Pages

Thursday, March 15, 2012

Kisah antara Nenek, Maharaja Cina & Wanita Zaman Kini


Pagi hari pada cuti hujung minggu. Tiada apa yang mahu dibuat. Suhu di bawah negatif turut membuatkan fizikal dan mental membeku. Hanya sekadar lepak di bilik sambil mendengar lagu Dima Bashar, penyanyi muda comel dari Jordan. Bilik sunyi tanpa perbualan. Hinggalah Abdullah Sobri membuka topik...

"Nenek sebelah rumah kita tak bagi kita naik atas bumbung lagi dah,"

"Ish. Kenapa pula?" Pelik dengan kenyataan daripada Abdullah Sobri membuatkan aku terus bertanya spontan.

"Katanya, dia tak bagi naik dah, sebab nanti kita usha anak dara dia," Jawab Abdullah atau nama manjanya Pok Lah dengan bersahaja.

"Sebab tu je?"

Suasana kembali senyap seketika...

"Katanya, nak kunci pintu ke bumbung," Zul mula bersuara.

"Tak kan sebab anak dara dia, kita tak boleh naik ke atas pula?" Cukup pelik aku dengan karenah nenek rumah sebelah.

"Itu la. Kita naik ke atas pun, bukan nak usha anak dara dia. Habis, baju nak jemur di mana?" Pok Lah menyambung bicara.

"Tutup je la tingkap, langsir. Habis cerita. Ini, sampai dihalangnya kita naik ke atas," keluh Huzaifah.

Kisah nenek rumah sebelah yang menghalang kami naik ke atas hanya kerana takut kami mengusha anak dara dia membuatkan aku terkenang dengan kisah Maharaja China dan kaitannya dengan sejarah pembuatan kasut...

*       *       *       *       *

Al kisah disebutkan pada zaman dahulu, hiduplah akan seorang Maharaja Cina yang begitu ramah terhadap rakyat jelatanya. Raja Cina itu suka pergi berziarah, keluar dan masuk ke kampung untuk melihat kehidupan rakyat-rakyatnya. Pada zaman itu tiada lagi dicipta capal, kasut, mahupun capal untuk dibuat alas pada kaki. Hingga mengakibatkan kaki Maharaja sering luka-luka. Lantas dipanggilnya semua jemaah kabinet untuk menyelesaikan masalah ini.

"Memanda sekalian. Oleh kerana kaki beta sering luka-luka pabila keluar dari istana, maka selepas ini apabila beta mahu keluar sahaja, pastikan karpet terbentang pada setiap jalan yang akan beta lalui."

Semua memanda kabinet diam seakan akur dengan titah baginda, sehinggalah seorang kabinet mencelah,

"Maafkan patik tuanku. Adapun permintaan tuanku itu patik rasakan keterlaluan. Apakah lebih baik andainya kita hanya melapik tapak kaki tuanku sahaja. Dengan itu, tuanku dapat berjalan-jalan ke mana sahaja tanpa melukakan tapak kaki tuanku lagi."

Akhirnya, Maharaja Cina setuju dengan pandangan menterinya itu. Lantas terciptalah kasut yang pertama...

*       *       *       *       *

Nampak kaitan antara nenek rumah sebelah kami dengan kisah Maharaja Cina di atas? Jika belum, mari aku bawakan pula kisah wanita pada zaman ini (bukan semua wanita ya. Sebilangan kecil sahaja  ^_^)...

*       *       *       *       *

"Kenapa pakai seksi sangat? Gangguan mata bagi pihak lelaki, tahu tak?" Selalu soalan ini ditanya kepada wanita yang berpakain tetapi 'telanjang'. Maka jawapan para wanita ini cukup mudah,

"Kalau sudah tahu gangguan, jangan la tengok."

Wah, mudahnya berpuitis. Jangan tengok? Masakan lebah tidak hinggap ke bunga, andai tiada madunya. Pakaian dia yang menjengkelkan, mata kita pula yang dipersalahkan. Adakah patut semua lelaki 'membutakan' matanya agar golongan wanita sebegini terus dengan pemakaian mereka?

Ha, sudah nampak bukan kaitan antara nenek, Maharaja Cina dan wanita masa kini? Hanya kerana mahu menutup 'kecacatan' diri, diri orang lain pula yang perlu ditutupi. Perlukah? Patutkah begitu?

Kisah nenek tadi cukup-cukup mudah. Mengapa perlu menghalang daripada kami naik ke atas hanya kerana anak dara dia yang terperap di dalam bilik? Sedangkan dengan hanya menutup tingkap dengan langsir sudah cukup untuk menyelesaikan masalah. Maharaja Cina? Dek kerana mahu menjaga kaki, habis semua jalan perlu dibentangkan karpet, sedangkan tutup sahaja tapak kaki dengan 'karpet' yang boleh dipakai. Habis cerita. Kisah wanita zaman kini? Pandai-pandailah membuat kesimpulan sendiri.

Pengajarannya, mengapa perlu kita menghalang orang lain dalam keadaan penuh keterpaksaan untuk menjaga hati kita, sedangkan kita sendiri mampu untuk mengubahnya agar orang lain dapat bersama dengan kita dengan penuh kerelaan. Jika ada jalan yang mudah, mengapa perlu mengambil jalan yang sukar dan berliku dalam mengubah sesuatu?

Dima Bashar, nyanyikan satu lagu untukku agar jiwaku kembali tenang dengan karenah manusia masa kini...

No comments:

Post a Comment