Kisah Teladan (ruangan pedoman & iktibar majalah Mastika)
Seperti diceritakan oleh Ustaz Amer Muttakim Abd. Ghani
Kepada Penolong Pengarang Mastika, Sahidan Jaafar
Selepas sembahyang Asar, di Masjid Tabligh Sri Petaling, Kuala Lumpur diadakan pula majlis taklim yakni kami duduk dalam satu bulatan dan seorang demi seorang diminta membaca fadilat tertentu yang telah dihafal seperti fadilat zikir dan sembahyang.
Selain saya, ada seorang lelaki berusia 40-an, keturunan India turut berada di majlis taklim itu. Lelaki India itu sudah lama menjalankan kerja-kerja dakwah dalam jemaah tabligh.
Dia pernah keluar berdakwah selama empat bulan di tiga buah Negara iaitu India, Pakistan dan Bangladesh (IBP), keluar 40 hari, seminggu dan tiga hari. Dia juga menghadiri ijtimak tabligh yang sering diadakan oleh jemaah tersebut di luar Negara.
Selepas majlis taklim, lelaki India itu mengambil kesempatan berbual-bual dengan saya apabila melihat penampilan saya tidak seperti ahli-ahli jemaah tabligh memakai baju kurta dan jubah. Saya pula hanya berpakaian biasa, T-shirt dan seluar slack.
Saya katakan pada lelaki India itu, saya bukan pengikut tabligh tetapi datang ke masjid tersebut untuk berjumpa seorang rakan yang mengikuti kumpulannya. Dalam perbualan itu, lelaki India berkenaan banyak bercerita kelebihan jemaah tabligh yang diikutinya dan bagaimana terlibat dengan jemaah tersebut.
Dari cerita lelaki India ini saya mendapat tahu dia bekas seorang pilot sebelum memeluk agama Islam. Oleh kerana saya baru mengenalinya, saya lebih banyak mendengar ceritanya. Jadi, saya tidak bertanya lanjut sama ada dia bertugas sebagai juruterbang Tentera Undara Diraja Malaysia (TUDM), dengan MAS atau syarikat penerbangan swasta. Saya juga tidak bertanya pekerjaan lelaki India ini setelah berhenti sebagai pilot.
Dalam perbualan itu, lelaki India tersebut bercerita dia bersyukur dapat hidup sebagai seorang Muslim setelah memeluk Islam. Fikirannya lebih tenang dan hidupnya lebih berkat, banyak diberi rezeki oleh Allah dari sumbangan yang tidak diketahuinya.
Perbualan itu tambah menarik apabila lelaki India tersebut bercerita pula bagaimana dia mendapat hidayah. Sebelum itu, lelaki India tersebut berkata dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan agama anutan nenek moyang dan keluarganya.
Tetapi peristiwa yang berlaku empat tahun lalu itu telah mengubah seratus peratus kehidupannya sehinggalah dia menjadi Muslim.
“Ana bersyukur kepada Allah sebab menurunkan asbab untuk ana memeluk Islam. Kalau ana tak diberi asbab ini, belum tentu ana dapat hidayah. Kalau Allah kata kun fayakun, ‘jadi, maka jadilah’, tak ada siapa boleh tahan.”
“Itu sebab ana amat bersyukur dapat melihat keajaiban Allah. Masya-Allah, ana tak boleh nak gambarkan macam mana Allah sayangkan hamba-Nya. Kalau Allah dah sayang hamba-Nya, Allah payungkan kita di dunia lagi.
“Ana dah saksikan, sepanjang penerbangan itu, ana takjub. Ana belum pernah lihat fenomena ajaib begitu. Ana tengok tempat lain panas, tapi pesawat ana dipayungi awan. Sepanjang perjalanan dipayungi awan seolah-olah ada awan megekori kami. Langsung tak kena panas terik.
“Itulah ana paling takjub. Ana Tanya kawan-kawan ana, mereka pun kata tak pernah alami kejadian macam tu, masya-Allah, awan sentiasa payungi pesawat yang bawa almarhum daripada terkena terik matahari.
“Kalau di dunia lagi Allah dah payungi kita, masya-Allah di akhirat kelak, Allah akan payung kita dari panahan cahaya matahari yang berada sejengkal di atas kepala kita. Masya-Allah!” cerita bekas pilot itu kepada saya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Kejadian itu, kata bekas pilot tersebut, bukan sahaja disaksikan olehnya seorang, tetapi lain-lain krew penerbangan yang mengendalikan pesawat.
“Ana tahu, jenazah yang ada dalam pesawat itu seorang ulama. Ulama ini buat kerja-kerja dakwah Islam. Ulama ini suruh orang buat baik, ajak jauhi mungkar. Hati ana tiba-tiba terdetik, ulama ini seorang Islam. Ana lihat ada kebenaran dalam Islam.
“Selepas ana tengok awan yang pelik itu dari mula sampai akhir penerbangan kami, ana beritahu rakan Muslim dalam pesawat, ana nak masuk Islam. Ana betul-betul kagum dengan kebesaran Allah,” cerita bekas pilot itu kepada saya.
Itulah punca lelaki India bekas pilot itu masuk Islam yang diceritakan kepada saya dua tahun lalu.
Kejadian menakjubkan itu berlaku ketika pilot India itu bertugas untuk membawa jenazah seorang ulama terkenal dari Kuala Lumpur untuk disemadikan di sebuah negeri di sebelah utara tanah air.
Oleh kerana pertemuan itu berlangsung selepas Asar dan kami berbual tidak lama, saya tidak sempat bertanya secara terperinci sama ada bekas pilot India itu sendiri yang menerbangkan pesawat atau dia yang menjadi ketua penerbangan ihsan itu.
Bekas pilot itu banyak bercerita tentang keajaiban yang dilihatnya, awan memayungi pesawatnya bermula dari Kuala Lumpur sehinggalah ke lapangan terbang di utara.
Sebenarnya saya turut membantu menguruskan jenazah ulama terkenal tersebut sebelum dibawa menaiki pesawat. Ketika itu saya baru menjadi sukarelawan menguruskan jenazah orang-orang Islam.
Saya ceritakan kepada bekas pilot itu, saya turut menyembahyangkan jenazah almarhum. Ulama itu yang meninggal dunia akibat sakit jantung di sebuah hospital di Kuala Lumpur dimandikan di sebuah hospital sebelum dibawa dengan van jenazah ke Surau al-Mustaqimah, Bandar Tun Razak untuk kami sembahyangkan.
Ketika itu saya beritahu bekas pilot tersebut, saya melihat ribuan orang datang dari segenap pelosok negara untuk bersama-sama memberikan penghormatan terakhir kepada almarhum.
Saya katakan pada pilot itu juga, saya sendiri berasa takjub apabila melihat bilangan mereka yang datang terlalu ramai untuk menyembahyangkan jenazah almarhum. Kami terpaksa bersesak-sesak berdiri.
Begitu juga saya beritahu bekas pilot itu, saya berasa bangga apabila setiap orang yang datang berebut-rebut hendak mengangkat jenazah almarhum sehingga ia meniti dari tangan ke tangan yang lain sampailah jenazah tersebut dibawa keluar daripada surau dan dimasukkan ke dalam van semula.
Saya juga ceritakan kepada bekas pilot itu, paling membanggakan saya, van jenazah itu diiringi pula oleh anggota motosikal peronda polis ke pangkalan Tentera Undara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
Mengikut wasiat almarhum, almarhum mahu jasadnya disemadikan di sebuah madrasah yang menempatkan sebuah kolej pengajian Islam di negeri kelahirannya. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana jenazah almarhum selamat disemadikan di madrasah berkenaan seperti mana wasiat beliau.
Apa yang membuat saya terkilan, saya terlupa untuk bertanya bekas pilot itu sama ada beliau sendiri yang menerbangkan pesawat itu atau orang lain. Tetapi mengikut cakap-cakap orang ramai ke telinga saya, jenazah ulama itu diterbangkan dengan pesawat Hercules milik TUDM ke sebuah lapangan terbang di utara tanah air. Kalau beliau yang membawa pesawat tentulah bekas pilot itu seorang anggota tentera.
Sebagai seorang ulama terkenal yang berjuang atas nama agama, saya terharu dengan kematian almarhum. Almarhum banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kematian almarhum dan kejadian awan memayungi pesawat yang membawa jenazah ulama tersebut juga telah membuka pintu hati bekas pilot itu memeluk agama Islam.
Sejak itu saya tidak lagi bertemu dengan bekas pilot berkenaan. Saya tidak tahu di mana dia tinggal. Saya juga jarang ke masjid tabligh lagi kerana sibuk dengan pengajian tahfiz di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Baru, Selangor.
p/s: Siapakah ulama tersebut? Tidak dinyatakan namanya tetapi banyak fakta2 yang menarik berkenaan ulama tersebut yang boleh membawa kita mengenali siapakah beliau. Lihat video tersebut untuk mengetahui siapa sebenar almarhum.
Sumber : Mastika Julai 2008 (m/s 118)
No comments:
Post a Comment