Pages

Monday, February 11, 2013

Berkahwin Ketika Belajar, Wajarkah? (siri 2)




       Selang masa antara kelas membuatkan aku duduk termangu di kawasan halaman bangunan Kuliah Syariah. Musim panas yang berada di penghujung membuatkan cuaca begitu selesa, tidak terlalu panas, tidak pula terlalu sejuk. Kelihatan para pelajar wanita Malaysia berbicara sesama mereka. Para pemuda Arab pula bergelak sakan di hamparan rumput hijau yang mendamaikan. Pelajar Arab wanita yang lalu lalang tidak aku endahkan. Sedang aku leka melihat lakonan manusia, tiba-tiba bahuku ditepuk dari belakang.

       "Assalamualaikum."

       Tidak sempat aku menoleh ke belakang, lelaki itu terus melabuhkan tubuhnya di sebelah aku. 

      "Waalaikum salam. Tak ada kelas ke?" Cukup aku kenali raut tubuhnya. Shukran namanya, Semester akhir pengajian di sini.

       "Tak ada dah. Tinggal nak pergi ke maktabah je, nak siapkan bahas," ramah Shukran berbicara. Sememangnya lelaki itu cukup dikenali kerana punyai perwatakan yang ramah. Sedang kami berborak kosong, timbul persoalan yang sudah lama aku mahu tanyakan kepada beliau.

       "Ha, apa dia? Tanyalah," Shukran berkalih arah, bertentang mata denganku.

       "Nak tanya pendapat enta tentang kahwin ketika belajar ni."

       "Kalau ikutkan, ana lebih menggalakan para pelajar tidak berkahwin ketika masih belajar," Shukran tidak mengambil masa yang lama untuk menjawab. Aku pula semakin berminat mendengar kupasan daripadanya. Tidak ramai sebenarnya daripada kami yang menolak untuk berkahwin ketika sedang belajar ini.

       "Kenapa enta cakap macam tu?"

      "Ramai yang ingat dengan berkahwin dapat mengatasi masalah maksiat, tetapi sebenarnya perkahwinan bukan semata-mata kerana itu. Perkahwinan itu adalah tanggungjawab!"

       Shukran memandang sekeliling, mengambil nafas sehela dua, sebelum menyambung bicaranya,

     "Bayangkan, ibu bapa kita beri duit pada kita untuk kita belajar, lepas tu senang-senang je kita minta kahwin? Bila sudah kahwin, kita akan sibuk dengan pasangan kita. Bila masa kita untuk bersama ibu bapa kita?"

       Aku terus mendengar.

    "Masa kita bersama keluarga kita hanya ketika kecil sahaja. Itu pun kita tidak pernah membalas pengorbanan mereka. Masuk sekolah menengah, ada yang mula berpisah dengan keluarga, tinggal di asrama. Masuk kolej dan universiti, kita berpisah lagi. Pulang ke rumah menjenguk keluarga mungkin hanya sebulan sekali sahaja. Ini, tidak sempat kita menamatkan pengajian, kita mahu berpisah sekali lagi dengan keluarga atas alasan mahu berkahwin. Jadi, bila masa kita mahu bermesra dengan keluarga kita? Ingat, mereka juga mahu diri mereka disayangi."

       Aku semakin berminat untuk terus mendengar.

     "Macam ana, emak ana sakit. Abang kakak ana tidak boleh memberi sepenuh masa mereka kerana mereka sendiri punyai tanggungjawab dalam keluarga masing-masing. Nanti, bila ana habis belajar, ana mahu bekerja dan membantu ibu bapa ana. Waktu itulah masa untuk ana membalas jasa mereka, kerana bila sudah berkahwin nanti, pasti sukar untuk mencuri masa bersama mereka. Biar kita berkahwin lewat sedikit, asalkan kita mampu memberi kebahagiaan kepada ibu bapa kita."

       Aku puas mendengar keluhan rasa daripada Shukran. Fikirannya bernas, cukup menyenangkan.


Tiga bulan berlalu,

       "Apa yang enta tuliskan tu?" Putra bertanya mesra sambil mengukir senyuman. Kala itu, kami sedang menunggu kehadiran Doktor Tolib di dalam kelas.

       "Ala, tulis sikit pasal artikel berkaitan kahwin muda."

       "Tidak, tidak. Tidak bagus," cepat Putra memuncungkan bibir, melahirkan bantahan tanpa sempat aku bertanya apa-apa.

       "Ha, kenapa enta berpandangan begitu?"

      "Berkahwin ini tidak akan lari daripada wang. Benar, wang bukan segalanya, tetapi wang adalah perkara asasiah dalam mendirikan rumah tangga. Dalam kita sibuk mengejar ilmu pelajaran, bila kita mahu mencari nafkah?" Bersungguh Putra meluahkan rasa.

       "Kita pelajar berkehendak dengan ilmu. Pada masa inilah kita belajar bersungguh-sungguh untuk mengejar ilmu. Namun, bila kita berkahwin, kita akan terbeban dengan tanggungjawab. Masa kita untuk menuntut ilmu menjadi semakin singkat. Jadi, pada masa inilah kita fokus untuk memungut sebanyak mungkin ilmu. Tidak perlu tergopoh untuk berkahwin.

       "Perkahwinan juga bukan semata-mata untuk menahan gelora nafsu. tetapi turut terkesan dengan emosi kita. Lelaki terutamanya mengalami tempoh masa kematangan yang lebih lewat daripada wanita. Mungkin kita merasakan bahawa kita sudah matang dalam usia awal 20-an, tetapi sebenarnya kita masih belum matang dari sudut usia. Benar, usia bukan apa-apa, tetapi hidup memerlukan usia."

       Pulang daripada rumah, aku timbulkan isu ini kepada Radzuan. Kami memanggilnya dengan panggilan Mufti kerana kefaqihannya dalam bidang fiqh. Rupanya, dia juga turut tidak bersetuju dengan langkah awal mendirikan rumah tangga ketika masih belajar.

       "Masa masa remaja inilah kita patut bersama dengan sahabat-sahabat kita. Nanti bila kita berkahwin awal, jurang masa kita bersama sahabat-sahabat kita menjadi semakin jauh. Sedangkan baki usia kita nanti, kita akan tetap bersama dengan isteri kita. Selepas habis belajar ini, kita bekerja dalam dua tahun. Selepas tempoh itu, baru sesuai untuk kita mendirikan rumah tangga. Ketika itu, ekonomi kita pun stabil, Ketika itu juga kita mula menjadi manusia dari sudut ilmu dan kematangan. Jasa dan pengorbanan ibu bapa kita juga mungkin kita sudah terbayar sedikit."


Kesimpulan

       Bagaimana? Mahu tetap meneruskan usaha dan memasang impian untuk mendirikan rumah tangga ketika masih belajar? Ingat, pernikahan bukan semata-mata pintu keluar bagi melepaskan diri daripada ikatan nafsu. Jika anda hanya berfikir sedemikian, terimalah hakikat bahawa anda sebenarnya masih belum bersedia untuk berkahwin.

No comments:

Post a Comment