"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan KHALIFAH di BUMI.."
[Surah Al-Baqarah: 30]


Tuesday, August 7, 2012

Kelebihan Umrah Pada Bulan Ramadhan



Hukum menunaikan Umrah

Umrah diwajibkan ke atas manusia sekali seumur hidup jika mampu. Walau bagaimanapun penduduk Mekah tidak diwajibkan menunaikan umrah, hanya ibadah haji sahaja. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah : 196 yang bermaksud :
 Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah

Begitu juga daripada Ibnu Umar RA yang berkata :
 Tidak ada seorang pun kecuali diwajibkan atasnya satu kali haji dan umrah” (Al-Bukhari)


Antara hadis berkaitan kelebihan mengerjakan umrah:

1. Penghapusan dosa.
"Di antara satu umrah kepada satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya dan tidak balasan bagi haji mabrur melainkan syurga". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Menjadi Tetamu Agong Kepada Allah swt.
"Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Agong kepada Allah swt, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah swt perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya nescaya Allah swt ampunkan mereka". (Riwayat al-Nasa’iy dan Ibnu Majah)


3. Permintaan dikabulkan
Abi Suhail mendengar Abu Hurairah RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada tahun Haji Wada’ di Mekah:
“Para jemaah haji dan umrah adalah tetamu Allah SWT. Dia akan memenuhi apa yang mereka minta, mengabulkan apa yang mereka doakan, memberikan ganti kepada mereka atas apa yang telah mereka belanjakan dan melipat gandakan satu dirham untuknya menjadi sejuta dirham.” (al-Fakily, Muhammad Ibnu Ishak)



Kelebihan ibadat umrah pada Ramadhan

UMRAH atau ziarah ke tanah suci Makkah amat dituntut sepanjang Ramadhan. Perkara ini kerana ibadat itu dikerjakan di tempat suci iaitu Makkah dan pada bulan mulia, Ramadhan. Lebih-lebih lagi jika dilakukan pada sepuluh malam terakhir pada bulan tersebut.

Kerana itu tidak hairanlah dua tanah suci itu akan dipenuhi dengan para jemaah untuk mencari kelebihan malam lailatul qadar. Bayangkan pahala yang berlipat ganda jika kita beribadat pada malam tersebut. Pahalanya menyamai seperti beribadat seribu bulan, ditambah dilaksanakan di tanah suci, masyaAllah!

Dalam hadis, Rasulullah pernah menjelaskan kepada wanita Ansar, Ummu Sinan mengenai kelebihan umrah pada bulan ini.

Baginda bersabda bermaksud: “Apa yang menghalangmu untuk melakukan haji bersama kami?”
Wanita itu menjawab: “Keldai yang ada pada kami yang satu dipakai oleh ayahnya si polan (suaminya) untuk mengerjakan haji bersama anaknya, manakala yang lain dipakai untuk memberi minum anak kami.”

Baginda bersabda lagi: “Umrah pada Ramadan sama dengan mengerjakan haji atau haji bersamaku.”

Dalam hadis lain Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila datang bulan Ramadhan, kerjakanlah umrah kerana umrah dalamnya setingkat dengan haji.”
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
“Melakukan umrah pada bulan Ramadhan menyamai ibadah haji.”
Jemaah yang mengerjakan umrah pada bulan ini juga memperoleh banyak ganjaran disebabkan mereka mengerjakan ibadat lain di Masjidil Haram.

Masjidil Haram ialah masjid paling mulia di sisi Allah diikuti Masjid Nabawi, Masjid al-Aqsa dan Masjid Kiblatain.

Diriwayatkan, ganjaran pahala mengerjakan solat di Masjidil Haram menyamai 100,000 ganjaran.

Dalam hal ini, ulama mengkiaskan pahala solat seperti dinyatakan dalam hadis itu, bahawa ia turut meliputi ibadat lain seperti Qiamullail, membaca al-Quran dan iktikaf.
Di samping mengerjakan ibadat umrah seperti tawaf dan saie, jemaah berpeluang mengunjungi Masjid Nabawi.

Dalam hadis lain, Rasulullah menjelaskan, ganjaran mengerjakan solat di masjid itu menyamai 1,000 pahala

_________________

Rujukan:

Keistimewaan Makkaah, oleh Ummu Ammar, Editor: Raja Mariam Raja Mohd Iskandar, Halaman 86-87

0 comments:

Post a Comment

Renungan bersama...

Sebarkan ilmu walau sedikit cuma. Mungkin ada percampuran ilmu yang tidak ilmiah disampaikan di dalam blog ini, namun harapannya agar semua lapisan masyarakat dapat mengambil sesuatu - kalau tidak banyak, sedikit - Tidak sekadar lapisan masyarat yang berilmu, mencintai ilmu dan yang punya kesedaran ilmu agama sahaja yang mendapat manfaatnya...

"Jika orang-orang ilmuan hanya mahu mengajar kepada orang-orang yang hanya ada kesedaran sahaja, orang-orang yang masih belum mendapat kesedaran pula, tanggungjawab siapa?"
 

khalifahBumi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger