BAB 1
NASI MAQLUBAH
“Oit! Kamu tak ada kelas ke Baen?”
Adoi, siapa pula yang ganggu masa keemasan aku ni? Malas la nak layan.
Teruskan berbaring lagi baik.
“Kalau kamu tak de kelas, jom teman aku makan maqlubah. Aku
belanja.”
Mendengar nama maqlubah disebut, spontan aku membuka mata. “maqlubah?”
Terus aku terduduk. Minda sudah terbayang akan keenakan nasi Arab itu, ditambah
ketika perut dalam kelaparan ini. Aduh!
“Agak dah. Kalau kamu dengar orang nak belanja makan, laju je ya. Hehe,”
Syauqi tergelak sinis. Tidak susah untuk aku mengenali suara garaunya itu.
“Jom. Aku lapar ni,” aku terus bangun sambil mengibas-ngibas belakang
baju dan seluarku.
“Kamu tahu, kamu la lelaki Melayu pertama yang aku tengok dengan
selambanya tidur kat hamparan rumput ni. Selamba betul kamu ya.”
Aku hanya tersengih. Entah, aku tengok budak-budak Arab selalu tidur di
hamparan rumput hijau ni. Macam best je. Itu yang aku saja nak cuba, dan
memang selesa pun. Ditambah pada musim bunga yang mendamaikan. Terasa nikmatnya
hidup. Malu? Buat apa nak malu? Bukan buat benda salah pun. Tapi kalau tidur di
situ sambil berdengkur, memang memalukan.
Hehe.
Berjalan dari Fakulti Syariah menuju ke Mat’am Abbasi hanya
mengambil masa lima minit sahaja. Menaiki sedikit tangga, melalui dataran
Universiti Mu’tah yang dihiasi dengan kolam pancutan air yang tiada air, ditambah
dengan longgokan remaja-remaja Arab yang bertugas mengusha awek-awek Arab di kaki jalan, terus berjalan
di hadapan perpustakaan, menaiki lagi tangga, dan sampai.
Bau haruman nasi maqlubah telah mencucuk-cucuk perutku.
Kelaparanku semakin bertambah. Mat’am
Abbasi, inilah kantin universiti
yang terletak di pintu Junubi. Terdapat sebuah lagi kantin universiti
yang terletak di pintu Syimali,
Mat’am Ummawi namanya.
Tidak ramai pelajar yang makan ketika ini.
Baguslah, tidak perlu beratur panjang. Selesai membayar dan mengambil makanan,
kami terus duduk di penjuru hujung ruang makan.
“Aku tengok kamu tenang je, Baen. Dah habis imtihan ke?” Syauqi bertanya sambil
mulutnya terus mengunyah nasi.
“Habis dah,” ringkas aku menjawab. Mahu
menjiwai kelazatan nasi Arab yang sukar sekali didapati di Malaysia ini. “Ha,
apapun syukran ya, belanja aku
makan ni, hehe.”
“Kamu bab makan, laju la. Tapi badan tak juga
gemuk-gemuk,” Syauqi menggeleng-geleng.
Aku terus melatah daging ayam bersama kentang
yang dimasak sekali, membiarkan Syauqi yang mahu terus bersembang dengan aku.
Sungguh nikmat, apatah lagi dimakan ketika lapar. Bertambah nikmat apabila
dapat makan free.
Oh, cerita tentang makan membuatkan aku lupa
untuk memperkenalkan diri aku. Nama aku, Faiz Faqiuddin bin Fauzi. Berusia 23
tahun, masih bujang, dan kini sebagai belajar tahun akhir di Universiti Mu’tah
dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Fiqh wa Usul. Tinggal di Ipoh, Perak. Ayahku
seorang guru, dan mak aku suri rumah yang paling berdedikasi.
Masih bujang?
Ya, masih bujang dan masih mencari cahaya
hati. Mana tahu kalau tersangkut dengan awek Arab ke kan? Hehe. Tapi, mak aku
dah pesan awal-awal dah, supaya cari calon tu dekat-dekat sikit, jangan jauh
sangat. Mak cakap, kalau dapat dengan orang Ipoh, lagi baik.
Aku memang pelajar agama, dari sekolah
menengah lagi aku dihantar ke Maktab Ahmadiah, sebuah sekolah agama yang
terletak di utara Perak. Tapi entahlah, aku seakan tidak melihat diriku ini
bakal menjadi seorang ustaz. Perangai pun pelik-pelik, suka usha perempuan pula
tu. Nak beramal ibadat macam hero filem Tujuh Petala Cinta tu, memang taubat la
aku tak buat. Tapi itulah hakikatnya, aku bakal bergelar ustaz juga bila pulang
nanti.
Habis makan, Syauqi terus pulang ke rumah.
Aku pula masih ada satu lagi kelas pukul satu petang nanti, kelas Talak bersama
Dr. Ali Zukaily. Macam mahu ponteng pun ada, tapi muka aku ni, tak pernah lagi
ponteng kelas. Tak boleh, kena datang juga ni. Kena jaga status sebagai pelajar
yang hadir penuh dalam kelas, baru ada markah bonus, huhu.
Kelas bersama Dr. Ali memang tidak pernah mengantukkan. Mana tidaknya,
setiap minit, pasti ada sahaja soalan yang ditanya kepada para pelajar. Jadi,
mahu tidak mahu, kita kena sentiasa fokus. Kalau tak dapat jawab soalan,
alamatnya kena sindir habis la dengan Dr. Ali, dan salah seorang pelajar yang
pernah disindir kerana tidak dapat menjawab soalan adalah aku sendiri.
Pelajar tahun akhir tidak mampu menjawab soalan Dr. Ali, memang malu!
Habis kelas, aku terus cabut. Mata dah berpinar-pinar ni, hanya nampak
katil sahaja. Awek yang lalu lalang pun aku tak pandang dah. Janji, aku dapat qailullah
sebentar sebelum aku solat asar nanti. Tapi selalunya, qailullah aku
meleret sampai dua tiga jam. Tak apa, asal dapat rehatkan diri selepas otak ini
sudah penuh serabut dengan segala ilmu yang ditadah tadi.
Terima kasih para guruku.
Pergh...terkejut dengar nama Faiz Faqihuddin....ingt betul tadi...rupanya opening novel.. Mantap la Tok Din.
ReplyDeleteAku doakan semoga dapat mencapai cita-cita.
amin3
ReplyDelete