salah sebuah dewan lama yang masih berdiri
Bandaraya Amman, ibu negara Jordan. Kota raya purba ini terus berkembang menjadi sebuah bandaraya moden seiring dengan kemajuan dunia. Dahulu, kota ini menjadi kota yang dikuasai oleh kerajaan Rom. Philadelphia nama kotanya. penduduknya hidup dalam kesesatan. Cahaya keimanan dipadamkan dengan keangkuhan si Maharaja yang menganggap dirinya sebagai seorang Tuhan yang wajib ditaati. Gelap kelam kota itu tanpa cahaya iman yang mampu menerangi.
Berada di puncak Jabal Amman, kami dapat melihat dengan jelas kota lama Rom yang masih berdiri teguh. Tiang-tiang tinggi yang merupakan simbol kemegahan mereka masih utuh terpacak. Pasar-pasar lama, dewan serta gereja juga masih belum dimamah bumi. Kawasan yang dikenali dengan nama Citadel itu kini menjadi tumpuan pelancong yang menyintai sejarah.
Dari puncak Citadel, kita juga dapat melihat keseluruhan Bandaraya Amman. Colluseum yang menjadi mercu tanda kerajaan Rom juga dapat dilihar dari puncak sana. Sungguh, kota yang terbina megah tidak akan bernilai apa-apa jika rakyatnya masih berkiblatkan berhala, bertuhankan manusia. Bukannya tiada insan yang mengabdikan diri kepeada Yang Esa kala itu, tetapi mereka yang diketahui keimanan mereka, tubuh mereka akan dibakar di tengah-tengah kota, disaksikan sekalian rakyat jelata.
Colluseum dapat dilihat di bawah sana
Namun, masih ada juga yang beriman, dan berjaya menyembunyikan keimanannya. Orangnya juga bukan calang-calang, bahkan memegang jawatan sebagai Penasihat Kanan Maharaja pula. Kebijaksanaannya membolehkan dia terus mempertahankan keimanannya tanpa dapat dihidu oleh pihak istana. Mereka semua percaya kepadanya.
Hingga akhirnya, Maharaja Rom datang mencemar duli melihat rakyat jelata. Datangnya Maharaja penuh kemegahan, dengan segala kemewahan terhidang di hadapan. Keangkuhan si Maharaja semakin hilang pertimbangan. Habis segala rakyat dipaksa untuk sujud kepadanya, kerana merasakan semua rakyatnya hanyalah hambanya.
Saat waktunya penasihat beriman itu datang menghadap di hadapan Maharaja, dengan segala keberanian dia berjalan dan berdiri di hadapan Maharaja, lalu berkatalah dia,
"Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi. Kami tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang jauh daripada kebenaran." (surah Al-Kahfi: 14)
Habis gempita istana mendengar pengakuan daripada penasihat Maharaja sendiri. Rupanya, penasihat itu tidak keseorangan dalam mempertahankan keimanan, malah terdapat lima lagi pemuda yang turut menyatakan keimanan.
Seperti disangka, keenam-enam pemuda beriman itu ditangkap dan dihumban ke penjara. Kala itu, mereka terus disiksa dengan segala mahunya, agar mereka berpaling daripada pegangan mereka mereka. Namun, keimanan mereka bukan palsu. Mana mungkin mereka mahu tunduk kepada berhala yang diciptakan daripada tangan mereka sendiri? Tidak mungkin Maharaja yang sifatnya sama seperti manusia yang lain boleh diangkat menjadi Tuhan?
Keteguhan keenam-enam pemuda itu akhirnya membuka hati ketua pengawal penjara. Dengan rela hati dia melafazkan keimanan, malah melepaskan pemuda-pemuda tersebut tanpa pengetahuan sesiapa. Secara penuh senyap dan berhati-hati, pemuda-pemuda tersebut terus melarikan diri, pergi keluar daripada kota yang penuh kejahilan.
Dalam mencari tempat perlindungan, mereka ketemu dengan seorang pengembala kambing bersama seeokor anjingnya. Dengan lapang hati, si pengembala bersama anjingnya mengalu-alukan kedatangan kesemua pemuda tersebut ke rumahnya. Bersama raut wajah kehairanan, si pengembala bertanya sopan mengapa mereka kelihatan gelisah, walau mereka dipakaikan dengan pakaian kebesaran. Pastinya para pemuda itu punya kedudukan dalam kerajaan.
Tanpa rasa wasangka, si penasihat Maharaja menceritakan
kisah sebenar. Daripada mereka menyembunyikan keimanan, terus kepada siksaan
akibat tidak mahu berpaling daripada keimanan. Kisah itu membuatkan hati
pengembala terpaut dengan pegangan yang mereka bawa. Dengan sekali lafaz, maka
berimanlah si pengembala. Gugurlah dosa-dosanya yang silam, suci murni hatinya.
Bagai bayi yang baru dilahirkan.
Kini bertambah bilangan pemuda yang beriman itu
menjadi tujuh. Ketujuh-tujuh mereka tahu bahawa mereka selamanya tidak akan
selamat berada di situ. Para pengawal istana pasti dapat menghidu mereka satu
masa nanti. Sedang mereka berehat melepaskan lelah, tiba-tiba datanglah ilham
daripada salah seorang daripada mereka, agar mereka bersembunyi di dalam gua.
“Dan apabila kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu. Niscaya Tuhanmu akan melimpahkan sebahagian rahmat-Nya kepadamu dan menyediakan sesuatu yang berguna dalam urusanmu.” (surah Al-Kahfi: 16)
“Hamid, jom la. Kita nak gerak ni, pergi ke gua
Ashabul Kahfi pula,” teguran daripada Hafizuddin menyedarkan aku daripada
lamungan yang panjang. Kini aku di dunia reality, namun masih berada di kota
lama yang menyimpan kisahnya yang tersendiri. Kisah Ashabul Kahfi, pemuda
beriman yang memelihara keimanan, sehingga kisah mereka terangkum di dalam
Al-Quran.
para rombongan yang berada di Citadel, kemuncak tertinggi Amman
Kami bergegas beredar meninggalkan Jabal Amman,
merentasi kesesakan kota raya menuju ke pinggir kota. Destinasi kami yang
seterusnya, Gua Ashabul Kahfi.
No comments:
Post a Comment