ARAB OH ARAB
Hampir separuh tahun lebih aku bersama teman-teman seperjuanganku menetap di lembah Syam ini. Tempoh yang cukup buat kami masak dengan perangai arab. Masyarakat arab memang cukup ramah. Habis semua orang dipanggilnya soddiq yang bermaksud kawan, walaupun pada orang yang mereka tidak kenali. Bercium pipi menjadi adat, berjalan sambil berpegang tangan menjadi kelaziman, sebarkan salam pula seakan satu kewajiban. Tidak kira dia lelaki mahupun wanita, perhubungan sesama mereka memang cukup terjaga. Kalaulah aku membawa adat mereka ini ke bumi Malaysia - jumpa sahabat lelaki kemudian bercium pipi dan berpegang tangan – aku rasa pasti aku akan di cop sebagai seorang gay pula. Dunia, dunia.
Selalu kami bersembang, berbicara dengan sikap dan sifat orang arab ini. Salah satu topik yang menjadi perbincangan kami adalah berkaitan masakan orang arab.
“Tak ada feel,” Tirmizi meluahkan pandangannya.
“Ate, deme tak bosan ke. Asyik makan roti keras je. Ce tengok macam Malaysia, semua ada. Kari ada, tomyam ada. Masakan melayu ada, masakan cina ada, masakan india pun ada,” Raduan menggomel.
“Kalau tak makan fallafil, makan syawarma. Kalau makan nasi, tak ada kuah pula.,” Amri juga sependapat dengan yang lain.
“Haah. Kalau makan ayam pun, ayam golek je. Ei, kalau la deme ada jual ayam percik ke, kan laku,” Raduan menambah.
“Itu kalau makanan. Ni kalau air, air teh dengan kopi je la,” aku yang dari tadi hanya mendengar turut mahu meluahkan pandangan bersama.
“Betul. Kalau kat Malaysia, ada air bandung, air sirap, milo. Hai, macam-macam air la,” Tirmizi menambah pandangan aku tadi.
makanan ruji masyarakat Arab; Syawarma dan falafil
Itu kami baru bicara tentang makanan. Aku sendiri sewaktu pergi ke kedai runcit, si penjual telah menunjukkan pada aku akan mee segera yang baru. Katanya pedas sangat-sangat. Aku pun membeli untuk merasai kepedasan mee segera itu. Bila aku makan, aduhai, memang mengecewakan. Seperti yang aku duga, memang tidak pedas. Kalau pelajar-pelajar Mu’tah mahu membeli sos cili, alamatnya kenalah pergi ke Carrefour di Amman, kerana di Mu’tah memang tidak menjual sos cili.
HON MUZIK KEHIDUPAN
Satu lagi sikap arab yang aku musykil adalah hon pada kenderaan. Entah apa silapnya, mereka begitu bangga dengan bunyi hon yang perbagai. Kelakar juga ada bila aku mendengar bunyi hon mereka yang pelik-pelik. Mungkin bunyi hon itu adalah satu kebanggan bagi mereka. Sudahlah bunyi hon yang perbagai, masyarakat arab juga begitu suka untuk menekan hon pada kenderaan mereka. Bunyi hon ada di mana-mana.
Terkenang aku dengan perbualan aku bersama dengan ustaz Rais, pensyarah kami di KISDAR dahulu. Katanya, orang arab ni bangga dengan bangsa arab mereka. Mereka kata para Rasul adalah daripada bangsa mereka. Tetapi mereka tidak sedar yang Allah mengutuskan Rasul daripada kalangan mereka juga kerana mereka sendiri adalah bangsa yang teruk sehingga Allah mengutuskan Rasul daripada bangsa Arab untuk memulihkan kembali bangsa tersebut.
Pekan Koboi Mu'tah yang sunyi di siang harinya, namun mula berubah pada petang dan malam harinya
Aku sendiri ada pengalaman yang kurang enak bersama masyarakat arab ini. Pernah sekali aku dibaling sampah ke muka oleh seorang budak arab. Lantas aku menjerit, memanggil dia datang kepadaku. Hampir-hampir sahaja aku mahu mencekik kolar baju budak arab tersebut, namun seorang pemuda arab telah mententeramkan aku. Dia kata, biar dia sahaja yang menyelesaikan masalah aku dengan budak itu. Jika dahulu, aku sendiri selalu dibaling batu seakan aku ini Yahudi Laknatullah gamaknya. Namun selepas aku menegur perbuatan mereka itu, peristiwa dibaling batu itu tidak berulang lagi.
Namun yang pasti, kita tidak boleh mengukur baik buruk seeorang hanya melalui pengalaman sendiri sahaja tanpa mengambil pengalaman orang lain. Tidak dinafikan jika ada orang arab itu jahat, memang dia jahat betul. Namun jika ada orang arab itu baik, maka dia memang benar-benar baik. Adakah dengan kita melihat kejahatan dia maka segala kebaikan dia sudah kita lupakan? Bersyukurlah dengan kejahatan kerana dengan kejahatan itu menjadikan diri kita sentiasa berwaspada. Jangan dipandang semua yang berdosa itu adalah jahat dan jijik kerana semua anak bani Adam tidak terlepas daripada dosa.
BERSYUKURLAH KERANA IMANMU TIDAK DICURI
Aku ada terbaca sebuah kisah mengenai Imam Sahl bin Abdullah At-Tustari. Seorang lelaki telah mengadu kepada beliau. Katanya, “Wahai tuan, ada orang masuk ke dalam rumahku lalu mencuri hartaku dan merosakkan barang-barangku.”
Imam Sahl bin Abdullah lalu menjawab, “Bersyukurlah kepada Allah SWT kerana bukan Syaitan yang masuk ke dalam hatimu, lalu mencuri imanmu dan merosakkan tadhidmu.”
Moral di atas kisah tadi adalah jangan terlalu bersedih hati di atas musibah yang Allah uji kepada kita. Keduanya, sesungguhnya jika kita ditimpa musibah, ketahuilah bahawa ada insan lain yang ditimpa musibah yang lebih dasyat daripada kita. Dan yang terakhir, iman kita bukan setaraf para ulamak sufi dan para imam-imam mujtahid, kerana hati mana yang tidak marah jika barang-barang kesayangan kita dicuri dan dirosak-rosakkan?
knp diaorg baling batu n sampah ? motif?
ReplyDeleteniat mereka nk brkawan, tp kterlaluan pulak. gitu la gaya bdk2 arab nk brseloroh, ganas bkn?huhu
ReplyDelete