Bukan sebentar aku menunggu, malah sudah penat aku menyabarkan diri, akhirnya saat yang dinantikan tiba menghampiri.
Musafir yang bakal membawa kami menuju Ilahi semakin hampir. Musafir yang bakal menobatkan kami menjadi tetamu agong kepada Yang Maha Agung, Allah Azza Wa Jalla.
"Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Agong kepada Allah swt, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah swt perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya nescaya Allah swt ampunkan mereka". (Riwayat al-Nasa’iy dan Ibnu Majah)
Bas yang bakal membawa kami menuju ke Tanah Yang Diberkati mula mengengsot meninggalkan Bumi Syuhada Yang Disayangi. Bukan mudah untuk memilih pergi menunaikan ibadah Umrah ketika kemuncak musim panas dalam keadaan kami masih menunaikan ibadah puasa. Wang yang dibayar pula sekali ganda lebih mahal daripada biasa, ditambah dengan ramai sahabat-sahabatku yang memilih untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri di Malaysia membuatkan hatiku menjadi berbelah bagi. Lebih mencabar, di sana nanti pasti kami bakal bersesak-sesak dengan jutaan umat manusia daripada seluruh pelusuk dunia untuk sama-sama mencapai kelebihan beribadat di sana.
Namun, aku tetap membulatkan tekad untuk pergi menunaikan ibadah Umrah pada penghujung bulan Ramadhan walau dengan kepayahan yang bakal dipunggak. Benar, bukan mudah untuk melaksanakan ibadah yang mana pahalanya akan dilipat berkali-kali ganda. Aku, malah kami semua maklum akan fadilat melaksanakan ibadah Umrah pada bulan Ramadhan.
Dalam hadis, Rasulullah pernah menjelaskan kepada wanita Ansar, Ummu Sinan mengenai kelebihan umrah pada bulan ini.
Baginda bersabda bermaksud: “Apa yang menghalangmu untuk melakukan haji bersama kami?” Wanita itu menjawab: “Keldai yang ada pada kami yang satu dipakai oleh ayahnya si polan (suaminya) untuk mengerjakan haji bersama anaknya, manakala yang lain dipakai untuk memberi minum anak kami.” Baginda bersabda lagi: “Umrah pada Ramadan sama dengan mengerjakan haji atau haji bersamaku.”
Baginda bersabda bermaksud: “Apa yang menghalangmu untuk melakukan haji bersama kami?” Wanita itu menjawab: “Keldai yang ada pada kami yang satu dipakai oleh ayahnya si polan (suaminya) untuk mengerjakan haji bersama anaknya, manakala yang lain dipakai untuk memberi minum anak kami.” Baginda bersabda lagi: “Umrah pada Ramadan sama dengan mengerjakan haji atau haji bersamaku.”
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
“Melakukan umrah pada bulan Ramadhan menyamai ibadah haji.”Siapa yang tidak mahu memiliki pahala seperti melaksanakan ibadah haji?
Memasuki Arab Saudi
Alhamdulillah, musafir kami bermula dengan agak baik walaupun mendapat sedikit kesulitan akibat karenah birokrasi Arab yang mempunyai ego yang tinggi. Bas kami terus meluncur sehingga tiba di sempadan negara Arab Saudi. Kami berhenti untuk berbuka puasa sebelum meneruskan baki perjalanan yang masih jauh.
Dari kota Maan menelusuri daerah padang pasir kontang Arab Saudi. Bas yang dinaiki berhenti sebentar selepas jauh berjalan, mengizinkan kami untuk berehat. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam, namun aku masih kedengaran bunyian jemaah daripada surau berdekatan seakan melaksanakan solat. Solat apakah pada tengah malam ini? Rupanya, di sini mengamalkan sunat tahajjud secara berjemaah.
Bas sekali lagi berhenti bagi mengizinkan pemandu bas untuk berehat. Kali ini, destinasi persinggahan kami adalah daerah Khaibar. Khaibar yang suatu masa dahulu pernah dimandihi darah hasil perjuangan para mujahid Islam untuk menawan Kota Yahudi Khaibar yang utuh terbina. Namun dengan izin Allah, pintu kota yang tidak mampu dibuka melainkan dengan kekuatan 70 orang pemuda mampu diranapkan oleh Saidina Ali keseorangan. MasyaAllah!
Tatkala matahari sudah mula tegak memacak di dada langit, kami tiba juga di Tanah Suci Madinah. Selajur kisah nabawiah kami tuturi. Terasa sebak di dada mengenangkan perjuangan kekasih kami bersama para sahabat untuk menyebarkan seruan Islam ke serata pelusuk alam. Kami mula mengambil tempat di Dzulhulaifah Abyar 'Ali untuk menunaikan solat Jumaat, seterusnya menunaikan miqat umrah di sana.
Seusai solat Jumaat, kami mula mandi sunat sebelum mengenakan pakaian ihram.
Musafir Ini Semakin Hampir
Bas yang dinaiki mula bergerak menuju Makkah Al-Mukarramah. Kali ini, kami diuji dengan ujian yang dirasakan cukup berat. Dalam keadaan cuaca yang begitu terik, bas kami pula menghadapi masalah akibat penghawa dingin yang tidak berfungsi. MasyaAllah! Panasnya seakan berada di bilik saauna, malah mungkin lebih panas lagi. Namun kami tetap terus bertalbiah.
"Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan ni'kmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu."Keadaan mula kelam. Kerlipan bintang semakin galak menyinar. Kawasan sekitar yang sedari tadi hanya kontang kini mula disinari cahaya kalimantang serta bangunan yang mekar berkembang. Kami tahu, kota Makkah tidak jauh lagi. MasyaAllah! Segala puji bagi Allah. Talbiah yang pudar kini semakin dinyaringkan. Cahaya Menara Jam sudah mula kelihatan daripada kejauhan. Sinaran lasernya menunjukkan bahawa telah masuknya waktu solat Fardhu. Laser itu terus memancar selama setengah jam selepas azan dikumandangkan.
Permusafiran yang memakan masa selama 18 jam itu kini sudah berada di penghujung destinasinya. Barangan yang dibawa mula dipunggah dan dibawa naik ke dalam bilik hotel masing-masing
Hamba-Mu Datang Menyahut Panggilan-Mu
Tidak lama kami berada di hotel, kami terus bergegas menuju ke Masjidil Haram untuk melaksanakan tuntutan Umrah yang difardukan ke atas semua umat Islam.
Ibnu Umar RA pernah berkata :
“Tidak ada seorang pun kecuali diwajibkan atasnya satu kali haji dan umrah” (Al-Bukhari)
Seperti diduga, keadaan di persekitaran Masjidil Haram penuh sesak dengan jemaah manusia walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Kami seperti yang lain terpaksa berengsot untuk memasuki Baitullah. Debaran semakin terasa, Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam semakin mampir.
Memasuki Pintu Dar Salam, menyelosori sunnatullah, tersergam binaan Kaabah di hadapan mata kami. Binaan yang selalu terlihat di corengan lukisan dan gambaran ini jelas berdiri di hadapan kami. Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu! Begitu besar sekali nikmat yang diberikan ini. Syukur padaMu Ya Allah.
Kami memulakan Umrah kami dengan meminum air Zamzam, menyusuri tauladan yang diajar oleh kekasih kami Rasulullah yang tercinta. Kemudian, kami bersama-sama para jemaah lain melaksanakan tuntutan tawaf sebanyak tujuh kali. Terasa begitu nikmat mengerjakan ibadah di rumah-Mu ini ya Allah.
Seusai melaksanakan tawaf - melazimi seperti apa yang dilaksanakan oleh para Malaikat di atas sana, kami beralih menuju ke Safa', melaksanakan ibadah saie. Seperti mana yang pernah dilakukan oleh ibu kita Hajar tatkala mencari air untuk anaknya Ismail. Saat bekalan sudah ketandusan, Hajar meninggalkan bayinya di tanah tandus keseorangan yang kini menjadi sumur Zamzam. Berharap dapat menemui pertolongan atau sumber air, Hajar berlari mendaki Safa. Melihat tiada apa di sana, si ibu beralih ke bukit Marwah pula, terus berbolak-balik sebanyak tujuh kali. Seperti itu juga yang kita laksanakan, semoga ada ikhtibar yang dapat diamalkan.
Saie itu sendiri bermakna pencarian. Langkahan yang diambil pula dengan penuh tujuan, moga ibadah ini bukan sekadar simbolan, sebaliknya melahirkan insan yang mahukan berTuhan.
Musafir ini, musafir menuju Ilahi. Musafir ini, adalah panggilan Agong, menjadi tetamu Agung untuk berada di tempat yang Agung. Biar penat yang dirasai, kerana tahu ada manis yang tersembunyi. Moga musafir Agong ini beroleh natijahnya, Amin.
No comments:
Post a Comment