Pages

Thursday, May 10, 2012

Hukum Menyambut Hari Ibu


Hari Ibu (Mother’s Day) merupakan perayaan yang seringkali disambut oleh kita pada setiap tahun, sedar atau tidak pada setiap tahun, setiap negara di dunia ini tidak ketinggalan untuk menyambut Hari Ibu sekali dalam setahun, terdapat pelbagai tarikh-tarikh hari ibu di pelusuk dunia ini. Di Malaysia, Hari Ibu jatuh  pada hari Ahad yang kedua di bulan Mei pada setiap tahun, yang jatuh pada 13 Mei 2012 tahun ini. Sambutan hari ibu pada tarikh ini merupakan tarikh yang digunapakai oleh kebanyakan negara-negara.

Sejarah Dan Asal Usul Perayaan Hari Ibu Ini.

          Asal perayaan Hari Ibu merupakan perayaan yang meraikan Tuhan Ibu atau Ibu Dewi yang dipercayai merupakan tuhan kepada beberapa bangsa-bangsa kuno terdahulu seperti, bangsa Rom Kuno dan Yunani purba. Dewasa ini, perayaan sekali setahun ini, telah berevolusi menjadi suatu perayaan yang meraikan ibu-ibu yang melahirkan kita kedunia. Terdapat banyak tokoh pencetus kepada “Hari Ibu Moden” seperti  Julia Ward Howe yang merupakan negarawati Amerika yang terkemuka yang juga merupakan sosialis dan komposer kepada beberapa syair-syair serta bahan penulisan di Amerika. Beliau menjadikan 8 Mac sebagai Hari Ibu bagi menghargai kaum Ibu yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi dunia.

Selain itu, seorang lagi pengasas bagi hari ibu ialah, Anna Jarvis, beliau mengasaskan Hari Ibu, dua tahun selepas kematian ibunya, yang merupakan pengasas kepada Kelab Ibu Berkerja di beberapa bandar di United States, Anna Jarvis telah mengadakan kempen mengadakan “Hari Ibu” dan menjadikan hari ibu sebagai hari cuti yang diakui, beliau telah mengasaskan Hari Ibu pada minggu kedua di bulan Mei.


Apa pandangan Islam tentang Hari ibu?

Terdapat pelbagai pandangan para ulama’ dalam menyambut hari Ibu ini, seperti, HARAM, MAKRUH dan HARUS. Kepelbagaian dalam pandangan para ulama’ ini, adalah disebabkan perbezaan titik pandangan individu berdasarkan KEADAAN SETEMPAT.


Pandangan yang mengatakan Haram

Menurut pandangan Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, hukum menyambut Hari Ibu adalah HARAM. Berdasarkan pandangan beliau beliau menyatakan bahawa perayaan dalam Islam hanyalah Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Aidil Adha dan Hari Penekanan iaitu hari Jumaat, oleh itu perayaan selain daripada tiga ini adalah bid’ah berdasarkan hadis rasulullahsallalahualaihiwassalam:
“Barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kami ini yang bukan (bagian) darinya maka hal itu tertolak.” (HR. Bukhari Muslim)
Dan
“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang tidak kami perintahkan, maka hal itu tertolak.” (HR. Muslim)
Dan tambah beliau lagi, kita harus berbangga dengan agama kita yang telah disempurnakan oleh Allah yang maha Esa, dan menurutnya lagi Ibu lebih berhak dimuliakan daripada hanya dikhususkan kepada sehari sahaja dalam setahun.

Kelompok lain yang mengharamkan diantaranya ialah Al-marhum Sheikh Abdul Aziz bin Baz yang secara jelas pernah mengeluarkan fatwa tentang sambutan ini. Asasnya ialah kerana ia termasuk diantara perkara bid’ah dalam agama dan mengikut kepada Barat (gharbiyyun).


Pandangan yang Mengatakan Makruh 

Sheikh Hamid al-Athar, ahli Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia (yang dipengerusikan oleh Sheikh al-Qaradawi) memberikan pendapat seperti berikut:
“Perayaan Hari Ibu pada suatu pada suatu hari yang dikhususkan (iaitu 21 Mac) pada pendapatku adalah makruh dan tidak jauh hukumnya dengan haram, bukan disebabkan bid’ah tetapi kerana mengikut orang-orang bukan Islam pada adat kebiasaan dan perayaan-perayaan mereka. Telah datang beberapa hadith Rasulullah SAW yang melarang umatnya daripada menyerupai Ahli Kitab antara lainnya ialah yang didatangkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka.”


Pandangan yang Mengatakan Harus

Kelompok yang mengharuskan. Mereka mempersetujui bahawa sambutan ini juga adalah perkara yang diada-adakan, tetapi ia bukanlah bid’ah dalam ibadat tetapi hanyalah bid’ah dalam adat kebiasaan .

Pandangan kelompok ini boleh diperhatikan pada pendapat-pendapat beberapa ulama’ kontemporari. Sheikh Faisal Mawlawi, Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Pengkajian Hukum Eropah (Majlis ini dipengerusikan oleh Sheikh Professor Dr Yusuf Abdullah al-Qaradawi) yang juga seorang pemimpin gerakan Islam di Lubnan (seangkatan dengan Sheikh Dr Fathi Yakan) berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu tetapi dengan dua syarat:
  • Sambutan itu hanyalah penghormatan tambahan  yang dilakukan lanjutan daripada penghormatan sehari-hari yang diberikan selayaknya untuk ibu.
  • Sambutan itu tidaklah dianggap sebagai satu perayaan dalam mafhum Syarak iaitu menyamai Eid al-Adha dan Eid al-Fitri yang ada asasnya yang jelas dalam nusus Syariah.
Dr Muhammad Bakar Ismail, Professor Tafsir dan Ilmu-ilmu al-Quran di Universiti Al-Azhar al-Syarif memberikan pandangan seperti berikut:
“Hari ini dimana ibu dimuliakan dan dinamakan dengan Hari Ibu adalah daripada bid’ah-bid’ah dalam perkara adat dan bukan ibadat. Bid’ah dalam adat adalah tidak disuruh oleh Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia menghubungkan dengan agama daripada dekat atau jauh. Jika adat ini lahir daripada pengiktirafan kepada kecantikan dan menyeru kepada berlaku baik dan ihsan kepada orang yang berhak mendapat kebaikan dan ihsan seperti ibu, bapa, datuk dan nenek, maka Islam memberkati dan memperakui adat sebegini. Manakala jika adat ini lahir daripada perkara yang sebaliknya, dan melakukannya juga melibatkan perkara-perkara yang buruk dan dilarang oleh Islam seperti pemborosan, pembaziran, kelalaian dan berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.”
Dr ‘Abdul Fattah Asyur, seorang lagi ulama’ al-Azhar memberikan pendapat seperti berikut:
“Bahawa merayakan beberapa hari yang padanya dimuliakan manusia atau menghidupkan ingatan-ingatan yang baik, maka tidak seorang pun mengatakan bahawa program ini adalah perayaan agama atau sebahagian daripada perayaan-perayaan Muslimin. Tetapi ia adalah peluang untuk menunjukkan syiar perasaan yang baik terhadap orang-orang yang berbudi kepada kita dan diantaranya ialah apa yang dikenali sebagai Hari Ibu. Sesungguhnya bagi ibu kedudukan yang khusus dalam Islam dan juga dalam setiap agama lain. Maka ibu wajib dimuliakan dan dirayakan.”
Dr Muhammad al-Banna berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu dengan syarat:
  • Tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara yang diharamkan oleh Syariah seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan.
  • Tidak dimaksudkan untuk menyerupai orang-orang Barat dan bukan Islam.
  • Hendaklah kandungan perayaan itu diteruskan sepanjang tahun iaitu tidak terbatas kepada hari tersebut sahaja.
Dalil bagi hukum menyambut hari ini adalah HARUS, berdasarkan hadis Rasulullah sallalahualaihiwassalam, 
“Sesungguhnya setiap perbuatan itu disertakan dengan niat dan sesungguhnya setiap orang itu apa yang diniatkan. Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kerana Allah dan Rasulnya dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang dihajatkannya”. (Muttafaqun Alaih)
Berdasakan hadis di atas, amalan yang tidak berdasarkan semata-mata kerana Allah tidak akan mendapat ganjaran pahala, dari apa yang kita niatkan itulah hasilnya, begitu juga dengan perayaan Hari Ibu ini, jika didasari dengan niat untuk memuja selain Allah yang Esa maka itu adalah kekafiran yang nyata. Di Malaysia, Hari Ibu disambut adalah bertepatan dangan hadis Rasulullah sallalahualaihiwassalam :
Telah bersabda Rasulullah kepada seorang lelaki ketika ditanyakan kepada baginda : “Siapakah manusia yang paling layak aku berbuat kebaikan padanya? Rasulullah bekata : ibu kamu, kemudian  siapa? Berkata Rasululah : ibu kamu, kemudian siapa? Berkata Rasulullah : ibu kamu, kemudian siapa? Ayah kamu” (Muttafaqun Alaih)
Dan firman Allah:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”. [ Al-Isra’: 23]
Serta,
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan”. [Al-Ankabut: 8]


Kesimpulannya

Harus diingat, mengamal  dan mengikut budaya asing, terutamanya dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran kerana perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak bahkan keimanan dan akidah, serta menjatuhkan maruah agama Islam itu sendiri. Umat Islam diseru agar tidak sesekali meniru budaya asing yang ternyata bercanggah apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan.
Kesimpulan dari sudut pandang penulis sendiri, menggembirakan ibu dengan cara meraikan Hari Ibu adalah sesuatu yang tidak menyalahi syarak, namun menyambut Hari Ibu untuk memuja selain Allah yang Esa adalah kekufuran yang nyata. Sambutlah secara sederhana tanpa memfokuskan untuk membahagiakan ibu hanya pada Hari Ibu, kerana bagi kita umat Islam, tiap-tiap hari adalah untuk ibu kita yang tercinta.
Sambutan yang baik  adalah dengan cara mengasihi sesama sanak saudara melalui amalan ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka, menzahirkan rasa syukur jika senang dan bertakziah  atau bersimpati apabila ditimpa sebarang musibah.


_______________________

Rujukan:

No comments:

Post a Comment