Di hadapan mata air Nabi Musa
Madaba, sebuah tempat penempatan terbesar bagi masyarakat Kristian di
Jordan. Penduduknya bukan berasal daripada bangsa Arab Jordan juga, tetapi
merangkumi kesemua bangsa di seluruh dunia. Bagi mereka, Madaba merupakan salah
satu tempat suci bagi agama Kristian. Anggapan mereka, kawasan ini adalah
kawasan-kawasan awal perkembangan kristian. Pekan lama ini menyimpan sejarah
agama Kristian dan Yahudi yang tidak ternilai.
Bandar Madaba terkenal
dengan nama jolokan ‘bandar mozek’, dipercayai wujud sejak 4,500 tahun yang
lalu. Terkenal sebagai bandar kerajaan Moabiah dan disebut di dalam kitab
Taurat. Bandar Madaba pernah dikuasai oleh Kerajaan Ammoniah, Bani Israel,
Nabatean, Rum-Byzantium dan kerajaan Islam. Ia juga merupakan bandar utama yang
terletak di laluan Jalan Trajan yang menghubungkan Petra dan Bosra.
Penganut Yahudi percaya
bahawa di sinilah Nabi Musa mula menerima wahyu.
Penduduk
tempatan juga mempercayai bahawa di sinilah suatu masa dahulu, Nabi Musa
bersama bani Israil telah tersesat selama 40 tahun kerana mengingkari arahan
untuk memasuki kota yang dijanjikan. Kepercayaan mereka berasas, malah wujud
dua belas mata air seperti yang dikhabarkan di dalam Al-Quran, walaupun ramai
yang menganggap peristiwa itu berlaku di Sinai, Mesir.
Walau di mana
peristiwa itu berlaku, apa yang penting adalah ikhtibarnya, bukan lokasinya.
TANAH YANG
DIJANJIKAN
Puas sudah Nabi
Musa mengajak kaumnya agar memasuki tanah yang dijanjikan, tetapi kaumnya masih
enggan berganjak. Perbagai ganjaran, malah telah dijanjikan dengan kemenangan,
namun mereka langsung tidak menghiraukan. Ketakutan mereka menenggelamkan
kebenaran. Nabi Musa masih terus mengajak.
“Wahai kaumku!
Masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan
janganlah kamu berbalik ke belakang (kerana takut dengan musuh), nanti kamu
menjadi orang yang rugi.” (Surah
Al-Ma’idah: 21)
Namun, seruan
baginda ditolak mentah-mentah oleh kaumnya, “Wahai Musa! Sesungguhnya di
dalam negeri itu ada orang-orang yang sangat kuat dan kejam, dan kami tidak
akan memasukinya sebelum mereka keluar darinya. Jika mereka keluar sana,
niscaya kami akan masuk.” (Surah Al-Ma’idah: 22)
Begitulah sifat
kaum Yahudi. Mereka begitu penakut, walaupun tanah itu telah dijanjikan buat
mereka. Mereka tahu, jika mereka memasukinya, pasti kedatangan mereka akan
disambut dengan mata pedang. Pertempuran yang melibat pertumpahan darah pasti
akan tercetus jua. Mereka cukup takut. Bangsa Israil sememangnya bangsa yang
paling penakut.
Namun, di
kalangan umat Nabi Musa itu, terdapat dua orang pemuda yang menyahut seruan
jihad daripada baginda. Mereka berkata, “Serbulah mereka melalui pintu
gerbang (negeri) itu. Jika kamu memasukinya niscaya kamu akan menang. Dan
bertawakallah kamu hanya kepada Allah, jika kamu orang-orang beriman.” (Surah
Al-Ma’idah: 23)
Tetapi, nyalaan
semangat daripada dua pemuda tersebut dipadamkan dengan keegoan kaum-kaumnya
yang ingkar. Malah, mereka mencabar pula Nabi Musa dengan berkata, “Wahai
Musa! Sampai bila pun kami tidak akan memasukinya selama mereka masih ada di
dalamnya, kerana itu pergilah engkau bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu
berdua. Biarlah kami tetap (menanti) di sini saja.” (Surah Al-Ma’idah: 24)
Sedih melihat
kaumnya berkata sedemikian. Tiada harapan, Nabi Musa bermunajat kepada Allah
Taala, “Ya Tuhanku, aku hanya menguasai diriku sendiri dan saudaraku. Kerana
itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu.” (Surah
Al-Ma’idah: 25)
Allah itu Maha
Mendengar. Sebagai balasan atas keingkaran mereka, maka mereka disesatkan
selama empat puluh tahun.
(Allah)
berfirman, “(Jika demikian), maka (negeri) itu terlarang buat mereka selama
empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan mengembara kebingungan di bumi.
Maka janganlah engkau (Musa) bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang
fasik itu.” (Surah
Al-Ma’idah: 26)
Akibat daripada
keengganan mereka, maka tersesatlah mereka di sana, berpusing-pusing di tempat
yang sama. Bukannya sehari, bukan juga seminggu atau sebulan, tetapi empat
puluh tahun! Dalam tempoh tersebut, hati mereka digelapkan oleh Allah Taala.
Tidak berupaya mereka untuk mencari jalan keluar. Gurun itu menjadi wadah
pengajaran yang cukup berharga buat mereka.
Namun, Allah
masih melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka. Bani Israil yang ingkar itu tetap
dalam jagaan Allah. Dilindungi mereka dengan awan, dihujani mereka dengan
makanan Syurga.
Dan Kami
menaungi kamu dengan awan, dan Kami menurunkan kepadamu mann (sejenis madu) dan
salwa (burung puyuh). Makanlah (makanan) yang baik-baik dari rezeki yang telah
kami berikan kepadamu. Mereka tidak menzalimi Kami, tetapi justeru merekalah
yang menzalimi diri sendiri. (Surah
Al-Baqarah: 57)
Tidak cukup
dengan itu, di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, bani Israil juga
turut diberikan dua belas mata air sempena dengan dua belas kabilah besar
mereka. Mata air ini mengalir keluar daripada celahan batu, dan terus mengalir
keluar sehingga kini.
Dan Kami
membahagi mereka menjadi dua belas suku yang masing-masing berjumlah besar, dan
Kami wahyukan kepada Musa ketika kaumnya meminta air kepadanys, “Pukullah batu
itu dengan tongkatmu!” Maka terpancarlah dari (batu) itu dua belas mata air.
Setiap suku telah mengetahui tempat minumnya masing-masing.” (Surah Al-A’raf: 160)
Diberi betis,
mahu peha.
Bani Israil ini
memang satu kaum yang tidak tahu bersyukur. Dengan segala nikmat yang telah
dikurniakan kepada mereka, malah Allah tetap melimpahkan rahmat-Nya dalam
keadaan kaum itu ditimpa bencana, mereka tetap meminta kesenangan daripada
Rasul mereka. Tidakkah mereka tahu erti syukur? Tidak malukah mereka kepada
Rasul mereka sendiri? Kepada Allah?
Dengan limpahan
kesenangan yang dilimpahkan kepada mereka, mereka masih terus meminta kepada
Nabi Musa, “Wahai Musa! Kami tidak tahan hanya (makan) dengan satu macam
makanan saja, maka mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, agar Dia memberi kami
apa yang ditumbuhkan bumi, seperti; sayur-mayur, mentimun, bawang putih, kacang
adas, dan bawang merah.” (Surah Al-Baqarah: 61)
Sungguh tidak
sangka kaumnya bersifat begini. Mudah baginda menjawab, “Apakah kamu meminta
sesuatu yang buruk sebagai ganti dari sesuatu yang baik? Pergilah ke suatu
kota, pasti kamu akan memperoleh apa yang kamu minta.” (Surah Al-Baqarah:
61)
Lalu,
kaum-kaumnya yang tamak haloba itu ditimpa kenistaan dan kemiskinan akibat
perbuatan mereka sendiri.
Mendekati tahun
keempat puluh, wafatlah Nabi Harun di sana. Setahun kemudian, Nabi Musa pula
meninggalkan dunia. Genap empat puluh tahun, barulah bani Israil berjaya keluar
daripada kesesatan yang cukup panjang dan berjaya memasuki tanah yang
dijanjikan di bawah pimpinan Nabi Yusha’.
HIKMAH DI
SEBALIK ANGKA EMPAT PULUH TAHUN
Mata air Nabi
Musa itu kami nikmati. Airnya segar mendamaikan. Terasa bagai satu keajaiban.
Di tengah-tengah padang pasir yang tandus ini, mengalir padanya dua belas mata
air. Aliran air itu membuatkan kawasan di sekelilingnya turut subur. Pohonan
hijau lebat menumbuhi. Namun, hanya sekadar di situ sahaja kehijauan yang melata
di sebalik gersangnya sahara yang menenggelami kawasan.
Di sebalik
kisah bani Israil itu, pasti terselit padanya hikmah mengapa disesatkan mereka
sehingga empat puluh tahun lamanya. Tempoh itu cukup panjang. Maha Suci Allah
daripada melakukan sesuatu secara sia-sia.
Sebenarnya,
tempoh waktu yang cukup panjang itu digunakan untuk menghapuskan kesemua
manusia di kalangan bani Israil yang tidak suci hatinya. Dalam tempoh
tersebutlah mereka yang tidak ikhlas telah menemui kematian. Generasi baru yang
dipimpin oleh Nabi Yusha’ pula telah ditarbiah dan diajar oleh Allah SWT
melalui penderitaan di padang pasir tersebut.
Lantaran
tarbiah daripada Allah, generasi baru ini berjaya mengalahkan kaum Jabbarin,
sekaligus menawan kota Baitul maqdis.
Begitulah kisah
dan hikmah di sebalik kisah Nabi Musa bersama kaumnya yang bukan sahaja
penakut, malah tidak tahu erti syukur. Perjalanan yang cukup panjang sebelum
mereka berjaya juga menjejakkan kaki ke tanah yang dijanjikan. Benarlah,
perjuangan itu bukan mudah. Padanya perlu melalui satu perjalanan yang cukup
panjang.
Kami mula
meninggalkan Wadi Musa yang penuh dengan tinggalan sejarah. Melepasi puncak
tertinggi, terlihatlah di hujung sana sebuah kawasan hijau hasil daripada mata
air yang keluar daripada celahan batuan. Kehijauannya jelas kelihatan di
tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Rupanya, ada hijau di tanah
gersang.
No comments:
Post a Comment