Menjejak kaki ke sana, jiwaku diragut rasa takjub. Seakan kini aku bukan
berada di bumi ambiya, Jordan. Sebaliknya jasadku seakan terbang melayang ke
kota Rome, Itali. Itulah perasaanku ketika kali pertama aku menjejak kaki ke kota
Jerash yang terletak di utara Jordan, berjarak hanya 35 kilometer daripada ibu
negara, Amman.
SEJARAH BANDAR JERASH
Bandar Jerash ini turut mencatat sejarahnya yang panjang. Pernah
dipanggil Gerasa ketika kota ini dikuasai oleh Jeneral Pompeii dari Rom Timur.
Bandar ini dipengaruhi oleh rakan perdagangan dan sekutunya daripada kerajaan
Arab Nabatean dalam perbagai aspek. Tahun 395 Masihi menyaksikan agama Kristian
menjadi agama dominan di Jerassah. 219 tahun kemudian, kota ini dikuasai pula
oleh Parsi yang membinasakan hampir kesemua monumen mereka.
Membalas serangan, kerajaan Rom di bawah pimpinan Maharaja Hercules pada
tahun 627 Mahsihi telah merampas semula Jerash dan kerajaan Arab Ghassan di
bawah pemerintahan mereka. Tidak bertahan lama, Islam mula menguasai kota
rebutan itu pada tahun 636 Masihi. Kota itu mencapai kemuncak kegemilangannya
pada zaman Umawiah. Pada zaman tersebut, kota ini terkenal sebagai lombong
perak dan gangsa di samping kawasan industri tembikar.
Tahun 749 Masihi, Jerash dilanda gempa bumi yang menyebabkan populasi
penduduknya merudum kepada 4000 orang sahaja.
Jerash tidak terkecuali daripada bahang Perang Salib apabila Raja
Baldwin cuba menguasainya namun gagal. Pada percubaan mereka menguasai Syria, tentera
salib telah memusnahkan sebahagian Jerash dan membakarnya. Pada zaman Turki
Uthmaniah, Bandar ini dipelihara dan masjid telah didirikan. Jerash telah
menjadi daerah di bawah kerajaan Jordan dengan mandat British sehinggalah
Jordan mencapai kemerdekaan pada tahun 1946.
Begitulah serba sedikit sejarah panjang yang dilalui oleh kota lama ini.
Memasuki Bandar ini, monumen pertama yang kelihatan daripada jauh adalah
sebuah pintu gerbang besar yang begitu cantik, seakan pintu gerbang yang
terdapat di Kota Paris. Perasaanku untuk menjelajah kota lama Jerash semakin
membuak-buak, lebih-lebih lagi apabila mendapati bahawa ini adalah kota
kerajaan Rom yang terbesar dan terlengkap, yang terletak di luar negara Itali.
MEMASUKI KOTA LAMA JERASH
Van yang dinaiki telah berhenti. Kami lalu berjalan menuju ke pintu
masuk kota lama Jerash yang menempatkan monumen dan binaan kota Rom. Cuaca di
awal musim sejuk begitu menyenangkan. Perjalanan pada waktu sebegini pasti
tidak meletihkan. Selesai membuat pembayaran, kami mula meneruskan langkahan.
Di hadapan Arka Hadrian
Memasuki kota lama Jerash, kami disajikan dengan binaan pintu gerbang
besar yang aku sedari tadi telah melihatnya. Rupanya itu adalah Arka Hadrian
yang dibina sempena lawatan Maharaja Hadrian ke Gerasa pada tahun 129 Masihi.
Arka ini dibina sebagai gerbang utama di bahagian selatan.
Melewati arka besar itu, kami mula mendengar suara
riuh rendah daripada dalam. Rupanya, satu pertunjukan akan diadakan sebentar
lagi. Kami tidak melepaskan peluang untuk melihatnya. Pertunjukan itu dibuat di
sebuah arena besar yang bernama Hippodrome. Arena ini dibina bagi menyaksikan
perlumbaan kereta kuda dan sukan-sukan lain. Ketika kami tiba, kelihatan mereka
sedang mengadakan pertunjukan perlumbaan kereta kuda, siap dengan pakaian ala
Rom Sungguh menghiburkan.
selesai menonton pertunjukan
Kami meneruskan langkahan. Kelihatan dinding-dinding
kota masih utuh berdiri. Corak dan ukiran daun Acanthus masih dipelihara.
Sungguh kota lama itu cukup besar. Begitu banyak monumen yang menarik
perhatian. Kami akhirnya memilih untuk bergerak ke Teater Rom atau collusion
dahulu sebelum pergi ke monumen-monumen yang lain.
Teater Rom Selatan kami masuki. Ia boleh menempatkan
lebih 3000 orang. Sungguh menakjubkan berada di dalamnya. Begitu besar dan
masih cantik. Kelihatan warga Arab sedang bernyanyi dan menari di atas pentas.
Suara mereka boleh didengari daripada atas. Sesetengah tempat duduk boleh
ditempah dan tulisan Greek masih kelihatan. Terdapat dua laluan menuju ke
okestra dan empat laluan di belakang teater yang menghubungkan barisan-barisan
atas tempat duduk.
di atas pentas collusium bersama si kembar yang comel
Di tengah-tengah kota lama ini, terdapat sebuah Medan
Bujur. Medan ini dikelilingi kaki lima yang luas dan di tengahnya terdapat dua
kolam pancutan air yang dibina pada kurun ke tujuh. Barisan tiang dibina
daripada senibina Yunani. Medan Bujur yang tidak bersimetri ini dianggap aneh
bagi bandar-bandar klasik, tetapi ia mempunyai peranan yang khusus iaitu
membenarkan paksi barat laut Kuil Zeus agar selari dengan paksi Utara - Selatan
Cardo dan seluruh bandarnya.
Menuju ke Cardo
Tanpa sedar, kami berada di permulaan Cardo. Cardo
pula letaknya di utara kota lama Jerrash.
Sepanjang perjalanan menuju ke Utara kota, kami
disajikan dengan pemandangan jajaran tiang yang indah. Batu-batu asal masih
kekal di jalan jajaran tiang dan kesan roda kereta kuda juga masih kelihatan
pada jalan. Cardo sepanjang 800 meter ini merupakan tulang belakang senibina
dan tumpuan kegiatan penduduk Gerasa. Jalan jajaran ini telah dilebarkan ke
bentuk Corinthian seperti yang dilihat pada hari ini. Kedai-kedai juga
dahulunya dibina di kaki lima jalan ini.
berpoyo sebentar
Terdapat juga sistem kumabahan bawah tanah yang
mengalir di sepanjang Cardo serta lubang-lubang yang wujud di tepi jalan bagi
mengalirkan saliran air hujan. Struktur-struktur terpenting bandar ini telah
diatur di sekeliling Cardo termasuk pasar, kuil, pancutan air, dan
binaan-binaan awam yang lain. Ketika melalui jalan ini, kelihatan beberapa
monumen penting dan bangunan awam seperti Agora.
bersambung di siri kedua...
No comments:
Post a Comment