Seusai solat Asar berjemaah di Masjid Syuhada, seorang warga Pakistan
datang ke hadapan para jemaah. Arif kami bahawa beliau adalah seorang tabligh.
Kumpulan tabligh yang berasal daripada Pakistan ini telah bermukim di sini
selama beberapa hari. Aku kebiasaannya tidak berminat untuk mendengar, tetapi
entah mengapa pada petang itu, aku masih duduk terpaku di ruangan solat,
menanti untuk mendengar butiran mutiara daripada tabligh tersebut.
Asal namanya tabligh, pasti kita dapat membayangkan fizikal mereka.
Berserban, berjubah bersama selendang serta kebiasaanya memiliki janggut yang
panjang. Begitu juga tabligh yang sedang bertaujihad di hadapan kami. Bahasa
Arabnya cukup fasih, mudah ditangkap oleh para hadirin.
“Hadirin sekalian, lihatlah para Sahabat. Contohilah para Sahabat dalam
berdakwah. Lihatlah, tiga per empat daripada 124,000 Sahabat Rasulullah SAW
meninggal di luar Makkah dan Madinah! Ada sahabat yang meninggal di Mesir, di
China, malah di Jordan sendiri. Kenapa? Kerana mereka pergi keluar berdakwah
tuan-tuan,” begitu bersemangat si tabligh menyampaikan kuliahnya.
Tersentak aku mendengarnya. Langsung selama ini, aku tidak pernah
tersedar akan fakta ini. Benar, begitu banyak makam para Sahabat yang terletak
di luar kota Makkah dan Madinah. Malah, terdapat banyak makam-makam Sahabat di
bumi Jordan ini sendiri. Ada yang meninggal kerana syahid dalam peperangan, ada
juga yang meninggal kerana bermukim di sini untuk melebarkan usaha dakwah.
Dalam rantaian makam-makam Sahabat yang terletak di bumi Syam ini,
terdapat dua makam sahabat yang istimewa. Beliau adalah sahabat yang dijanjikan
Syurga, pemegang amanah umat akhir zaman. Seorang lagi adalah sahabat yang
paling alim dalam soal Syariat.
Alhamdulillah, aku diberi kesempatan untuk berziarah ke makam-makam
tersebut.
PEMEGANG KUNCI UMAT
Bernama Amir ibn Abdullah, seorang muhajirin dari bani Quraisy, suku
al-Harith ibn Fihr. Merupakan salah seorang sahabat yang terawal memeluk agama
Islam, beliau antara sahabat yang berhijrah ke Habsyah dan madinah. Memiliki
sikap yang baik dan paling berserdahana. Itulah pemuda yang dijanjikan Syurga,
dikenali dengan nama Abu Ubaidah bin Al-Jarrah.
Abu Ubaidah Al-Jarrah begitu dipercayai oleh Rasulullah SAW, sehingga
baginda mengungkapkan kelebihan beliau dengan hadis baginda, "Setiap umat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi umatku
adalah Abu Ubaidah Al Jarrah"
Ya, beliaulah pemegang
amanah bagi umat ini.
Malah, Rasulullah SAW
memuji sifat yang ada pada diri Abu Ubaidah Al-Jarrah dengan hadis baginda, “Tiga
orang yang paling terkemuka dalam suku Quraisy memiliki sifat yang terbaik dan paling sederhana. Mereka adalah Abu Bakar, Uthman bin Affan dan Abu Ubaidah al-Jarrah.”
Sejarah Perang Badar mencatatkan pertumpahan darah antara anak dan bapa.
Bapa beliau, Abdullah bin al-Jarrah turut terlibat dalam peperangan tersebut.
Tetapi ayahnya bukan berjuang bersama tentera Islam, sebaliknya bersama dengan
pasukan Musyrikin. Malah, ayahnya sendiri mengejar Abu Ubaidah dalam peperangan
tersebut dengan niat untuk membunuh anaknya sendiri.
Abu Ubaidah cemas. Ayahnya masih tetap mengekori. Kemarahan ayahnya pada
dirinya tidak mampu dipadamkan lagi. Jiwa kecil seorang anak pasti tidak
sanggup untuk membunuh ayahnya sendiri. Abu Ubaidah terus melarikan diri.
Abdullah terus memburu anaknya sehingga suatu masa Abu Ubaidah terpaksa
bersemuka juga dengan ayahnya. Pertempuran tercetus dan Abu Ubaidah terpaksa membunuh
ayahnya dengan penuh rasa sedih dan bersalah.
Mengetahui akan kesedihan yang melanda Abu Ubaidah, lalu turunlah ayat
ini bagi mengubati kesengsaraan jiwa penghuni Syurga itu;
“Engkau
tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat yang mengasihi
orang-orang yang menentang Allah dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah
kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah mematri keimanan
di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan
memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai,
mereka akan kekal di dalamnya. Akan menyenangi mereka, di pihak lain mereka pun
senang dengan Allah. Mereka itulah perajurit Allah, ketahuilah bahawa perajurit
Allah pasti akan berjaya.” (Surah
Al Mujadalah: 22)
Ketika zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau telah dilantik menjadi
ketua panglima Islam. Kepintarannya dalam menyusun taktikal peperangan
membolehkan beliau berjaya menawan kota-kota yang besar seperti Damsyik,
Aleppo, Hims, Antakiah, dan Al-Quds di Baitul Maqdis.
Selepas selesai melaksanakan tugasnya dalam
peperangan, wabak taun pula menyerang tanah Syam. Hampir 20,000 penduduk telah
meninggal dunia akibat penyakit berjangkit tersebut. Risau akan keselamatan Abu
Ubaidah, Saidina Umar Al-Khattab telah mengutus surat kepadanya di Syam supaya
pulang ke Madinah. Antara kandungan surat tu berbunyi; “Jika engkau membaca surat ini, pulanglah ke
Madinah kerana ada perkara yang ingin aku tanyakan.”
Namun
Abu Ubaidah dapat membaca niat Umar yang risau akan keselamatannya. Lalu Abu
Ubaidah membalas surat tersebut;
Wahai
Amirul Mukminin, sebenarnya saya tahu tuan memerlukan saya. Akan tetapi saya
berada di tengah-tengah tentera muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri
sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari
mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusan terhadap saya dan mereka. Oleh
itu, sesampai surat saya ini, tolonglah jangan paksa saya pulang ke Madinah.
Izinkan saya tinggal di sini.”
Saidina
Umar menangis ketika membaca surat tersebut sehingga ramai menyangka Abu
Ubaidah telah meninggal dunia.
Tidak lama selepas itu, Abu Ubaidah juga
dijangkiti penyakit taun dan meninggal dunia ketika berusia 58 tahun.
Sumbangannya kepada agama Islam sangat besar. Abu Ubaidah al-Jarrah dikenang
membawa teladan yang sangat berkesan kepada seluruh umat Islam.
DUTA ISLAM YANG PERTAMA
Merupakan seorang pemuda yang yang tampan,
beliau merupakan salah seorang Sahabat yang terawal memeluk agama Islam. Di
kalangan penduduk Yathrib, beliau merupakan seorang pemuda yang bijak. Sahabat
yang berbai’ah dengan Rasulullah SAW sejak kali pertama. Dialah Muaz bin Jabal,
sahabat yang mempunyai kepintaran yang luar biasa.
Muaz memang dikenali sebagai sahabat yang cukup
mendalami ilmu fiqh. Bahkan, Rasulullah SAW menyebutnya sebagai sahabat yang
paling mengerti yang mana halal dan haram. Hadis baginda tentang kelebihan
Muaz, “Orang yang paling mengetahui halal dan haram di kalangan umatku
adalah Muaz ibn Jabal.”
Sewaktu penghijrahan Nabi Muhammad ke kota
Madinah, Muaz sentiasa bersama baginda. Keberadaannya bersama kekasih Allah
membolehkan beliau dapat memahami Al-Quran dan syariat-sayariat Islam dengan
cukup baik. Beliau juga menjadi sahabat yang paling baik bacaan Al-Quran.
Malah, beliau diberi kepercayaan sebagai salah seorang daripada enam sahabat
yang mengumpulkan Al-Quran ketika zaman Rasulullah SAW.
Ketika peristiwa pembukaan Makkah, Rasulullah
meminta Muaz untuk tinggal bersama penduduk Makkah untuk mengajar mereka ajaran
Islam. Kepintaran beliau juga jelas terlihat ketika mana rombongan raja-raja
Yaman datang menjumpai Rasulullah SAW lalu mengisytiharkan keislaman mereka dan
meminta kepada Rasulullah supaya menghantarkan tenaga pengajar kepada mereka. Rasulullah
SAW tetap memilih Muaz untuk memegang tugas itu bersama-sama dengan beberapa
orang para sahabat yang lain.
Tatkala rombongan Muaz bin
Jabal mahu berlalu pergi, Rasulullah SAW sempat mewasiatkan kepada Muaz dengan
berkata, “Wahai Muaz! Kemungkinan kamu
tidak akan dapat bertemu lagi dengan aku selepas tahun ini malah mungkin juga
selepas ini kamu akan melalui masjid dan kuburku…”
Mendengar sahaja wasiat
daripada rasulullah, lalu menangislah Muaz lantaran kesedihan yang tidak
tergambar. Beliau tahu, selepas ini beliau tidak akan bertemu dengan baginda
lagi.
Ketika zaman Khalifah Umar
Al-Khattab, beliau dihantar pula ke Maitul Maqdis untuk mengajarkan ilmu agama
di sana. Sewaktu Muaz berada di sana, negeri tersebut sedang dilanda penyakit
berjangkit yang membawa maut. Muaz juga tidak terkecuali menerima tempias
penyakit tersebut. Nyawanya kini di hujung tanduk.
Saat ajalnya hampir tiba,
wajahnya masih ceria, malah masih mampu bermadah pujangga, “Selamat datang
wahai kematian! Selamat datang kepada tamu yang tak kunjung tiba dan selamat
datang kepada kekasih yang datang setelah sekian lama dirindukan.”
Selang detik kemudian,
pergilah seorang sahabat yang agung di bumi Urdun.
TANAH BERJASAD AHLI SYURGA
Si tabligh telah selesai
memberikan taujihadnya. Para jemaah mulai pulang. Aku turut sama, melangkah
keluar sambil terus mengenang perjuangan sahabat yang tidak mengenal erti
lelah. Negara yang aku pijak ini, bukan sekadar negara bertanah tandus berdebu
sahaja, tetapi di dasarnya ada jasad ahli Syurga yang tenang menunggu hari
kebangkitannya.
Letakkan kami juga bersama
mereka, Ya Allah.
No comments:
Post a Comment