceritakan dua orang - lelaki dan wanita - yang merentas pergi ke zaman akan datang. Lelaki dan wanita itu merupakan orang yang kurang pandai pada zaman ini. Mengikut hipotesis, manusia akan menjadi semakin malas dan bodoh. Kerana itulah mereka dihantar. Dan ternyata hipotesis itu benar. Filem yang mengkritik kehidupan manusia yang menjadi semakin malas dek kerana kecanggihan teknologi.


3. The Matrix
Siapa yang tidak kenal dengan cerita ini? Sebuah filem hebat dengan idea yang hebat. Bagaimana cerita ini mengkritik kehidupan manusia dengan mengatakan bahawa kita sebenarnya bukan hidup dalam dunia realiti, sebaliknya kehidupan kita memang telah diaturkan. Wah! Hakikatnya, memang kehidupan kita kini diatur oleh si laknat Zionis. Hurm,


2. 3 Idiots
Filem hebat yang penuh dengan kritikan, terutamanya kritikan dalam bidang pendidikan. Filem yang begitu bijak. Beza antara mereka yang belajar untuk sijil dan belajar untuk ilmu diterapkan dengan baik dalam filem ini. Apa yang penting, belajarlah dalam bidang yang kita minati, bukan pada bidang yang kita dipaksa untuk hadami.


1. Sivaji The Boss
Aku begitu meminati filem ini. Seakan menceritakan suasa politik di Malaysia pula, huhu. Kisah di mana seorang jutawan yang ingin berbakti untuk negaranya. Namun akibat kepentingan politik, bantuan yang mahu dihulur ditolak begitu sahaja. Sama macam keadaan politik di Malaysia? Kome tengok la sendiri. Tapi rasanya penerbit perfileman di Malaysia pasti tak berani untuk membuat filem yang seperti ini, takut ada pihak YANG KUASA terasa hati :)

Saturday, November 10, 2012

Kisah Cinta Agong Nabi Yaakub A.S



Nabi Ya’akub adalah putera dari Nabi Ishaq bin Ibrahim sedang ibunya adalah anak saudara dari Nabi Ibrahim, bernama Rifqah binti A’zar. Ia adalah saudara kembar dari putera Ishaq yang kedua bernama Ishu.
Antara kedua saudara kembar ini tidak terdapat suasana rukun dan damai serta tidak ada menaruh kasih-sayang satu terhadap yang lain bahkan Ishu mendendam dengki dan iri hati terhadap Ya’akub saudara kembarnya yang memang dimanjakan dan lebih disayangi serta dicintai oleh ibunya. Hubungan mereka yang renggang dan tidak akrab itu makin buruk dan tegang setelah diketahui oleh Ishu bahwa Ya’akublah yang diajukan oleh ibunya ketika ayahnya minta kedatangan anak-anaknya untuk diberkahi dan didoakan, sedangkan dia tidak diberitahu dan tidak mendapat kesempatan seperti mana Ya’akub memperoleh berkah dan doa ayahnya, Nabi Ishaq.
Melihat sikap saudaranya yang bersikap dingin dan mendengar kata-kata sindirannya yang timbul dari rasa dengki dan iri hati, bahkan baginda selalu diancam, maka datanglah Ya’akub kepada ayahnya mengadukan sikap permusuhan itu. Baginda mengeluh : ” Wahai ayahku! Tolonglah berikan fikiran kepadaku, bagaimana harus aku menghadapi saudaraku Ishu yang mendendam dengki kepadaku dan selalu menyindirku dengan kata-kata yang menyakitkan hatiku, sehinggakan menjadi hubungan persaudaraan kami berdua renggang dan tegang tidak ada saling cinta mencintai saling sayang-menyayangi. Dia marah karena ayah memberkahi dan mendoakan aku agar aku memperolehi keturunan soleh, rezeki yang mudah dan kehidupan yang makmur serta kemewahan . Dia menyombongkan diri dengan kedua orang isterinya dari suku Kan’aan dan mengancam bahwa anak-anaknya dari kedua isteri itu akan menjadi saingan berat bagi anak-anakku kelak didalam pencarian dan penghidupan dan macam-macam ancaman lain yang mencemas dan menyesakkan hatiku. Tolonglah ayah berikan aku fikiran bagaimana aku dapat mengatasi masalah ini serta mengatasinya dengan cara kekeluargaan."
Berkata si ayah, Nabi Ishaq yang memang sudah merasa kesal hati melihat hubungan kedua puteranya yang makin hari makin meruncing. ” Wahai anakku, kerana usiaku yang sudah lanjut aku tidak dapat menegah kamu berdua, ubanku sudah menutupi seluruh kepalaku, badanku sudah membongkok, raut mukaku sudah kusut berkerut dan aku sudak berada di ambang pintu perpisahan dari kamu dan meninggalkan dunia yang fana ini. Aku khuatir bila aku sudah menutup usia, gangguan saudaramu Ishu kepadamu akan makin meningkat dan ia secara terbuka akan memusuhimu, berusaha mencari kecelakaan mu dan kebinasaanmu. Ia dalam usahanya memusuhimu akan mendapat sokongan dan pertolongan dan saudara-saudara iparnya yang berpengaruh dan berwibawa di negeri ini. Maka jalan yang terbaik bagimu, menurut fikiranku, engkau harus pergi meninggalkan negeri ini dan berhijrah engkau ke Fadan A’raam di daerah Irak, di mana bermukin bapa saudaramu saudara ibumu Laban bin Batu;il. Engkau dapat mengharap dikahwinkan kepada salah seorang puterinya dan dengan demikian menjadi kuatlah kedudukan sosialmu, disegani dan dihormati orang kerana karena kedudukan mertuamu yang menonjol di mata masyarkat. Pergilah engkau ke sana dengan iringan doa daripadaku semoga Allah memberkahi perjalananmu, memberi rezeki murah dan mudah serta kehidupan yang tenang dan tenteram."
Nasihat dan anjuran si ayah mendapat tempat dalam hati si anak. Ya’akub melihat dalam anjuran ayahnya jalan keluar yang dikehendaki dari krisis hubungan persaudaraan antaranya dan Ishu, apatah lagi dengan mengikuti saranan itu ia akan dapat bertemu dengan bapa saudaranya dan anggota-anggota keluarganya dari pihak ibunya .Ia segera berkemas-kemas membungkus barang-barang yang diperlukan dalam perjalanan dan dengan hati yang terharu serta air mata yang tergenang di matanya ia meminta kepada ayahnya dan ibunya ketika akan meninggalkan rumah.

Nabi Ya’akub Tiba di Iraq
Dengan melalui jalan pasir dan Sahara yang luas dengan panas mataharinya yang terik dan angi samumnya {panas} yang membakar kulit, Ya’akub meneruskan perjalanan seorang diri, menuju ke Fadan A’ram dimana bapa saudaranya Laban tinggal. Dalam perjalanan yang jauh itu , baginda sesekali berhenti beristirehat bila merasa letih dan lesu. Dalam salah satu tempat perhentiannya ia berhenti kerana sudah sangat letih, baginda tertidur di bawah teduhan sebuah batu karang yang besar. Dalam tidurnya yang nyenyak, baginda mendapat mimpi bahawa baginda dikurniakan rezeki luas, penghidupan yang aman damai, keluarga dan anak cucu yang soleh dan berbakti serta kerajaan yang besar dan makmur. Terbangunlah Ya’akub dari tidurnya, mengusapkan matanya menoleh ke kanan dan ke kiri dan sedarlah ia bahawa apa yang dilihatnya hanyalah sebuah mimpi. Namun baginda percaya bahwa mimpinya itu akan menjadi kenyataan di kemudian hari sesuai dengan doa ayahnya yang masih tetap mendengung di telinganya. Dengan diperoleh mimpi itu ,ia merasa segala letih yang ditimbulkan oleh perjalanannya menjadi hilang seolah-olah ia memperolehi tanaga baru dan bertambahlah semangatnya untuk secepat mungkin tiba di tempat yang di tuju dan menemui sanak-saudaranya dari pihak ibunya.
Tiba pada akhirnya Ya’akub di depan pintu gerbang kota Fadan A’ram setelah berhari-hari siang dan malam menempuh perjalanan yang membosankan tiada - yang dilihat selain dari langit di atas dan pasir di bawah. Alangkah lega hatinya ketika ia mulai melihat binatang-binatang peliharaan berkeliaran di atas ladang-ladang rumput, burung-burung berterbangan di udara yang cerah dan para penduduk kota berhilir mundir mencari nafkah dan keperluan hidup masing-masing.

Bertemu dengan Puteri Laban
Sesampainya di salah satu persimpangan jalan, baginda berhenti sebentar bertanya salah seorang penduduk di mana letaknya rumah saudara ibunya Laban barada. Laban seorang kaya-raya yang merupakan pemilik dari suatu perusahaan perternakan yang terbesar di kota itu. Tidak sukar bagi seseorang untuk menemukan alamatnya. Penduduk yang ditanyanya itu segera menunjuk ke arah seorang gadis cantik yang sedang menggembala kambing seraya berkata kepada Ya’akub; "Kebetulan sekali, itulah dia puterinya Laban yang akan dapat membawamu ke rumah ayahnya. Dia bernama Rahil."
Dengan hati yang berdebar, pergilah Ya’akub menghampiri si gadis yang ayu dan cantik itu, lalu dengan suara yang terputus-putus seakan-akan ada sesuatu yang mengikat lidahnya, baginda mengenalkan diri, bahawa baginda adalah saudara sepupunya sendiri. Ibunya yang bernama Rifqah adalah saudara kandung dari ayah si gadis itu. Selanjutnya baginda menerangkan kepada gadis itu bahwa dia datang ke Fadam A’raam dari Kan’aan dengan tujuan hendak menemui Laban, ayahnya untuk menyampaikan pesanan Ishaq, ayah Ya’akub kepada gadis itu. Maka dengan senang hati seta sikap yang ramah dan muka yang manis, disilakan Ya’akub mengikutinya berjalan menuju rumah Laban bapa saudaranya.
berpeluk-pelukanlah dengan mesranya si bapa saudara dengan anak saudara, menandakan kegembiraan masing-masing dengan pertemuan yang tidak disangka-sangka itu dan mengalirlah pada pipi masing-masing air mata yang dicucurkan oleh rasa terharu dan sukcita. Maka disiapkanlah oleh Laban bin Batu’il tempat dan bilik khas untuk anak saudaranya Ya’akub yang tidak berbeza dengan tempat-tempat anak kandungnya sendiri di mana ia dapat tinggal sesuka hatinya seperti di rumahnya sendiri.
Setelah selang beberapa waktu tinggal di rumah Laban, bapa saudaranya sebagai anggota keluarga disampaikan oleh Ya’akub kdp bapa saudranya pesanan Ishaq ayahnya, agar mereka berdua dapat berbesan dengan mengahwinkannya kepada salah seorang dari puteri-puterinya. Pesanan tersebut di terima oleh Laban dan setuju akan mengahwinkan Laban dengan salah seorang puterinya, dengan syarat sebagai maskahwin, ia harus memberikan tenaga kerjanya di dalam perusahaan penternakan bakal mentuanya selama tujuh tahun. Ya’akub menyetujuinya syarat-syarat yang dikemukakan oleh bapa saudaranya dan bekerjalah ia sebagai seorang pengurus perusahaan penternakan terbesar di kota Fadan A’raam itu.
Setelah mas tujuh tahun dilampaui oleh Ya’akub sebagai pekerja dalam perusahaan penternakan Laban, baginda menagih janji bapa saudaranya yang akan mengambilnya sebagai anak menantunya. Laban menawarkan kepada Ya’akub agar menyunting puterinya yang bernama Laiya sebagai isteri, namun anak saudaranya menghendaki Rahil adik dari Laiya, kerana dia lebih cantik dan lebih ayu daripada Laiya yang ditawarkannya itu. Keinginan baginda diutarakannya secara terus terang oleh Ya’akub kepada bapa saudaranya, yang juga dari pihak bapa saudaranya. Dia memahami dan mengerti isi hati anak saudaranya itu. Akan tetapi adat istiadat yang berlaku pada waktu itu tidak mengizinkan seorang adik melangkahi kakaknya kahwin lebih dahulu. kerananya sebagi jalan tengah agak tidak mengecewakan Ya’akub dan tidak pula melanggar peraturan yang berlaku, Laban menyarankan agar anak saudaranya Ya’akub menerima Laiya sebagai isteri pertama dan Rahil sebagai isteri kedua yang akan di sunting kelak setelah ia menjalani mas kerja tujuh tahun di dalam perusahaan penternakannya.
Ya’akub yang sangat hormat kepada bapa saudaranya dan merasa berhutang budi kepadanya yang telah menerimanya di rumah sebagai keluarga, melayannya dengan baik dan tidak dibeza-bezakan seolah-olah anak kandungnya sendiri, tidak dapat berbuat apa-apa selain menerima cadangan bapa saudaranya itu. Perkahwinan dilaksanakan dan kontrak untuk masa tujuh tahun kedua ditanda-tangani.
Begitu masa tujuh tahun kedua berakhir dikahwinkanlah Ya’akub dengan Rahil gadis yang sangat dicintainya dan selalu dikenang sejak pertemuan pertamanya tatkala ia masuk kota Fadan A’raam. Dengan demikian Nabi Ya’akub beristerikan dua wanita bersaudara, kakak dan adik, hal mana menurut syariat dan peraturan yang berlaku pada waktu tidak terlarang akan tetapi oleh syariat Muhammad SAW keadaan sebegini telah diharamkan.
Laban memberi hadiah kepada kedua puterinya iaitu kedua isteri Ya’akub seorang hamba sahaya untuk menjadi pembantu rumahtangga mereka. Dan dari kedua isterinya serta kedua hamba sahayanya itu Ya’akub dikurniai dua belas anak, di antaraya Yusuf dan Binyamin dari ibu Rahil sedang yang lain dari Laiya.

Kisah Nabi Ya’akub Di Dalam Al-Quran
Kisah Nabi Ya’akub tidak terdapat dalam Al-Quran secara tersendiri, namun disebut-sebut nama Ya’akub dalam hubungannya dengan Ibrahim, Yusuf dan lain-lain nabi. Bahkan kisah ini adalah bersumberkan dari kitab-kitab tafsir dan buku-buku sejarah.

___________________________

sumber:

Encyclopaedia of Islam, Martijn Theodoor Houtsma (M. Th. Houtsma)




Wednesday, October 31, 2012

5 Lagu Nasyid Tentang Ibu Paling Layan ~



Aku suka mendengar musik, lebih-lebih lagi lagu yang mempunyai sari kata yang baik. Salah satu tema lagu yang aku sukai adalah lagu berkaitan ibu. Siapa yang tidak sayang pada ibu, bukan? Di sini, aku senaraikan lima buah lagu berkaitan ibu yang cukup mempengaruhi hidupku...


Tajuk Nasyid : Delusi Ummi
Artis : NICE
Album : Istimewa Tiada Dua


Kau sentuh cahaya dengan jemari mu
Dibalik tabir mimpi di raungan merindu
Mengimbas figura di kesumba senja
Tak siapa mendengar ratap hati bonda
Di hadap ranumnya kasih yang manis bermadu
Mengapa kau hanya mengunyah pahit hempedu
Ummi engkau berdelusi
Impian ilusi
Mimpi jadi ngeri mengusik dinihari
Ummi engkau kehampaan
Dambaan igauan janji hanya mainan
Gurauan di bibir kau kutip jadi sandaran

Keperitan itu teman mu yang sejati
Di hujungnya bahgia menanti
Bersama harapan dan pengorbanan diri
Terus berbakti
Resahmu sembunyi dalam riuh ketawa
Sebak dada tidak ketara
Tenangnya wajah tabah kau hadapi
Kerana kau yakin Tuhan lebih mengasihi
Ummi…



Tajuk Nasyid : Lafaz Yang Tersimpan
Artis : Unic
Album : Tika Itu


Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya
Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia
Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan



Tajuk Nasyid : Azimat Ibunda
Artis : Fareast
Album : Halawatul Iman


Langit kirmizi menghantar dirimu menuju jalan pulang
Hari-hari indah bersamamu bertabur di tanah kenangan
Wajah berona simpati kau tatapi buatkali terakhir
Sedih dan sayu dari kamar atma mengundang air mata

Hanya rindu dan doa buatmu
Semoga kau tenang dan bahagia
Agar Syurga menjadi milikmu
Bukan hanya di telapak kakimu

Menumpang di segenap ruang yang ada di lubuk perkasihan
Begitu indah setiap detik di dalam rahimmu
Sehingga teramat asyik setiap saat di pangkuanmu
Keperitan itu kau rasa indah demi anakmu

Setitis air mata ibu yang gugur kerana kesedihan
Segaris luka di hati ibu kerna kederhakaan
Tertutup pintu syurga jika tiada keampunannya
Azimat ini ku tanam di lubuk hati yang dalam

Di tirai malam aku bersandarkan pada dinding kepiluan
Bersenandungkan merdu suara alam terlena di rajutan rindu
Tiada yang terindah di dunia dapat mengganti hilangmu
Pilihan yang terbaik takkan dapat mengisi relung hatimu



Tajuk Nasyid : Belaian Ibu
Artis : Hijjaz
Album : Damai

Tertanam naluri keibuan amat mendalam
Di jiwa insan yang mendambakan kebahagiaan
Oh ibu
Di bahumu tergalas beban
Perjalananmu penuh rintangan
Kau titipkan kasih sayang
Sejujur pengorbanan
Tak ku nafikan

Di saat kita berjauhan
Rasa ingin ku berlari
Mendakapimu penuh girang
Bak si kecil kehilangan
Kau insan penyayang
Betapa ku merindu
Lembutnya belaian ibu
Membuatku terlena

Di wajah terlukis tenang
Debar di dada kau rahsiakan
Ku pastikan dikau aman
Dikurnia sejahtera
Tak ku lupakan

Di saat kita berjauhan
Rasa ingin ku berlari
Mendakapimu penuh girang
Bak si kecil kehilangan
Tiada aku tanpa ibu
Hanya (kau) satu didunia
Bertakhta dikau dijiwaku
Kau lah ibu yang tercinta
Kau insan pengasih
Betapa aku mengharap
Hadirnya restumu ibu
Membawaku ke syurga

Bersemi belaian kasih sayang nan berpanjangan
Darimu insan yang mendoakan kebahagiaan anak-anakmu
Oh Ibu


Tajuk Nasyid : Permataku
Artis : Mirwana
Album : Hikmah Kembara


Sunyi selubungi malam
Mengusik minda yang terlontar jauh
Masih hangat terasa tangan yang membelai
Yang mengusik manja
Daku damba kasihmu 
Biar jadi pedoman
Buat penyuluh jalan
Ku gapai impian 

Angin kau nyanyikan lagu
Untuk permataku tenang selalu
Bayu sampaikan berita
Aku kini ceria aman dan bahagia

Selimutkan rinduku bersama malammu

Hadirlah dalam mimpiku
Agar kau selalu ada disisiku
Rindu belaian kasihmu
Rindu senyumanmu penawar lukaku
Dengarkan laguku hadiah untukmu
Jasa dan baktimu ku tenang selamamya

Angin kau nyanyikan lagu
Kau nyanyikan lagu tenang selalu
Bayu sampaikan berita
Daku kini ceria aman dan bahagia
Selimutkan rinduku bersama malammu

Dikaulah cahaya tika malam menjelma
Kasihmu membawa ke Syurga
Taat pada yang Esa



Wednesday, October 24, 2012

Musafir Menuju Ilahi


Bukan sebentar aku menunggu, malah sudah  penat aku menyabarkan diri, akhirnya saat yang dinantikan tiba menghampiri.

Musafir yang bakal membawa kami menuju Ilahi semakin hampir. Musafir yang bakal menobatkan kami menjadi tetamu agong kepada Yang Maha Agung, Allah Azza Wa Jalla.

"Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Agong kepada Allah swt, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah swt perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya nescaya Allah swt ampunkan mereka". (Riwayat al-Nasa’iy dan Ibnu Majah)

Bas yang bakal membawa kami menuju ke Tanah Yang Diberkati mula mengengsot meninggalkan Bumi Syuhada Yang Disayangi. Bukan mudah untuk memilih pergi menunaikan ibadah Umrah ketika kemuncak musim panas dalam keadaan kami masih menunaikan ibadah puasa. Wang yang dibayar pula sekali ganda lebih mahal daripada biasa, ditambah dengan ramai sahabat-sahabatku yang memilih untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri di Malaysia membuatkan hatiku menjadi berbelah bagi. Lebih mencabar, di sana nanti pasti kami bakal bersesak-sesak dengan jutaan umat manusia daripada seluruh pelusuk dunia untuk sama-sama mencapai kelebihan beribadat di sana.

Namun, aku tetap membulatkan tekad untuk pergi menunaikan ibadah Umrah pada penghujung bulan Ramadhan walau dengan kepayahan yang bakal dipunggak. Benar, bukan mudah untuk melaksanakan ibadah yang mana pahalanya akan dilipat berkali-kali ganda. Aku, malah kami semua maklum akan fadilat melaksanakan ibadah Umrah pada bulan Ramadhan.


Dalam hadis, Rasulullah pernah menjelaskan kepada wanita Ansar, Ummu Sinan mengenai kelebihan umrah pada bulan ini.

Baginda bersabda bermaksud: 
“Apa yang menghalangmu untuk melakukan haji bersama kami?” Wanita itu menjawab: “Keldai yang ada pada kami yang satu dipakai oleh ayahnya si polan (suaminya) untuk mengerjakan haji bersama anaknya, manakala yang lain dipakai untuk memberi minum anak kami.” Baginda bersabda lagi: “Umrah pada Ramadan sama dengan mengerjakan haji atau haji bersamaku.”

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
“Melakukan umrah pada bulan Ramadhan menyamai ibadah haji.”
Siapa yang tidak mahu memiliki pahala seperti melaksanakan ibadah haji?


Memasuki Arab Saudi

Alhamdulillah, musafir kami bermula dengan agak baik walaupun mendapat sedikit kesulitan akibat karenah birokrasi Arab yang mempunyai ego yang tinggi. Bas kami terus meluncur sehingga tiba di sempadan negara Arab Saudi. Kami berhenti untuk berbuka puasa sebelum meneruskan baki perjalanan yang masih jauh.

Dari kota Maan menelusuri daerah padang pasir kontang Arab Saudi. Bas yang dinaiki berhenti sebentar selepas jauh berjalan, mengizinkan kami untuk berehat. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam, namun aku masih kedengaran bunyian jemaah daripada surau berdekatan seakan melaksanakan solat. Solat apakah pada tengah malam ini? Rupanya, di sini mengamalkan sunat tahajjud secara berjemaah.

Bas sekali lagi berhenti bagi mengizinkan pemandu bas untuk berehat. Kali ini, destinasi persinggahan kami adalah daerah Khaibar. Khaibar yang suatu masa dahulu pernah dimandihi darah hasil perjuangan para mujahid Islam untuk menawan Kota Yahudi Khaibar yang utuh terbina. Namun dengan izin Allah, pintu kota yang tidak mampu dibuka melainkan dengan kekuatan 70 orang pemuda mampu diranapkan oleh Saidina Ali keseorangan. MasyaAllah!

Tatkala matahari sudah mula tegak memacak di dada langit, kami tiba juga di Tanah Suci Madinah. Selajur kisah nabawiah kami tuturi. Terasa sebak di dada mengenangkan perjuangan kekasih kami bersama para sahabat untuk menyebarkan seruan Islam ke serata pelusuk alam. Kami mula mengambil tempat di Dzulhulaifah Abyar 'Ali untuk menunaikan solat Jumaat, seterusnya menunaikan miqat umrah di sana.


Seusai solat Jumaat, kami mula mandi sunat sebelum mengenakan pakaian ihram.


Musafir Ini Semakin Hampir

Bas yang dinaiki mula bergerak menuju Makkah Al-Mukarramah. Kali ini, kami diuji dengan ujian yang dirasakan cukup berat. Dalam keadaan cuaca yang begitu terik, bas kami pula menghadapi masalah akibat penghawa dingin yang tidak berfungsi. MasyaAllah! Panasnya seakan berada di bilik saauna, malah mungkin lebih panas lagi. Namun kami tetap terus bertalbiah.
"Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan ni'kmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu."
Keadaan mula kelam. Kerlipan bintang semakin galak menyinar. Kawasan sekitar yang sedari tadi hanya kontang kini mula disinari cahaya kalimantang serta bangunan yang mekar berkembang. Kami tahu, kota Makkah tidak jauh lagi. MasyaAllah! Segala puji bagi Allah. Talbiah yang pudar kini semakin dinyaringkan. Cahaya Menara Jam sudah mula kelihatan daripada kejauhan. Sinaran lasernya menunjukkan bahawa telah masuknya waktu solat Fardhu. Laser itu terus memancar selama setengah jam selepas azan dikumandangkan.


Permusafiran yang memakan masa selama 18 jam itu kini sudah berada di penghujung destinasinya. Barangan yang dibawa mula dipunggah dan dibawa naik ke dalam bilik hotel masing-masing


Hamba-Mu Datang Menyahut Panggilan-Mu

Tidak lama kami berada di hotel, kami terus bergegas menuju ke Masjidil Haram untuk melaksanakan tuntutan Umrah yang difardukan ke atas semua umat Islam.

Ibnu Umar RA pernah berkata :
 “Tidak ada seorang pun kecuali diwajibkan atasnya satu kali haji dan umrah” (Al-Bukhari)
Seperti diduga, keadaan di persekitaran Masjidil Haram penuh sesak dengan jemaah manusia walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Kami seperti yang lain terpaksa berengsot untuk memasuki Baitullah. Debaran semakin terasa, Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam semakin mampir.

Memasuki Pintu Dar Salam, menyelosori sunnatullah, tersergam binaan Kaabah di hadapan mata kami. Binaan yang selalu terlihat di corengan lukisan dan gambaran ini jelas berdiri di hadapan kami. Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu! Begitu besar sekali nikmat yang diberikan ini. Syukur padaMu Ya Allah.

Kami memulakan Umrah kami dengan meminum air Zamzam, menyusuri tauladan yang diajar oleh kekasih kami Rasulullah yang tercinta. Kemudian, kami bersama-sama para jemaah lain melaksanakan tuntutan tawaf sebanyak tujuh kali. Terasa begitu nikmat mengerjakan ibadah di rumah-Mu ini ya Allah.

Seusai melaksanakan tawaf - melazimi seperti apa yang dilaksanakan oleh para Malaikat di atas sana, kami beralih menuju ke Safa', melaksanakan ibadah saie. Seperti mana yang pernah dilakukan oleh ibu kita Hajar tatkala mencari air untuk anaknya Ismail. Saat bekalan sudah ketandusan, Hajar meninggalkan bayinya di tanah tandus keseorangan yang kini menjadi sumur Zamzam. Berharap dapat menemui pertolongan atau sumber air, Hajar berlari mendaki Safa. Melihat tiada apa di sana, si ibu beralih ke bukit Marwah pula, terus berbolak-balik sebanyak tujuh kali. Seperti itu juga yang kita laksanakan, semoga ada ikhtibar yang dapat diamalkan.

Saie itu sendiri bermakna pencarian. Langkahan yang diambil pula dengan penuh tujuan, moga ibadah ini bukan sekadar simbolan, sebaliknya melahirkan insan yang mahukan berTuhan.

Musafir ini, musafir menuju Ilahi. Musafir ini, adalah panggilan Agong, menjadi tetamu Agung untuk berada di tempat yang Agung. Biar penat yang dirasai, kerana tahu ada manis yang tersembunyi. Moga musafir Agong ini beroleh natijahnya, Amin.

Puasa Sunat Hari Arafah




PADANG Arafah dinamakan demikian kerana menurut sebahagian ulama, Nabi Adam AS dipertemukan kembali ('arafa) dengan Siti Hawa setelah kedua-duanya diturunkan dari Syurga. Sebahagian pendapat menyatakan perpisahan mereka selama lebih kurang 200 tahun. Mereka berdua bertemu kembali di Padang Arafah.

Lokasi Arafah terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram sejauh 22 kilometer (km) dan ia dianggap sebagai kawasan Tanah Haram.

Jemaah haji hendaklah wukuf (berada) di Arafah pada 9 Zulhijjah, kerana jika tidak maka hajinya tidak sah. Kerana ia adalah rukun haji.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Haji adalah (wukuf) di Arafah." Ketika berada di Arafah pada 9 Zulhijjah hendaknya jemaah memperbanyak doa, berzikir, membaca al-Quran, talbiah dan lain-lainnya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah."
Ibadah wukuf di Arafah adalah "kemuncak" ibadah haji. Semasa wukuf di Arafah jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT. Ini saat seseorang hamba kembali kepada Penciptanya untuk mendapat keampunan dan keredaan-Nya. Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak lagi melakukan dosa, maka bayangan Syurga akan dapat digapai.



Puasa hari 'Arafah (9 Zulhijjah)

Disunatkan berpuasa sunat Arafah kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah SAW telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari 'Arafah, sabdanya bermaksud: 
"Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Riwayat Muslim dan al-Turmuzi)

Menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag." (Diriwayat oleh Muslim) 


Adakah sunat berpuasa pada hari ‘Arafah itu ada pengecualian?


Ya. Dikecualikan dari jamaah haji. Mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut sebagai mencontohi Nabi SAW dan juga untuk menjaga kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari itu.

Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w. berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya (Riwayat Imam Muslim).

Malah terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.;
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah” (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim).



Kelebihan Puasa Sunat Hari Arafah

Antara kelebihan puasa sunat hari `Arafah ialah:

1)  Diampuni dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.

Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَ الْبَاقِيَة 
“Puasa itu (puasa hari `Arafah) dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.” (HR Muslim)

2)  Amalan terbaik yang disukai ALLAH Ta`ala kerana ia termasuk dari 10 hari pertama dari bulan Dzulhijjah. 

Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
مَا مِنْ اَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا اَحَبُّ اِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الْاَيَّامِ, يَعْنِي اَيَّامَ الْعَشْرِ, قَالُوا:  يَا رَسُولَ اللهِ, وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟  قَالَ:  وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ, اِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ شَيْءٌ 
“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).”
Para sahabat bertanya: ”Walaupun berjihad di jalan ALLAH?”
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:  “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”(HR al-Bukhari)


3)  Hari yang paling banyak dibebaskan dari api neraka.

Dari `A’isyah radhiAllahu `anha berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
َمَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَة
“Tidak ada hari yang lebih ramai ALLAH Ta`ala membebaskan hambaNYA daripada api neraka lebih daripada hari `Arafah.” (HR Muslim)


Semoga ALLAH Ta`ala memberikan kita hidayah dan taufiq untuk dapat melaksanakan ibadah puasa sunat hari `Arafah dan mengecapi kelebihan-kelebihan daripadanya, amin…


—
Rujukan:

Monday, October 1, 2012

Risalah Saidina Umar Kepada Musa Asy'ari



بسم الله الرحمن الرحيم 

رسالة عمر بن الخطاب 

إلى أبى موسى الأشعري عندما ولاه قضاء الكوفه
" من عبد الله عمر أمير المؤمنين …………….. إلى عبد الله بن قيس
"

أما بعد – فإن القضاء فريضة محكمة وسنة متبعة فأفهم إذا أدلى إليك وأنفذ إذا تبين لك فإنه لا ينفع تكلم بحق لا نفاذ له.

آس بين الناس في مجلسك وفى وجهك وقضائك حتى لا يطمع شريف في حيفك ولا ييأس ضعيف من عدلك . 
البينة على من أدعى واليمين على من أنكر ، والصلح جائز بين المسلمين إلا صلحا أحل حراما أو حرم حلالا ولا يمنعك قضاء قضيته بالأمس فراجعت فيه نفسك وهديت فيه لرشدك أن تراجع فيه الحق فإن الحق قديم لا يبطله شيء.


والرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل ومن ادعى حقا غائبا أو بينة فأضرب له أمداً ينتهي إليه ، فإن بينه أعطيته بحقه وإن أعجزه ذلك استحللت عليه القضية ، فإن ذلك أبلغ للعذر وأجلى للعمى.
الفهم ………. الفهم فيما أدلى إليك مما ورد عليك مما ليس في قرآن ولا سنة قم قايس الأمور عندئذ وأعرف الأمثال ثم أعمد فيما ترى إلى أقربها إلى الله وأشبهها بالحق ، المسلمون عدول بعضهم على بعض إلا مجربا عليه شهادة زورا ومجلودا في حد أو ظنيناً في ولاء أو قرابة ، فإن الله تولى من عباده السرائر وستر عليهم الحدود إلا بالبينات والإيمان.


وإياك والغضب والقلق والضجر والتأذي بالخصوم والتنكر عند الخصومات فإن القضاء في مواطن الحق مما يوجب الله به الأجر ويحسن به الذكر فمن خلصت نيته في الحق ولو على نفسه كفاه الله ما بينه وبين الناس ومن تزين بما ليس في نفسه شانه الله فإن الله تعالى لا يقبل من العباد إلا ما كان خالصا فما ظنك بثواب عند الله في عاجل رزقه وخزائن رحمته.
" والسلام عليكم ورحمة الله




Amma ba’du.
Pengadilan adalah suatu kewajipan yang kukuh dan nyata, dan suatu sunnah yang berkesinambungan. Fahamilah apa yang disampaikan kepadamu, kerana tidak ada gunanya ucapan yang hak apabila tidak dilaksanakan.

Dalam majlis perlakukan semua orang dengan sama baiknya supaya orang yang berkedudukan tidak mengharapkan kezalimanmu, dan orang yang lemah tidak takut kepada kezalimanmu.

Bukti harus dikemukakan oleh orang yang menuduh dan sumpah harus dikeluarkan oleh orang yang mungkir. Perdamaian sesama Muslim diperkenankan, tetapi berdamai untuk menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal jangan dilakukan.
Keputusan perkara yang kelmarin boleh dibatalkan apabila kamu sudah mempertimbangkan kembali dan memperoleh petunjuk yang benar. Sesungguhnya kebenaran adalah suatu hal yang tetap dan mengulang untuk memperoleh yang hak lebih baik daripada tetap dan terus-menerus dalam kebatilan.

Ingat! Gunakan pertimbangan akal sihat dan renungan hati nuranimu terhadap apa yang belum sampai kepadamu dari ajaran al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Pelajari contoh dan perumpamaan yang mirip dan jadikan itu sebagai bahan pertimbangan dan ukuran. Lalu pilihlah apa yang lebih disenangi oleh Allah dan yang menurut pertimbanganmu lebih mendekati yang hak.

Berikan hak yang mengandung ketidakpastian kepada orang yang menuntut atau tangguhkan sampai dia dapat membuktikannya dengan jelas. Kalau dia mampu membuktikannya maka kembalikanhaknya kepadanya. Kalau tidak, maka arahkan tuntutan balik terhadapnya, kerana hal itu akan menghilangkan keraguan dan lebih jelas daripada kekaburan dan juga untuk mengukuhkan alasan.

Kaum Muslimin harus menjadi saksi yang adil bagi yang lain, kecuali terhadap orang yang pernah didera kerana melakukan pelanggaran atau diketahui pernah menjadi saksi palsu, atau diketahui tidak setia dan tidak bertanggung jawab terhadap keluarga. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala rahsia.

Dia membiarkan kamu berbuat dalam hal yang syubhat (tidak pasti hukumnya).
Berhati-hatilah terhadap kegelisahan, keluhan, sifat mengganggu (merugikan) orang lain, dan mengingkari hak lawan yang benar.

Barang siapa yang mengikhlaskan niatnya di antara dirinya dengan Allah, Tabaroka wata’ala, walaupun itu merugikan dirimu sendiri maka Allah akan menjadi pelindungmu antara kamu dengan manusia.

Barang siapa yang berpura-pura memperindah peri laku di hadapan manusia, pada hal Allah mengetahui apa yang ada di balik hatinya, maka Allah akan membongkar apa yang disembunyikannya dan Allah akan menampakkan amal perbuatannya.


-Petikan dari Berita Harian.

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger