"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Sunday, October 6, 2013

PELANGI CINTA - Bab 1: Nasi Maqlubah


BAB 1
NASI MAQLUBAH


“Oit! Kamu tak ada kelas ke Baen?”

Adoi, siapa pula yang ganggu masa keemasan aku ni? Malas la nak layan. Teruskan berbaring lagi baik.

“Kalau kamu tak de kelas, jom teman aku makan maqlubah. Aku belanja.”

Mendengar nama maqlubah disebut, spontan aku membuka mata. “maqlubah?” Terus aku terduduk. Minda sudah terbayang akan keenakan nasi Arab itu, ditambah ketika perut dalam kelaparan ini. Aduh!

“Agak dah. Kalau kamu dengar orang nak belanja makan, laju je ya. Hehe,” Syauqi tergelak sinis. Tidak susah untuk aku mengenali suara garaunya itu.

“Jom. Aku lapar ni,” aku terus bangun sambil mengibas-ngibas belakang baju dan seluarku.

“Kamu tahu, kamu la lelaki Melayu pertama yang aku tengok dengan selambanya tidur kat hamparan rumput ni. Selamba betul kamu ya.”

Aku hanya tersengih. Entah, aku tengok budak-budak Arab selalu tidur di hamparan rumput hijau ni. Macam best je. Itu yang aku saja nak cuba, dan memang selesa pun. Ditambah pada musim bunga yang mendamaikan. Terasa nikmatnya hidup. Malu? Buat apa nak malu? Bukan buat benda salah pun. Tapi kalau tidur di situ sambil berdengkur, memang memalukan.

Hehe.

Berjalan dari Fakulti Syariah menuju ke Mat’am Abbasi hanya mengambil masa lima minit sahaja. Menaiki sedikit tangga, melalui dataran Universiti Mu’tah yang dihiasi dengan kolam pancutan air yang tiada air, ditambah dengan longgokan remaja-remaja Arab yang bertugas mengusha  awek-awek Arab di kaki jalan, terus berjalan di hadapan perpustakaan, menaiki lagi tangga, dan sampai.

Bau haruman nasi maqlubah telah mencucuk-cucuk perutku. Kelaparanku semakin bertambah. Mat’am Abbasi, inilah kantin universiti yang terletak di pintu Junubi. Terdapat sebuah lagi kantin universiti yang terletak di pintu Syimali, Mat’am Ummawi namanya.

Tidak ramai pelajar yang makan ketika ini. Baguslah, tidak perlu beratur panjang. Selesai membayar dan mengambil makanan, kami terus duduk di penjuru hujung ruang makan.

“Aku tengok kamu tenang je, Baen. Dah habis imtihan ke?” Syauqi bertanya sambil mulutnya terus mengunyah nasi.

“Habis dah,” ringkas aku menjawab. Mahu menjiwai kelazatan nasi Arab yang sukar sekali didapati di Malaysia ini. “Ha, apapun syukran ya, belanja aku makan ni, hehe.”

“Kamu bab makan, laju la. Tapi badan tak juga gemuk-gemuk,” Syauqi menggeleng-geleng.

Aku terus melatah daging ayam bersama kentang yang dimasak sekali, membiarkan Syauqi yang mahu terus bersembang dengan aku. Sungguh nikmat, apatah lagi dimakan ketika lapar. Bertambah nikmat apabila dapat makan free.

Oh, cerita tentang makan membuatkan aku lupa untuk memperkenalkan diri aku. Nama aku, Faiz Faqiuddin bin Fauzi. Berusia 23 tahun, masih bujang, dan kini sebagai belajar tahun akhir di Universiti Mu’tah dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Fiqh wa Usul. Tinggal di Ipoh, Perak. Ayahku seorang guru, dan mak aku suri rumah yang paling berdedikasi.

Masih bujang?

Ya, masih bujang dan masih mencari cahaya hati. Mana tahu kalau tersangkut dengan awek Arab ke kan? Hehe. Tapi, mak aku dah pesan awal-awal dah, supaya cari calon tu dekat-dekat sikit, jangan jauh sangat. Mak cakap, kalau dapat dengan orang Ipoh, lagi baik.

Aku memang pelajar agama, dari sekolah menengah lagi aku dihantar ke Maktab Ahmadiah, sebuah sekolah agama yang terletak di utara Perak. Tapi entahlah, aku seakan tidak melihat diriku ini bakal menjadi seorang ustaz. Perangai pun pelik-pelik, suka usha perempuan pula tu. Nak beramal ibadat macam hero filem Tujuh Petala Cinta tu, memang taubat la aku tak buat. Tapi itulah hakikatnya, aku bakal bergelar ustaz juga bila pulang nanti.

Habis makan, Syauqi terus pulang ke rumah. Aku pula masih ada satu lagi kelas pukul satu petang nanti, kelas Talak bersama Dr. Ali Zukaily. Macam mahu ponteng pun ada, tapi muka aku ni, tak pernah lagi ponteng kelas. Tak boleh, kena datang juga ni. Kena jaga status sebagai pelajar yang hadir penuh dalam kelas, baru ada markah bonus, huhu.

Kelas bersama Dr. Ali memang tidak pernah mengantukkan. Mana tidaknya, setiap minit, pasti ada sahaja soalan yang ditanya kepada para pelajar. Jadi, mahu tidak mahu, kita kena sentiasa fokus. Kalau tak dapat jawab soalan, alamatnya kena sindir habis la dengan Dr. Ali, dan salah seorang pelajar yang pernah disindir kerana tidak dapat menjawab soalan adalah aku sendiri.

Pelajar tahun akhir tidak mampu menjawab soalan Dr. Ali, memang malu!

Habis kelas, aku terus cabut. Mata dah berpinar-pinar ni, hanya nampak katil sahaja. Awek yang lalu lalang pun aku tak pandang dah. Janji, aku dapat qailullah sebentar sebelum aku solat asar nanti. Tapi selalunya, qailullah aku meleret sampai dua tiga jam. Tak apa, asal dapat rehatkan diri selepas otak ini sudah penuh serabut dengan segala ilmu yang ditadah tadi.


Terima kasih para guruku.

Saturday, October 5, 2013

PELANGI CINTA - Sebuah Novel


Pelangi Cinta

Novel terbaru, under proses, huhu. Berkisar tentang krisis kehidupan watak utama, Faiz Faqiuddin dalam menempuh kehidupan sebagai pelajar tahun akhir fakulti Syariah di Universiti Mutah, Jordan. Kisah dia bersama lima sahabat BFF nya. Hidupnya seperti dia bukan pelajar agama, malah hobinya suka mengusha awek-awek Malaysia mahupun awek Arab. Teruk, kan?

Sehinggalah dia bertemu dengan Dhia Marsya.

Tapi, ini bukan kisah antara Faiz dengan Dhia Marsya, tetapi kisah tentang cinta itu patut diletakkan di mana. Mencintai sahabat itu jauh lebih baik, kerana itu salah satu cara untuk mendapat naungan Allah di Padang Mahsyar nanti.

Habis, ini cerita apa? Kenapa namanya Pelangi Amsterdam?

Mahu tahu, kena terus hayati novel ini sehingga ke akhir, insyaAllah. Moga mendapat sesuatu - jika tidak banyak, sedikit - pengajaran di dalam novel hingusan ini. Enjoy it!

"Mengapa perlu husnuzon, sedangkan kita mampu untuk berhusnuzon?"


Sinopsis

Khalid kata aku ni gila. Syauqi, Adam dan Ehsan turut bersutuju dengan dia. Aku gila? Aku hanya memecah masuk bilik warden, membuka pembesar suara, membuat ucapan awam secara terbuka dan melancarkan perang terhadap ustaz Azrul Hisyam, warden yang cukup aku benci. Adakah tindakan aku ini dianggap gila?

Biarlah, itu kisah ketika aku berada di tingkatan tiga. Dan asbab peristiwa itu, aku kini mula berubah menjadi ustaz, walaupun tidak sebiji seperti hero filem Tujuh Petala Cinta itu. Ustaz? Orang hanya panggil aku ustaz, kerana aku pelajar tahun akhir pengajian Syariah di Universiti Mutah. Kalau balik Malaysia nanti, aku mahu berlakon menjadi seorang jurutera la. Mengubati mesin yang mati jauh lebih mudah daripada merawat hati manusia yang sudah mati, kan?

Mati hati manusia kerana tidak jumpa jalan pulang, akhirnya silau dan sesat dengan cahaya yang diciptanya sendiri. Ada cahaya yang dianggapnya benar, tetapi cahaya yang dianggap menuju kepada Tuhan itu juga tetap silau, kerana cahaya menuju Tuhan hanya satu, bukan tujuh puluh dua. Apa, cahaya Syiah? Sudah, itu lagi mengarut. Nanti aku ceritakan dakyah sahabatku yang tersilau dengan cahaya Syiah itu.

Apapun, ini kisah aku, bukan kisah kamu. Kisah aku yang mencari cinta. Walau hakikatnya cinta itu seperti pelangi, indah di mata, namun fana di tangan. Bukan cinta monyet, kerana aku manusia tulen lagi asli. Salah cinta, hilang sahabat. Lebih parah, hilang aqidah dan maruah. Cinta itu pasti akan hilang, andai tidak kembali kepada Pencipta-Nya.


Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger